Pages

Subscribe:

15 Mac, 2010

[hang nadim]Warga emas cedera ditanduk kerbau 'naik minyak'

KANGAR 14 Mac - Seorang warga emas cedera di rusuk kiri akibat ditanduk seekor kerbau jantan yang tiba-tiba 'naik minyak' semasa hendak dikorbankan untuk satu majlis kenduri kahwin di Kampung Guar Kodiang, Kedah, hari ini.

Haiwan itu kemudian melarikan diri sejauh kira-kira 20 kilometer sehingga ke Kampung Alor Redis, Guar Sanji sebelum menanduk mangsa, Osmat Mat Ya, 70.

Ketika kejadian pukul 10 pagi, Osmat dikatakan cuba melihat kerbau tersebut yang menyorok di belakang rumahnya tetapi tiba-tiba diserang haiwan itu.

Kerbau itu melarikan diri sekali lagi tetapi akhirnya ditembak oleh kakitangan Jabatan Perkhidmatan Veterinar di Kampung Bakong, berhampiran Institut Pendidikan Guru (IPG) negeri di sini, pada pukul 1.30 petang.

Haiwan berkenaan kemudian disembelih oleh penduduk kampung manakala dagingnya dibahagi-bahagikan kepada pemilik kerbau, Yusni Hat, 35, dan penduduk kampung yang membantu.

Yusni berkata, kira-kira pukul 6.30 pagi, dia dan penduduk kampung di Kampung Guar bergotong-royong untuk menyembelih seekor lembu dan kerbau itu untuk majlis kenduri kahwin sepupunya.

"Setelah menyembelih lembu, kami bersiap-sedia menyembelih kerbau itu tetapi tiba-tiba haiwan tersebut bertindak liar sehingga ikatannya terlepas," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau berkata, dia dan beberapa penduduk kampung mengekori kerbau berkenaan yang melarikan diri merentasi sawah dan kampung sebelum pergi ke rumah mangsa.

"Mangsa yang cuba melihat kerbau itu di belakang rumahnya ditanduk di bahagian rusuk kiri," katanya.

Yusni berkata, dia kemudian menghubungi Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) untuk membawa mangsa ke hospital menggunakan kenderaan jabatan tersebut.

Katanya, kerbau tersebut sekali lagi mengamuk dan menanduk van JPAM serta nyaris mencederakan seorang anggota jabatan itu.

"Mangsa berjaya dibawa ke Hospital Tuanku Fauziah (HTF) di sini setelah kerbau berkenaan melarikan diri dan keadaan mangsa stabil," katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.