KUALA LUMPUR 7 April - Selangor mencatatkan kes pembuangan bayi dan penderaan kanak-kanak tertinggi di negara ini dalam tempoh lima tahun sejak 2005.
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil berkata, perangkaan Polis Diraja Malaysia (PDRM) menunjukkan sebanyak 105 kes pembuangan bayi berlaku di Selangor dari 2005 hingga 2009.
''Statistik Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) pula menunjukkan sebanyak 3,234 kes penderaan kanak-kanak dan bayi berlaku di negeri berkenaan sepanjang tempoh sama," katanya menjawab soalan Datuk Ismail Abdul Muttalib (BN-Maran) pada sidang Dewan Rakyat hari ini.
Ismail bertanyakan jumlah kes pembuangan dan penderaan bayi bagi tempoh 2005 hingga 2010 mengikut negeri, sebab ia berlaku dan tindakan drastik kerajaan bagi menanganinya.
Dalam pada itu, Shahrizat berkata, dalam tempoh lima tahun berkenaan sebanyak 407 kes pembuangan bayi dilaporkan di seluruh negara dan 10,758 kes membabitkan penderaan kanak-kanak dan bayi.
Shahrizat berkata, antara punca kes pembuangan bayi adalah kurang pendidikan agama, pasangan lelaki tidak mahu bertanggungjawab dan ibu bapa tidak dapat menerima bayi yang cacat.
''Kes penderaan kanak-kanak dan bayi pula berpunca kerana ibu bapa menghadapi tekanan di tempat kerja, masalah kewangan dan krisis rumah tangga," katanya.
Bagi membantu ibu muda yang bermasalah serta mengelak kes pembuangan bayi, beliau berkata, kerajaan telah menyediakan pusat perlindungan bagi bayi dan wanita.
''Pusat perlindungan ini adalah terdiri daripada institusi kebajikan sebanyak 55 buah, pejabat Kebajikan Masyarakat Daerah (104), Klinik Nur Sejahtera (53), Taman Seri Puteri (empat) dan Pusat Jagaan Sinar Kasih (satu)," jelasnya.
Gadis terlanjur dihantui dosa
wartawan Unit Khas Utusan Malaysia menemubual gadis-gadis yang terlibat dalam gejala hamil luar nikah di Sungai Buloh, baru-baru ini.
UMPAMA kembali ke zaman jahiliah, itu gambaran bagi golongan yang sewenang-wenangnya membuang bayi atau janin yang dikandung hasil pergaulan bebas.
Walaupun berbangga hidup pada zaman sains dan teknologi yang membolehkan maklumat dicapai dengan hujung jari, namun dalam kes pembuangan dan pengguguran bayi, akal mereka yang terlibat langsung tidak menggambarkan mereka mempunyai sifat kemanusiaan.
Sekadar ingin menutup perbuatan keji, mereka sanggup membuang bayi dengan harapan dapat menjalani kehidupan seperti biasa.
Ini bukan sekadar dakwaan kerana umum telah mengetahui kes demi kes pembuangan bayi semakin kerap disiarkan di media.
Wartawan Unit Khas Utusan Malaysia, MUHAMAD AMIRUL AFIQ MASTOR, AZRAI MOHAMMAD, MOHD. AINUDDIN ALIFF SALEHUDEN dan ROSALINDA MD. SAID bersama jurugambar AMIN FARIJ HASAN dan HARUN OSMAN bertemu dengan gadis-gadis yang terlibat dengan kes hamil di luar nikah yang menjadi faktor pendorong pembuangan bayi bagi menyelami perlakuan mereka.
Mereka yang ditemuramah adalah di antara 88 remaja yang menghuni dua buah pusat perlindungan wanita di ibu negara.
Berita lanjut, sila rujuk edisi cetakan Utusan Malaysia atau langgani e-Paper di http://ebrowse.bluehyppo.com/utusan/index.asp
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.