Pages

Subscribe:

27 Mac, 2010

[hang nadim] Ragam Politik

Nik Aziz nasihat rakyat patuhi perlembagaan
KOTA BHARU 26 Mac - Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat meminta rakyat supaya tidak terikut-ikut dengan kumpulan tertentu dalam kemelut yang melanda istana Kelantan sebaliknya mematuhi undang-undang dan perlembagaan sedia ada.

Sambil menegaskan kerajaan negeri tidak tersepit dengan kemelut yang berlaku, Menteri Besar Kelantan itu berkata, beberapa kenyataan yang dibuat oleh Pengelola Istana, Datuk Abdul Halim Hamad sebelum ini telah menjelaskan keadaan sebenar berlandaskan undang-undang.

"Ini masalah perlembagaan, saya serah kepada orang yang berkenaan iaitu Abdul Halim dan saya ucap terima kasih kepada beliau kerana buat kenyataan sebelum ini.

"Apa yang penting Sultan Kelantan Tuanku Ismail Petra masih gering, kalau tuan-tuan berasa hendak ziarah atau menghadap sendiri sila lakukan, tengok sejauh mana tahap kesihatan tuanku, boleh buat kerja atau tidak," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menunaikan solat Jumaat di Masjid Kuala Semut Api di sini hari ini.

Nik Abdul Aziz mengulas krisis yang melanda institusi diraja Kelantan termasuk pemecatan Pengerusi Majlis Perajaan Kelantan, Tengku Abdul Aziz Tengku Mohd. Hamzah yang diumumkan oleh Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Mohd Aiseri Alias hari ini.

Kemelut yang melanda itu dilihat seperti tidak penghujungnya apabila semalam, Setiausaha Sulit Sultan Kelantan, Datuk Wan Hashim Wan Daud semalam mengumumkan Tuanku Ismail telah menitahkan penamatan Tengku Muhammad Faris Petra sebagai Pemangku Raja.

Bagaimanapun beberapa jam kemudian Wan Hashim ditahan di bawah Seksyen 419 Kanun Keseksaaan kerana menipu dengan menjalankan penyamaran.

Mengulas mengenai penahanan Wan Hashim, Nik Abdul Aziz berkata, kerajaan negeri tidak campur tangan dalam kemelut tersebut dan akan berpegang kepada perlembagaan bagi menghadapi sebarang masalah yang timbul.

"Alhamdulillah, kerajaan negeri selamat bahkan kalau ada perkara yang menyusahkan negeri ini, kalau polis tolong selesai saya ucap terima kasih banyak.

"Tidak ada apa yang boleh saya komen ini kerja polis kalau tidak ada kes, polis tak tangkap," katanya.


Guan Eng enggan terima notis tuntutan Zahrain

PULAU PINANG 26 Mac - Ketua Menteri, Lim Guan Eng enggan menerima notis tuntutan yang dihantar oleh Datuk Seri Zahrain Mohamed Hashim berhubung dakwaan terlibat dalam urusan tender projek Bukit Jambul Golf Resort.

Meskipun menunggu hampir satu jam, Hanif Khatri Abdullah - peguam yang mewakili Ahli Parlimen Bebas Bayan Baru itu - hampa apabila dimaklumkan bahawa beliau tidak dibenarkan naik ke pejabat Guan Eng di Tingkat 28, Menara Komtar di sini untuk menyerahkan notis tersebut.

Hanif Khatri juga dimaklumkan bahawa Guan Eng telah mengarahkan Setiausaha Politiknya, Ng Wei Aik dan Pembantu Khasnya, Ong Beng Guat untuk tidak menerima notis berkenaan bagi pihaknya.

"Saya datang ke sini secara baik untuk menyerahkan notis tuntutan tersebut tetapi mereka enggan menerimanya dan saya juga tidak dibenarkan naik ke pejabat Guan Eng.

"Oleh itu, secara rasminya, notis ini tidak dapat diserahkan. Notis tuntutan ini adalah untuk pihak yang menerima (Guan Eng) membaca dan meneliti kandungan tersebut dan membalasnya.

"Selepas membalas barulah saya akan nasihati anak guam untuk langkah seterus yang perlu dilakukan," katanya ketika ditemui pemberita di sini hari ini.

Beliau bersama Pegawai Khas Zahrain, Ismail Mohd. Ali dan Ketua Pegawai Khasnya, Che Omar Idris hadir pada kira-kira pukul 10.50 pagi di bangunan tersebut untuk menyerahkan notis tuntutan Zahrain.

Menurut Hanif Khatri, pihaknya sedang meneliti dan memikirkan langkah yang perlu diambil bagi membolehkan notis tuntutan itu diserahkan kepada Guan Eng.

Katanya, langkah itu termasuklah menyerahkan notis berkenaan kepada peguam Ketua Menteri itu seperti yang dicadangkan pihak terlibat.

"Saya sedang fikirkan cadangan berkenaan kerana kami tidak boleh serah notis tersebut secara tergesa-gesa sehingga mendapat pengesahan dan kebenaran daripada peguam yang dimaksudkan

"Ini urusan melibatkan undang-undang, perlu mengikut prosedur yang ditetapkan.

"Bila sudah diterima nanti, beliau (Guan Eng) ada masa tujuh hari untuk membalas tuntutan tersebut," katanya yang enggan menjelaskan butiran notis tuntutan berkenaan.

Ditanya apakah langkah tersebut termasuk menyaman Guan Eng, Hanif Khatri hanya menjawab: "mungkin".

Semalam, Zahrain pada sidang akhbar di lobi Parlimen memberitahu, notis tuntutan tersebut merupakan langkah pertama dalam tindakan undang-undang yang akan dibuatnya terhadap Guan Eng.

Zahrain berkata, beliau tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan saman sekiranya terdapat mana-mana pihak yang terus-menerus membuat fitnah terhadapnya.

Sebelum ini Guan Eng telah membuat kenyataan bahawa Zahrain keluar daripada PKR kerana gagal mendapatkan kelulusan tender bernilai RM40 juta untuk menguruskan projek Bukit Jambul Golf Resort di Pulau Pinang menerusi sebuah syarikat bernilai RM2.
200,000 tonton program politik

ROM - Kira-kira 200,000 orang menyaksikan sebuah program televisyen yang disiarkan menerusi rangkaian tempatan dan Internet selepas rancangan politik di televisyen kebangsaan diharamkan menjelang pilihan raya wilayah.

Program televisyen yang berjudul Raiperunanotte itu menjadikan Perdana Menteri, Silvio Berlusconi yang juga bilionair sebagai sasaran kritikan dan ia disiarkan dengan tujuan untuk menyuarakan pandangan, dua hari sebelum pilihan raya di 13 daripada buah wilayah Itali berlangsung.

Menurut media Itali, satu skrin gergasi didirikan di 200 buah pekan dan bandar termasuk di bandar raya Rom dan Naples.

Program itu disiarkan selepas stesen televisyen Rai menggantung program politik menjelang pilihan raya tersebut dengan alasan untuk tidak memihak kepada mana-mana parti yang bertanding.

Pengacara Michele Santoro menjadi hos program berkenaan kelmarin.

Berlusconi yang berumur 73 tahun kini disiasat oleh pihak berkuasa kerana cuba untuk menghalang penyiaran program itu.

Program itu bermula dengan menyiarkan imej bekas pemimpin Itali yang terkenal dengan pemerintahan diktatornya, Benito Mussolini.

Beberapa wartawan politik termasuk penyanyi dan pengarah filem, Roberto Benigni mengambil bahagian dalam program itu. - AFP

Komplot 'Tan Sri' jatuhkan saya - Tee Keat

PULAU PINANG 26 Mac - Datuk Seri Ong Tee Keat mendakwa ada komplot terancang didokong oleh 'Tan Sri' untuk menjatuhkan beliau sebagai Presiden parti itu sejak Mesyuarat Agung Luar Biasa (EGM) MCA tahun lalu.

Katanya, selepas EGM pada 10 Oktober itu, setiap keputusan dibuat oleh Lembaga Presiden dan Jawatankuasa Pusat (CC) termasuk membabitkan Datuk Seri Dr. Chua Soi Lek telah diputarbelitkan pihak berkenaan sehingga menampakkan seolah- olah ia bersifat peribadi.

Menurut beliau, kesan keputusan itu terpaksa dipikulnya bersendirian sedangkan ia adalah keputusan parti yang dibuat bersama pemimpin-pemimpin lain.

''Seperti yang semua tahu, EGM tersebut tercetus daripada kes disiplin yang membabitkan Soi Lek. Dia disingkirkan keahliannya dan selepas itu digantung oleh CC pusat.

''Pada EGM itu juga ramai pengikut 'Tan Sri' berkenaan telah dipilih menganggotai CC. Saya telah mengotakan janji untuk bekerjasama dengan mereka yang terpilih tanpa mengira mereka daripada puak yang mana sekalipun.

''Tapi saya tidak sangka, bila tercetus sesuatu, saya ditikam dari belakang dan keputusan yang dibuat secara bersama dalam kes itu telah diputar belit menjadi keputusan peribadi saya," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas mengadakan perjumpaan bersama delegasi MCA negeri di Sungai Dua di sini.

Kira-kira 100 ahli MCA negeri hadir pada majlis tersebut.

Sementara itu, Tee Keat menyifatkan rasuah dan politik wang yang berlaku menjelang pemilihan MCA Ahad ini merupakan halangan utama ke arah mentransformasikan parti tersebut.

Katanya, calon-calon terlibat yang mempunyai wang yang banyak sepatutnya menyumbangkannya untuk kebajikan rakyat yang membawa lebih manfaat.

''Mungkin ada yang beranggapan melalui perbuatan itu, mereka akan meraih sokongan dan seterusnya menang, tetapi kemenangan itu adalah kemenangan palsu dan tidak akan meyakinkan rakyat.

''Perkara jijik tersebut yang dilakukan dalam apa bentuk sekalipun bukan sahaja memalukan MCA malahan akan membinasakan parti," katanya.

Menurut Tee Keat, perbuatan itu juga mendedahkan kepada rakyat tentang kurangnya keyakinan calon terlibat sehingga terpaksa bergantung kepada wang untuk bertanding pada pemilihan tersebut.

Pilihan raya: SPR mesyuarat 2 April

Oleh NORLIDA AKMAR IDROS
norlida.idros@kosmo.com.my

SHAH ALAM - Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan bermesyuarat pada 2 April ini bagi menentukan tarikh penamaan calon dan pengundian pilihan raya kecil Parlimen Hulu Selangor.

Pengerusinya, Tan Sri Abdul Aziz Mohd. Yusof berkata, setakat ini pihaknya masih menunggu notis berhubung kekosongan kerusi Parlimen itu daripada Speaker Dewan Rakyat.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.