Pages

Subscribe:

28 Mac, 2010

[hang nadim] 'Saya pernah jadi mangsa konspirasi'




KUALA LUMPUR 27 Mac - Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad berkata, Datuk Seri Anwar Ibrahim sememangnya licik merancang konspirasi termasuk dengan menggunakan akuan bersumpah.

Oleh itu, katanya, beliau tidak terkejut dengan pendedahan Ahli Parlimen Kulim-Bandar Baharu, Zulkifli Noordin berhubung konspirasi mengaitkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dengan pembunuhan Altantuya Shaaribu.

Menurut Dr. Mahathir, beliau sendiri turut menjadi mangsa Anwar yang bijak bermuka-muka di hadapannya tetapi secara diam-diam merancang konspirasi menjatuhkan beliau.

"Dia pernah membuat konspirasi untuk menjatuhkan saya, semua orang tahu dia arah orang serang saya, kata saya ada kroni tetapi Anwar sendiri berpura-pura baik (sebagai) orang nombor dua dalam Kabinet.

"Belakang saya dia lakukan tetapi di depan saya kami boleh duduk semeja, itulah dia, jadi saya tidak pelik dengan tuduhan bahawa dia ada konspirasi untuk menjatuhkan Najib," katanya.

Dr. Mahathir berkata demikian pada sidang akhbar selepas merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) yang pertama, di sini hari ini.

Pada Rabu lalu, ketika membahaskan usul menjunjung kasih titah Yang di-Pertuan Agong pada sidang Dewan Rakyat, Zulkifli mendakwa pernah diberi tawaran lumayan oleh pihak tertentu untuk mengaitkan Perdana Menteri dan isteri dalam kes pembunuhan warga Mongolia tersebut.

Tanpa mendedahkan pihak terlibat, Zulkifli berkata, antara tugasnya ialah mendapatkan pengakuan bersumpah daripada Perdana Menteri dan isteri selain diminta membuat surat akuan bersumpah bahawa Najib dan Rosmah terlibat dalam pembunuhan tersebut.

Dr. Mahathir pada sidang media itu juga turut membidas Anwar kerana mempersoalkan salah seorang anaknya yang tersenarai sebagai antara orang terkaya di negara ini sedangkan ia berlaku selepas beliau tidak lagi memegang jawatan Perdana Menteri.

Beliau turut menempelak Anwar kerana telah mengkayakan kawan-kawannya sewaktu memegang jawatan Timbalan Perdana Menteri pada pertengahan tahun 90-an.

"Ada seorang kawan dia memiliki kekayaan RM239 juta, kalau jadi Perdana Menteri macam itulah (lagi teruk) sebab baru jadi Timbalan Perdana Menteri kawan-kawan dia semua jadi kaya, banyak duit juga tapi tidak tahulah dari mana," katanya.

Dalam isu berasingan, Dr. Mahathir menyifatkan Pas telah bersubahat dengan Anwar dalam budaya fitnah dan pembohongan apabila Mursyidul Amnya, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat menyelar perbuatan Ahli Parlimen Bayan Baru, Datuk Seri Zahrain Mohamed Hashim kerana mendedahkan rahsia impian 16 September.

'Sangkal Melayu bolot segalanya'


DR. Mahathir Mohamad bersama Ibrahim Ali dan barisan kepimpinan Perkasa melaungkan 'Hidup Melayu' semasa majlis perasmian mesyuarat agung tahunan kali pertama pertubuhan itu di Dewan Tun Razak, Pusat Dagangan Dunia Putra, Kuala Lumpur, semalam .

KUALA LUMPUR 27 Mac - Tun Dr. Mahathir Mohamad mencadangkan supaya satu bancian komprehensif dibuat bagi mendapatkan kebenaran berhubung pelbagai tuduhan kononnya orang Melayu membolot segala-galanya.

Beliau yang merupakan bekas Perdana Menteri berkata, bancian berkenaan amat diperlukan kerana sudah terlalu banyak tuduhan tanpa fakta dan hanya bersandarkan tanggapan dibuat pihak tidak bertanggungjawab.

Katanya, bancian itu lebih sesuai dilakukan oleh pihak yang bebas manakala fokus kajian itu perlulah mencakupi sektor swasta dan perkhidmatan awam.

"Ada banyak desakan yang bukan-bukan, kononnya semua biasiswa diberikan kepada bumiputera, semua ini betulkah? Kita kena tahulah (fakta), cakap sahaja tak boleh.

"Ini negara berbilang bangsa, kita perlu berkongsi dan hidup bersama-sama, tetapi jika kita mula menuduh satu sama lain tanpa fakta, ia akan menyebabkan ketidakstabilan yang akhirnya menjejaskan semua orang," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) yang pertama, di sini hari ini.

Sementara itu, Dr. Mahathir turut melahirkan kebimbangan dengan situasi politik semasa kerana dalam tempoh kira-kira enam tahun kebelakangan ini negara tidak menunjukkan pertumbuhan.

Katanya, keadaan diburukkan lagi dengan kejadian tuding menuding di kalangan rakyat berbilang kaum.

Katanya, ia bertentangan dengan amalan sebelum ini apabila isu-isu sensitif membabitkan kaum dibincang secara tertutup, bukannya secara terbuka sehingga menggoncang emosi.

"Sebelum ini tiada tuduhan sebegini, rakyat semuanya gembira kerana kerajaan melakukan yang termampu walaupun ia tidak semestinya sempurna.

"Jika rakyat tidak gembira, mereka akan menimbulkan pelbagai masalah, sebelum ini tiada pertanyaan siapa yang dapat apa, berapa banyak dan sebagainya," katanya.

Dr. Mahathir berkata, sewaktu beliau berundur satu ketika dahulu, kerajaan di bawah kepimpinan Tun Abdullah Ahmad Badawi dilihat sebagai lebih liberal bagi memenuhi kehendak rakyat yang mahukan kebebasan untuk membincangkan isu sensitif.

Perkara itu katanya, menyebabkan hubungan antara kaum menjadi lebih teruk berbanding sewaktu pemerintahannya.

"Persoalannya adakah rakyat mahukan kebebasan dengan tujuan sekadar untuk berbincang atau mereka mahukan kestabilan dan pertumbuhan negara.

"Ada negara yang tidak dapat berkembang kerana mereka mengamalkan dasar liberal sehingga tidak mengecapi kestabilan," katanya.

"Nik Aziz kata Zahrain tak patut dedah perbuatan jahat yang dilakukan, jika kita tahu benda itu salah tapi kita tak ambil tindakan untuk mendedahkan kesalahan, itu semacam bersubahat.

"Nik Aziz sokong Zahrain jangan dedah, jadi dia bersubahat dengan Anwar," tegasnya

Kami tidak bermusuh dengan sesiapa - Ibrahim Ali

KUALA LUMPUR 27 Mac - Parti politik di negara ini akan rugi sekiranya mengambil sikap bermusuh dengan Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) terutamanya menjelang Pilihan Raya Umum Ke-13 nanti.

Presiden Perkasa, Datuk Ibrahim Ali berkata, Perkasa merupakan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang memperjuangkan hak-hak orang Melayu dan bukannya ditubuhkan untuk bermusuh dengan mana-mana pihak.

"Tetapi segelintir pihak kini cuba mengaitkan Perkasa dengan UMNO. Mereka kata Perkasa mahu bersaing dengan UMNO. Kami tidak bersaing kerana Perkasa tidak bertanding dalam pilihan raya.

"Tetapi, parti-parti politik juga tidak boleh bermusuh dengan Perkasa kalau mahu menang pada pilihan raya nanti. Kalau bermusuh, mereka akan rugi," katanya ketika berucap pada Mesyuarat Agung Tahunan Perkasa kali pertama yang dirasmikan Tun Dr. Mahathir Mohamad di sini hari ini.

Dalam ucapannya, Ibrahim yang juga Ahli Parlimen Pasir Mas turut menyarankan kepada UMNO supaya kembali kepada landasan perjuangan yang asal sekiranya parti itu mahu kekal berkuasa.

"UMNO adalah satu-satunya parti Melayu yang memperjuangkan Melayu, maka ia mesti tegas mengenai kepentingan dan tuntutan Melayu," katanya.

Di samping itu beliau berkata, apa yang menyedihkan, terdapat juga parti Islam yang menjual agama demi kepentingan diri sendiri sehingga sanggup diperkudakan.

"Ada pemimpin Melayu yang dianggap hebat, kita tahu siapa orangnya, yang menjadi dalang sehingga menimbulkan masalah sekarang ini dan menyebabkan berlakunya perpecahan di kalangan orang Melayu.

"Tokoh ini nampaknya disokong oleh beberapa kerat pemimpin Amerika Syarikat, Australia dan satu dua negara Islam liberal," katanya.

Ibrahim pada masa yang sama turut mengajak orang Melayu supaya insaf, sensitif dan tegas dalam menentang 'Malaysian Malaysia' kerana sasaran utama konsep ini adalah umat Islam, Melayu dan bumiputera terutama mengenai hak istimewa di bawah Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan.

"Lebih serius lagi jika dianalisis secara lebih mendalam, Malaysian Malaysia juga disasarkan kepada agama Islam, institusi raja-raja Melayu dan bahasa Melayu yang kesemuanya dilindungi oleh Perlembagaan Persekutuan," katanya.

Sementara itu, Ibrahim meminta syarikat milik kerajaan (GLC) supaya menyokong akhbar arus perdana berbahasa Melayu dengan mengiklankan produk keluaran mereka di akhbar berkenaan bagi meningkatkan ekonomi orang Melayu.

Kata beliau, sikap kebanyakan GLC yang lebih gemar memilih akhbar berbahasa Inggeris untuk mengiklankan produk mereka tidak akan membantu perkembangan syarikat orang Melayu.

"Jadi, saya pohon kepada Tun Dr. Mahathir yang juga Penasihat Proton untuk melihat perkara ini supaya GLC memainkan peranannya untuk membantu orang Melayu dan syarikat bumiputera," katanya.

Mengulas lanjut, Ibrahim berkata, beliau mahu NGO Melayu membuat pemantauan, penelitian dan bersuara melihat bagaimana peranan GLC dalam membantu syarikat-syarikat bumiputera dan orang Melayu.

''Sekiranya perlu berhimpun, kita akan berhimpun secara aman bagi memastikan GLC benar-benar memainkan peranan membantu syarikat dan orang Melayu.

''Selain GLC, Perkasa dan NGO Melayu yang lain juga akan memantau soal pendidikan negara terutamanya di peringkat institusi pengajian tinggi (IPT),'' jelasnya.

Orang Melayu berhak sokong NGO perjuang hak mereka - Rais
28/03/2010 3:59pm


TANJUNG MALIM 28 Mac - Orang Melayu berhak menyokong mana-mana badan bukan kerajaan (NGO) yang dirasakan memperjuangkan hak mereka selagi ia tidak dipolitikkan dan mencetuskan kontroversi, kata Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Seri Dr Rais Yatim.

Beliau berkata, begitu juga masyarakat Cina, India dan lain-lain yang turut berhak memilih dan menyokong NGO yang sesuai dengan perjuangan dan kegiatan mereka.

Katanya, apa yang penting ialah NGO dalam memperjuangkan hak masing-masing sewajarnya tidak mencampurkan nilai tradisi dan budaya politik secara formal.

"Perjuangan itu sewajarnya tidak dipolitikkan dan melibatkan soal kontroversi,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan program Mengenang Tokoh Negarawan Tun Abdul Razak di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai pendapat bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad bahawa Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) yang memperjuangkan hak-hak orang Melayu dan tidak ditubuhkan untuk bermusuh dengan mana-mana pihak adalah sesuai dengan perjuangan UMNO. - Bernama

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.