Pages

Subscribe:

25 April, 2010

Pengingkaran yang serius - PM

Oleh MOHAMAD SHOFI MAT ISA
shofi.isa@utusan.com.my

HULU SELANGOR 24 April - Datuk Seri Najib Tun Razak menganggap Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat telah melakukan 'pengingkaran yang serius' apabila mempertikaikan titah Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah supaya tidak menggunakan masjid sebagai pentas politik.

Perdana Menteri berkata, tindakan itu mencerminkan bahawa pihak pembangkang tidak menghormati sama sekali sesuatu yang telah ditetapkan mengikut Perlembagaan negara dan prinsip dalam agama Islam.

"Ini satu perbuatan yang dikutuk di sisi agama Islam kalau sesama umatnya sendiri berbalah terutamanya dalam rumah Allah, sebab itu larangan yang dibuat Sultan Selangor perlu dan amat dikehendaki untuk kita semua.

"Sama ada kita merupakan rakyat tempatan atau luar, kita semua perlu menghormati dan mengikuti apa yang dititahkan oleh Sultan Selangor itu," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas menghadiri program sarapan 1Malaysia bersama Perdana Menteri di Kampung Gumut Tambahan, Kalumpang di sini hari ini.

Semalam, Nik Abdul Aziz mempertikaikan titah Sultan Sharafuddin supaya tidak menggunakan masjid untuk berkempen apabila menyatakan perbuatan berkenaan tidak salah.

Menurut Menteri Besar Kelantan itu, perbuatan menggunakan masjid sebagai tempat berpolitik dilakukan oleh Nabi Muhammad SAW pada masa lalu.

"Siapa ajar tidak boleh cakap politik dalam masjid. Ini ajaran karut yang ditinggalkan Inggeris dan digunakan oleh Muslim," kata Nik Abdul Aziz.

Mengulas lanjut, Perdana Menteri berkata, larangan agar tidak menjadikan masjid sebagai medan berpolitik itu bukan hanya dibuat di negeri Selangor tetapi turut diamalkan di negeri-negeri lain.

"Apabila Sultan Selangor membuat larangan tersebut, ia bukan ada kelainan dengan negeri-negeri lain di negara ini.

"Boleh dikatakan semua raja ataupun sultan negeri-negeri lain telah membuat larangan agar masjid tidak digunakan sebagai medan politik ataupun memberi ucapan bersifat politik," katanya.

Beliau juga percaya rakyat di Hulu Selangor pasti terguris hati kerana tindakan mempertikai titah Sultan Sharafuddin itu merupakan satu bentuk penghinaan kepada sultan mereka.

"Masjid dibina untuk beribadat, mendekatkan diri dengan Allah, menunjukkan ciri-ciri akhlak yang baik dan mulia dan bukanlah untuk kita berbalah antara satu sama lain," katanya

Rujuk Anwar ke jawatankuasa bukti BN adil

HULU SELANGOR 24 April - Keputusan Dewan Rakyat untuk merujuk Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim kepada Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen membuktikan Barisan Nasional (BN) bersikap adil terhadap semua pihak termasuk pemimpin pembangkang.

Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, tindakan Anwar mengeluarkan kenyataan mengelirukan yang mengaitkan gagasan 1Malaysia dengan sebuah syarikat perhubungan awam yang didakwanya mempunyai kaitan dengan Israel merupakan dakwaan serius dan tidak berasas.

Perdana Menteri berkata, BN boleh menggunakan kuasa majoriti di Dewan Rakyat untuk terus menghukum dan menggantung keanggotaan Anwar tetapi tidak melaksanakan langkah sedemikian.

''Kalau kita (BN) gunakan kuasa majoriti, kita boleh terus hukum Anwar dan gantung keanggotaannya, tetapi kita tak guna jalan tersebut sebaliknya beri peluang untuk dia membela diri, mengeluarkan sebarang hujah dan selepas itu dia akan ditentukan dan diadili oleh jawatankuasa berkenaan," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas menghadiri program sarapan 1Malaysia bersama Perdana Menteri di Kampung Gumut Tambahan, Kalumpang di sini hari ini.

Khamis lalu, Dewan Rakyat meluluskan usul untuk menghadapkan Anwar ke Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen kerana mengeluarkan kenyataan mengelirukan yang mengaitkan gagasan 1Malaysia dengan sebuah syarikat perhubungan awam yang didakwanya mempunyai kaitan dengan Israel.

Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Ronald Kiandee memutuskan demikian secara undian suara setelah ahli-ahli Parlimen pembangkang berkeras enggan mendengar penggulungan usul itu yang sepatutnya dibentangkan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz, sebaliknya mendesak agar ia ditarik balik.

Mengulas lanjut, Perdana Menteri berkata, BN tidak sesekali akan masuk campur dalam perkara tersebut dan biarlah jawatankuasa berkenaan meneliti secara mendalam mengenai dakwaan Anwar itu.

''Kini terserah kepada jawatankuasa berkenaan untuk meneliti dan membuat keputusan mengenai dakwaan Ketua Pembangkang itu," katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.