Pages

Subscribe:

07 April, 2010

[hang nadim] Nilai warga emas kurang RM10 sebulan?



Shahrizat Abdul Jalil memperkatakan sesuatu kepada Mohamad Hasan selepas taklimat program pembasmian kemiskinan dan kebajikan Negeri Sembilan di Bilik Gerakan, Wisma Negeri di Seremban, semalam.

SEREMBAN 6 April - Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil hari ini melahirkan rasa simpati dengan nasib warga emas di negeri yang diperintah pembangkang kerana cuma menerima bantuan RM100 setahun.

Sambil merujuk kepada Kerajaan Negeri Pulau Pinang di bawah pimpinan Ketua Menteri daripada DAP iaitu Lim Guan Eng, kata Shahrizat, pemberian RM100 setahun kepada warga emas adalah sesuatu yang sangat memalukan.

"Saya rasa malu bila terbaca Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim (Guan Eng) memberi cuma RM100 setahun kepada warga emas. Kalau dikira tidak sampai RM10 sebulan.

"Pemberian itu kononnya bantuan dan penghargaan. Sebagai menteri yang menjaga kebajikan saya rasa malu dengan cara mereka menjaga orang tua yang kononnya untuk membela nasib rakyat," katanya.

Beliau berkata demikian selepas mendengar taklimat program pembasmian kemiskinan dan kebajikan Negeri Sembilan di Bilik Gerakan, Wisma Negeri di sini hari ini.

Program bersempena lawatan beliau ke negeri ini turut dihadiri oleh Menteri Besar, Datuk Mohamad Hasan; Speaker Dewan Undangan Negeri, Datuk Razak Mansor dan Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Mat Ali Hassan.

Shahrizat dengan nada kesal menambah, tindak tanduk pemimpin pakatan pembangkang itu seolah-olah menunjukkan golongan warga emas tiada nilai kepada mereka.

"Takziah kepada warga emas di Pulau Pinang kerana nilai mereka kepada pemimpin mereka cuma kurang RM100. Itulah nilai warga emas di Pulau Pinang," katanya lagi.

Menurutnya, pemberian tersebut bukan sahaja tidak membantu menghapuskan kemiskinan penduduk di negeri tersebut malah tidak mampu membela nasib golongan itu.

"Golongan ini bernasib baik kerana masih ada kerajaan Persekutuan yang tampil membantu dan membela nasib mereka," katanya.

Jelasnya, pencapaian atau rekod pembasmian kemiskinan di negeri yang ditadbir kerajaan Barisan Nasional (BN) berjalan lebih baik.

"Bila saya datang ke Negeri Sembilan di bawah kerajaan BN saya dapati program pembasmian kemiskinan dan kebajikan berjalan begitu baik sekali.

"Saya nak ucapkan tahniah kepada Menteri Besar Negeri Sembilan kerana mengikut rekod pencapaian dalam program pembasmian kemiskinan begitu baik sekali jika dibandingkan dengan kerajaan Pulau Pinang di bawah pakatan pembangkang," ujarnya.

Kata Shahrizat lagi, sehingga 25 Mac lalu statistik e-Kasih negeri ini mencatatkan hanya terdapat 95 keluarga dikategorikan miskin tegar dan 646 dalam kategori miskin iaitu mempunyai pendapatan isi rumah di bawah RM440 sebulan.

"Ini menjelaskan bahawa program Jaringan Keselamatan Sosial yang dilaksanakan di negeri ini amat baik sekali.

"Untuk 646 keluarga itu kita akan bekerjasama dengan semua Exco kerajaan negeri dan pemimpin-pemimpin untuk mengadakan program berkaitan di bawah 1Azam.

"Kita yakin akan mencapai sasaran NKRA (Bidang Keberhasilan Utama Negara) untuk pembasmian kemiskinan tegar dan miskin di Negeri Sembilan pada hujung tahun ini atau lebih awal lagi," katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.