Pages

Subscribe:

02 Mac, 2010

[hang nadim]Eropah barat dilanda ribut Xynthia

PARIS 1 Mac - Angin kencang, laut bergelora dan hujan lebat melanda barat Eropah semalam, mengakibatkan sekurang-kurangnya 53 maut dan lebih sejuta penduduk terpaksa bergelap selepas bekalan elektrik terputus.

Presiden Perancis, Nicolas Sarkozy hari ini dijangka mengunjungi kawasan pantai Atlantik yang dipukul ribut, di mana kira-kira 45 orang disahkan terkorban dalam kejadian banjir serta angin kencang.

Dikenali sebagai Xynthia, ribut Atlantik itu memukul bahagian barat pantai Perancis dan Sepanyol, membawa bersamanya cuaca buruk bermula dari Portugal ke Belanda dan kawasan pedalaman sehingga menjangkaui Jerman.

Kematian tertinggi dicatat di Perancis, di mana angin kencang kira-kira 150 kilometer sejam dan ombak setinggi lapan meter memukul pantai barat, mengakibatkan banjir di kawasan pedalaman sehingga memaksa penduduk memanjat bumbung rumah masing-masing bagi menyelamatkan diri.

Perdana Menteri Francois Fillon berkata, Perancis secara rasmi akan mengisytiharkan ribut tersebut sebagai bencana alam semula jadi, sekali gus membolehkan dana disalurkan bagi membantu pembangunan semula masyarakat, ketika Menteri Dalam Negeri Brice Hortefeux meletakkan angka kematian kebangsaan antara 45 hingga 50 orang.

Perancis juga dilapor bakal meminta Kesatuan Eropah (EU) mengeluarkan dana daripada bajet serantaunya bagi membantu membayar operasi pemulihan.

Menteri Eropah, Pierre Lellouche dalam pada itu akan ke Brussels hari ini bagi bertemu pesuruhjaya polisi serantau, Johannes Hahn.

Menurut Kementerian Dalam Negeri, sebanyak 45 kematian disahkan di Perancis sejak Sabtu lalu, di mana kebanyakan daripada mangsa lemas dalam kejadian banjir di bandar tepi pantai di daerah Vendee dan Charente-Maritime.

Sementara itu, tiga maut di Jerman akibat dihempap pokok melibatkan seorang pemandu kereta di Black Forest, seorang wanita yang sedang berjoging di barat bandar Bergheim dan seorang lelaki yang sedang berjalan di hutan dekat barat Frankfurt.

Di Sepanyol, pihak berkuasa semalam melaporkan, dua lelaki berumur 51 dan 41 tahun maut apabila kereta yang mereka naiki dihempap pokok, sementara seorang warga emas lelaki terbunuh kelmarin apabila sebuah dinding tiba-tiba runtuh menghempapnya di daerah Galicia. - AFP

ARKIB : 02/03/2010
Korban gempa Chile kini 708 orang


KAWASAN tepi pantai ini asalnya sarat dengan rumah-rumah tetapi menjadi padang jarak berikutan kedudukannya paling hampir dengan pusat gempa bumi yang mengakibatkan ombak besar melanda dan seterusnya membanjiri banyak bandar di Pelluhue, Chile, kelmarin. – REUTERS

CONCEPCION 1 Mac – Angka kematian akibat gempa bumi di Chile meningkat kepada sekurang-kurangnya 708 orang semalam sementara pasukan penyelamat berkejar untuk mencari mangsa yang masih hidup di bawah runtuhan.

Skop bencana itu bertambah jelas di kawasan-kawasan pantai di mana penduduk yang sedang tidur mati lemas akibat ditenggelami ombak raksasa yang turut menghanyutkan rumah-rumah.

Kerajaan Chile mengenakan perintah berkurung di dua kawasan yang paling teruk terjejas, iaitu wilayah Maule di tengah negara ini serta bandar raya Concepcion dan wilayahnya.

Kebimbangan mengenai ancaman keselamatan meningkat di kedua-dua kawasan setelah polis terpaksa melepaskan tembakan gas pemedih mata dan meriam air untuk menyuraikan gerombolan pencuri.

Presiden Michelle Bachelet berkata, beliau menjangka angka kematian 708 orang itu meningkat lagi, manakala kerajaan beliau mengaku silap kerana gagal memberi amaran kepada rakyat Chile mengenai ancaman tsunami berikutan gempa bumi 8.8 pada skala Richter, awal pagi kelmarin.

Televisyen kerajaan melaporkan, lebih 300 mayat ditemui di kampung nelayan Constitucion yang dilanda ombak tsunami, meskipun laporan itu belum dapat disahkan.

Ombak raksasa menenggelami pekan dan kampung di tepi laut, menyebabkan penduduk mati lemas, menghanyutkan rumah dan meninggalkan mangsa yang terselamat dalam keadaan terkejut melihat rumpai laut melekat pada rumah mereka.

“Ombak itu tiba lalu menenggelami segala-galanya. Tingginya kira-kira enam meter,” kata Carlos Palma yang mencari apa yang tinggal daripada harta bendanya di pekan Penco.

Data rasmi daripada pakar Amerika Syarikat (AS) di Pusat Amaran Tsunami Pasifik di Hawaii menunjukkan, ombak tsunami terbesar setinggi 2.6 meter, tetapi walau apa pun saiznya, kemusnahan jelas kelihatan di kawasan pantai.

Ombak itu tiba tanpa amaran bagi ramai penduduk, menghanyutkan mereka ke laut dan menghancurkan segala struktur kecuali yang paling kukuh.

“Kesilapan telah dilakukan. Tentera laut melakukan kesilapan kerana tidak mengeluarkan amaran tsunami,” kata Menteri Pertahanan, Francisco Vidal.

Datuk Bandar Concepcion merayu bantuan sementara pasukan penyelamat yang dilengkapi alat pengesan haba mencari berpuluh-puluh orang yang dipercayai terperangkap di dalam sebuah blok pangsapuri 15 tingkat yang tumbang akibat gempa bumi itu. – AFP

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.