Pages

Subscribe:

01 Mac, 2010

[hang nadim]Pakistan, Afghan dilanda gempa

PESHAWAR 28 Feb. - Satu gempa bumi sederhana, jauh di banjaran gunung Hindu Kush menggegarkan beberapa bahagian di Pakistan dan Afghanistan awal hari ini, tetapi tiada kecederaan atau kerosakan dilaporkan.

Pegawai Pakistan melaporkan gempa berukuran 6.2 pada Skala Richter, sementara Pusat Tinjauan Geologi Amerika Syarikat (USGS) menyatakan gempa adalah berukuran 5.7 pada skala Richter.

Pusat gempa terletak di banjaran gunung Hindu Kush, bahagian Afghanistan dan ketua meteorologi Pakistan, Riaz Khan memberitahu lokasi gempa yang terletak di kawasan pedalaman menyelamatkan kedua-dua negara daripada mengalami kemusnahan besar.

Gegaran berlaku pada pukul 4.21 pagi (7.21 pagi waktu Malaysia) di barat laut Pakistan menyebabkan orang ramai di wilayah ibu negeri Peshawar melarikan diri ke kawasan tinggi dan ke jalan raya.

"Ia adalah satu gempa bumi kuat yang mencetuskan gegaran selama beberapa saat. Kesan gempa berlaku di kawasan yang tidak dihuni dan nasib baik tiada laporan kerosakan," kata Riaz Khan.

Menurut Riaz Khan, USSG melaporkan, gempa berlaku 175 kilometer ke timur laut ibu negara Afghanistan, Kabul. Pusat gempa terletak kira-kira 144 kilometer ke barat daerah Chitral, Pakistan.

Pada 8 Oktober 2005, satu gempa bumi berukuran 7.6 pada skala Richter melanda Kashmir, wilayah Pakistan dan beberapa bahagian North West Frontier Province menyebabkan lebih 73,000 orang terbunuh serta 3.5 juta orang kehilangan tempat tinggal. - AFP

Jepun dilanda tsunami ekoran gempa
TOKYO 28 Feb. - Jepun hari ini dilanda ombak tsunami setinggi 1.45 meter setelah mengarahkan beratus-ratus ribu penduduknya berpindah dari kawasan pantai berikutan gempa bumi kuat di Chile awal pagi semalam.

Ombak membanjiri bangunan di beberapa pelabuhan. Pihak berkuasa memberi amaran kepada penduduk di kawasan tepi laut supaya terus berjaga-jaga dan menjauhi pantai kerana gelombang tsunami yang lebih besar mungkin menyusul.

Belum ada laporan mengenai kemalangan jiwa atau kerosakan harta benda.

'Amaran tsunami besar' bagi menghadapi ancaman ombak raksasa setinggi tiga meter, adalah yang pertama dikeluarkan oleh pihak berkuasa Jepun dalam tempoh lebih 15 tahun.

Arahan berpindah itu memaksa sekurang-kurangnya 320,000 penduduk meninggalkan kawasan di pantai timur Jepun sementara ombak setinggi 1.2 hingga 1.45 meter melanda kawasan pantai.

Ombak pertama, cuma setinggi 30 sentimeter, melanda pelabuhan terpencil Nemuro di pulau Hokkaido, utara Jepun, sehari selepas gempa bumi di Chile mencetuskan gelombang yang merentasi Lautan Pasifik.

Paras air di Nemuro segera meningkat ke paras melebihi satu meter sehingga membanjiri gudang-gudang dan menghanyutkan kenderaan.

Tsunami setinggi 1.45 meter membanjiri pelabuhan perikanan Otsuchi di pantai utara Jepun, manakala gelombang lebih kecil turut mengenai pulau Minamitori, 1,950 kilometer ke selatan Tokyo.

"Jangan menghampiri kawasan pantai dalam apa jua keadaan pun," kata Perdana Menteri, Yukio Hatoyama dalam amaran yang disiarkan di televisyen ke seluruh negara.

Penduduk berlindung di tempat tinggi sementara pintu pagar air di pelabuhan ditutup rapi dan bot-bot nelayan diarah pulang ke pantai.

Bagaimanapun kebimbangan mengenai ombak raksasa berpunca daripada gegaran besar di Chile reda di bahagian lain kawasan 'Lingkaran Api' di Lautan Pasifik.

Rusia menarik balik amaran tsunami selepas hanya ombak kecil melanda semenanjung Kamchatka, sementara perenang dan peluncur di Australia membanjiri kawasan pantai tanpa menghiraukan amaran pihak berkuasa.

Siren amaran dibunyikan di 50 negara dan wilayah di kawasan dari New Zealand hingga ke Jepun, sebagai tanda berjaga-jaga terhadap ombak besar itu, lima tahun selepas bencana tsunami Lautan Hindi meragut lebih 220,000 nyawa pada 26 Disember 2004. - AFP

Ribut kencang menuju Perancis
PARIS 28 Feb. – Ribut kuat dengan angin kencang beralih ke utara hingga ke pantai barat Perancis semalam selepas melanda Sepanyol dan Portugal yang mengorbankan kira-kira tiga orang dan menyebabkan masalah pengangkutan.

Lima daripada 95 jabatan di Perancis diletakkan di bawah amaran merah bagi kali kedua sejak sistem kecemasan itu diperkenalkan pada 2001 dan 69 yang lain diberi amaran jingga.

Angin dijangka mencecah 150 kilometer sejam (kms) berdasarkan perkhidmatan cuaca Meteo France tetapi belum mencecah rekod kelajuan sehingga 200 kms dalam kejadian pada 1999 yang menyebabkan kerosakan teruk di negara ini.

Seorang budak lelaki berusia 10 tahun terbunuh akibat dihempap pokok ketika bermain bola sepak di utara Portugal, lapor perkhidmatan perlindungan awam melalui laman Web.

Ribut itu menyebabkan seorang lelaki terkorban selepas dihempap dahan pokok yang jatuh di Pyrenees, kata polis.

Selain itu, di Sepanyol, seorang wanita berusia 82 tahun terbunuh apabila tembok runtuh menghempapnya di Galicia, lapor pihak berkuasa tempatan.

Menurut pihak berkuasa tempatan, ribut yang digelar Xynthia itu membawa kelajuan angin sehingga 150 kms di kawasan jabatan zon merah di pantai barat Perancis.

Sejumlah 800,000 kediaman terputus bekalan elektrik di barat Perancis ekoran ribut yang melanda awal pagi semalam tetapi hanya kerosakan kecil dilaporkan, kebanyakannya melibatkan kawasan yang mengalami runtuhan.

Angin kencang dan hujan lebat yang melanda kepulauan Pulau Canary Sepanyol memaksa 20 penerbangan dibatalkan, 10,000 rumah terputus bekalan elektrik tetapi tidak menyebabkan kerosakan besar.

Meteo France berkata, ribut itu akan bergerak pantas bermula dari selatan dan melanda banyak kawasan sebelum menuju ke arah Denmark Ahad ini. – AFP

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.