Pages

Subscribe:

23 April, 2010

[hang nadim] Kerjasama industri pertahanan

Oleh NIZAM YATIM
nizam.yatim@utusan.com.my





Najib Tun Razak dan Ahmad Zahid Hamidi menyaksikan perjanjian persefahaman antara SME Ordnance Sdn. Bhd. yang diwakili oleh Mohd. Shahrom Nordin (kiri) dan PT Pindad dari Indonesia oleh pengarah urusannya, Adik Avianto Soedarsono mengenai kerjasama pertahanan sempena DSA 2010 di Pusat Dagangan Dunia Putra, Kuala Lumpur, semalam. – Bernama

KUALA LUMPUR 22 April – Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini menyaksikan majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) antara SME Ordnance Sdn. Bhd. (SMEO) dan PT Pindad dari Indonesia mengenai kerjasama dalam industri pertahanan.

MoU itu yang ditandatangani di ruang pameran SMEO di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini bertujuan mewujudkan platform kerjasama membabitkan pertukaran idea, pengetahuan, kepakaran dan pengeluaran kelengkapan ketenteraan.

Ia sempena Pameran dan Persidangan Perkhidmatan Pertahanan Asia (DSA) 2010 selama empat hari yang berakhir hari ini.

Turut menyaksikan majlis itu ialah Menteri Pertahanan, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dan rakan sejawatannya dari Indonesia, Prof. Dr. Ir. Purnomo Yusgiantoro.

Pada majlis itu, SMEO diwakili Pengarah Eksekutifnya, Jeneral (B) Tan Sri Mohd. Shahrom Nordin manakala PT Pindad oleh Pengarah Urusannya, Adik Avianto Soedarsono.

SMEO dalam satu kenyataan berkata, MoU itu melambangkan semangat kerjasama antara negara-negara ASEAN seperti yang telah diilhamkan semasa Mesyuarat Menteri-Menteri Pertahanan ASEAN di Bangkok pada November tahun lalu.

Dalam pada itu, Perdana Menteri turut meluangkan masa satu setengah jam untuk mendengar taklimat mengenai produk pertahanan yang dipamerkan termasuk oleh peserta terbesar DSA 2010, DRB-Hicom Defence Technologies Sdn. Bhd. (Deftech).

Deftech mempamerkan pelbagai kenderaan ketenteraan dan subsistem sokongan termasuk kereta perisai buatan tempatan, Deftech AV-8.

Sementara itu, Najib dalam kata-kata aluan dalam buku cenderamata DSA 2010 berkata, Malaysia akan meneruskan dialog berkaitan pertahanan dan keselamatan dengan negara lain di seluruh dunia.

Beliau berkata, kerjasama itu membabitkan perkongsian pengetahuan dan aktiviti yang boleh mewujudkan peluang ekonomi dalam bidang pertahanan dan keselamatan untuk manfaat semua pihak.

Mengenai peranan yang boleh dimainkan syarikat tempatan yang menyediakan perkhidmatan dan mengeluarkan produk pertahanan, beliau berkata, mereka perlu mewujudkan kerjasama dengan syarikat lain di seluruh dunia.

“Ini bertujuan meningkatkan kualiti dan daya saing perkhidmatan dan produk yang dihasilkan oleh mereka,” ujarnya.

DSA 2010 adalah pameran pertahanan dan keselamatan terbesar Asia dan kelima paling berprestij di dunia bagi mempamerkan teknologi terkini yang boleh dimanfaatkan oleh agensi keselamatan dan penguatkuasaan di seluruh dunia.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.