Pages

Subscribe:

26 April, 2010

[hang nadim] Bila kalah pelbagai tuduhan dilemparkan...........

Oleh WANDA IDRIS
pengarang@utusan.com.my


'Bedah siasat' pengundi Cina sokong pembangkang

SEBAHAGIAN petugas Majlis Daerah Hulu Selangor membersih dan menurunkan poster calon parti yang bertanding semasa kempen Pilihan Raya Kecil Parlimen Hulu Selangor, semalam.

KUALA LUMPUR 26 April - Barisan Nasional (BN) perlu membuat satu 'bedah siasat' bagi mengenal pasti punca kenapa pengundi Cina enggan memberi sokongan pada parti tersebut semasa Pilihan Raya Kecil Parlimen Hulu Selangor, semalam.

Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad berkata, ini kerana parti itu telah melakukan banyak perkara bagi membela nasib penduduk di Hulu Selangor termasuk kaum Cina sendiri.

Malah tegas beliau, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak telah melakukan yang terbaik bagi mendapatkan sokongan penduduk di kawasan tersebut.

''BN menang tetapi majoritinya tidaklah seperti yang sepatutnya. Ini agak jelas dan kita nampak sokongan yang kurang daripada pengundi Cina.

''Bagaimanapun sokongan kaum Melayu dan India meningkat dan membolehkan BN mencapai kemenangan.

''Kita kena buat bedah siasat dan analisis supaya kita tahu apa masalahnya yang menyebabkan kita menang tetapi dengan majoriti yang tak seperti dijangkakan," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas berucap pada perbincangan "China Yang Kukuh - Implikasi dan Cabaran" anjuran Dewan Perdagangan dan Perindustrian Kebangsaan Malaysia (NCCIM) di sini hari ini.

Pada Pilihan Raya Kecil Parlimen Hulu Selangor semalam, calon BN, P. Kamalanathan berjaya menewaskan calon Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Zaid Ibrahim dengan majoriti 1,725 undi apabila memperoleh 24,997 undi.

Mengulas mengenai kemenangan di Hulu Selangor, Dr. Mahathir berpendapat Najib telah berjaya menukar pandangan penduduk dan daya kepimpinannya kini diterima oleh segenap lapisan rakyat.

Beliau turut menegaskan, kempen-kempen parti yang dikaitkan dengan perkauman sudah tidak lagi memberi kesan kerana dalam tempoh berkenaan mereka boleh bercakap apa sahaja.

Dalam pada itu, Dr. Mahathir berkata, biarpun ada yang berpendapat bahawa politik berasaskan kaum akan berkurangan selepas pilihan raya umum lalu namun jelas bahawa ia semakin kuat berbanding sebelum ini.

Bagaimanapun, beliau percaya, harapan untuk melihat BN menang besar pada Pilihan Raya Umum ke-13 nanti tetap ada.

''Ini kerana keputusan Pilihan Raya Umum 2008 bukan kerana parti BN tetapi kerana orang tertentu yang rakyat tidak suka,'' katanya lagi.


BN tidak beli undi – PMOleh HELMI MOHD. FOAD
dan THOMAS CHONG
pengarang@utusan.com.my

PUTRAJAYA 26 April – Datuk Seri Najib Tun Razak menolak dakwaan parti pembangkang bahawa Barisan Nasional (BN) terbabit dengan perbuatan membeli undi menggunakan dana awam bagi memenangi Pilihan Raya Kecil Parlimen Hulu Selangor, semalam.

Sebaliknya, tegas Perdana Menteri, apa yang dilakukan dalam kempen pilihan raya kecil itu adalah kerajaan menyelesaikan masalah sebenar yang dihadapi oleh rakyat di kawasan tersebut.

“Kita tidak membeli undi tetapi kita menyelesaikan masalah sebenar rakyat yang tidak ditangani dalam sesuatu tempoh masa yang lama, ia adalah masalah besar yang dihadapi penduduk.

“Bukannya BN pergi ke sana ke sini dan beritahu tengok sini kami beri itu dan ini, tidak,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas merasmikan Forum Hijau Malaysia 2010 anjuran bersama Landskap Malaysia, Universiti Putra Malaysia (UPM) dan Perbadanan Putrajaya di sini.

Najib yang juga Pengerusi BN mengulas dakwaan pembangkang kononnya BN membelanjakan RM167 juta bagi melaksanakan pelbagai projek dalam usaha meraih undi semasa kempen pilihan raya kecil Hulu Selangor.

Dalam pilihan raya kecil itu, BN menerusi calonnya, P. Kamalanathan berjaya menumbangkan PKR yang diwakili Datuk Zaid Ibrahim dengan majoriti 1,725 undi.

Perdana Menteri memberi contoh projek pembinaan persimpangan bertingkat dekat Sungai Buaya, yang baginya bertujuan menangani masalah orang ramai di kawasan tersebut.

“Ia dilaksanakan kerana orang ramai mahukan projek itu dan ia dilaksanakan oleh PLUS (PLUS Expressways Bhd), bukannya dana awam.

“Persimpangan itu bertujuan membantu penduduk tempatan kerana ia akan mampu memendekkan tempoh perjalanan antara 60 hingga 90 minit. Apa yang dilakukan BN adalah menangani masalah sebenar yang dihadapi penduduk, BN bukan beli undi,” katanya.

Dalam pada itu, Perdana Menteri menganggap kejayaan BN dalam pilihan raya kecil itu bukan sekadar ‘kemenangan yang baik’ malah ia perlu menjadi landasan ‘kemenangan yang mapan’ kepada parti itu.

“Kemenangan yang mapan iaitu kita akan terus mengekalkan kemenangan dengan memahami apa keperluan yang perlu dilakukan untuk jangka masa panjang.

“Kita tidak boleh hanya mendapat satu kemenangan tetapi perlu membangun dan menguatkan apa keperluan yang mesti dilakukan oleh BN untuk menjadi parti masa depan,” katanya.

Beliau memberitahu, kejayaan merampas kerusi tersebut daripada PKR menaikkan semangat dan memberikan harapan baru bagi memperkukuhkan BN untuk masa depan.

“Kita boleh bina (masa depan) berasaskan kejayaan itu dan kita bersikap positif,” katanya.

Malah, beliau berkata, trend sekarang jelas menunjukkan ia menyebelahi BN walaupun berdepan dengan perlawanan dalam sebuah negeri yang diperintah oleh parti pembangkang.

Justeru, katanya, BN akan melakukan analisis terperinci dan mendalam ke atas keputusan pilihan raya kecil itu.

Ini, katanya, bagi membolehkan BN mengambil tindakan yang diperlukan untuk muncul sebagai sebuah parti yang lebih kuat pada masa akan datang.

“Ujian terakhirnya sudah tentu adalah pilihan raya umum, kerana pada pilihan raya kecil membabitkan isu nasional dan tempatan.

“Tetapi saya berasa suatu menggalakkan, dengan sokongan rakyat, saya harap kita dapat tunjukkan lebih banyak hasil yang dikehendaki oleh rakyat. Kita begitu komited untuk memastikan pelaksanaan dilakukan,” tegasnya.

ADUN Pas pertikai kuasa sultan?
ALOR SETAR 26 April – Tindakan seorang wakil rakyat Pas mengemukakan dua soalan kontroversi pada Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah hari ini dilihat sebagai seolah-olah cuba mempertikai kuasa Sultan selaku Ketua Agama Islam di negeri ini.

Perbuatan itu dapat dilihat apabila Mohd. Nasir Mustafa (Pas-Kubang Rotan) mengemukakan dua soalan bertulis kepada Dewan iaitu:

Sejauh manakah bidang kuasa Sultan sebagai Ketua Agama Islam di negeri ini dihormati oleh Kerajaan Pusat?

Setakat manakah tahap tidak boleh campur tangan Kerajaan Negeri Kedah dalam pentadbiran hal ehwal agama Islam?

Menyedari perkara itu, Speaker DUN Kedah, Datuk Dr. Abdul Isa Ismail kemudiannya bertindak menarik balik soalan tersebut dan mengakui beliau mungkin terlepas pandang selepas menerima bantahan pembangkang.

Bagaimanapun, sebelum soalan itu ditarik balik, sidang DUN menjadi kecoh selama 20 minit akibat pertikaman lidah antara penyokong kerajaan dan pembangkang.

Ia bermula apabila soalan tersebut disanggah Ketua Pembangkang, Datuk Seri Mahdzir Khalid yang mencadangkan kepada Abdul Isa supaya membatalkan soalan tersebut.

Ini kerana, menurut Mahdzir, tidak pernah berlaku dalam sejarah sidang DUN Kedah yang membahaskan tentang sejauh mana kuasa Sultan sebagai ketua agama Islam di negeri ini dan soalan tersebut seolah-olah mempertikaikan kuasa Sultan sebagai Ketua Agama Islam.

“Kita tidak perlu penjelasan mengenai sejauh mana kuasa Tuanku Sultan dan kita seolah-olah hendak melibatkan Tuanku dalam masalah ini. Oleh itu, saya cadangkan agar soalan ini ditarik balik,” katanya.

Bila kalah pelbagai tuduhan dilemparkan kepada BN
UTUSAN: Kenapa anda berang dengan kenyataan Zaid?

RAMLAN: Bila kalah, pelbagai tuduhan dilemparkan kepada kerajaan khususnya BN oleh pembangkang termasuk PKR. Mereka dakwa wujud penipuan dalam sistem pilihan raya dan rasuah berleluasa.

Bagaimanapun, bila mereka menang, tidak timbul pula isu-isu sebegini. Jika benar Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) tidak telus, bagaimana mereka boleh menang banyak kerusi pada Pilihan Raya Umum Ke-12 lalu? Bagi saya, SPR telah menjalankan tugas secara profesional.

UTUSAN: Adakah anda sudah jangkakan perkara ini berlaku?

RAMLAN: Saya tidak hairan dengan kenyataan Zaid itu. Ini merupakan trend PKR untuk mengalihkan sesuatu isu daripada rakyat. Taktik ini telah lama wujud dalam PKR. Mereka sedaya upaya akan meletakkan kelemahan atau kekalahan yang dialami ke atas pihak lain.

Mereka meracuni fikiran rakyat dengan propaganda negatif. Mereka akan ceritakan kepada rakyat saban hari, seolah-olah mahu memprogramkan dalam kepala rakyat unsur-unsur tidak elok ini.

Taktik inilah yang saya dan rakan-rakan dalam Reformis lakukan semasa bersama Penasihat PKR, Datuk Seri Anwar Ibarhim dulu, iaitu sebarkan propaganda dan tindakan subversif. Itu yang kami buat semasa dengan Anwar selama 10 tahun.

UTUSAN: Bagaimana anda melihat taktik PKR ini?

RAMLAN: Ini merupakan taktik politik paling kotor yang hanya berlandaskan nafsu ganas demi mengecapi impian peribadi. Dia (Anwar) sanggup lakukan apa sahaja walaupun negara porak-peranda asalkan cita-citanya tercapai.

UTUSAN: Apa nasihat anda kepada rakyat termasuk penyokong PKR?

RAMLAN: Saya tidak mahu rakyat tertipu dengan helah Anwar. Ambil iktibar apa yang telah berlaku. Segala apa yang dia lakukan ada tujuan di sebaliknya. Kita telah lalui kehidupan penuh harmoni selama 52 tahun. Pertahankanlah nikmat yang kita kecapi ini.

UTUSAN: Apakah tindakan Reformis seterusnya?

RAMLAN: Kami akan terus membantu BN dengan apa yang kita ada, khususnya pengalaman dalam PKR untuk menyedarkan rakyat, tidak kira semasa pilihan raya kecil atau pilihan raya umum akan datang.

Kalau dulu kami sanggup berkorban segala-galanya demi perjuangan PKR dan mengangkat Anwar sebagai pemimpin negara, sekarang orang yang sama jugalah akan menjatuhkannya

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.