Pages

Subscribe:

07 April, 2010

[hang nadim]Anwar jangan jadi pengecut - Musa

KUALA LUMPUR 6 April – Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan hari ini mencabar Datuk Seri Anwar Ibrahim supaya tidak menjadi pengecut apabila hanya berani menuduh Polis Diraja Malaysia (PDRM) di Parlimen kononnya pasukan itu bekerjasama dengan perisik Israel.

Sehubungan itu, beliau menggesa Ketua Pembangkang tersebut mengemukakan bukti dengan segera agar siasatan dapat dijalankan.

“Jika membuat tuduhan (perisik Israel) tanpa sebarang bukti, saya anggap dia (Anwar) pengecut.

“Datang dan beritahu siapa sahkan dakwaan itu? Saya tidak pernah dengar dakwaan sedemikian,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Musa pada masa sama, turut menafikan sekeras-kerasnya bahawa PDRM menjalin sebarang bentuk kerjasama keselamatan dengan rejim zionis berkenaan.

Musa diminta mengulas kenyataan Anwar yang ketika membahaskan bajet tambahan Kementerian Dalam Negeri di Dewan Rakyat mendedahkan kewujudan perisik Israel yang bertugas di Bukit Aman.

Sambil mengemukakan beberapa dokumen bagi menyokong dakwaan tersebut, dakwa Anwar, perkara itu telah disahkan oleh cawangan khas Bukit Aman.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Permatang Pauh turut menamakan sebuah syarikat yang dikatakan berpangkalan di Israel yang telah mendapat projek berkaitan teknologi maklumat dan komunikasi di Bukit Aman.

Najib nafi konsep 1Malaysia berasal dari Israel

SINGAPURA 6 April - Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, konsep 1Malaysia ialah idea asal dan bukan ditiru dari Israel atau dari mana-mana negara di dunia.

"Ia adalah idea saya dan sesetengah rakan saya," kata beliau di hadapan lebih 100 wartawan asing yang berpejabat di Singapura pada jamuan makan gala anjuran Persatuan Koresponden Asing (FCA) Singapura di sini malam ini.

Katanya, konsep 1Malaysia adalah ciptaan Malaysia dan beliau menafikan dakwaan sesetengah pihak bahawa ia berasal dari Israel atau negara lain.

Baru-baru ini, ketua pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim mendakwa bahawa konsep 1Malaysia Najib ada persamaan dengan konsep "One Israel".

Perdana Menteri itu berkata, sungguhpun konsep satu bukan baru kerana banyak negara seperti China menggunakannya untuk mempromosi semangat pemilikan atau bersama-sama di kalangan rakyatnya, konsep 1Malaysia lebih daripada itu, iaitu 1Malaysia - Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan.

Najib yang tiba di sini lewat petang tadi dengan diiringi isteri beliau, Datin Seri Rosmah Mansor untuk menghadiri jemputan FCA, berucap selama setengah jam sebelum sesi soal jawab selama 45 minit.

Perdana Menteri memulakan ucapannya dengan panjang lebar mengenai konsep 1Malaysia dengan mengatakan ketika beliau mengambil alih jawatan itu beliau menyedari bahawa pengundi mahukan satu perubahan transformasi yang besar dan bukan secara pertambahan dalam mentadbir negara.

Beliau berkata, tsunami politik pada pilihan raya umum 2008 apabila Barisan Nasional (BN) buat kali pertama hilang majoriti dua pertiga di Parlimen, menunjukkan bahawa rakyat mahukan perubahan politik dan ekonomi yang besar di Malaysia.

Najib menerangkan bagaimana konsep 1Malaysia diilhamkan dan ia menjadi satu program yang berjaya seperti Program Transformasi Kerajaan (GTP), Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) dan Model Ekonomi Baru (MEB), yang menjadi tonggak utama konsep itu.

Beliau berkata, konsep itu merupakan satu falsafah panduan untuk kerajaan Malaysia memberikan khidmat kepada rakyat tanpa mengira bangsa dan budaya, yang menekankan bahawa hasrat utama mana-mana kerajaan ialah untuk berkhidmat kepada rakyat. - BERNAMA

MPM anjur kongres bincang MEBKUALA LUMPUR 6 April - Majlis Perunding Melayu (MPM) akan menganjurkan Kongres Ekonomi Bumiputera bagi membincangkan Model Ekonomi Baru (MEB) secara khusus.

Kongres berkenaan bakal diadakan pada 29 Mei ini bertempat di Kuala Lumpur.

Ahli Jawatankuasa Pemandu MPM, Tan Sri Abu Zahar Ujang berkata, Pengerusi Majlis Penasihat Ekonomi Negara (MPEN), Tan Sri Amirsham A. Aziz akan dijemput menyampaikan ucaptama pada kongres berkenaan.

Katanya, ucaptama itu kemudiannya akan diulas oleh beberapa pakar dalam pelbagai bidang yang berkaitan.

"Justeru semua 96 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang bergabung di bawah MPM digalakkan untuk menganjur perbincangan dan kajian dalam pelbagai bentuk seperti forum, seminar meja bulat dan sebagainya mengenai MEB.

"NGO-NGO ini diharap dapat menyediakan usul-usul yang dianggap penting dan seterusnya dikemukakan kepada urus setia MPM untuk dinilai oleh Jawatankuasa Penapis bagi membuat kesimpulan berbentuk memorandum dan sebagainya, di bawah nama MPM," katanya dalam kenyataan akhbar, di sini hari ini.

Mengulas lanjut Abu Zahar berkata, pada sebelah petangnya kongres akan menyediakan dan melengkapkan resolusi-resolusi yang dirumus dalam bentuk memorandum.

Katanya, memorandum berkenaan dijangka diserahkan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang turut dijemput untuk menyempurnakan majlis penutupan kongres

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.