Pages

Subscribe:

28 Februari, 2010

[hang nadim] Pulau Pinang oh Pulau Pinang........


Pakatan tiada kesepakatan
HARI INI genaplah dua tahun, tiga buah negeri iaitu Kedah, Pulau Pinang dan Selangor yang dilanda tsunami politik pada 8 Mac 2008 berada dalam genggaman pakatan pembangkang.

Kedah diketuai oleh Pas, Pulau Pinang pula DAP dan Selangor oleh PKR. Jika genap setahun memerintah sebelum ini, mereka menganggap tidak wajar kepimpinan dinilai kerana dianggap masih baru tetapi bagaimana pula setelah dua tahun?

Apakah segala yang dijanjikan dalam manifesto pilihan raya lalu sudah ditunaikan? Atau ia sekadar janji kosong bagi meraih undi dan kekuasaan?

Laporan Khas kali ini yang disediakan oleh ZAINU’L AZHAR ASH’ARI, NOR SEDEK ISMAIL, ZABRY MOHAMAD, ABDUL MUIN SAPIDIN, NAZARUDDIN SHAHARI, ABDUL YAZID ALIAS, NURUL HUDA HASSAN, MOHD. RAFIE AZIMI dan MOHAMAD SHOFI MAT ISA meninjau mengenai perkembangan pemerintahan di ketiga-tiga negeri.

KUALA LUMPUR 7 Mac – Gabungan parti pembangkang di Selangor, Pulau Pinang dan Kedah dilihat tiada kesepakatan sehingga menyebabkan berlakunya kepincangan yang meruncing dalam pentadbiran di ketiga-tiga negeri itu.

Menurut beberapa penganalisis politik, situasi ini berlaku kerana DAP, Pas dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) bergabung semata-mata untuk ‘menjatuhkan’ kerajaan Barisan Nasional (BN) dan bukannya berpakat untuk memerintah.

Sehubungan itu pada penilaian mereka, setelah dua tahun berpeluang berkuasa, pakatan pembangkang kini goyah hingga gagal menjalankan sebarang bentuk pembangunan berkesan di negeri yang ditadbir mereka.

Malah lebih parah, kata para penganalisis, bibit perbalahan di kalangan mereka semakin ketara sehingga seorang demi seorang mula mengangkat kaki keluar parti kerana tidak berpuas hati dengan corak pentadbiran rakan gabungan.

Penganalisis politik Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof. Madya Datuk Dr. Ahmad Faiz Hamid berkata, punca tiada kesepakatan di kalangan pakatan pembangkang di ketiga-tiga negeri itu terutamanya di Selangor dan Pulau Pinang adalah disebabkan tiadanya pengalaman memerintah.

Menurutnya, pengalaman untuk memerintah dan mentadbir sesebuah negeri adalah amat penting bukan sahaja melibatkan Menteri Besar atau Ketua Menteri malah keseluruhan pemimpin parti yang menerajui dan mewakili rakyat di sesebuah negeri itu.

“Jika tidak, ia akan berlaku seperti apa yang terjadi di negeri-negeri yang kini diterajui pakatan pembangkang seperti di Selangor, Pulau Pinang dan Kedah.

“Mereka beranggapan apabila menang pilihan raya, ia merupakan kejayaan besar bagi mereka. Tapi ternyata mereka salah kerana gagal untuk mentadbir akibat ketiadaan pengalaman dan kesepakatan antara gabungan mereka,” katanya.

Mengulas lanjut, Dr. Ahmad Faiz berkata, apa yang penting bagi mereka adalah ‘mendapatkan kuasa’ dan kedudukan sehingga mengabaikan pentadbiran negeri dan kebajikan rakyat.

Pengerusi Program Sains Politik Universiti Sains Malaysia (USM), Dr. Azeem Fazwan Ahmad Farouk pula berkata, di Pulau Pinang pentadbiran kerajaan negeri yang diketuai oleh Lim Guan Eng nyata tidak matang dan berjuang hanya untuk mencapai kepentingan parti itu semata-mata.

Menurutnya, matlamat DAP hanyalah untuk merampas kuasa dan kedudukan daripada parti Gerakan dan BN.

“Kini, matlamat itu yang juga merupakan matlamat utama Penasihat DAP, Lim Kit Siang - ayah kepada Guan Eng tercapai. Soal pentadbiran, pembangunan dan kebajikan tidak akan diberi keutamaan kerana apa yang penting Pulau Pinang di bawah takluk mereka,” katanya.

Mengulas lanjut, Dr. Azeem Fazwan berkata, situasi yang sama juga berlaku di negeri lain yang diperintah oleh pakatan pembangkang seperti di Selangor dan Kedah.

“Gabungan mereka dilihat goyah dan menimbulkan pelbagai masalah ekoran parti seperti DAP dan PKR yang mahu jadi dominan di negeri-negeri di bawah pemerintahan mereka,” katanya.

Sementara itu, bagi penganalisis politik, Prof. Madya Datuk Zainal Abidin Borhan pula, beliau melihat pakatan pembangkang kini menghadapi krisis dalam pentadbiran ekoran tidak mampu mewujudkan kerjasama yang berkesan.

Sambil merujuk kepada situasi di Selangor, beliau berkata, kini telah wujud keladak dan gelojak dalam pentadbiran di negeri itu dan ini seharusnya disedari oleh rakyat.

Menurutnya, walaupun luarannya nampak seperti tiada masalah, namun apabila dilihat secara dalaman banyak masalah yang timbul terutamanya melibatkan pemimpin di kalangan parti-parti komponen dalam pakatan pembangkang.

“Melihat kepada pembangunan di Selangor, Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim tidak membawa sebarang pembangunan dan hanya meneruskan kesinambungan pembangunan yang dibuat kerajaan sebelum ini.

“Daripada apa yang berlaku di Selangor seperti krisis antara Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad dan Pesuruhjaya Pas Selangor, Datuk Dr. Hassan Ali, kemelut pemerintahan PKR sehingga bubarnya PKR Cabang Kuala Selangor jelas menunjukkan pakatan pembangkang di negeri itu begitu rapuh dan kini ibarat retak menanti belah,” katanya.

Begitu juga Kedah, katanya, walaupun seperti tiada masalah di negeri itu, namun kerajaan Pas di Kedah dilihat hanya seronok sendiri dan mengambil kesempatan dengan mendakwa semua projek pembangunan yang telah pun dirancang adalah usaha mereka.

“Hakikatnya di Kedah banyak isu yang belum terjawab dalam bentuk tindakan proaktif oleh kerajaan Pas misalnya isu kebajikan dan kemiskinan rakyat,” katanya


Fairus keluar PKR sertai UMNO



Najib Tun Razak bersalaman dengan Mohammad Fairus Khairuddin ketika menghadiri majlis Perjumpaan Kepimpinan Tertinggi PSSGM di Kuala Lumpur, semalam.

Oleh SAIFUL HAIZAN HASAM
pengarang@utusan.com.my

KUALA LUMPUR 28 Feb. - Parti Keadilan Rakyat (PKR) menerima satu lagi tamparan apabila bekas Timbalan Ketua Menteri 1 Pulau Pinang, Mohammad Fairus Khairuddin mengumumkan keluar parti itu dan menyertai UMNO.

Beliau membuat pengumuman itu sewaktu berucap di hadapan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pada majlis perjumpaan kepimpinan tertinggi Pertubuhan Silat Seni Gayong Malaysia (PSSGM) di sini malam ini.

Menurut Mohammad Fairus, keputusan itu dibuat kerana beliau sudah hilang kepercayaan terhadap PKR dan perasaan itu semakin memuncak berikutan isu penggunaan kalimah Allah oleh orang bukan Islam.

Katanya, sebelum membuat pengumuman pada malam ini, beliau telah melakukan solat sunat istikharah selama tiga bulan bagi mencari kepastian.

Menurutnya, ini kerana melalui proses itu beliau telah berjaya mendapat petunjuk jelas mengenai keperluannya meninggalkan PKR.

"Dengan lafaz 'bismillahirrahmanirrahim,' saya dengan ini atas dasar mempertahankan prinsip memperjuangkan agama, bangsa, tanah air serta kepentingan rakyat Malaysia, saya mengumumkan penyertaan dalam UMNO dan Barisan Nasional (BN).

"Dengan sendirinya (saya) keluar PKR atas dasar hilang kepercayaan terhadap parti tersebut. Insya-Allah saya berdoa agar diberi kekuatan serta bimbingan dalam urusan perjuangan menggunakan wadah baru ini," katanya.

Mohammad Fairus memberitahu, keputusan itu juga didorong oleh dua prinsip peribadinya yang tidak akan dikompromi selama-lamanya.

Katanya, prinsip itu ialah sentiasa membela kedaulatan dan ketinggian Islam serta kedaulatan bangsa yang tidak akan sesekali diperkotak-katikkan.

Tegasnya, beliau juga telah membuktikan kata-katanya dengan melepaskan semua perkara yang berkaitan kepentingan dirinya.

Pada April tahun lalu, Fairus yang merupakan ADUN Penanti meletakkan jawatan Timbalan Ketua Menteri dan juga mengosongkan kerusinya.

Sementara itu, Najib berkata, keputusan Mohammad Fairus menyertai UMNO adalah sesuatu yang bersejarah kepada parti itu.

Perdana Menteri berkata, ini memandangkan beliau pernah menyandang jawatan penting dalam pentadbiran Parti Keadilan Rakyat (PKR).

Beliau yakin penyertaan Mohammad Fairus ke dalam UMNO akan membolehkannya memberi sumbangan besar kepada perjuangan parti bagi membela bangsa dan agama.

"Saya atas nama Presiden UMNO menyatakan kami terima anak muda ini dengan senang hati kerana saya tahu saudara Mohammad Fairus ambil keputusan ini atas dasar prinsip dan bukannya bagi mendapatkan jawatan dan ganjaran," katanya.

Menurut Najib, beliau telah meneliti ucapan Mohammad Fairus pada malam itu dan mendapati ia sangat bernas, mantap dan bersemangat.

"Saya amati ucapannya dan saya dapati dia sudah hilang kepercayaan terhadap kepimpinan PKR yang didapatinya tidak lagi mempertahankan soal-soal prinsip yang dipegang olehnya.

"Ini melibatkan soal martabat dan maruah bangsa serta agama Islam. Oleh itu, anak muda ini pada hari ini, saya isytiharkan bahawa dia kini sama-sama berada dalam kalangan parti UMNO," katanya.

Malam ini, Najib dianugerahkan Anugerah Sandang Mahkota Agung Seri Pelangi Sakti PSSGM kerana sokongannya kepada pertubuhan silat itu.

Anwar cuba kelirukan rakyat - Ismail Sabri

Oleh ALI MAHMOOD
utusanpahang@utusan.com.my

BERA 28 Feb. - Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob (gambar) berharap rakyat tidak mudah terpengaruh dengan tindakan Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim yang cuba mengelirukan orang ramai dengan perbicaraan kes liwat yang sedang dihadapinya.

Katanya, Anwar cuba mengalihkan perhatian rakyat daripada isu moral yang sedang dihadapinya itu kepada isu konspirasi kononnya kerajaan Barisan Nasional (BN) cuba menamatkan kerjaya politik beliau.

"Anwar cuba mempengaruhi rakyat menerusi siri jelajah yang sedang beliau lakukan di seluruh negara dan juga turut berusaha mendapatkan sokongan pemimpin negara luar agar menekan kerajaan bagi menggugurkan tuduhan liwat terhadapnya.

"Dia kata sistem kehakiman negara ini tidak betul. Kalau sistem kehakiman tidak betul, sudah lama mahkamah tidak melayan permohonannya itu," katanya kepada pemberita selepas menghadiri program Juara Rakyat dan majlis gotong-royong perdana di Kampung Tateh, Lanchang dekat sini semalam.

Beliau yang juga Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan berkata, tuduhan bekas Timbalan Perdana Menteri itu tidak benar kerana perbicaraan yang sedang dihadapinya itu membabitkan bekas pembantunya sendiri iaitu Mohd. Saiful Bukhari Azlan yang menuduh Anwar telah meliwatnya.

Tambahnya, pihak polis tidak membuat siasatan terpilih dan hasil siasatan yang dijalankan, mendapati ia mempunyai asas untuk mendakwa Anwar di mahkamah.

"Mohd. Saiful juga perlu mendapat keadilan dan kenapa kita hanya melihat keadilan itu hanya di sebelah pihak Anwar semata-mata.

"Sebagai seorang pemimpin yang berani, beliau sepatutnya tidak takut menghadapi pertuduhan tersebut dengan cara cuba melengah- lengah perbicaraan kesnya itu," katanya.

Menurut beliau, tindakan Anwar mengadakan siri jelajah di seluruh negara untuk membuktikan dia tidak bersalah dan menjadikan pemimpin UMNO dan BN sebagai 'kambing hitam' adalah tindakan pengecut.

Malah katanya, tindakan Anwar membawa masuk campur tangan pihak luar disifatkan sebagai usaha untuk mengganggu sistem kehakiman di negara ini.

Rentetan daripada perbicaraan itu, Anwar dan pihak pembangkang katanya, cuba menggagal dan menghakiskan sistem demokrasi yang selama ini menjadi tunggak pemerintahan negara

Anwar dakwa dapat sokongan AS
KOTA KINABALU 28 Feb. - Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim (gambar) hari ini mengaku mendapat sokongan dan perhatian daripada Amerika Syarikat (AS) dalam kes tuduhan meliwat yang sedang dihadapinya.

Malah, katanya, beliau turut mendapat sokongan daripada pemimpin negara Islam lain seperti Turki dan Qatar.

Tambahnya, dalam isu kes liwatnya itu beliau turut mendapat sokongan daripada bekas Presiden Indonesia, B.J Habibi selain 58 Ahli Parlimen Australia.

"Minggu lalu saya pergi ke Qatar, Perdana Menteri, Syeikh Hamad jemput saya. Peluk saya dan bagi sokongan. Perdana Menteri Turki, (Recep Tayyip Erdogen) peluk saya dan dengan sedih berkata, saya menyokong kamu.

"Hillary Clinton (Setiausaha Amerika Syarikat) ketika di Qatar, apabila dia nampak saya dia terus bangun dan salam. Saya ingat kalau peluk, saya pun OK tetapi dia tidak peluk saya, kalau dia peluk, nanti Utusan Malaysia akan ambil gambar.

"Saya nak tanya dia bagaimana keadaan Clinton (bekas Presiden Amerika Syarikat) kerana membuat pemeriksaan jantung. Tetapi belum sempat saya bertanya, dia kata sebenarnya kami bersama anda Anwar, kami berjuang untuk keadilan," katanya ketika berucap pada majlis sambutan Tahun Baru Cina di Sekolah Menengah Kian Kok dekat sini hari ini.

Turut hadir, Penasihat DAP, Lim Kit Siang; Naib Presiden PKR, Datuk Dr. Jeffrey Kitingan, Presiden Parti Maju Sabah, Datuk Yong Teck Lee dan Pengerusi PKR Sabah, Ahmad Thamrin Jaini.

Menurut Anwar, beliau turut mendapat sokongan daripada wartawan luar termasuk seorang editor terkenal dari India yang datang ke Kuala Lumpur baru-baru ini.

Sementara itu, mengulas mengenai isu kalimah 'Allah', Anwar masih tetap dengan pendiriannya bahawa kalimah tersebut bukan untuk orang Islam sahaja.

"Orang Arab kata apa sudah jadi dengan Malaysia, 'Allah' sesetengah negeri boleh, setengah lagi tidak boleh. Orang Kristian di Arab guna Allah," ujarnya.

KALAU KITA MELAKUKAN SESUATU JANGAN LIBATKAN ORANG LAIN JANGAN KITA MENGGANGU
SISTEM KEADILAN NEGARA KITA.....BIAR ORANG TERLIBAT MENGHADAPI KEADILAN YANG
SAKSAMA.....ALLAH MELIHAT APA YANG ANDA BUAT


Krisis PKR semakin 'tenat'

Oleh Zulkiflee Bakar
rencana@utusan.com.my

SUATU ketika dahulu apabila dua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Parti Keadilan Rakyat (PKR) di Perak, Jamaludin Mohd. Radzi (Behrang) dan Kapten (B) Mohd. Osman Jailu (Changkat Jering) membuat keputusan meninggalkan parti itu, pelbagai tuduhan dilemparkan kepada mereka.

Hujah mereka bahawa keputusan itu dibuat kerana sudah hilang kepercayaan kepada kepimpinan PKR dipandang sinis.

Malah mereka juga dikecam oleh pemimpin-pemimpin pembangkang apabila menyatakan langkah berkenaan juga kerana kecewa dengan PKR yang terlalu tunduk kepada DAP.

Tetapi kini, hujah mereka semakin menjadi kenyataan apabila satu demi satu wakil rakyat PKR menurut jejak mereka atas alasan yang sama. Mereka ialah ADUN Pelabuhan Klang, Badrul Hisham Abdullah dan ADUN Lunas, Mohd.Radzi Salleh.

Kekalutan dan kepincangan di dalam PKR yang sebelum ini sentiasa digambarkan hanya ibarat 'kocakan dalam cawan' kini sudah meleleh keluar.

Ia membabitkan pula pertembungan secara langsung antara ahli-ahli Parlimen PKR dengan Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng.

Mereka ialah Ahli Parlimen Nibong Tebal, Tan Tee Beng; Ahli Parlimen Bayan Baru, Datuk Seri Zahrain Mohamed Hashim; Ahli Parlimen Wangsa Maju, Wee Choo Keong dan Ahli Parlimen Kulim-Bandar Bahru, Zulkifli Noordin.

Walaupun mereka sebenarnya mengetengahkan apa yang pernah disuarakan oleh Jamaludin dan Osman sebelum ini, namun akhirnya demi kepentingan politik, Penasihat PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim lebih rela melihat orang-orang yang pernah setia kepadanya dikorbankan.

Anwar terlalu mementingkan kerjasama politik dengan DAP. Jadi, sesiapa sahaja di dalam PKR hatta orang kanannya sekalipun menyerang atau mengkritik parti itu dan Guan Eng, mereka pasti menerima pembalasan.

Berikutan sikap Anwar itulah, ia menjadi faktor utama yang mendorong Zahrain dan Tee Beng menyusul mengucapkan selamat tinggal kepada PKR, begitu juga dengan tindakan bekas Timbalan Ketua Menteri I Pulau Pinang, Mohammad Fairus Khairuddin.

Apa yang mengejutkan langkah tersebut juga sudah awal-awal lagi dilakukan oleh bekas Setiausaha Agung PKR, Datuk Salehuddin Hashim.

Pengunduran diri Tee Beng dan Zahrain menjadikan kedudukan PKR sebagai parti pembangkang paling berkuasa dalam Parlimen semakin luntur. PKR kini han ya menguasai 29 kerusi Parlimen, diikuti oleh DAP (28 kerusi) dan Pas (23 kerusi).

Jika berdasarkan kepada situasi sekarang ,tidak mustahil PKR perlu mengosongkan kerusi ketua pembangkang yang disandang oleh Anwar untuk diserahkan kepada DAP dan sekali gus akan memungkinkan Pas yang kini begitu setia dengan pakatan berkenaan terus menjadi pengikut.

Mungkin kalau kerusi PKR berkurangan, DAP akan melakukan kompromi untuk membiarkan Anwar terus menjadi ketua pembangkang kerana DAP seperti Pas, bergantung kepada Penasihat PKR itu dalam memastikan pembangkang tidak berpecah-belah.

DAP lebih rela membenarkan Anwar menjadi ketua pembangkang berbanding melantik pemimpin Pas berada di kerusi tersebut.

Tetapi apa pun keadaannya, kemelut yang berlaku di dalam PKR kini sudah jelas membuktikan bahawa parti yang ditubuhkan atas dasar kebencian dan kemarahan itu serta ingin memperjuangkan nasib politik seorang insan semakin berada di penghujungnya.

Pemimpin-pemimpin pembangkang yang tidak bersetuju dengan tindakan wakil rakyat PKR meninggalkan parti berkenaan boleh berkata apa sahaja.

Ia termasuklah juga kononnya wakil rakyat yang berbuat demikian menghadapi pelbagai masalah tetapi fakta tetap fakta. Bagaimana pula dengan tindakan sebahagian ahli PKR yang melakukan langkah yang sama, apakah mereka juga ada masalah?

Pemimpin pembangkang terus mengamalkan sikap kononnya wakil rakyat yang keluar itu akan membersihkan parti tetapi mereka sengaja melupakan bahawa sebenarnya tindakan sedemikian dilakukan kerana bak kata Zahrain, ''Merasakan perjuangan dikhianati pimpinan politik propaganda murahan.''

Kalaulah benar pemimpin pembangkang mengaku diri dan parti mereka adalah parti terbaik maka berjiwa besarlah untuk mengakui bahawa hakikatnya PKR sememangnya sedang menghadapi krisis kepercayaan.

Politik dominan yang diamalkan oleh DAP telah memburukkan lagi keadaan. Inilah dua fakta yang tidak harus dinafikan oleh parti-parti pembangkang termasuk Pas.

Oleh itu, bukanlah sesuatu yang menghairankan jika selepas ini semakin ramai pemimpin dan ahli PKR meninggalkan parti. Ia kerana pemimpin utamanya bukan memikirkan bagaimana hendak memperkukuhkan parti, sebaliknya sedang bergelut dengan masalah peribadi di mahkamah dan bersedia melakukan apa sahaja demi mengaut secebis kuasa.

Malahan demi untuk mempertahankan dirinya, Anwar juga begitu bangga mendabik dada bahawa kuasa-kuasa besar dunia kini menyokongnya pada ketika beliau berhadapan dengan tuduhan liwat di mahkamah.

Sikap Anwar itulah yang memungkinkan wujud perasaan tidak puas hati di kalangan wakil-wakil rakyat PKR yang meninggalkan parti tersebut.

Mungkin mereka tidak sehaluan dalam politik dengan kerajaan tetapi ia tidak bermakna mereka akan merelakan negara ini diperkotak-katikkan oleh negara luar.

Selain itu, mereka juga bertindak demikian kerana memahami betapa bahayanya politik dominan yang diamalkan oleh DAP yang sentiasa mahu semua parti pembangkang mengakui kehebatan mereka.

Dengan pelbagai kekalutan yang berlaku dalam PKR sekarang, sudah pasti ramai tertanya-tanya apakah pendirian Pas? Adakah mereka akan terus kekal dalam gabungan pembangkang atau sudah memikirkan untuk meneruskan perjuangan secara bersendirian?

Tetapi ramai yakin bahawa Pas tidak akan bertindak meninggalkan pakatan pembangkang kerana parti itu semakin terhakis keyakinan diri untuk berjuang sendirian.

Pas lebih rela diperkotak-katikkan oleh PKR dan DAP kerana mereka terlalu percaya dengan kewibawaan Anwar dan pengaruh DAP yang dipimpin oleh Guan Eng.

Apa pun Pas harus ingat berikutan kedudukan PKR yang semakin rapuh akan membuka laluan untuk DAP mengukuhkan cengkaman dalam pakatan pembangkang.

Ia bermakna dalam pilihan raya umum nanti DAP berkemungkinan akan memastikan pembahagian kerusi untuk bertanding di peringkat Parlimen dan DUN lebih memihak kepada mereka, ketika itu apa yang boleh Pas lakukan?

Terserahlah kepada kepimpinan Pas untuk memikirkannya tetapi dalam menilai krisis yang berlaku kepada PKR, satu perkara yang boleh dinyatakan adalah inilah akibatnya kalau sesebuah parti itu dipimpin oleh individu yang bermasalah, sudah pasti 'badinya' akan terpalit sama.

Salah guna kuasa

Oleh SOPI SAMAILE
dan MUHAMAD ZAID ADNAN
pengarang@utusan.com.my

KUCHING 2 Mac – Kuasa yang diberikan kepada Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng untuk menamatkan kontrak syarikat yang melaksanakan projek di bawah Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC) pada bila-bila masa tanpa sebarang alasan, boleh dianggap sebagai salah guna kuasa.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, sebarang kontrak tidak boleh ditamatkan melainkan kontraktor atau pemborong projek itu melanggar syarat-syarat utama tender kerana merupakan perjanjian antara pihak berkenaan dan kerajaan.

‘‘Kalau beliau (Guan Eng) gunakan kuasanya untuk menamatkan kontrak sewenang-wenangnya atau ikut suka hati beliau, itu boleh dianggap salah guna kuasa.

‘‘Sekiranya kerajaan negeri bertindak untuk menamatkan kontrak syarikat kontraktor tanpa sebarang sebab munasabah maka pihak berkenaan boleh menuntut ganti rugi daripada kerajaan kerana secara tidak langsung ia telah mengakibatkan kerugian kepada syarikat tersebut,” katanya

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas merasmikan Perhimpunan Agung Ke-12 Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Sarawak di sini hari ini.

Semalam Yang Dipertua Persatuan Kontraktor Melayu Malaysia cawangan Pulau Pinang, Datuk Mohamed Fadzill Hassan berkata, klausa baru dalam borang tender projek di bawah PDC yang memberi kuasa kepada Ketua Menteri merangkap Pengerusi PDC menamatkan kontrak pada bila-bila masa tanpa sebarang alasan boleh menyumbang kepada rasuah dan kronisme.

Dalam perkembangan lain, Najib memberitahu, setiap negeri perlu menerima kenyataan sekiranya tidak ada sekolah di negeri terbabit tersenarai dalam 20 Sekolah Berprestasi Tinggi (SBT).

Beliau berkata, pemilihan sekolah itu dinilai dengan cara yang tegas dan berdasarkan faktor-faktor tertentu.

‘‘Bukan sahaja di Sarawak malah Pahang juga tidak mempunyai SBT dan kita harus menerima kenyataan itu,” jelas Perdana Menteri.

2 ulasan:

英文發音真難 berkata...

你要保守你的心,勝過保守一切,因為一生的果效是由心發出........................................

hangnadim berkata...

fikiaq ......sabaq......sedaq

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.