Pages

Subscribe:

03 April, 2010

[hang nadim] Malaysia disaran adakan kerjasama dengan Scotland









Malaysia disaran adakan kerjasama dengan Scotland

Sir Jackie Stewart (kiri) bersama Andrew Sill (kanan) menyerahkan cek berjumlah RM70,000 untuk Persatuan Dyslexia yang diterima oleh Sariah Amirin selepas merasmikan pembukaan sekolah kanak-kanak dyslexia di Kuantan, kelmarin. - BERNAMA

KUANTAN 2 April - Bekas juara dunia Formula Satu (F1), Sir Jackie Stewart mencadangkan kepada kerajaan Malaysia supaya mengadakan kerjasama dengan Scotland bagi membantu kanak-kanak disleksia di negara ini.

Stewart yang juga Duta Kumpulan Royal Bank of Scotland (RBS) turut menyatakan kesediaannya untuk membantu Malaysia mendapatkan bantuan daripada kementerian dan agensi-agensi berkaitan di negaranya.

Beliau amat berharap kerajaan Malaysia mengunjungi dan melihat bagaimana negaranya menangani disleksia iaitu mengalami kesukaran menulis, mengeja dan membaca di kalangan kanak-kanak.

Katanya, ini termasuk dalam menyediakan guru-guru agar dapat mengesan pelajar yang mengalami masalah itu di peringkat awal.

"Dianggarkan 300,000 kanak-kanak di Malaysia dilahirkan dengan masalah disleksia," katanya ketika ditemui selepas Majlis Pembukaan Sekolah Kanak-Kanak Disleksia di sini semalam.

Hadir sama Eksekutif Negara RBS di Malaysia Andrew Sill dan Presiden Persatuan Disleksia Malaysia (MDA), Sariah Amirin.

Dalam majlis itu, RBS turut menyampaikan cek sumbangan RM70,000 kepada MDA.

Menurut Stewart, beliau telah menyampaikan pandangannya mengenai perkara itu kepada Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Pelajaran, Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam pertemuan di Putrajaya, September lalu dan mendapat maklum balas positif.

"Adalah penting mengesan masalah berkenaan pada kanak-kanak di peringkat awal supaya mereka dapat diberikan perhatian dan bantuan khas," katanya.

Tambah beliau, kanak-kanak disleksia tanpa perhatian khas akan berakhir dengan kemungkinan terlibat dalam jenayah, dadah dan alkohol kerana mahu lari dari masalah rendah diri.

Stewart dikenali di seluruh dunia sebagai seorang individu yang mempunyai semangat luar biasa.

Walaupun mengalami disleksia, beliau berjaya mencipta nama hasil kegigihan dan minat dalam bidang lumba motor sehingga berjaya menjadi pelumba F1 terbaik.

Selain memiliki pasukan F1 sendiri, Stewart turut cemerlang dalam dunia penyiaran dan perniagaan.

Stewart yang memenangi kejuaraan F1 sebanyak tiga kali iaitu pada 1969, 1971 dan 1973, telah memandu dalam 99 perlumbaan Grand Prix dengan mencatat 27 kemenangan.



Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.