Pages

Subscribe:

11 Mac, 2010

[hang nadim] Bukan mustahil Melayu bersatu



Oleh FATINI YAACOB

Fatini Yaacob menunjukkan buku Natrah: Cinta, Rusuhan dan Air Mata.

KELMARIN buku Natrah: Cinta, Rusuhan dan Air Mata telah dilancarkan dengan sempurnanya oleh Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin. Saya merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada beliau kerana keberanian melancarkan buku itu.

Walaupun perjuangan Natrah dahulu tidak diterajui oleh pemimpin UMNO, hanya disertai oleh ahli-ahli UMNO tetapi atas kebenaran sejarah dan apresiasi sejarah, Muhyiddin sanggup meletakkan dirinya melancarkan buku ini.

Kerana buku Natrah adalah kisah benar satu episod sejarah yang sanggup meleburkan kepentingan politik demi agama.

Saya berterima kasih dan percaya dengan kesudian Ustaz Nasharudin Mat Isa dan jawatan kuasa tertinggi Pas yang hadir ke majlis pelancaran buku ini juga sebagai menyatakan istiqamah parti tersebut, dalam menyambut usaha yang baik ke arah perpaduan Melayu dan mengangkat martabat Islam.

Saya secara peribadi turut mengundang ahli jawatankuasa tertinggi parti PKR ke majlis pelancaran buku ini. Namun sayangnya hasrat saya untuk melihat detik perpaduan tiga kelompok pemimpin tertinggi parti ini dalam majlis pelancaran buku Natrah yang dulunya memang menyatukan orang Melayu dalam perjuangan membela Islam dalam Natrah, tidak tercapai.

Saya percaya dan doakan agar satu hari akan datang juga detik ini. Detik penyatuan dan perpaduan Melayu demi agama yang dinaungi oleh kasih sayang Allah.

Sebenarnya buku Natrah yang saya tulis kali ini, menghantar mesej dan makna yang lebih besar daripada Natrah yang saya tulis dalam majalah Dewan Masyarakat 20 tahun yang lalu.

Buku itu menuntut pemerhatian yang teliti dan tindakan yang penting terhadap memartabatkan Islam di tempatnya, terutama dalam politik dan perundangan negara kini.

Sebenarnya di sebalik kisah Natrah ada perjuangan yang lebih hebat, daripada sekadar kisah sedih hidup Natrah dan kisah cinta Natrah dan Mansor Adabi. Dan semua ini tidak ada di dalam majalah Dewan Masyarakat yang saya tulis dahulu.

Buku ini adalah himpunan semangat dan roh pejuang-pejuang Natrah yang memperjuangkan iman di dada Natrah. Keikhlasan perjuangan mereka inilah dengan redha Allah meresap jauh menyentuh hati orang Melayu turun temurun, zaman berzaman sehingga kini. Kisah perjuangan itu saya rakam khas sehingga lapan bab di dalam keseluruhan 23 bab buku itu.

Sebenarnya kisah pengorbanan dalam Natrah ini membabitkan pelbagai jenis. Ada pengorbanan wang ringgit dan harta benda untuk dibuat derma bagi pembiayaan mahkamah dalam kes Natrah. Ada pengorbanan masa, tenaga dan wang ringgit oleh pejuang-pejuang Natrah seperti Karim Ghani, Dr. Burhanuddin Helmi, Mohd Taha Kalu, Tunku Abdul Rahman dan Hussien Onn (Tun), Ahmad Ibrahim (sekadar menyebut beberapa nama).

Namun yang paling tinggi nilainya adalah pengorbanan jiwa dan pengorbanan kepentingan diri dan kepentingan politik. Saya terharu membaca pengorbanan ini.

Walaupun diterajui oleh Dr. Burhanuddin Helmy dari Parti Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM) yang dianggap sebagai parti kiri semasa itu, namun ahli-ahli UMNO semasa itu seperti Sardon Jubir (Tun), Darus Sharrif yang juga jawatankuasa UMNO Johor dan Geylang Singapura turut sama berada dalam Jawatankuasa Tindakan Natrah (JKTN).

Tunku Abdul Rahman dan Hussien Onn pula sanggup meneruskan usaha-usaha perjuangan membebaskan mereka yang dikenakan hukuman gantung kerana merusuh selepas semua JKTN dipenjarakan.

Kelompok kecil ahli-ahli parti Hizbul Muslimin juga ikut berjuang bersama. Ini bermakna pada masa Natrah, demi kepentingan agama, semua orang Melayu meleburkan kepentingan peribadi masing-masing demi membela Islam yang dihina penjajah.

Keadaan yang sama barangkali tidak jauh bezanya jika kita lihat keadaan politik hari ini. Setelah dekat 60 tahun tragedi Natrah, kini kita kembali berada dalam keadaan yang berat dan mengancam dari segi politik.

Kalau dulu musuh politik dan agama kita adalah jelas iaitu penjajah, sekarang kita jadi bingung kerana keadaan kuasa yang semakin terancam walaupun kuasa masih ada di tangan kita. Kuasa majoriti yang sedikit kita pegang semakin goyah kerana perpecahan sesama kita.

Dalam keadaan tertentu, suasana penghinaan Islam pada zaman penjajah dahulu juga wujud, walaupun barangkali dalam bentuk yang berbeza. Penghinaan terhadap Islam sekarang berlaku dari dalam dan luar diri kita.

Dari ‘dalam diri’ kita’ penghinaan berlaku apabila kita tidak meletakkan martabat Islam pada tempatnya. Dalam percaturan politik, kita meletakkan kepentingan diri dan kuasa melebihi kepentingan awam dan kepentingan Islam.

Kita sanggup mengetepikan Islam dan hukum-hakam Islam asal kuasa dan kepentingan diri dipenuhi. Elemen ini ada pada semua parti Melayu hari ini. Mereka masih belum boleh duduk semeja, berdamai dan berunding demi sebab yang lebih besar – meleburkan kepentingan parti demi survival Islam di tangan orang Melayu.

Dari ‘luar diri’ kita, penghinaan terhadap Islam jelas berlaku apabila orang bukan Islam sudah berani membuat provokasi kepada agama dan kedudukan istimewa orang Melayu.

Penggunaan kalimah Allah, mempersoalkan kedudukan Islam di dalam Perlembagaan Persekutuan adalah contoh-contoh provokasi yang jelas terhadap orang Islam. Mereka akan terus berani berbuat demikian sekiranya kita tidak kuat memegang prinsip jati diri orang Islam.

Kita harus belajar daripada sejarah dahulu termasuk sejarah perpaduan yang unik lagi istimewa dalam kisah Natrah di kalangan bangsa-bangsa Cina, India dan Serani.

Mereka ikut berjuang membantu orang Islam ketika itu sehingga ikut terkorban. Semangat itu hanya diperolehi kerana kesatuan jitu orang Islam ketika itu.

Hanya dengan perpaduan dan penyatuan hati orang Melayu yang ikhlas kerana Allah, yang tidak pentingkan diri, yang memungkinkan kita membuat percaturan politik yang bijaksana, yang tidak merugikan Islam pada zaman mana pun jua, termasuk masalah perpecahan politik sesama kita pada hari ini.

Bagi saya sebagai pembaca sejarah, tidak ada suatu pun kuasa yang dapat menghancurkan dan meleburkan kita, sekiranya kita bersatu hati dan mengikhlaskan diri demi perjuangan yang murni – iaitu agama.

Pengorbanan ini bukannya sukar walaupun tidak terlalu mudah. Bangsa yang besar adalah bangsa yang tahu menilai pengorbanan pejuang-pejuang yang terdahulu.

Pemimpin yang besar adalah pemimpin yang tahu membuat pengorbanan diri demi kepentingan bangsa dan negara.

Natrah di tangan saya kini telah melampaui sifatnya sebagai penceritaan seorang individu. Natrah adalah kisah kita, kisah perjuangan kita.

Jika demikian kentalnya roh dan semangat penyatuan para pejuang dan orang Islam masa dulu sehingga menyusup ke dalam sanubari kita sehingga ke hari ini, apakah percaturan politik yang bakal kita hantar kesannya kelak untuk generasi Islam 60 tahun lagi?

Datin Seri Fatini Yaacob ialah Karyawan Tamu Universiti Teknologi Malaysia

'Semboyan Halilintar ke Putrajaya' untuk siapa?
Oleh Zulkiflee Bakar
pengarang@utusan.com.my

TERNYATA, impian pembangkang untuk menawan Putrajaya tidak pernah terpadam dalam agenda politik mereka. Walaupun sepatutnya selepas dua tahun memerintah di Kedah, Pulau Pinang dan Selangor serta menguasai 78 kerusi di Parlimen, pembangkang menilai kemampuan mereka bagi memperbaiki kelemahan, namun itu tidak berlaku.

Sebaliknya, pada minggu lalu mereka melancarkan apa yang dipanggil 'Semboyan Halilintar ke Putrajaya'. Ia adalah satu program yang dicetuskan oleh Parti Keadilan Rakyat (PKR) bagi mencapai impian mereka untuk menawan Putrajaya.

Mereka meletakkan Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) sebagai sasaran bagi menumbangkan Barisan Nasional (BN) sekali gus memenuhi mimpi mereka yang terbengkalai sebelum ini.

Sesungguhnya tiada siapa pun boleh memastikan sama ada impian pembangkang itu akan menjadi kenyataan atau tidak kerana segala-galanya terletak kepada rakyat menentukannya. Tetapi apa yang pasti jelaslah kini dengan pelancaran program itu yang bermula di Negeri Sembilan, matlamat pakatan pembangkang sejak selepas pilihan raya umum 2008 tidak berubah iaitu untuk merebut tampuk kekuasaan negara.

Pembangkang di bawah kepimpinan Penasihat PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim begitu kemarukkan kuasa untuk memerintah negara ini. Sebab itulah biarpun rakyat sudah membuat keputusan pada Pilihan Raya Umum Ke- 12 dengan terus memberikan mandat kepada BN walaupun tanpa majoriti dua pertiga di Parlimen, pembangkang tetap berusaha untuk menumbangkan BN.

Ia termasuklah melalui impian 16 September yang dicetuskan oleh Anwar. Ketika itu tidaklah pula mana-mana pemimpin pembangkang menimbulkan soal sama ada ia demokrasi atau tidak. Tidak pula ada pemimpin pembangkang yang meminta kalau berlaku Ahli Parlimen yang melompat parti, jangan datang ke sidang Parlimen. Kita juga tidak mendengar gesaan supaya Ahli Parlimen berkenaan perlu mengosongkan kerusinya. Malah kita sudah tentu tidak mendengar ada gerakan mengumpul tanda tangan dilakukan kalau Ahli Parlimen melompat parti.

Ketika itu semua pemimpin pembangkang begitu ghairah menyokong apa yang hendak dilakukan oleh Anwar. Malah ada yang sudah bercita-cita menjadi Timbalan Perdana Menteri dan berkira-kira siapa yang akan menganggotai Kabinet.

Tambahan pula dari semasa ke semasa menjelang bulan September, Anwar terus dengan retorik politik yang bukan sahaja berjaya meletakkan kerajaan dalam keresahan malah mewujudkan harapan yang cukup tinggi kepada sekutunya dalam pembangkang bahawa mereka akan ke Putrajaya pada bulan berkenaan.

Tetapi akhirnya, impian Anwar hanya menjadi mimpi yang tak sudah. Pembangkang kekal menjadi pembangkang manakala BN terus memerintah.

Apa yang berlaku ialah pembangkang kehilangan kuasa di Perak apabila tiga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) daripada PKR dan DAP mengisytiharkan diri menjadi wakil rakyat bebas. Masa itu bergegarlah seluruh negara dengan tuduhan bahawa tindakan berkenaan tidak demokratik, pilihan raya perlu diadakan dan wakil rakyat berkenaan mengkhianati amanah rakyat.

Situasi yang sama juga berlaku apabila tiga Ahli Parlimen PKR keluar parti dan seorang dipecat. Pemimpin pembangkang sengaja melupakan impian 16 September kerana dalam apa hal pun, kalau mereka buat tak apa tetapi kalau orang lain buat tak boleh.

Mereka sentiasa menganggap merekalah pilihan terbaik rakyat, tiada cacat cela, bakal sebuah kerajaan yang terbaik di dunia dan paling sempurna. Justeru mereka meletakkan sasaran PRU13 untuk memerintah Malaysia melalui program 'Semboyan Halilintar ke Putrajaya'.

Tanpa mahu mengkaji kenapa rakyat memprotes BN pada pilihan raya umum lalu, pembangkang begitu kemarukkan kuasa. Mereka begitu yakin bahawa senario sokongan rakyat kepada mereka masih berterusan.

Tetapi mereka terlupa bahawa hakikatnya, gerakan mereka semakin lemah. Bukan sahaja dengan tindakan pemimpin atau ahli keluar parti, malah lakonan dan sandiwara pemimpin-pemimpin utamanya semakin diketahui oleh rakyat.

Begitu juga masalah tidak sefahaman antara PKR, DAP dan Pas dalam memerintah. Bagaimana mungkin mereka akan terus berpura-pura untuk memerintah bersama, kalau masing-masing berbeza ideologi dan perjuangan kecuali ada parti yang sanggup mengorbankan prinsip perjuangannya demi kuasa semata-mata.

Oleh itu program 'Semboyan Halilintar ke Putrajaya' dilakukan bukanlah semata-mata untuk memperjuangkan nasib rakyat tetapi sekadar memenuhi impian politik merebut kekuasaan yang begitu mendalam di kalangan sesetengah pemimpin pembangkang. Selagi Putrajaya tidak dapat ditawan, selagi itulah pemimpin yang bercita-cita tinggi berkenaan, tidur tak lena, mandi tak basah, makan tak kenyang.

Apa yang anehnya, dalam keadaan bahtera pembangkang semakin terumbang-ambing, program berkenaan dilancarkan. Ini jelas menampakkan bahawa pembangkang benar-benar mengamalkan politik untuk mengalihkan pandangan rakyat daripada masalah dalaman yang sedang mereka hadapi.

Mereka tidak mahu orang terlalu menumpukan perhatian kepada masalah tersebut, maka muncullah 'Semboyan Halilintar'. Sebenarnya yang menjadi 'semboyan' sekarang ialah hiruk-pikuk akibat tindakan Ahli Parlimen PKR keluar parti sehingga mencetuskan 'Halilintar' yang 'menyambar' bahtera pembangkang yang sebelum ini sememangnya sudah dilihat penuh kepincangan.

Perkembangan terbaru ini, seharusnya memberikan kesedaran kepada rakyat bahawa inilah wajah sebenar pembangkang di bawah kepimpinan Anwar Ibrahim.

Jika dulu sebelum Anwar menjadi pemimpin pakatan berkenaan, tiada agenda begitu besar diletakkan oleh DAP dan Pas. Ia disebabkan oleh kedua-dua parti itu tidak mempunyai kekuatan apatah lagi pengaruh bagi membolehkan rakyat menyokong mereka.

Segala-galanya mereka bergantung kepada Anwar. Tidak kiralah sehebat manapun Lim Kit Sing dan Karpal Singh atau Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, kesemua mereka berharap Anwar akan terus menjadi pemimpin utama pembangkang.

Sebab itulah walaupun PKR sudah kehilangan kerusi majoriti di kalangan pembangkang, Anwar tetap disuruh kekal sebagai Ketua Pembangkang di Dewan Rakyat. Ia kerana DAP dan Pas tidak memiliki pemimpin yang berupaya menyatukan kesemua parti pembangkang, apatah lagi menjadi pemimpin utama negara.

Namun begitu, DAP dan Pas juga perlu ingat bahawa Anwar tidaklah sehebat mana. Hari demi hari segala kepincangan yang Anwar lakukan dalam mentadbir PKR semakin terbongkar melalui pendedahan bekas-bekas pemimpin dan Ahli Parlimen parti itu. Mungkin DAP dan Pas akan terus memberikan sokongan kepada Anwar tetapi bagaimana dengan rakyat? Mereka sudah tahu menilai siapa lebih sesuai menjadi pemimpin dan parti mana paling layak terus memerintah negara.

Oleh itu, janganlah DAP dan Pas terus ghairah dengan 'nafsu kemaruk kuasa' yang cuba dicetuskan oleh PKR melalui 'Semboyan Halilintar'. Adalah lebih baik jika DAP mengkaji kelemahan pemerintahan mereka di Pulau Pinang manakala Pas pula bermuhasabah adakah tindakan mereka terus menyokong apa yang dilakukan oleh pembangkang benar atau tidak.

Janganlah nanti oleh kerana terlalu ghairah mengejar kekuasaan melalui agenda 'Semboyan Halilintar Ke Putrajaya,' 'guruh dan petir' meragut apa yang dikendong oleh DAP dan Pas

Makin kurang pendengar ceramah Anwar

Oleh Amran Mulup
pengarang@utusan.com.my

MALAM Jumaat lalu, Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim mengadakan ceramah politik di dua tempat iaitu di Kampung Pulau Serkam dan Pulau Gadong Melaka.

Seperti lazimnya ceramah yang disampaikan oleh Anwar termasuk rakan-rakan mereka dalam pakatan pembangkang seperti Pas dan DAP lebih banyak berkisar kepada mengutuk kerajaan pimpinan Datuk Seri Najib Tun Razak dan Barisan Nasional (BN).

Sambil mahu menyembunyikan kemelut kerajaan pimpinan DAP-Pas-PKR di Selangor dan Pulau Pinang, para penceramah dari pakatan pembangkang itu tetap mengakui dua negeri itu yang dikuasai mereka masih hebat.

Itulah antara intipati ceramah yang disampaikan di dua tempat berasingan di Melaka. Topik itu juga yang biasa kedengaran di mana-mana ceramah politik anjuran parti tersebut di seluruh negara.

Retorik dan membangkitkan perkara yang sama menjadi bahan ceramah hingga masyarakat di kedua-dua tempat seperti sudah lali mendengar perkara tersebut.

Apa yang menarik pada dua ceramah di Kampung Pulau di Serkam dan Pulau Gadong bukan kerana kepetahan Anwar berceramah tetapi melihat jumlah penyokong yang datang ke situ.

Sebelum ini, apabila terdengar Anwar datang untuk berceramah ia bagaikan tsunami, rakyat Melaka resah dan tidak sabar menanti kedatangan pemimpin tersebut.

Tetapi malam Jumaat lalu membuktikan kehadiran pakatan pembangkang tidak lagi menjadi sanjungan rakyat di Melaka.

Pada ceramah pertama Anwar di Kampung Pulau, Serkam, kira-kira 200 penyokong fanatik parti itu hadir manakala di Pulau Gadong pula hanya sekitar 500 orang. Pelik tapi benar! Gembar-gembur ribuan orang dijangka hadir pada dua ceramah tersebut tetapi sebaliknya kehadiran penyokong pakatan pembangkang boleh dibilang dengan jari.

Biasanya, apabila tersebar mengenai kedatangan Anwar pada satu-satu ceramah di kampung-kampung, sudah tentu jalan raya menjadi sesak, kereta diletak dibahu jalan hingga menghalang pergerakan lalu lintas, susah mencari tempat meletak kenderaan dan kalau ada pun terpaksalah berjalan sejauh satu atau dua kilometer.

Itulah senario dahulu pada setiap kali Anwar menjejakkan kaki di bumi Melaka.

Tetapi sekarang selepas genap dua tahun tsunami politik melanda negara, keadaan di Melaka sudah berubah.

Sewaktu saya pergi ke Pulau Gadong iaitu tempat kedua Anwar akan berceramah yang dijadualkan kira-kira pukul 10 malam, jalan raya seperti biasa dan mudah pula meletak kenderaan betul-betul berdekatan pentas ceramah. Suasananya agak suram. Hanya sekelompok kecil orang ramai tertumpu di hadapan pentas. Keadaan itu memaksa penganjur meminta orang ramai memenuhi kawasan depan pentas.

Melihat kelompok kecil penduduk yang datang, salah seorang penceramah dari DAP negeri ketika berceramah mendakwa, ceramah itu telah disabotaj oleh orang Barisan Nasional (BN) kerana menukar tarikh dan tempat. Hakikat yang perlu diakui oleh pakatan pembangkang di Melaka bahawa sokongan penduduk terhadap parti itu yang jelas sudah semakin berkurangan.

Sentuhan Anwar tidak lagi mampu mengaburi mata penduduk yang kini sudah semakin sedar atas kepincangan dalam pentadbiran pakatan pembangkang di Selangor, Pulau Pinang dan Kedah.

Penduduk di Melaka tidak lagi boleh disogok dengan pelbagai cerita rekaan dan mereka sudah melihat apa yang telah terjadi di tiga negeri tersebut.

Penulis ialah Ketua Biro Utusan Malaysia

Kalau bukan mufti siapa lagi patut bantu pulih perpaduan

AGENDA perpaduan yang disarankan Mufti Negeri Perak Datuk Seri Harussani Zakaria bertujuan untuk memastikan agama Islam yang syumul terus kekal teguh di negara ini perlu mendapat sokongan semua umat Islam. Tidak kira dari apa parti siasah sekalipun.

Pihak yang sepatutnya peka kepada perpaduan wajar menyokong dan bukan mengejek usaha murni ini. Rakyat yang cintakan agama Islam bukan setakat di satu negeri sahaja tetapi ia meliputi seluruh rakyat negara ini yang majoriti adalah umat Islam yang berbangsa Melayu.

Jika bukan seorang mufti yang mencadangkan agenda perpaduan – siapa lagi yang lebih sesuai jika pihak lain lebih mengutamakan kepentingan puak-puak sendiri yang lebih suka perpaduan yang longgar di kalangan umat Islam negara ini.

Bukankah perpaduan yang semakin longgar ini akan membuatkan mereka mudah menggoncang segala asas pembentukan negara ini.

Apa yang perlu ditakuti oleh pemimpin parti politik jika mereka benar. Jika seorang mufti dianggap sebagai ejen kerajaan adakah ia salah. Bukankah tanggungjawab kerajaan untuk menyatu padukan rakyat dan Datuk Seri Rais Yatim turut mempunyai peranan untuk agenda perpaduan sebagai Menteri terbabit.

Dunia hari ini menyaksikan kebangkitan Islam yang membuatkan imej Malaysia sebagai negara Islam progresif juga dihormati. Perpaduan yang diperjuang oleh Perdana Menteri melalui dasar 1Malaysia bukan hanya untuk parti dan orang Melayu sahaja. Perebutan kuasa yang mutlak mengikut perjuangan parti hanya akan menjadi sia-sia jika kita terus berpolitik dalam soal agama.

Adakah kita lupa bahawa Allah SWT tidak akan memilih ulama mahupun orang biasa untuk ditimpakan bencana. Begitu juga doa musibah dan laknat yang menjadi amalan sesetengah parti – menggambarkan sikap double standard terhadap pihak yang tidak menyokong perjuangan mereka.

Apakah golongan yang suka melaknat orang lain yang dituduh menafikan hak rakyat boleh dianggap sebagai tokoh yang mampu meningkatkan perpaduan Melayu dan Islam dalam negara ini.

Perpaduan majoriti negara ini amat penting demi menjamin keamanan terus terpelihara. Tanpa keamanan hasil perpaduan, ketidakadilan ekonomi akan terus berleluasa kerana pelabur-pelabur asing dan tempatan was-was untuk terus berniaga atas dasar bimbang perpaduan yang longgar akan mencetuskan suasana yang tidak kondusif untuk berniaga.

Sebagai sebuah negara yang semakin pesat industrinya, faktor perpaduan amat penting untuk menarik pelabur yang pada pengakhirannya memberi faedah dari segi peningkatan pendapatan per kapita rakyat.

Dalam menelusuri Model Ekonomi Baru (MEB) yang bakal diumumkan oleh Perdana Menteri, perpaduan adalah agenda yang perlu diutamakan oleh orang Melayu dan Islam. Jika kita gagal bersatu padu maka hak kita untuk beragama, memelihara budaya nenek moyang, mewujudkan negara sebagai halal hub sedunia akan gagal dan merugikan umat Islam sendiri.

Walaupun kita bercakap sebagai pemimpin politik, kita perlu ingat hak-hak asasi yang diberi di bawah Perlembagaan Persekutuan perlu dipelihara dan hak-hak ini perlu diperjuangkan tanpa sempadan politik demi kelangsungan orang Melayu dan agama Islam dari segi ekonomi dan sosio-budaya.

Mufti Perak bercakap atas dasar ini bukan ada niat lain. Perpaduan hari ini penting untuk anak-anak kita di masa depan supaya mereka tidak mewarisi negara yang mempunyai identiti yang caca-marba.

Sesungguhnya tepuk dada tanyalah iman, adakah kita ingin menjadi Melayu UMNO, Melayu Pas, Melayu PKR mahupun Melayu atas pagar. Cukup-cukuplah politik menuding jari, sedang diri kita belum diadili oleh Allah SWT. Sebagai ulil amri kerajaan telah berusaha dengan tekun ke arah itu walaupun ada pihak yang tidak berapa suka untuk berpadu.

Jika kita masih memperjudikan hak berdasarkan sejarah negara ini maka percayalah betapa kita akan terus melihat bayi terbuang, anak terdera, anak tempatan bergelandangan, kontraktor Melayu menangis kerana tidak mendapat projek. Bersatu padu bukan untuk memenuhi nafsu perut dan nafsu sendiri tetapi memperjuangkan kelangsungan bangsa Melayu dan paling penting nur Islam terus bersinar di serata Malaysia ini.

Salahkah seorang mufti bersuara dan yang mengaku ulama pula mempersendakannya?

Prinsip memelihara kebajikan rakyat bukan slogan
SEJAK Datuk Seri Najib Tun Razak menerajui Kerajaan Malaysia pada April tahun lalu, pelbagai perubahan dan penambahbaikan diperkenalkannya dalam perkhidmatan awam.

Semua ini dilakukan semata-mata sebagai mengiktiraf sumbangan penjawat awam serta meningkatkan motivasi mereka untuk memberi khidmat terbaik kepada rakyat dan negara.

Dalam Majlis Perdana Perkhidmatan Awam Kesebelas (MAPPA XI) kelmarin, Perdana Menteri menyampaikan pandangan dan pesanan serta mengumumkan untuk mengkaji semula skim perkhidmatan yang lebih baik untuk pensyarah di institut pengajian tinggi awam dan institut perguruan.

Nampaknya bergilir-gilir sektor tertentu dalam perkhidmatan awam mendapat insentif daripada pemimpin negara.

Kemurahan hati pemimpin negara itu pun ada sebabnya yang perlu semua anggota penjawat awam fahami.

Dalam pentadbiran Najib sekarang ada dua prinsip yang perlu difahami.

Pertamanya, beliau mahukan kehidupan rakyat pada masa depan akan lebih baik lagi daripada hari ini.

Ke arah matlamat tersebut, melalui Program Transformasi Kerajaan semua penjawat awam mesti menjadi lebih responsif terhadap aspirasi dan lebih prihatin untuk memakmurkan kehidupan serta memelihara kebajikan rakyat.

Kedua, menggerakkan ekonomi negara dan meletakkannya kembali atas landasan pertumbuhan yang sihat serta mapan.

Bagi menjayakan segala perubahan yang diperlukan dalam perjalanan kita untuk memastikan Malaysia terus aman, maju dan makmur pada abad ke-21, peranan sebuah perkhidmatan awam yang cekap, berkesan, responsif, dan berani berubah adalah amat mustahak.

Untuk mencapai apa yang diimpikan ini, kita memerlukan sektor awam yang bukan sahaja memahami realiti semasa tetapi mempunyai kemahuan dan berani membuat perubahan serta pembaharuan.

Budaya dan amalan kerja lapuk, merumitkan serta melambatkan patut diubah, apatah lagi sekiranya kerja itu dapat disiapkan dalam masa yang cepat.

Kita percaya penjawat awam boleh melaksanakannya jika ada kemahuan, usaha dan tekad.

Mengurus sebuah negara yang kompleks seperti Malaysia memerlukan kerjasama semua pihak. Paling utama harus ada kesefahaman di antara anggota pentadbiran sebagai pengubal dasar dan anggota perkhidmatan awam sebagai jentera pelaksana dasar.

Ini kerana, sebaik mana pun dasar yang telah digubal tanpa mekanisme pelaksanaan yang cekap maka matlamat dasar tidak akan mampu direalisasikan.

Apa pun, kini terserah kepada lebih satu juta penjawat awam untuk menunaikan amanah yang diberi. Jika mereka benar-benar ingin berkhidmat untuk rakyat, ambil tahu keluh resah mereka dan bantu menyelesaikannya.

Janganlah ada yang masih mengamalkan sikap hangat-hangat tahi ayam dalam usaha pembaharuan di sektor awam ini.

Janji-janji pemimpin kerajaan bukan slogan tetapi ia kerja yang harus ada kesinambungan dengan tindakan susulan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.