Pages

Subscribe:

25 April, 2010

[hang nadim] Persatuan Cina Muslim dapat tanah bina masjid

KUALA LUMPUR 24 April - Penantian 12 tahun Persatuan Cina Muslim Malaysia (Macma) berakhir apabila permohonan mendapatkan tanah untuk mendirikan masjid dan kompleks kebudayaan Cina Islam dekat sini diluluskan kerajaan.

Presiden Macma, Datuk Dr. Mustapha Ma berkata, pihaknya menerima surat jawapan dari Pejabat Pengarah Tanah dan Galian Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur bertarikh 30 Mac.

Menurut beliau, surat itu antara lain memberitahu, permohonan diluluskan oleh Jawatankuasa Kerja Tanah Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur pada 15 September 2009 untuk dirizabkan sebagai tapak Masjid Cina Muslim di bawah kawalan Pesuruhjaya Tanah Persekutuan.

"Sebuah masjid dan kompleks menunaikan farhu ain dan kifayah untuk umat Islam akan dibina di atas tanah seluas 1.94 hektar (4.8 ekar) yang diluluskan kerajaan di Jalan Davis berhampiran Sekolah Rendah Jalan Pasar di sini," katanya kepada Mingguan Malaysia di sini hari ini.

Mustapha menjelaskan demikian selepas upacara perasmian seminar "Keharmonian Teras Kepelbagaian Agama" sempena Mesyuarat Agung Macma ke-16 di sini pagi ini.

Upacara perasmian itu disempurnakan bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi yang turut melancarkan buku "Laksamana Haji Muhammad Cheng Ho" tulisan Ann Wan Seng selaku Setiausaha Macma.

Kata beliau, menurut surat itu, kerja-kerja pengukuran telah dipanjangkan kepada Jabatan Ukur Dan Pemetaan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur untuk disahkan sebelum urusan mewartakan tapak tersebut di bawah Seksyen 62 Kanun Tanah Negara boleh diteruskan.

Sehubungan kelulusan ke atas tanah tersebut, kata Mustapha, pihaknya diberi kebenaran menjalankan kerja-kerja awal di atas tapak itu sementara menunggu urusan pewartaan tapak diselesaikan.

Ujarnya, reka bentuk masjid itu akan menggabungkan ciri-ciri senibina tradisi Cina dengan kesenian Islam.

"Dengan terbinanya masjid dan kompleks berciri reka bentuk tersebut, kita dapat membuktikan bahawa Islam itu bukan milik sesuatu kaum malah untuk semua keturunan dan manusia sejagat," ujarnya.

Mengenai perbelanjaan membina masjid itu, Mustapha berkata, walaupun pihaknya tidak mempunyai status hak milik ke atas tanah tersebut namun penderma sudah bersedia menyumbang dengan syarat Macma mendapat tanah.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.