Pages

Subscribe:

28 Mac, 2010

[hang nadim] pendakian ke-86 .......Kinabalu





Mohd. Noor cipta sejarah baru

Oleh HAMDEN RAMLI
pengarang@utusan.com.my

RANAU 10 April - Pendaki solo, Mohd. Noor Mat Amin hari ini menyempurnakan pendakian ke-100 sekali gus melakar sejarah sebagai manusia pertama menawan puncak Gunung Kinabalu sebanyak 100 kali secara berterusan setiap hari.

Kejayaan tersebut bermakna Jurugambar Utusan Malaysia itu hanya perlu menyempurnakan 11 pendakian bagi mencapai misi menawan puncak gunung tertinggi Asia Tenggara itu sebanyak 111 kali dalam tempoh 111 hari.

Ketika ditemui sebaik tiba di Gerbang Timpohon pada pukul 4.35 petang, anak kelahiran Kuala Terengganu itu memberitahu lega dengan pencapaian setakat ini.

''Bagaimanapun saya belum berasa puas selagi tidak mencapai angka 111 yang membawa maksud 1Pendakian, 1Kemuncak dan 1Malaysia," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Menurutnya, sepanjang 100 hari mendaki gunung berkenaan pelbagai pengalaman, cabaran dan halangan ditempuhi yang ada ketikanya hampir mematahkan semangat untuk meneruskan misi berkenaan.

Katanya, pendakian 20 hari pertama disifatkan sangat sukar kerana diuji dengan halangan semula jadi seperti hujan, banjir dan sebagainya.

''Apapun semuanya terpulang kepada niat dan sikap kerana saya sentiasa percaya kejayaan hanya akan datang jika kita berusaha mendapatkannya," kata beliau.

Mengenai pendakian hari ini, Mohd. Noor memberitahu, dia yang ditemani mahasiswa Universiti Malaysia Sabah (UMS), Danison Manum bertolak pukul 6.47 pagi dan tiba di puncak pukul 12.50 tengah hari.

Menurutnya, kehadiran pendaki-pendaki lain di sepanjang trek pendakian yang sentiasa memberi sokongan dan kata-kata semangat, memudahkan lagi pendakian itu.

Projek Pendakian Solo 1Malaysia 2009-2010 yang bertemakan 1Pendakian, 1Kemuncak dan 1Malaysia secara keseluruhannya mengambil masa selama lima bulan.

Selepas mengakhiri pendakian di Gunung Kinabalu pada 20 April ini, Mohd. Noor akan meneruskan pendakian baru di Menara Kuala Lumpur pada 8 Mei ini untuk melayakkan dirinya melakar nama dalam Guinness World of Records.

Rekod pendakian Mohd. Noor terdahulu adalah pendakian Solo 50 Puncak Kinabalu Merdeka (2007), Pendakian Solo Menara Kuala Lumpur (2008), Pendakian Merdeka (2008) dan Pendakian Solo Tanpa Henti selama 24 jam di Menara Kuala Lumpur (2008).

Akhbar Utusan Malaysia, Kosmo! dan TV3 merupakan media rasmi untuk projek tersebut yang dianjurkan oleh Kelab Rekreasi Kota dan UMS.

Pendakian penuh getir

Mohd. Noor Mat Amin selepas melakukan pendakian ke-86 setibanya di puncak Gunung Kinabalu, semalam.

RANAU 27 Mac - Mohd. Noor Mat Amin melalui saat-saat getir dalam pendakian ke-86 hari ini apabila hanya berpandu dengan tali untuk ke puncak Gunung Kinabalu berikutan keadaan kabus tebal. Menurutnya, jika tidak berpandukan pada tali itu yang disediakan kira-kira dua kilometer sebelum ke puncak, dia berisiko untuk jatuh ke jurang atau pun lereng-lereng gunung.

Katanya yang juga jurugambar Utusan Malaysia, kabus tebal yang melanda hari ini mengehadkan jarak penglihatannya iaitu tidak sampai lima meter di hadapan.

"Jadi untuk keselamatan saya, krew pendakian dan kumpulan pendaki lain perlu berpandu dengan tali sepenuhnya terutama di bahagian cerun atau tempat-tempat yang berbahaya.

"Bukan itu sahaja, kabus yang melanda hari ini agak luar biasa kerana berair tetapi tidak sehingga membuatkan saya dan pendaki lain basah," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Meskipun begitu katanya, keadaan tersebut tidak menjejaskan misi kali ini yang dimulakan pada pukul 7.15 pagi dan tiba di puncak pukul 1.39 petang dalam keadaan selamat.

Seterusnya kata Mohd. Noor, perjalanan turun dari puncak diteruskan pukul 2 petang dan tiba semula di tempat permulaan pendakian pukul 5.30 petang dalam keadaan kabus sepanjang jalan.

Pendakian yang agak mencabar itu katanya, turut dikongsi dua krew pendakian iaitu mahasiswa Universiti Malaysia Sabah (UMS), Mohd. Hafiz Ibrahim dan jurupandu, Jomiuh Binte.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.