30 Mac, 2010
[hang nadim.....Bayi.....oh....bayi...Kejamnya Ibu mu....
Seorang lagi bayi ‘terbuang’
Oleh HAMIMAH HAMID
utusanperak@utusan.com.my
IPOH 30 Mac – Belum reda kisah seorang bayi perempuan ditemui dalam semak berhampiran tempat pembuangan sampah di sini pada Sabtu lalu, timbul pula kisah seorang bayi perempuan yang ditinggalkan oleh ibunya sejak seminggu lalu.
Nasib yang dialami bayi perempuan itu agak baik kerana dia ditinggalkan kepada seorang wanita di sebuah rumah di Jalan Tawas Baru, Taman Ehsan, Tasek dekat sini.
Ibu bayi itu menemui wanita tersebut minggu lalu meminta dia menjaga anaknya yang baru berusia beberapa hari.
Menurut jurucakap Hospital Raja Permaisuri Bainun (HPRB), ibu bayi itu berjanji akan menjemput anaknya keesokan hari namun tidak berbuat demikian.
‘‘Selepas seminggu tidak datang mengambil bayi itu, wanita yang menerima bayi tersebut menyerahkannya kepada pihak hospital,’’ katanya di sini hari ini.
Bayi seberat 3.1 kilogram itu kini ditempatkan di HRPB sementara menunggu tindakan selanjutnya daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).
Pada 20 Mac lalu, bayi perempuan yang diberi nama Mahsya Kurnea ditemui dalam kawasan semak berhampiran tempat pembuangan sampah di Jalan Medan Ipoh Satu di sini.
Beberapa hari selepas penemuan bayi itu, mayat seorang bayi lelaki ditemui dalam keadaan yang lebih tragis, tangannya terputus digonggong seekor anjing berhampiran sebuah kilang simen di Kampung Melayu Subang, Selangor.
Berikutan isu pembuangan bayi yang dilihat tiada kesudahannya, Utusan Malaysia menganjurkan kempen ‘Kami Prihatin’ bagi membangkitkan kesedaran masyarakat terhadap gejala tidak berperikemanusiaan itu.
Melalui program amal itu, barisan artis terkenal tanah air akan bergabung merakamkan sebuah lagu khas ‘Harapan Tanpa Suara’.
Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Industri, Pelaburan, Pembangunan Usahawan, Teknologi Maklumat dan Komunikasi, Pelancongan dan Hal Ehwal Wanita negeri, Datuk Hamidah Osman yang melawat Mahsya Kurnea di HRPB hari ini melahirkan rasa sedihnya dengan nasib bayi tersebut.
Sebaik sahaja dimaklumkan mengenai perkara tersebut, Hamidah turut meluangkan masa melawat bayi itu.
Menurut beliau, sekiranya ada di kalangan ibu bapa yang mempunyai masalah untuk menjaga anak mereka, beliau menyarankan supaya berhubung dengan mana-mana pihak untuk menyelesaikan permasalahan tersebut.
“Jangan begitu mudah meletakkan anaknya di mana sahaja. Sedih saya memikirkan nasib anak-anak yang dibuang ini. Tolonglah, jangan ada lagi kejadian seperti ini,” katanya.
Mayat bayi lelaki dijumpai tersangkut pada pukat
KUANTAN 30 Mac - Meskipun didedahkan tentang kekejaman pembuangan bayi di akhbar-akhbar, namun perbuatan itu terus dikesan berlaku di mana-mana.
Kali ini di Kampung Panching, apabila satu lagi mayat seorang bayi ditemui tersangkut pada pukat nelayan di Sungai Pasir, dekat sini hari ini.
Dalam kejadian pukul 7.45 pagi itu, bayi malang yang masih bertali pusat ditemui berhampiran tempat pembuangan sampah di kampung tersebut.
Timbalan Ketua Polis daerah, Supritendan Zulkifli Taha berkata, mayat bayi yang belum dikenal pasti identitinya itu ditemui penduduk kampung yang sedang memeriksa pukat di tepi sungai berkenaan.
Katanya, ketika ditemui, mayat bayi itu dipercayai berusia 35 minggu atau lapan bulan tiga minggu.
"Kita percaya mayat bayi lelaki itu berketurunan Melayu berdasarkan warna kulitnya dan dipercayai baru dilahirkan kerana masih bertali pusat," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Menurut Zulkifli, bayi tersebut dipercayai mati sejurus selepas dilahirkan dalam tempoh 24 jam lalu.
"Kes ini masih dalam siasatan polis dan sekiranya orang awam mempunyai sebarang maklumat diminta tampil untuk memberi kerjasama," ujarnya.
Beliau menambah, mayat bayi terbabit dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) di sini untuk dibedah siasat.
Pengawal terkejut jumpa janin dalam balang
KUALA LUMPUR 30 Mac - Seorang pengawal keselamatan merasa curiga dengan penemuan sebuah balang plastik yang diletakkan di hadapan pintu pagar kuil Foo Yan di Jinjang Utara di sini.
Penemuan itu mendorongnya untuk memeriksa balang tersebut dan alangkah terkejutnya apabila mendapati di dalamnya mengandungi janin bayi lelaki.
Kejadian berlaku pada pukul 11.40 malam tadi, ketika Joseph Mukan, 33, sedang bertugas di kuil tersebut.
Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Zakaria Pagan berkata, siasatan awal mendapati janin berusia empat bulan itu ditemui masih bertali pusat.
"Keadaan janin itu sudah cukup sifat dengan panjang lebih kurang 10 sentimeter. Janin itu kemudian dihantar ke Hospital Kuala Lumpur untuk bedah siasat petang ini.
"Tiada saksi melihat individu meletakkan janin tersebut ketika kejadian. Kita telah menubuhkan pasukan khas bagi menyiasat kejadian," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.