Pages

Subscribe:

24 Mac, 2010

[hang nadim] Ganjaran lumayan fitnah PM, isteri.......



KUALA LUMPUR 24 Mac – Genap seminggu Dewan Rakyat digemparkan dengan kejutan pertama, hari ini giliran Zulkifli Noordin (Bebas-Kulim Bandar Baharu) pula membuat pendedahan menggegarkan politik negara.

Beliau mendakwa pernah diberi tawaran lumayan oleh pihak tertentu untuk mengaitkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan isterinya, Datin Seri Rosmah Mansor dalam kes pembunuhan warga Mongolia, Altantuya Shaariibuu.

Tanpa mendedahkan pihak terlibat, beliau berkata, antara tugasnya ialah mendapatkan pengakuan bersumpah daripada Perdana Menteri dan isterinya selain diminta membuat surat akuan bersumpah bahawa Najib dan Rosmah terlibat dalam pembunuhan tersebut.

Zulkifli berkata, ganjaran yang ditawarkan memang boleh menggoyahkan iman namun begitu beliau bersyukur kerana Allah melindunginya daripada terlibat dengan fitnah itu.

“Atas sebab ini juga saya menarik diri daripada terus mengendalikan kes berkenaan kerana adanya gangguan daripada pihak ketiga yang menyebabkan mustahil bagi saya untuk terus bertindak secara profesional sebagai peguam membela bagi kes berkenaan.

“Kita perlu ingat takkanlah OKT-OKT (orang kena tuduh) tersebut sanggup dihukum mati di tali gantung kalau benar Perdana Menteri dan isterinya terlibat di dalam kes pembunuhan tersebut kerana saya sangat yakin pasti mereka akan dedahkan perkara itu jika ia benar,” katanya.

Beliau menyatakan demikian semasa membahaskan usul menjunjung kasih titah Yang di-Pertuan Agong pada sidang Dewan Rakyat hari ini.

Rabu lalu, Datuk Seri Zahrain Mohamed Hashim (Bebas-Bayan Baru) menggegarkan sidang Dewan Rakyat apabila ‘memecahkan tembelang’ Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim berhubung rancangan mengambil alih kerajaan Pusat ‘16 September’.

Zulkifli turut menegaskan, sebagai orang Islam semua pihak harus bersangka baik atau husnuzzan terhadap Perdana Menteri.

“Setahu saya Perdana Menteri telah melakukan sumpah menafikan pembabitan beliau dan setakat ini tidak ada antara kita yang berani bersumpah menafikannya.

“Oleh itu, bersangka baiklah sesama kita dan berpegang teguhlah kepada al-Quran. Bagaimana kita tidak suka difitnah orang, begitu jugalah kita tidak sepatutnya memfitnah orang lain,” ujarnya.

Dalam pada itu, katanya, beliau sungguh hairan bagaimana segelintir yang mengaku Islam tetapi dengan mudah menuduh seorang Islam lain melakukan pembunuhan tanpa sebarang bukti dan keterangan.

“Lebih malang lagi fitnah orang bukan Islam boleh diterima sebagai bukti tanpa sebarang soal lagi. Orang seperti P. Balasubramanian telah diterima fitnahnya dengan sekadar membuat surat akuan sumpah dengan bayaran RM4.

“Namun begitu fitnah dan tohmahan tidak pernah dibangkitkan Balasubramaniam ketika memberi keterangan di mahkamah dan kepada pihak polis. Bagi saya dia hanya seorang oportunis yang mengambil kesempatan daripada kerakusan syaitan bertopengkan manusia,” tambahnya.

Pada sidang Dewan itu, Zulkifli turut mendedahkan beliau pernah diminta mengaitkan anak kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz yang bernama Nadim dalam satu kes pembunuhan sekitar tahun 2004.

“Saya tidak lupa pada sekitar 2004, apabila saya diminta mengaitkan Yang Berhormat Padang Rengas dengan gunakan kes pembunuhan Darren Kang di mana anak Yang Berhormat bernama Nadim ditohmah terlibat dalam pembunuhan itu kerana kebetulan berada di lokasi pembunuhan.

“Sedangkan lima warga Thailand iaitu pekerja Restoran Uncle Don di Sri Hartamas kemudian telah didakwa, dibicarakan serta membuat pengakuan bersalah di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur. Saya telah diminta mengaitkan Nadim dengan mereka,” katanya.

Sambil mengucapkan syukur, Zulkifli berkata, Allah sekali lagi menyelamatkannya daripada fitnah itu.

Katanya, beliau juga telah diarah dan diminta melaksanakan banyak perkara tidak betul yang ada di antaranya tidak dilaksanakannya.

“Saya mengambil kesempatan ini untuk memohon maaf kepada mereka yang menjadi mangsa kepada percaturan politik kotor ini. Saya berjanji akan berjumpa dengan mereka secara peribadi bagi memperbetulkan keadaan,” katanya.

Zulkifli mengingatkan kepada pihak tertentu agar tidak meletakkannya dalam keadaan yang memaksanya mendedahkan perlakuan mungkar yang berlaku.

“Kalau saya berbuat demikian, letupan besar yang dibuat oleh Yang Berhormat Bayan Baru, Datuk Seri Zahrain Mohamed Hashim sekadar ‘kentut yang sepi’. Begitulah kotornya mainan politik negara masa ini,” tambahnya.


Malaysia dalam kedudukan baik di bawah Najib - John Major

HONG KONG 24 Mac - Bekas Perdana Menteri Britain, Sir John Major (gambar) memberi amaran bahawa Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak "berada dalam bahaya" kerana boleh memberikan politik "nama yang baik" berdasarkan kepimpinannya yang baik dan jujur.

Sambil memuji Najib, Major berkata: "Selepas mendengar apa yang sudah diucapkan oleh Perdana Menteri (Najib) tengah hari tadi dan malam ini, banyak yang akan bersetuju dengan saya bahawa Malaysia berada dalam kedudukan yang baik (di bawah kepimpinan Najib).

"Apa yang menyegarkan ialah beliau memberi (penjelasan) secara berterus terang, jujur dan tanpa berselindung. Saya bimbang Perdana Menteri (Najib) dalam bahaya kerana akan memberikan politik satu 'nama yang baik'."

Kata-kata Major itu mendapat tepukan gemuruh para hadirin yang pada majlis makan malam anjuran Kumpulan CIMB dan Credit Suisse di Pusat Kewangan Antarabangsa (IFC) di sini malam tadi.

Major yang menjadi Perdana Menteri Britain dari 1990 hingga 1997 adalah Penasihat Kanan Credit Suisse, syarikat pelaburan antarabangsa yang berpejabat di Zurich, Switzerland.

Najib berada selama dua hari di Wilayah Pentadbiran Khas (SAR) ini bagi menghadiri Persidangan Pelaburan Asia (AIC) Ke-13 anjuran Credit Suisse, yang merupakan antara sebuah syarikat dana pelaburan utama di rantau Asia.

Menurut Major, turut menarik perhatian beliau ialah keupayaan Najib menjawab soalan-soalan yang dikemukakan.

"Dalam menjawab soalan, beliau (Najib) benar-benar memberi jawapan dan pada beliau, tidak timbul sebarang isu mengenai 'soundbite' (patah perkataan dalam rakaman audiovisual). Saya sudah lebih 40 tahun bergiat dalam politik dan satu yang saya tidak sukai ialah 'soundbite'," ujarnya.

Major menceritakan pengalaman beliau bercakap kepada bekas Presiden Kesatuan Soviet (USSR), Mikhail Gorbachev satu masa dulu mengenai keadaan semasa negara bekas kesatuan komunis yang terbesar di dunia itu. Gorbachev menjadi Presiden terakhir USSR dari 1988 sehingga negara itu berpecah pada 1991.

"Saya tanya kepada Gorbachev, apa yang boleh dia katakan mengenai keadaan semasa di Soviet dalam satu soundbite. Dia kata 'baik', tapi saya lihat negara kesatuan itu sudah mula berpecah.

"Saya tanya lagi kepada Gorbachev, kalau dalam dua soundbite pula, apa yang boleh dia katakan mengenai keadaan semasa di Soviet. Dia kata 'tidak baik'," katanya sambil disambut gelak-tawa para hadirin.

Sehubungan itu, beliau berharap para hadirin dapat turut menghargai bagaimana beliau kagum dengan sikap Najib memberi jawapan dengan jujur dan bersahaja.

"Sikap Perdana Menteri (Najib) amat berlainan dan amat sukar ditemui. Ini memberi saya satu pandangan baru terhadap pengalaman dalam politik moden," ujar Major, yang menjadi pemudah cara kepada dua sesi soal jawab Najib dalam program AIC kali ini. - Utusan


HANG NADIM RENUNGAN...
KEBENARAN JANGAN DI PERTIKAIKAN CARILAH KEREDHOAN ALLAH DALAM HIDUP
WALAU PUN KITA JATUH, UNTUK BANGUN SEMULA....MULAKAN TAUBAT....SYUKUR....REDHO
DAN KEMBALI KEPADA RUKUN IMAN KHODHO DAN KHADAR

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.