Pages

Subscribe:

26 April, 2010

[hang nadim] Cantik tetapi bukan untuk dijual


KOTA KUALA MUDA- Sekali imbas, Masjid Kota Raja di sini kelihatan sama sahaja seperti masjid lain.

Namun jika diperhatikan pada mimbarnya, dan diselongkar pula cerita sejarahnya, masjid ini ternyata bukan calang-calang.

Jika tidak, masakan banyak pihak yang berminat untuk mendapatkan mimbar masjid itu termasuk Masjid Negara dan Jabatan Kesenian dan Warisan Negara (JKWN).

Bendahari Masjid Kota Raja, Hassan Abass, berkata, mimbar yang dipercayai digunakan turun temurun sejak masjid itu dibina iaitu sekitar 1853 hingga 1878 telah mendapat perhatian ramai pencinta seni kerana binaannya yang unik.

Menurutnya, mimbar tersebut dibina bersama tongkat khutbah dibina oleh seorang tukang Melayu bernama Tok Mat Serang.

“Mimbar ini pernah mendapat perhatian daripada Masjid Negara yang bercadang untuk membelinya dan ditempatkan di Masjid Negara beberapa tahun lalu kerana keunikan seni bina Islam dan Cina yang diterapkan.

“Namun, jawatankuasa masjid ini sebulat suara tidak mahu menjualnya kerana ianya cukup bersejarah bagi kami serta penduduk Kota Kuala Muda secara keseluruhannya,” katanya.

Hassan berkata, keunikan mimbar yang dibina berciri seni bina Islam dan Cina itu juga turut mendapat perhatian daripada JKWN dan pelajar universiti yang telah datang membuat kajian mengenainya.

Masjid itu dikenali dengan seni bina Cina berdasarkan lelangitnya mempunyai tanglung berwarna merah.

Imam Masjid Kota Raja, Md Yusof Ismail pula berkata, mimbar itu ipercayai dibina tanpa menggunakan paku untuk menyambungkan kayu-kayunya dan hanya diselitkan begitu sahaja.

Menurutnya, selain keunikan mimbar, dinding Masjid Kota Raja juga dikatakan dibina dengan campuran bancuhan simen bersama manisan dan telah menjadi Masjid Diraja semasa zaman kegemilangannya dahulu serta menjadi persinggahan ramai ulama yang berdagang di sini melalui Sungai Muda.

“Pada zaman dahulu, masjid ini dibina dengan bancuhan simen dan manisan kerana dipercayai manisan dapat menguatkan lagi struktur binaan.

“Tanah perkuburan masjid ini juga mempunyai tetamu istimewa dan khas yang telah disemadikan di sini iaitu alim ulama dan kerabat diraja namun saya tidak pasti siapa mereka,” katanya.

Md Yusof berkata, sesiapa yang berminat untuk menderma bagi membaik pulih masjid boleh disalurkan melalui akaun Bank Islam atas nama Tetuan Jawatankuasa Masjid Kota Kuala Muda Kedah bernombor 02-020-02-001627-6.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.