Pages

Subscribe:

26 Mac, 2010

[hang nadim]Anwar melenting diajukan soalan



KUALA LUMPUR 25 Mac - Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini melenting apabila ditanya tentang dakwaan Ahli Parlimen Kulim-Bandar Baharu, Zulkifli Noordin tentang usaha mengaitkan Perdana Menteri dengan kes pembunuhan model Mongolia, Altantuya Shaariibuu.

Malah ketua pembangkang itu menuduh wartawan yang bertanyakan soalan tersebut telah dibayar oleh pihak tertentu.

Anwar yang dikerumuni wartawan sebaik sahaja keluar dari Mahkamah Tinggi di sini hari ini berkata, beliau tidak perlu menjawab soalan itu sebaliknya menegaskan dakwaan tersebut sepatutnya dijawab sendiri oleh Zulkifli.

"Kenapa awak nak tanya saya? Lebih baik awak tanya Zulkifli sendiri berhubung dakwaan itu, dia tidak sebut nama saya semasa membahaskan ucapannya di Parlimen semalam.

"Berapa banyak dakwaan dia pun saya tak tahu. Anda sebagai wartawan sepatutnya bertanya kepada Zulkifli bukan bertanya kepada saya.

"Pertanyaan ini tidak mematuhi etika kewartawanan. Siapa yang membayar anda untuk menanyakan soalan ini?" katanya ketika ditemui selepas sebutan kes liwatnya terhadap bekas pembantunya, Mohd. Saiful Bukhari Azlan di Mahkamah Tinggi di sini hari ini.

Semalam, Zulkifli semasa membahaskan usul menjunjung kasih titah Yang di-Pertuan Agong pada sidang Dewan Rakyat membuat pendedahan yang beliau pernah diberi tawaran supaya mengaitkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan isterinya, Datin Seri Rosmah Mansor dengan kes pembunuhan Altantuya.

Tanpa mendedahkan pihak terlibat, Zulkifli berkata, antara tugasnya ialah mendapatkan pengakuan bersumpah daripada Perdana Menteri dan isterinya selain diminta membuat surat akuan bersumpah Najib dan Rosmah terlibat dalam pembunuhan tersebut.

Sementara itu, pada Rabu minggu lalu, Datuk Seri Zahrain Mohamed Hashim (Bebas-Bayan Baru) juga menggegarkan sidang Dewan Rakyat apabila 'memecahkan tembelang' Anwar berhubung rancangan mengambil alih kerajaan Pusat pada 16 September 2008.

Polis siasat pendedahan Zulkifli Noordin

KUALA LUMPUR 25 Mac - Polis akan siasat pendedahan mengejut yang dibuat oleh Ahli Parlimen Kulim-Bandar Baharu, Zulkifli Noordin semalam mengenai ganjaran lumayan yang ditawarkan pihak tertentu untuk memfitnah Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan isterinya, Datin Seri Rosmah Mansor.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan (gambar) berkata, ini kerana pendedahan Zulkifli itu merupakan maklumat baru kepada polis dan orang ramai, justeru, ia perlu disiasat kesahihannya.

"Sudah tentu apabila ada maklumat baru yang diperoleh polis, maka siasatan akan dijalankan sama ada ia benar atau sebaliknya.

"Polis akan mengenal pasti jika ada mana-mana pihak atau individu yang boleh tampil mengesahkan maklumat yang didedahkan itu," katanya pada sidang akhbar selepas sambutan ulang tahun Peringatan Hari Polis ke-203 di Pusat Latihan Polis (Pulapol) di sini hari ini.

Semalam pada sidang Dewan Rakyat, Zulkifli ketika membahaskan usul menjunjung kasih titah Yang di-Pertuan Agong mendakwa, beliau diberi tugasan oleh pihak tertentu yang bagaimanapun tidak didedahkan identitinya, untuk memfitnah Perdana Menteri dan isteri dalam kes pembunuhan wanita warga Mongolia, Altantuya Shaariibuu.

Antaranya, beliau diminta untuk mendapatkan pengakuan bersumpah daripada Perdana Menteri dan isteri selain membuat surat akuan bersumpah bahawa Najib dan Rosmah terlibat dalam pembunuhan tersebut.

Kejutan berterusan di Parlimen apabila wakil rakyat Bebas itu membuat satu lagi pendedahan bahawa dia juga diminta mengaitkan anak kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Nazri Aziz berhubung satu kes pembunuhan pada tahun 2004.

Pendedahan Zulkifli telah menggemparkan arena politik negara kerana ia hadir hanya seminggu selepas bekas rakan partinya iaitu Ahli Parlimen Bayan Baru, Datuk Seri Zahrain Mohamed Hashim memecahkan tembelang Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim berhubung rancangan mengambil alih kerajaan pusat pada 16 September 2008.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.