Pages

Subscribe:

14 Mac, 2010

Kahwin budak perlu izin mahkamah

PUTRAJAYA 14 Mac - Perkahwinan Siti Nur Zubaidah Hussin, 11, secara paksa dengan seorang lelaki dewasa jelas menyalahi undang-undang syariah negara ini.

Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM), Mohamad Isa Abd. Ralip (gambar) berkata, ini kerana pernikahan itu dilakukan tanpa kebenaran secara bertulis mahkamah syariah.

Mengikut Seksyen 8, Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam Negeri Kelantan 2002, pasangan wanita yang berumur di bawah 16 tahun perlu mendapatkan kebenaran secara bertulis daripada mahkamah syariah.

''Mengikut undang-undang, kebenaran daripada mahkamah syariah masih diperlukan untuk memastikan pasangan di bawah umur itu layak atau tidak untuk berkahwin.

''Perkahwinan ini (Siti Nur Zubaidah) tetap menyalahi undang-undang walaupun rukun nikah ketika itu sudah sempurna dan ada wali bapa," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau mengulas perkahwinan kanak-kanak itu yang dinikahkan dengan Shamsuddin Che Derahman, 41, atau lebih dikenali sebagai Shamsudin Ajaib.

Menurut Mohamad Isa, kebenaran daripada mahkamah syariah penting bagi membolehkan proses pendaftaran perkahwinan dapat dilakukan tanpa sebarang masalah.

Beliau memberitahu, jika disabit kesalahan, penjaga kanak-kanak itu boleh dihukum denda tidak melebihi RM1,000 atau penjara tidak lebih enam bulan atau kedua-duanya sekali.

Beliau menyifatkan adalah tidak wajar untuk mengahwinkan seorang kanak-kanak pada usia 11 tahun kerana dia masih belum bersedia untuk memikul tanggungjawab sebagai seorang isteri.

''Jika dikatakan mengikut sunah Nabi sekalipun, kita perlu tahu tentang perbezaan di antara orang Arab dengan orang Melayu," katanya.

''Saiz fizikal mereka agak besar berbanding kanak-kanak Melayu di sini dan tidak logik untuk membenarkan perkahwinan pada usia semuda Siti Nur Zubaidah," katanya.

Jangan terpedaya dengan individu berimej warak

KUALA TERENGGANU 14 Mac - Umat Islam perlu berwaspada dan tidak mudah taksub dengan individu yang tampil dengan imej warak bagi mengelak menjadi mangsa seperti mana dialami kanak-kanak berusia 11 tahun, Siti Nur Zubaidah Hussin yang ditinggalkan di Kepong, semalam.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom (gambar) berkata, beliau bimbang dengan sikap umat Islam yang terlalu mudah terpedaya dengan mereka berimej sedemikian, kononnya membawa ajaran mengikut sunah Rasulullah.

Sebaliknya, jelas beliau, setelah disiasat latar belakangnya, ada individu terbabit tidak mempunyai asas agama serta ilmu pengetahuan yang cukup malah perilaku mereka bercanggah dengan ajaran Rasulullah.

Beliau turut hairan bagaimana masih ada umat Islam begitu mudah menerima hakikat kanak-kanak berusia 11 tahun boleh dinikahkan.

Sedangkan, tegasnya, terdapat enakmen di setiap negeri yang melarang mereka yang berusia dalam lingkungan itu berbuat demikian melainkan mendapat kebenaran mahkamah syariah.

"Kita mudah sangat letakkan agama dan sunah Rasulullah di depan sedangkan kita sudah tahu semua negeri ada enakmen bahawa yang nak berkahwin mesti berusia 16 tahun ke atas dan kalau ke bawah mesti dapat kebenaran mahkamah syariah dulu.

"Akhirnya, yang kata ikut sunah Rasulullah ini telah menyebabkan budak ini ditinggalkan di Kuala Lumpur, budak ini terkapai-kapai ditinggalkan dengan jaraknya ratusan kilometer dari rumahnya di Kelantan.

"Adakah itu ajaran sunah yang nak dibawa, jadi saya harap jangan kita cepat buat kesimpulan nak buat macam ini. Sunah pun tak ajar begitu. Tidak semudah akad nikah di dalam kereta sambil memandu," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan Majlis Penutupan Forum Sensitiviti Agama Implikasi Kepada Pemikiran Umat Islam Masa Kini di sini hari ini.

Turut hadir, Pesuruhjaya Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT), Datuk Shaikh Harun Shaikh Ismail dan Mufti Negeri Terengganu, Dr. Elias Abdullah.

Beliau diminta mengulas nasib yang menimpa Siti Nur Zubaidah yang sebelum ini dikahwinkan dengan seorang lelaki tabligh dan dilarikan sebelum ditemui di Masjid Al-Ikhwan di Taman Samudera, Kepong, Kuala Lumpur semalam.

Ditanya sama ada kejadian itu ada kaitan dengan ajaran sesat, jelas Jamil Khir, beliau dimaklumkan bahawa lelaki terbabit mempunyai pegangan kononnya untuk menegakkan sunah Rasulullah sedangkan amalannya ternyata bertentangan.

Tambahnya, lelaki tersebut juga sanggup beristeri ramai kononnya mengikut sunah Rasullullah sedangkan timbul rungutan kalangan isterinya yang mereka mengalami keperitan hidup.

"Isterinya cakap, nak makan pun tak cukup. Sunah Rasulullah macam mana ini," katanya sambil mengharapkan umat Islam supaya mengambil iktibar atas kejadian yang menimpa Siti Nur Zubaidah supaya tidak berulang.

Dalam pada itu, beliau turut mengalu-alukan usaha JHEAT menganjurkan forum berkenaan dan diharap ia dapat diperluaskan ke semua peringkat daerah dan kampung untuk panduan umat Islam.

Elak kahwin kanak-kanak

Oleh ABDUL YAZID ALIAS
pengarang@utusan.com.my

SHAH ALAM 14 Mac – Mufti Selangor, Datuk Tamyes Abdul Wahid menasihatkan umat Islam supaya tidak mengamalkan perkahwinan yang melibatkan kanak-kanak.

Menurutnya, walaupun perkahwinan seumpama itu dibenarkan dalam Islam, ia tidak boleh dijadikan alasan untuk melaksanakan perkahwinan itu sewenang-wenangnya.

Katanya, banyak perkara yang perlu diambil kira jika perkahwinan sedemikian dilakukan terutamanya dari aspek kemampuan kanak-kanak berkenaan walaupun pasangannya mencapai umur yang matang.

‘‘Pasangan yang berkahwin melibatkan kanak-kanak boleh menimbulkan pelbagai masalah kerana pada usia sedemikian mereka tidak mampu berfikir secara rasional dari segi tuntutan perkahwinan.

‘‘Selain itu, dikhuatiri ia akan mencetuskan masalah dari segi hubungan dan seterusnya terdedah kepada risiko penganiayaan,’’ katanya.

Beliau berkata demikian kepada Utusan Malaysia ketika diminta mengulas mengenai amalan perkahwinan melibatkan kanak-kanak.

Pada 8 Mac lalu, media melaporkan tindakan seorang bapa dari Kuala Krai, Kelantan mengahwinkan anak perempuannya berusia 11 tahun dengan lelaki berusia 41 tahun.

Kes itu merupakan yang kedua melibatkan perkahwinan kanak-kanak perempuan di bawah umur di negeri berkenaan apabila seorang lagi kanak-kanak berusia 10 tahun dikahwinkan dengan lelaki berusia 40 tahun di Pasir Mas sebelum itu.

Tamyes menambah, bagi mewujudkan keharmonian dan mempertahankan institusi kekeluargaan Islam, perkahwinan merupakan asas utama yang perlu dititikberatkan.

“Maka, dalam soal perkahwinan melibatkan kanak-kanak, apa yang perlu diteliti adalah niat sebenar perkahwinan itu dan sejauh mana kemampuan pasangan yang ingin menikahi kanak-kanak terbabit.

“Jadi, dalam konteks semasa, adalah lebih elok pasangan yang ingin berkahwin terdiri daripada dalam kumpulan umur baligh yang mampu berfikir, dan berilmu supaya perkahwinan itu mempunyai makna yang sebenarnya selaras dengan tuntutan syarak,” katanya.

Dalam pada itu, Tamyes turut menyatakan bahawa walaupun Nabi Muhammad SAW berkahwin dengan Saidatina Aishah r.a. ketika isteri baginda masih kanak-kanak, bagaimanapun baginda hanya bersama dengan Aishah apabila isterinya itu telah baligh.

Jelasnya, sunah Rasulullah itu tidak harus disalah tafsir dan dijadikan alasan oleh mana-mana pihak dengan membenarkan amalan perkahwinan kanak-kanak.

Malah, katanya, berdasarkan Enakmen Undang-undang Keluarga Islam Selangor, adalah jelas bahawa mana-mana pasangan yang ingin berkahwin di negeri ini perlu mencapai had umur melebihi 18 tahun.

“Dari segi perundangan, had umur ini amat perlu selaras dengan perkembangan semasa kerana ia dibuat sebagai usaha memastikan institusi keluarga Islam di negeri ini terus kukuh dan memberi manfaat kepada umat Islam secara keseluruhannya,” katanya.

Jangan terpedaya dengan individu berimej warak
KUALA TERENGGANU 14 Mac - Umat Islam perlu berwaspada dan tidak mudah taksub dengan individu yang tampil dengan imej warak bagi mengelak menjadi mangsa seperti mana dialami kanak-kanak berusia 11 tahun, Siti Nur Zubaidah Hussin yang ditinggalkan di Kepong, semalam.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom (gambar) berkata, beliau bimbang dengan sikap umat Islam yang terlalu mudah terpedaya dengan mereka berimej sedemikian, kononnya membawa ajaran mengikut sunah Rasulullah.

Sebaliknya, jelas beliau, setelah disiasat latar belakangnya, ada individu terbabit tidak mempunyai asas agama serta ilmu pengetahuan yang cukup malah perilaku mereka bercanggah dengan ajaran Rasulullah.

Beliau turut hairan bagaimana masih ada umat Islam begitu mudah menerima hakikat kanak-kanak berusia 11 tahun boleh dinikahkan.

Sedangkan, tegasnya, terdapat enakmen di setiap negeri yang melarang mereka yang berusia dalam lingkungan itu berbuat demikian melainkan mendapat kebenaran mahkamah syariah.

"Kita mudah sangat letakkan agama dan sunah Rasulullah di depan sedangkan kita sudah tahu semua negeri ada enakmen bahawa yang nak berkahwin mesti berusia 16 tahun ke atas dan kalau ke bawah mesti dapat kebenaran mahkamah syariah dulu.

"Akhirnya, yang kata ikut sunah Rasulullah ini telah menyebabkan budak ini ditinggalkan di Kuala Lumpur, budak ini terkapai-kapai ditinggalkan dengan jaraknya ratusan kilometer dari rumahnya di Kelantan.

"Adakah itu ajaran sunah yang nak dibawa, jadi saya harap jangan kita cepat buat kesimpulan nak buat macam ini. Sunah pun tak ajar begitu. Tidak semudah akad nikah di dalam kereta sambil memandu," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan Majlis Penutupan Forum Sensitiviti Agama Implikasi Kepada Pemikiran Umat Islam Masa Kini di sini hari ini.

Turut hadir, Pesuruhjaya Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT), Datuk Shaikh Harun Shaikh Ismail dan Mufti Negeri Terengganu, Dr. Elias Abdullah.

Beliau diminta mengulas nasib yang menimpa Siti Nur Zubaidah yang sebelum ini dikahwinkan dengan seorang lelaki tabligh dan dilarikan sebelum ditemui di Masjid Al-Ikhwan di Taman Samudera, Kepong, Kuala Lumpur semalam.

Ditanya sama ada kejadian itu ada kaitan dengan ajaran sesat, jelas Jamil Khir, beliau dimaklumkan bahawa lelaki terbabit mempunyai pegangan kononnya untuk menegakkan sunah Rasulullah sedangkan amalannya ternyata bertentangan.

Tambahnya, lelaki tersebut juga sanggup beristeri ramai kononnya mengikut sunah Rasullullah sedangkan timbul rungutan kalangan isterinya yang mereka mengalami keperitan hidup.

"Isterinya cakap, nak makan pun tak cukup. Sunah Rasulullah macam mana ini," katanya sambil mengharapkan umat Islam supaya mengambil iktibar atas kejadian yang menimpa Siti Nur Zubaidah supaya tidak berulang.

Dalam pada itu, beliau turut mengalu-alukan usaha JHEAT menganjurkan forum berkenaan dan diharap ia dapat diperluaskan ke semua peringkat daerah dan kampung untuk panduan umat Islam.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.