Pages

Subscribe:

26 April, 2010

[hang nadim] pembangkang ucap tahniah pada Kamalanathan




Sidang DUN Pahang, pembangkang ucap tahniah pada Kamalanathan

2010/04/26
KUANTAN: Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang hari ini merakamkan ucapan tahniah kepada calon Barisan Nasional (BN), P Kamalanathan yang memenangi pilihan raya kecil Parlimen Hulu Selangor, semalam.

Yang Dipertua Dewan, Datuk Seri Wan Mohamad Razali Wan Mahussin menyifatkan kemenangan itu sebagai petunjuk kembalinya keyakinan dan penerimaan rakyat terhadap BN serta kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak. Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Adnan Yaakob turut mengambil kesempatan mengucapkan tahniah sebelum menjawab soalan-soalan lisan, namun beliau mengingatkan anggota BN di negeri itu supaya tidak terlalu riak dengan kemenangan itu. "Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) BN sebaliknya perlu bekerja dengan lebih gigih dan bersungguh-sungguh bagi memastikan negeri Pahang terus dikuasai BN," katanya
.
Katanya, beliau percaya Perdana Menteri juga akan terus berusaha meningkatkan pentadbirannya untuk kepentingan rakyat.

Kejayaan Kamalanathan itu turut menerima ucapan tahniah daripada pembangkang.
Leong Ngah Ngah (DAP-Triang) menyifatkan proses pilihan raya kecil itu berjalan secara aman dan keputusannya perlulah diterima oleh semua pihak.
Adnan kemudian memuji sikap Adun terbabit sambil meminta anggota pembangkang lain mencontohinya.

"Kita memerlukan pembangkang seperti ini, namun tak perlulah ramai (pembangkang), seorang dah cukup," katanya berseloroh.

Pada pilihan raya kecil itu, Kamalanathan menewaskan calon Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Zaid Ibrahim dengan majoriti 1,725 undi. - Bernama

BN tawan semula Hulu Selangor



P. Kamalanathan bersama pemimpin Barisan Nasional (BN) terdiri daripada Najib Tun Razak, Muhyiddin Yassin, Noh Omar, Shahrizat Abdul Jalil, Dr, Chua Soi Lek dan Dr. Koh Tsu Koon meraikan kemenangan BN pada Pilihan Raya Kecil Parlimen Hulu Selangor, semalam.

HULU SELANGOR 25 April – Barisan Nasional (BN) memberikan isyarat awal kebangkitan semula parti itu di Selangor apabila menawan kerusi Parlimen Hulu Selangor berikutan kejayaan calonnya, P. Kamalanathan menewaskan calon Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Zaid Ibrahim dengan majoriti 1,725 undi pada pilihan raya kecil kawasan itu, hari ini.

Kamalanathan memperoleh 24,997 undi manakala Zaid mendapat 23,272 undi. Keputusan itu diumumkan oleh Pegawai Pengurus Pilihan Raya Parlimen Hulu Selangor, Nurhisham Ahmad Dahalan pada pukul 9.20 malam di Dewan Serbaguna, Kompleks Sukan Kuala Kubu Bahru, di sini.

Seramai 49,000 atau 76 peratus daripada 64,500 pemilih berdaftar keluar menunaikan tanggungjawab masing-masing dalam pilihan raya yang diadakan berikutan kematian penyandangnya, Datuk Dr.Zainal Abidin Ahmad pada 25 Mac lalu.

Pada pilihan raya umum lalu, Allahyarham menewaskan calon BN, Datuk G.Palanivel dengan majoriti 198 undi. Kali terakhir BN menguasai kerusi Parlimen tersebut ialah pada tahun 2004 juga melalui Palanivel.

Ini merupakan kemenangan kedua berturut-turut yang dicapai oleh BN dalam sepuluh pilihan raya kecil yang diadakan sejak pilihan raya umum 2008.

Turut meraikan kejayaan BN ialah Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang tiba di dewan itu kira-kira pukul 9.10 malam, Timbalannya, Tan Sri Muhyiddin Yassin, menteri-menteri Kabinet dan pemimpin-pemimpin komponen BN.

Berdasarkan kepada keseluruhan undi yang diterima daripada tiga Dewan Undangan Negeri (DUN) yang berada di bawah Parlimen Hulu Selangor, dua daripadanya dimenangi oleh BN manakala satu lagi dimenangi oleh PKR.

BN menang di DUN Hulu Bernam dan Batang Kali tetapi tewas di Kuala Kubu Bahru yang pada pilihan raya umum lalu dimenangi oleh BN dengan majoriti 448 undi.

Bagaimanapun terdapat peningkatan ketara di kalangan pengundi Cina yang majoritinya berada di dalam DUN Kuala Kubu Bahru.

Kejayaan BN di Hulu Selangor, selain dilihat sebagai kebangkitan semula BN dalam usahanya merampas kembali pemerintahan di Selangor yang kini berada di bawah pakatan pembangkang yang diketuai oleh PKR, lebih penting daripada itu, pemimpin-pemimpin BN menyifatkan ia isyarat penerimaan rakyat terhadap kepimpinan Najib dan Muhyiddin.

Sepanjang kempen berlangsung sejak 15 April lalu, kepimpinan BN terus berusaha meyakinkan pengundi-pengundi untuk menerima kembali parti itu di kawasan Parlimen berkenaan melalui penerapan gagasan 1Malaysia, Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan.

Kempen pembangkang yang terus memainkan isu syarikat perunding antarabangsa, Apco Worldwide (Apco) ternyata gagal mempengaruhi pengundi yang dilihat lebih mengutamakan isu-isu tempatan dan pembangunan.

Kamalanathan janji tunaikan tanggungjawab



P. Kamalanathan mengangkat tangan kegembiraan selepas beliau diumumkan memenangi Pilihan Raya Kecil Parlimen Hulu Selangor di pusat penjumlahan undi di Dewan Serbaguna Kompleks Sukan, Kuala Kubu Bharu, semalam. - BERNAMA

HULU SELANGOR 25 April - Calon Barisan Nasional (BN), P. Kamalanathan berkata, tanggunggjawab yang diberikan oleh rakyat Hulu Selangor kepada beliau akan mencerminkan bagaimana parti itu berkhidmat kepada rakyat.

Sambil melahirkan perasaan terharu berikutan kejayaan memenangi pilihan raya Parlimen kawasan itu, Kamalanathan berikrar akan memastikan segala janji yang dibuat sepanjang kempen berlangsung dilaksanakan secepat mungkin.

''Saya akan melawat semua pengundi di Parlimen Hulu Selangor secepat mungkin untuk mengucapkan terima kasih, sama ada mereka mengundi saya atau tidak, ia tidak menjadi persoalan kerana bagi saya semua pengundi adalah sama.

''Kejayaan ini bukan faktor saya, tetapi faktor Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan semua komponen BN," katanya pada sidang akhbar selepas pengumuman keputusan pilihan raya kecil berkenaan di Dewan Serbaguna, Kompleks Sukan Kuala Kubu Bahru, di sini, malam ini.

Dalam pilihan raya kecil itu, Kamalanathan menewaskan calon Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Zaid Ibrahim dengan majoriti 1,725 undi. Beliau mendapat 24,997 undi manakala Zaid 23,272 undi.

Mengenai perolehan undi Cina, Kamalanathan yang berjanji akan berpindah ke Hulu Selangor secepat mungkin berkata, beliau akan bekerja keras bukan sahaja untuk mendapat undi kaum tersebut tetapi juga semua kaum.

Sambil mengucapkan terima kasih kepada Presiden MIC, Datuk Seri S.Samy Vellu kerana mencalonkan beliau, Kamalanathan percaya undi kaum India sudah bertambah dan semakin pulih.

APA KATA ORANG KALAH
Terus berjuang, kerja lebih kuat - Nik Aziz
Mohd Nor Yahya
KOTA BHARU, 26 April: Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata, kekalahan adalah motivasi untuk terus berjuang lebih kuat bukan berpatah semangat.

Perjuangan menegakkan kebenaran melawan kebatilan katanya tidak boleh berhenti selagi manusia itu masih diberi peluang untuk hidup.

“Selagi hidup kita di muka bumi ni masih ada, perjuangan menegakkan syiar Islam mesti diteruskan, Nabi Muhammad saw berjuang selama 23 tahun dan ia harus diteruskan dalam semua aspek,” ujar beliau.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas kekalahan tipis Pakatan Rakyat pada Pilihan Raya Kecil Hulu Selangor semalam.

Beliau ditemui media selepas merasmikan program pertukaran Pelajar Muhammadiyah Padang Sumatera Barat dengan Yayasan Islam Kelantan di ibu negeri hari ini.

Biarpun kalah dari sudut undi, namun Pakatan Rakyat jelasnya tetap menang dari aspek moral.

Sokongan pelbagai kaum kepada Pakatan Rakyat jelasnya cukup membuktikan Pakatan Rakyat adalah wadah terbaik rakyat negara ini.

Selain itu kekalahan itu menurutnya menjadikan ikatan antara parti dalam Pakatan Rakyat semakin kukuh berdepan Pilihan Raya Umum akan datang.

“Kita mesti ingat di Malaysia ni walaupun kita kalah dalam pilihanraya kecil tetapi bila masuk pilihanraya umum kita menang,” katanya lagi.

Pilihanraya kecil P.94 Parlimen Hulu Selangor dimenangi calon BN P. Kamalanathan dengan majorit 1725 mengatasi calon Pakatan Rakyat Datuk Zaid Ibrahim.

Majoriti tipis, menang BN tak berbaloi- Anwar
Hazayani Zakaria
KUALA LUMPUR, 26 April: Kemenangan tipis Umno Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya kecil Parlimen Hulu Selangor semalam tidak berbaloi dengan wang yang dihabiskan ratusan juta ringgit.

Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, BN sekurang-kurangnya menghabiskan RM65,000 untuk setiap 1,725 majoriti yang dimenangi mereka.

Apatah lagi seluruh jentera kerajaan digunakan BN termasuk Suruhanjaya Pilihanraya (SPR), namun hasil yang diperolehi langsung tidak memadai.

"Lebih dari RM100 juta dihabiskan oleh BN untuk memenangi majoriti tipis di Hulu Selangor: iaitu sebanyak RM65, 000 untuk setiap orang.

"Puluhan menteri berkempen setiap hari, Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) sekali lagi melanggar etika tanggungjawab mereka untuk memastikan pilihanraya adil, dan polis melakukan dooble standard kepada penyokong PR malah ada laporan bahawa mereka menghalang beberapa pengundi melaksanakan tanggungjawab," katanya dalam satu kenyataan.

Jumlah majoriti tipis itu kata Anwar, menunjukkan BN tidak pernah belajar dari pilihan raya umum Mac 2008 lalu di mana rakyat tidak boleh diperbodohkan dengan sebarang taktik kotor dan penyalahgunaan kuasa.

"Ini bermakna bahawa Barisan Nasional tidak belajar apa-apa sejak pilihanraya umum pada Mac 2008. Pembunuhan karakter, perkauman, rasuah dan keganasan digunakan untuk membantu mereka memenangi pilihanraya kecil. Tapi rakyat tidak akan tertipu," katanya.

Pakatan Rakyat jelasnya tidak pernah putus semangat berdepan dengan segala penyalahgunaan kuasa BN sepanjang pilihan raya.

Malah katanya akan terus berusaha memberi kesedaran kepada rakyat khususnya di Selangor termasuk ke kawasan tanah-tanah Rancangan Felda.

"Kita akan meningkatkan sokongan rakyat di Hulu Selangor. Kita banyak yang perlu kita lakukan agar sasaran menarik pengundi di kawasan pedalaman dan Felda tercapai," katanya.

Ucapan terima kasih turut dirakamkan kepada seluruh jentera Pakatan khususnya dari PAS dan DAP yang memberikan sokongan padu kepada calon PKR, Datuk Zaid Ibrahim.

"Saya berterima kasih kepada petugas dari Pakatan Rakyat termasuk rakan-rakan kita dari DAP dan PAS yang menyokong calon PKR di Hulu Selangor, Datuk Zaid Ibrahim.

"Puluhan ribu penyokong PR bergabung dengan kami untuk untuk membuktikan setiap rakyat mempunyai hak untuk keamanan, keadilan, dan kemakmuran.

"Saya bersyukur atas sokongan luar biasa yang telah dipaparkan. Komitmen anda untuk mengubah kepada yang lebih baik," katanya.



Pengundi hantu’ wujud di Hulu Selangor
Harakahdaily
HULU SELANGOR, 25 April: Pengundi hantu yang sering kali diperkatakan oleh pembangkang pada pilihan raya sama ada umum atau kecil sememangnya wujud termasuk dalam pilihan raya kecil Parlimen Hulu Selangor, hari ini.

Apa yang berlaku kali ini ialah pengundi yang tidak dikenali telah terlebih dahulu mengundi bagi pihak pengundi asal sebagaimana yang terdapat dalam buku daftar pemilih tanpa pengetahuannya.

Ini ekoran seorang pengundi, Lee Fong Thye, 56, hari ini membuat laporan polis berikutan ada orang lain telah mengundi bagi pihaknya.

Beliau yang tinggal di No 28, Jalan 2/24 Taman Bukit Rawang membuat laporan di Balai Polis Serendah pada jam 2.29 petang ini.

Menurutnya, lebih kurang jam 12.30 beliau sampai di pusat mengundi Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan (C) Serendah.

Beliau telah membuat semakan di pondok panas dan namanya ada tersenarai dalam senarai pengundi di saluran 2.

Beliau masuk ke pusat mengundi di saluran 2 dan memberikan KPT (Kad Pengenalan) kepada calling agent SPR serta ketua tempat mengundi (KTM).

Bagaimanapun, katanya, beliau diberitahu namanya telah ditanda sebagai sudah mengundi.

Berikutan itu, beliau membuat bantahan kepada KTM dan telah dibenarkan untuk membuang undi setelah disahkan dokumen pengenalan diri.

“Saya membuat laporan polis kerana terdapat keraguan bagaimana nama saya telah ditanda sebagai pengundi walaupun saya belum mengundi.

“Saya juga takut sekiranya KPT saya telah disalahgunakan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab,” ujarnya dalam laporan polis itu

Benarkah BN menang?
Anak Sengat
Kemenangan MIC (Bukan umNO) memang telah dijangka. Sejak kekalahan umNO kepada tuntutan MIC, juga kekecewaan Palanivel yang gagal menjadi calon, riak kemenangan BN telah dilihat.

Namun sokongan bukan melayu kepada Pakatan Rakyat sangat memberansangkan. Semangat cocacola melayu umNO dan PERKASA brahim katak memang telah dijangka. Sokongan melayu terutama di kawasan Felda telah dijangka menjadi penghalang besar Pakatan Rakyat.

Dengan undi 23272, ia sesuatu yang sangat memberansangkan berbanding 23177 pada pilihanraya lalu. Ini menunjukkan penambahan undi sebanyak 95 undi . BN melalui MIC pula bertambah sebanyak 2018 undi berbanding yang diperolehi Palanivel pada 2008. Kemenangan MIC (bukan umNO) ini telah dijangka apabila SPR berjaya menyingkirkan sekampung pengundi Hulu Selangor yang dikenalpasti pengundi tegar Pakatan Rakyat sini.

Aura kemenangan MIC (bukan umNO) semakin kelihatan apabila SRP sekali lagi berjaya mengkucarkacirkan tempat pengundian melalui rombakan pusat pengundi.

Dilaporkan ramai yang terkeliru dengan pusat pengundian setelah dirombak. Apapun semangat juang Pakatan Rakyat tidak pernah luntur. PAS sebagai kompenan Pakatan Rakyat terus melipatgandakan usaha dan jentera sekalipun melihat kesukaran terutama setelah pengkhianatan Dr Halili yang tidak dipilih menjadi calon PKR.

Di saat PKR menghadapi serangan dan tikaman dari belakang , PAS terpaksa ke hadapan membentengi Pakatan Rakyat. TGNA yang masih keletihan telah turun membantu sekalipun mendapat pelbagai halangan.TG Presiden telah lama berada di Hulu Selangor.

Ust Nasarudin yang memikul jentera PAS terpaksa melipatgandakan kekuatan jentera menghadapi situsi sukar ini. Mereka yang berada di meda menyaksikan kesungguhan jentera PAS. Hanya mereka yang melihat dari kajauhan dan melapor dari sumber songsang yang menafikan kesungguhan PAS.

Kepimpinan PAS membuktikan kesetiaan di saat rakan Pakatan sedang bergelumang dengan serangan hebat depan dan belakang. DAP yang menjaga bukan melayu tidak menghadapi kesukaran kerana sememangnya kaum bukan melayu khususnya Cina tetap bersama Pakatan Rakyat. Ternyata sokongan bukan melayu tetap bersama Pakatan Rakyat.

Kemenangan tipis dan peningkatan undi Pakatan Rakyat tetap dilihat sebagai satu kemenangan moral berbanding BN yang menjangkakan majoriti lebih 6000 sebagaimana dilaporkan sini. Harapan Mahyudin berkecai apabila majoriti tidak mencecah 2000 .

Ia sesuatu yang memalukan apabila sasaran itu tidak menepati sedangkan ianya dibuat oleh seorang TPM yang memiliki akses maklumat daripelbagai sumber. Mungkin Bloger BN akan menyatakan ianya sebagai psywar (perang psikologi) namun ia tetap memalukan kerana jangkaan yang terlalu meleset dari TPM. Paling membimbangkan ialah undi Cina yang lesap!

Hakikat yang tidak boleh ditolak ialah Hulu Selangor sememangnya kubu BN berdasarkan keputusan sebelum ini. faktor calon BN sebelum ini dilihat faktor kekalahan BN kerana sesuatu yang sangat pelik, BN menyapu kerusi DUN sebaliknya gagal di Parlimen. Dengan pemilihan Kamalanathan ia telah dijangka akan membawa perubahan.

Kekalahan Datuk Zaid dengan majoriti kurang 2000 bukanlah sesuatu yang mengecewakan Pakatan Rakyat. Undi tetap bertambah dalam keadaan pelbagai kesulitan termasuk dari SPR yang terpaksa dihadapi. Ianya adalah Pilihanraya Kecil.

Seluruh jentera kerajaan ditumpukan di Hulu Selangor. Malah undi pun boleh ditolak ke kawasan luar. Apakah mungkin BN melakukan perkara serupa dalam Pilihanraya umum??? tentunya sesuatu yang sangat bodoh jika bagi Bn lalakukan perkara sebegitu.

Kamalanathan akan kesaorangan dalamPilihanraya umum, apatah lagi setelah MIC sendiri kecewa dengan pemilihannya. Kegembiraan Kamalanantah hanya sementara.

Paling lama sebulan kerana selepas ini kamal satu Malaysia ini akan ditinggalkan oleh kepimpinan BN dengan sejuta janji yang telah pasti tidak akan ditunaikan sebagaimana PRK lain sebelum ini. Selamat menanggung janji yang akan menyesakkan dada kamal satu Malaysia.

* Tulisan di atas adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian Harakahdaily.net. Harakahdaily.net tidak bertanggungjawab terhadap sebarang implikasi daripada tulisan berkenaan.

Suka-sukaPESANAN DARI HANTU):-

Hantu tak boleh Mengundi......
1. Tak ada Kad Pengenalan
2. Bukan Orang...
3. Tak ada dalam Senarai( Wakil calun Peggang senarai)Tengok la....
4. Tak Ada Rumah.....Tinggal dekat kubur....
5. Tak Boleh Datang mengundi nanti calun lari....hantu tau...
6. Hantu Tak Tipu......Tak Bohong....Suka usek orang saja....
7. Dulu Pembangkang menang pun saya tak undi.....tak ada dalam senarai...
8. Maafkan Hantu jangan libatkan hantu naya.....ooooooo
9. Jangan Cakap Bohong.....dosa tau kalau betul boleh repot....
10.Orang Islam tak boleh tipu.......ALLAH MELIHAT APA YANG ANDA BUAT
11.Kalau orang suka menanglah kita....kalau tak suka kalah lah kita
12.Jangan kata orang yang salah diri sendiri fikirlah.......

setiap kali kalah ada saja pengundi hantu..........kalau perangai kita buruk apa cerita jangan naya hantu......

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.