19 Mac, 2010
[hang nadim]Wakil rakyat PKR dicabar bersumpah
Oleh NIZAM YATIM
pengarang@utusan.com.my
KUALA LUMPUR 18 Mac – Ahli Parlimen Bayan Baru, Datuk Seri Zahrain Mohamed Hashim mencabar wakil rakyat Parti Keadilan Rakyat (PKR) bersumpah menafikan yang Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim banyak berbohong ketika menggerakkan misi 16 September 2008.
Beliau sendiri sanggup bersumpah untuk mempertahankan kenyataan pembongkaran yang dibuatnya termasuk wujud dakwaan Anwar bahawa Yang di-Pertuan Agong merestuinya sebagai Perdana Menteri keenam.
Baginya, tindakannya tidak lain daripada mahu menyedarkan wakil rakyat PKR yang mungkin tidak tahu hal sebenar.
‘‘Yang main peranan dalam rancangan untuk mengambil alih Putrajaya hanya dua tiga orang. Walaupun saya tidak terlibat dalam Biro Politik PKR tapi saya tahu perkara ini kerana saya sahabat baik Anwar,” katanya pada sidang akhbar di lobi Parlimen di sini hari ini.
Semalam, Zahrain menggegarkan sidang Dewan Rakyat apabila ‘memecahkan tembelang’ Anwar berhubung rancangan mengambil alih kerajaan Pusat 16 September.
Pendedahan itu juga menyebabkan Anwar ‘panas punggung’ sehingga bertindak meninggalkan sidang Dewan sebelum bekas orang kepercayaannya itu menghabiskan ucapan.
Zahrain antara lain mendedahkan yang Anwar telah membohongi wakil rakyat pembangkang kononnya jumlah ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) yang akan melompat parti menyertai pembangkang lebih daripada mencukupi untuk membentuk kerajaan baru.
Anwar juga mendakwa Angkatan Tentera Malaysia (ATM) menyokong pelantikannya sebagai Perdana Menteri.
Dalam pada itu, Zahrain berkata, wakil rakyat yang dijangka keluar parti dan menjadi Bebas bukan sahaja daripada PKR malah dalam kalangan wakil rakyat parti pembangkang lain.
Ditanya hubungannya dengan Ketua Pembangkang itu setelah mendedahkan pembohongan berkenaan, Zahrain berkata, beliau akan terus menyapa jika Anwar turut sama berbuat demikian.
‘‘Saya juga berharap dapat bercakap dengannya secara bersendirian dan memperingatkan bahawa beliau tidak boleh memperbodohkan orang pada sepanjang masa,” katanya.
Sementara itu, Setiausaha Agung PKR, Saifuddin Nasution Ismail, pada sidang akhbar berasingan tidak menafikan rancangan 16 September yang digerakkan oleh Anwar seperti didedahkan Zahrain.
‘‘Berkenaan 16 September, satu hakikat bahawa pakatan, Anwar dan PKR sendiri tidak pernah menafikan perkara berkenaan dengan usaha yang kita jalankan, sasaran kita 16 September (tukar kerajaan) dan ini menjadi rahsia umum,” katanya.
Tambah beliau, pakatan pembangkang tidak akan berubah untuk berdepan dengan BN sebagai musuh politik nombor satu walaupun dengan kehadiran ramai wakil rakyat Bebas.
‘‘Tapi sekarang ada satu pasukan tentera upahan yang ada sedikit menyekat laluan kita, tapi fokus kita tidak akan terkalih,” katanya.
Anwar didakwa tidak peduli nasib rakyat OKU di Permatang Pauh
FAUZIAH Abdul Kadir menggunakan kerusi roda membawa kek coklat sebagai simbolik rasa kecewa terhadap pentadbiran Ketua Menteri, Lim Guan Eng dan juga kerajaan Pakatan Rakyat di ruang legar Komtar, semalam.
PULAU PINANG 18 Mac – Seorang wanita yang kudung kedua belah kaki mendakwa kerajaan negeri di bawah pimpinan Ketua Menteri, Lim Guan Eng mengabaikan kebajikan orang kurang upaya (OKU) sepertinya.
Beliau yang berasal dari Permatang Janggus, Permatang Pauh di sini turut mendakwa Ahli Parlimen kawasan tersebut, Datuk Seri Anwar Ibrahim juga tidak pernah datang menjenguk atau menghulurkan bantuan.
Berikutan perasaan tidak puas hati tersebut, Fauziah Abdul Kadir, 48 tahun, yang berkerusi roda, hari ini berkunjung ke Komtar untuk menyerahkan kek hari jadi sempena dua tahun pentadbiran pakatan pembangkang di sini kepada Guan Eng.
Kek coklat bulat yang tertera ‘2 tahun gelap di bawah pakatan’ ditulis dengan krim merah itu diterima Pembantu Khas kepada Ketua Menteri, Ong Beng Huat bagi pihak Guan Eng kira-kira pada pukul 3 petang.
Ketika ditemui pemberita, Fauziah berkata, dia bukan marah tetapi terkilan dan kecil hati kerana tiada siapa pun daripada pihak kerajaan negeri atau wakil rakyat tempatnya menghulurkan bantuan.
‘‘Saya kecewa kerana mereka langsung tidak mengambil tahu dan menolong OKU seperti saya, malah Anwar pun selama ini tidak pernah datang, bukan dia tidak kenal dan tidak tahu masalah saya,” katanya.
Beliau juga mendakwa pernah cuba untuk bertemu Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Sharizat Jalil dan Ahli Dewan Undangan Negeri Seberang Jaya, Datuk Arif Shah Omar Shah tetapi gagal.
Fauziah berkata, buat masa ini dia hanya menerima bantuan sebanyak RM550 sebulan daripada Pusat Urus Zakat, namun jumlah itu tidak mencukupi bagi menampung kehidupannya.
Ini kerana, dia yang menetap dengan ibu angkat di Permatang Tengah, Permatang Pauh perlu membayar sewa rumah RM300 sebulan dan pada masa sama terpaksa berulang alik ke Hospital Seberang Jaya untuk mendapatkan rawatan.
Dakwaan lompat: Zahrain dedah nama
KUALA LUMPUR 18 Mac - Datuk Seri Zahrain Mohamed Hashim (Bebas-Bayan Baru) yang menyambung perbahasan hari ini menyenaraikan beberapa nama ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) yang didakwa bersedia menyertai pakatan pembangkang untuk menubuhkan kerajaan pintu belakang pada 16 September 2008.
Menurutnya, beliau dibohongi oleh Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim kononnya jumlah ahli Parlimen BN yang akan melompat itu sudah lebih daripada mencukupi untuk menumbangkan kerajaan Persekutuan.
Antara nama yang disebut ialah Datuk Seri Abdul Ghapur Salleh (BN-Kalabakan), Datuk Seri Anifah Aman (BN-Kimanis), Datuk Bung Moktar Radin (BN-Kinabatangan), Datuk Chua Soon Bui (Bebas-Tawau), Datuk Enchin Majimbun (Bebas-Sepanggar).
"Ahli Parlimen lain iaitu Dr. Mohd. Puad Zarkashi (BN-Batu Pahat), Datuk Seri Tengku Azlan Sultan Abu Bakar (BN-Jerantut), Tengku Razaleigh Hamzah (BN-Gua Musang) malah salah seorang daripada Timbalan Speaker juga dikatakan akan melompat menyertai pembangkang," katanya.
Ketika ini, Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar bertanya: "Siapa (Timbalan Speaker) yang dimaksudkan itu?" Lalu dijawab ringkas oleh Zahrain: "Kita tahu sama tahulah."
Pendedahan Zahrain itu mendapat reaksi daripada anggota pembangkang dan penyokong kerajaan yang mengambil kesempatan untuk bangun mencelah ucapan perbahasan bagi menyokong usul menjunjung kasih titah ucapan Yang di-Pertuan Agong itu.
Bagaimanapun sesi hari ini lebih tenang dan lancar berbanding semalam hingga menyebabkan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim 'panas punggung' dan bertindak keluar dewan.
Sepanjang hampir sejam Zahrain berucap itu, lebih 20 kali ahli-ahli Parlimen bangun mencelah, tidak termasuk mereka yang hanya menyampuk tanpa meminta kebenaran untuk berbuat demikian.
N. Gobalakrishnan (PKR-Padang Serai) antara yang paling banyak mengganggu ucapan Zahrain termasuk mengeluarkan beberapa perkataan yang 'tidak sedap' didengar seperti merujuk ahli Parlimen Bebas itu sebagai 'kamu' dan bukannya disebut Yang Berhormat atau Ahli Parlimen Bayan Baru.
Tindakannya itu telah beberapa kali ditegur oleh Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar.
Zahrain yang tetap tenang walaupun diserang bertubi-tubi telah menyatakan perasaan kecewanya terhadap Gobalakrishnan kerana hanya berdegar-degar dalam dewan tetapi sebaliknya apabila berada di luar.
"Dalam dewan berdegar-degar tetapi kat luar masa minum dengan saya rapat macam nak cium," katanya.
Gobalakrishnan yang terasa dengan sindiran itu berkata: "Saya (selepas) ini tidak akan bersalaman dengan pengkhianat ini," katanya.
Pada ketika ini, Wan Junaidi sekali lagi menegur Gobalakrishnan supaya tidak menggunakan perkataan 'pengkhianat' di Dewan Rakyat.
Situasi yang sedikit reda itu dipanaskan semula apabila Tian Chua (PKR-Batu) membangkitkan isu surat Zahrain yang dikatakan meminta sokongan kerajaan Pulau Pinang bagi dianugerahkan pangkat Datuk Seri, sesuatu yang berlawanan dengan pendirian yang disepakati pemimpin pembangkang sebelum ini.
Zahrain mempertikaikan surat itu sambil menyindir Tian Chua yang mabuk hingga melanggar mati seorang anggota tentera di Johor, baru-baru ini.
Tian Chua yang berang dengan dakwaan itu, meminta Zahrain menarik balik tetapi tidak dipersetujui oleh Wan Junaidi yang mendakwa tidak mendengar dengan jelas kata-kata tersebut.
Gobalakrishnan bangun dan mengulangi semula apa yang diucapkan oleh Zahrain itu dengan mengatakan kereta itu dipandu oleh pemandu dan bukannya Tian Chua.
"Saya tidak dengar, tetapi saya akan rujuk hansard nanti," kata Wan Junaidi.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.