Pages

Subscribe:

15 Mac, 2010

[hang nadim]Agong ucap tahniah kemenangan Chong Wei





2010/03/15
KUALA LUMPUR: Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin mengucapkan tahniah dan syabas atas kejayaan pemain badminton perseorangan negara Datuk Lee Chong Wei yang menjuarai Kejohanan Badminton Seluruh England semalam. "Kemenangan ini amat besar maknanya kepada negara kita dalam menjayakan gagasan 1Malaysia," titah baginda semasa merasmikan pembukaan penggal ketiga Parlimen ke-12 di sini hari ini.

Raja Permaisuri Agong Tuanku Nur Zahirah turut berangkat ke istiadat itu.

Dalam titah ucapan itu, Tuanku Mizan turut menyeru rakyat supaya sentiasa memelihara dan mengharumkan nama serta maruah negara.

"Apa jua bidang sama ada reka cipta, inovasi, sukan, kebudayaan, kesenian dan sebagainya yang disertai untuk mewakili negara hendaklah dilakukan dengan semangat juang yang tinggi.
"Dalam hubungan ini, kerajaan Beta sentiasa memberi galakan dan sokongan untuk mendorong rakyat mencapai kecemerlangan sehingga ke peringkat antarabangsa," titah Seri Paduka.

Dalam perlawanan akhir yang berlangsung di National Indoor Arena, Birmingham itu, pemain nombor satu dunia itu menjuarai Kejohanan Badminton Seluruh England buat kali pertama dalam kariernya selepas mengalahkan pemain Jepun Kenichi Tago.

Sementara itu, Menteri Belia dan Sukan Datuk Ahmad Shabery Cheek yang ditemui pemberita di lobi Parlimen selepas istiadat perasmian tersebut turut mengucapkan tahniah kepada Lee atas kemenangan besarnya pada kejohanan Seluruh England.

Beliau berkata kemenangan itu membawa erti yang cukup besar kepada negara, sekali gus menguatkan keyakinan skuad badminton negara untuk melakar kejayaan berganda dalam kejohanan akan datang iaitu Piala Thomas, Sukan Komanwel, Sukan Asia dan Sukan Olimpik.

"Sasaran kita adalah untuk mendapat emas yang pertama di Sukan Olimpik 2012... jadi kemenangan itu memberikan harapan yang besar dan saya percaya kita mampu untuk melakukannya," katanya.

Shabery berkata satu majlis khas bagi menyambut kepulangan Lee ke tanah air akan diadakan sebaik sahaja beliau tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), petang esok.

"Pihak Parlimen juga bersetuju untuk memberi peluang kepada anggota Dewan Rakyat memberi penghormatan dan ucap tahniah kepada jaguh sukan negara itu Rabu ini memandangkan Seluruh England itu besar maknanya untuk semua," katanya.

Menteri Kesihatan Datuk Seri Liow Tiong Lai pula berkata beliau sangat berbangga dengan pencapaian Lee di kejohanan All England dan berharap dengan semangat juang yang tinggi seperti itu, sukan negara dapat terus dimajukan.
- Bernama

Chong Wei lega tetapi belum puas


Lee Chong Wei mengakui lega selepas merangkul kejuaraan besar pertamanya pada ulang tahun ke-100 Kejohanan Badminton All England, kelmarin. - REUTERS

KUALA LUMPUR - Selepas lama menanti, Datuk Lee Chong Wei lega kerana akhirnya merangkul kejuaraan besar pertamanya pada ulang tahun ke-100 All England, kelmarin. Begitupun, berjaya memenangi gelaran yang sudah terlalu lama diidamkan belum cukup untuk memuaskan hati jaguh No. 1 dunia itu kerana misi utamanya masih belum selesai.

Tegas Chong Wei, dia masih ada dua sasaran besar untuk dicapai - kejuaraan dunia dan pingat emas Olimpik, dan kejuaraan All England hanyalah satu permulaan.

"Sekarang ini saya sangat lega, kerana akhirnya berjaya memenangi satu daripada tiga kejuaraan utama dunia (selepas Kejohanan Dunia dan Sukan Olimpik). Sudah terlalu lama saya menanti detik ini dan ia tiba jua akhirnya.

"Bagaimanapun saya belum berpuas hati hanya dengan kemenangan di All England. Sasaran saya selepas ini mencari kejuaraan dunia, apatah lagi Malaysia tidak pernah memiliki juara dunia, baik dalam perseorangan mahu pun beregu.

"Namun begitu, untuk tempoh terdekat ini tumpuan saya adalah Piala Thomas. Sudah terlalu lama kita tidak menang dan saya mahu membantu Malaysia merampas kembali kejuaraan di tempat sendiri,'' ujar Chong Wei, yang mengakui turut mengidamkan pingat emas Sukan Asia yang akan diadakan di Guangzhou, November nanti.

Chong Wei, 28, sememangnya sangat memerlukan satu kejuaraan besar untuk mengesahkan statusnya sebagai pemain No. 1 dunia.

Walaupun telah menduduki takhta No. 1 sejak 2008, namun pemain Pulau Pinang itu sering kali dibandingkan dengan musuh tradisinya, Lin Dan dari China, apatah lagi dia tidak pernah memiliki apa-apa kejuaraan besar dalam kariernya.

Kelmarin, Chong Wei akhirnya dinobat sebagai juara perseorangan lelaki pada sambutan ulang tahun ke-100 All England selepas menjinakkan cabaran kental bintang baru Jepun, Kenichi Tago 21-19, 21-19.

Kemenangan tersebut menjadikan Chong Wei perseorangan kedua Malaysia dalam tempoh 44 tahun berjaya merangkul gelaran berprestij ini, selepas Muhammad Hafiz Hashim menang buat kali terakhir pada 2003.

Malah, dia hanya perseorangan kelima negara berjaya menjuarai All England sejak kejohanan badminton tertua di dunia itu diperkenalkan 100 tahun lalu.

Selain Chong Wei dan Hafiz, tiga lagi perseorangan Malaysia yang pernah memahat nama selaku juara adalah Wong Peng Soon, Datuk Eddy Choong dan Tan Aik Huang

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.