Pages

Subscribe:

08 April, 2010

[hang nadim] Buku bergambar Pak Lah dilancar


Dr. Rais Yatim dan Abdullah Ahmad Badawi menunjukkan buku 'Pak Lah' sejurus selepas majlis pelancarannya di Angkasapuri, Kuala Lumpur, semalam.

KUALA LUMPUR 7 April - Sebuah buku bergambar berjudul 'Pak Lah' yang mengabadikan sebahagian besar gambar Tun Abdullah Ahmad Badawi ketika memulakan kerjaya sebagai ahli politik dari 1973 hinggalah menjadi Perdana Menteri kelima dilancarkan hari ini.

Abdullah yang terharu dengan penerbitan buku itu berkata, langkah menerbitkan buku bergambar tersebut sebagai sesuatu yang baik dan menarik untuk mengisahkan seseorang yang dikenali dalam bentuk gambar.

"Apa yang saya harapkan pendekatan sebegini juga digunakan untuk tujuan-tujuan lain dan tokoh-tokoh pemimpin negara yang telah banyak mencurahkan bakti kepada negara," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas majlis pelancaran buku yang mengandungi koleksi 400 foto daripada Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) oleh Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr. Rais Yatim di Auditorium Perdana, Angkasapuri di sini hari ini.

Turut hadir isteri Abdullah, Tun Jeanne Abdullah dan isteri Rais, Datin Seri Maznah Rais.

Abdullah memberitahu, beliau telah dimaklumkan oleh Bernama dan Rais mengenai cadangan untuk menerbitkan buku tersebut tetapi belum dapat melihat gambar-gambar yang terkandung di dalam buku berkenaan.

"Tetapi saya percaya yang memilih gambar-gambar itu ialah seorang sahabat lama iaitu sejak di Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan maka tentu Rais tahu apa gambar yang hendak dipilih," katanya.

Sementara itu Rais menjelaskan, buku tersebut ditulis dan disusun dengan penuh perasaan dan kasih sayang.

"Gambar-gambar yang terkandung di dalam buku ini adalah peristiwa yang dijalin dan disusun dengan naratif yang lunak serta menukilkan pandangan yang tepat.

"Buku ini secara ringkas merangkumi konsep raja berperlembagaan, pentadbiran, persepsi tentang keluarga Abdullah, perjuangan beliau dalam politik, interaksi dengan media, hubungan antarabangsanya serta kebajikan yang beliau cetuskan dan wujudkan," katanya.

Tambah beliau, buku itu juga akan diperkenalkan ke majlis forum yang berkaitan dengan maklumat, seni foto dan seni penerbitan buku berkualiti.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.