Pages

Subscribe:

15 Mac, 2010

[hang nadim]cabaran Perkara 153 Perlembagaan



Melayu lupa daratan antara cabaran Perkara 153
SHAH ALAM 15 Mac - Wujudnya golongan Melayu yang sanggup menentang undang- undang yang telah termaktub dalam Perlembagaan merupakan antara cabaran terbesar dalam mempertahankan Perkara 153 iaitu hak dan keistimewaan orang Melayu dan bumiputera di negara ini.

Ketua Dua Gabungan Persatuan Penulis Nasional Malaysia (Gapena), Prof. Datuk Dr. Abdul Latiff Abu Bakar berkata, mereka ini merupakan golongan Melayu yang lupa daratan, mudah terpengaruh dengan idealisme Barat yang tidak realistik dan mempunyai kepentingan politik sempit.

''Walaupun sebahagian besar daripada mereka telah menikmati hasil dan kebaikan daripada kewujudan Perkara 153 ini, tetapi apabila telah berjaya mereka jadi 'kacang lupakan kulit'. Mereka lupa tanggungjawab untuk mempertahankan warisan itu kepada generasi akan datang ," kata beliau.

Abdul Latiff berkata demikian dalam kertas kerja Sejarah dan Cabaran Terhadap Perkara 153 yang dibentangkan pada majlis Wacana 153 di Universiti Teknologi Mara (UiTM) di sini hari ini. Majlis tersebut anjuran Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung dengan kerjasama Gapena dan Utusan Malaysia sebagai akhbar rasmi.

Beliau yang juga Profesor Pengajian Media Universiti Malaya menjelaskan, pemikiran dan gagasan pemimpin-pemimpin Melayu sama ada dalam parti politik, badan bukan kerajaan (NGO) dan perkhidmatan awam yang tidak bersatu juga menyukarkan usaha memelihara Perkara 153 ini.

Ini kerana jelas beliau, kebanyakan mereka berjuang untuk kepentingan masing-masing demi mencapai tujuan tertentu.

Malah, kata beliau ada yang sanggup menggunakan Perkara 153 bagi mewujudkan propaganda yang tidak perlu dan mereka harus segera sedar serta menghentikan perkara yang boleh menghancurkan hak bangsa sendiri.

''Lahirnya pelbagai media alternatif yang memberikan kebebasan tanpa sempadan kepada sesiapa juga bersuara termasuk isu-isu sensitif berkenaan keistimewaan orang Melayu tanpa memikirkan implikasinya juga menyukarkan usaha melindungi Perkara 153.

''Sepatutnya ruang media ini dimanfaatkan untuk menyampaikan maklumat yang tepat dalam mendidik generasi muda berfikir secara matang dan rasional.

''Jadi semua pihak yang terlibat perlu bertanggungjawab dalam mengawal diri sendiri dan melengkapkan akal dengan ilmu dan fakta secukupnya sebelum melontar atau menulis pendapat di ruang siber," jelas beliau.

Ujar beliau lagi, sistem pembelajaran yang tidak jelas mengenai sejarah dan Perlembagaan juga menyebabkan Perkara 153 disalah anggap sebagai diskriminasi oleh orang bukan Melayu.

Sehubungan itu kata beliau, sesuatu perlu dilakukan oleh kerajaan untuk memastikan agar hak keistimewaan orang Melayu dan bumiputera ini difahami oleh semua rakyat di negara ini dan tidak lagi dipertikai dan diperdebatkan.

Pertikai Perlembagaan tidak layak digelar warganegara
SHAH ALAM 15 Mac - Gabungan Persatuan Penulis Nasional Malaysia (Gapena) hari ini menyelar mereka yang mempertikaikan peruntukan Perlembagaan terutamanya melibatkan hak-hak istimewa orang Melayu, raja-raja, agama Islam serta bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi dan golongan itu tidak layak menggelarkan diri mereka sebagai warganegara.

Pengerusinya, Prof. Tan Sri Emeritus Dr. Ismail Hussein berkata, kesemua perkara tersebut telah terkandung dan termaktub dalam asas Perlembagaan negara yang tidak sewajarnya dipersoalkan oleh mana- mana pihak terutamanya jika ia bermotifkan kepentingan politik tertentu.

Katanya, sebagai seorang warganegara yang baik, sepatutnya mereka menghormati setiap perkara itu yang merupakan asas kepada pembentukan negara dan keharmonian kaum di negara ini.

''Perlembagaan itu merupakan satu perkara yang berada di kedudukan tertinggi negara ini dan tindakan mempersoalkan apa telah termaktub di dalamnya adalah tidak sepatutnya dilakukan oleh seorang warganegara.

''Mereka sepatutnya mematuhi, hormati dan menerima setiap perkara yang ditetapkan dalam Perlembagaan negara ini. Secara peribadi, mereka yang mempersoalkan perkara ini tidak patut bercakap dalam soal negara, warganegara dan sebagainya," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam sesi rumusan dan penutup sempena Forum Wacana 153 anjuran Gapena bersama Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) di sini Universiti Teknologi Mara (UiTM) di sini hari ini.

Dalam pada itu, Ismail memberitahu beliau turut terharu terhadap perkembangan semasa ketika ini apabila ada pihak termasuk orang Melayu sendiri yang mempertikaikan hak istimewa orang Melayu, kedudukan raja-raja, bahasa Melayu dan agama Islam.

Jelasnya, salah satu punca yang menyebabkan keadaan sedemikian timbul kerana kurangnya pengetahuan serta kefahaman mengenai sejarah pembentukan negara ini termasuk Perlembagaan itu sendiri khususnya generasi muda.

Buang sifat malu pertahan hak
Oleh ABDUL YAZID ALIAS
pengarang@utusan.com.my

SHAH ALAM 15 Mac - Orang Melayu khususnya generasi muda perlu membuang perasaan malu untuk mengakui serta mempertahankan hak sendiri terutama melibatkan kedudukan raja-raja, bahasa Melayu dan agama Islam yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

Pakar sejarah, Prof. Datuk Dr. Ramlah Adam berkata, peringatan itu dibuat berikutan generasi muda ketika ini seolah- olah malu untuk mempertahankan hak sendiri yang kini banyak dipersoalkan oleh pihak lain.

Menurutnya, hak istimewa orang Melayu dan bumiputera yang terkandung dalam Perkara 153, bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi (Perkara 152) serta Islam sebagai agama rasmi (Perkara 3) di bawah Perlembagaan Persekutuan bukan diwujudkan semata-mata untuk menjaga kedudukan orang Melayu.

Sebaliknya jelasnya, ia diwujudkan berasaskan fakta serta sejarah penubuhan negara sejak zaman kesultanan Melayu sehingga pembentukan Malaysia yang mengiktiraf orang Melayu sebagai penduduk asal di negara ini selain mewujudkan keharmonian dengan kaum- kaum lain.

''Jadi, tiada sebab orang Melayu tidak mempertahankan perkara-perkara yang terkandung dalam Perlembagaan Persekutuan kerana ia berasaskan kewujudan budaya serta orang Melayu di negara ini selain memelihara kedudukan agama Islam.

''Maka, generasi muda Melayu tidak harus rasa malu untuk pertahankan hak kaum sendiri.

''Sekiranya kita bersikap terlalu mengagungkan budaya orang lain sehingga tidak mempedulikan nasib kaum sendiri, ia tetap tidak akan mengubah hakikat bahawa kita adalah orang Melayu," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan Jurang Pembangunan dan Kewajipan Melaksanakan 153 pada Forum Wacana 153 anjuran bersama Gabungan Persatuan Penulis Nasional (Gapena) dan Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) di sini hari ini.

Turut hadir Pengerusi Gapena, Prof. Tan Sri Dr. Ismail Hussein; Presiden GPMS, Jais Abdul Karim dan Naib Canselor UiTM, Prof. Datuk Dr. Sahol Hamid Abu Bakar.

Sementara itu, ahli panel dari Fakulti Undang-undang Universiti Teknologi Mara (UiTM), Prof. Datuk Dr. Abdul Halim Sidek berkata, pihak yang sengaja mempersoalkan perkara yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan boleh didakwa kerana menghasut.

Katanya, perlembagaan itu bukan diwujudkan untuk menjaga kepentingan orang Melayu sahaja, sebaliknya ia untuk memelihara keharmonian kaum lain di negara ini.

Selain itu jelasnya, tanggapan pihak tidak bertanggungjawab yang mengaitkan hak istimewa orang Melayu seperti pemberian biasiswa sebagai tidak adil, tamak serta perkauman adalah tidak wajar dan tidak berasas.

Katanya, berdasarkan statistik pemilikan ekuiti mengikut kaum ketika ini, orang Melayu adalah paling rendah iaitu sebanyak RM1.9 bilion atau 0.4 peratus berbanding kaum Cina dan India yang masing-masing mencatatkan jumlah RM207 bilion dan RM6.4 bilion

GPMS mahu edar buku perincian Perkara 153
SHAH ALAM 15 Mac – Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) bercadang mengedarkan buku perincian Perlembagaan terutama yang melibatkan Perkara 153 iaitu hak-hak keistimewaan orang Melayu dan bumiputera bagi memberi pemahaman kepada orang ramai.

Presidennya, Jais Abdul Karim berkata, penerbitan dan pengedaran buku tersebut dicadang dilakukan dengan kerjasama Gabungan Persatuan Penulis Nasional Malaysia (Gapena).

Katanya, cadangan untuk menerbit buku itu merupakan sokongan kepada saranan Ketua Satu Gapena, Prof. Emeritus Tan Sri Dr. Ismail Hussein semasa membuat rumusan Forum Wacana 153 di sini hari ini.

Menurut beliau, buat permulaan pihaknya bercadang mengedarkan buku tersebut kepada pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) di seluruh negara.

‘‘Kita akan berbincang lebih lanjut dengan Gapena untuk melaksanakan perkara ini secepat mungkin kerana amat penting memberi kefahaman terutamanya kepada pelajar kita tentang Perkara 153 ini,” jelasnya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas majlis perasmian Wacana 153 anjuran bersama GPMS dan Gapena di Universiti Teknologi Mara (UiTM) di sini hari ini.

Menurut Jais lagi, sementara buku tersebut dalam proses perbincangan, pihaknya bercadang mencetak risalah mengenai perkara-perkara dalam Perlembagaan yang melibatkan hak keistimewaan orang Melayu dan bumiputera.

Jelas beliau, risalah itu yang diedarkan kepada pelajar Melayu juga akan mengandungi fakta-fakta yang dapat membantu mereka menjawab kemusykilan yang dikemukakan orang bukan Melayu mengenai hak keistimewaan mereka.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.