Pages

Subscribe:

08 April, 2010

[hang nadim]Keluarga Norfarahdini hilang tonggak harapan



PASIR MAS 7 April - Penduduk Kampung Kubang Bemban di sini tidak begitu menyedari bahawa pelumba basikal wanita negara, Norfarahdini Zakaria, 27, adalah anak tempatan sehingga kematiannya semalam mendapat liputan meluas pihak media.

Ibunya, Che Minah Majid, 50, memberitahu, Norfarahdini lebih banyak menghabiskan masa di Kuala Lumpur bersama bapa saudaranya, namun hubungan Allahyarham dengannya dan adik-beradik yang lain adalah rapat.

Ketika negara kehilangan seorang jaguh sukan itu, Che Minah pula kehilangan anak yang menjadi tonggak harapan membantu adik- adik terutama setelah ayah mereka meninggal dunia dua tahun lalu.

''Dia selalu mengambil tahu masalah keluarga, apatah lagi selepas ayahnya meninggal dunia. Setiap bulan Norfarahdini mengirim RM500 terutama untuk perbelanjaan tiga lagi adiknya yang masih bersekolah," katanya ketika ditemui di rumahnya di sini hari ini.

Norfarahdini, seorang anggota Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) yang bertugas di Lumut, Perak, meninggal dunia di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB), Ipoh kira-kira pukul 12.30 tengah hari semalam.

Allahyarham terjatuh semasa menyertai lima pelumba basikal dari TLDM berlatih bagi menghadapi kejohanan Jelajah Malaysia pada penghujung bulan ini.

Jenazahnya tiba diiringi anggota TLDM kira-kira pukul 5.30 pagi ini dan dikebumikan di tanah perkuburan Kampung Kubang Bemban kira-kira pukul 11 pagi.

Che Minah memberitahu, dia awalnya tidak menyangka anak ketiga daripada lapan beradik itu mengalami kecederaan yang begitu teruk hingga membawa maut hanya kerana terjatuh dari basikal.

"Pada mulanya saya menerima panggilan rakannya kira-kira pukul 12 tengah hari dan memberitahu Norfarahdini cedera selepas terjatuh dari basikal dan dikejarkan ke hospital untuk rawatan.

"Setengah jam kemudian, saya amat terkejut apabila sekali lagi menerima panggilan telefon memberitahu Norfarahdini sudah meninggal dunia," katanya.

Che Minah memberitahu, Allahyarham mula aktif berbasikal sejak beberapa tahun lalu dan dia tidak pernah menghalang minat anaknya itu yang berpeluang mewakili negara.

''Kali terakhir dia bercakap dengan saya ialah dua hari lalu apabila dia menghubungi saya kira-kira pukul 10 malam untuk bertanya khabar.

"Norfarahdini bertanyakan adakah saya mahu dia balik. Saya memberitahu tidak perlu kerana kami semuanya sihat. Lagipun dia sudah balik November lalu kerana menghadiri majlis perkahwinan ahli keluarga," katanya.

Sementara itu Naib Ketua UMNO Bahagian Pasir Mas, Abdul Aziz Mohammad turut menziarahi jenazah Allahyarham dan menyampaikan sumbangan peribadi kepada keluarga berkenaan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.