Pages

Subscribe:

23 April, 2010

[hang nadim] Penjelasan tentang zihar

oleh Ustaz Mohd Ravi Bin Abdullah
SOALAN:

ADAKAH jatuh zihar sekiranya secara bergurau saya berkata pada isteri saya (ketika membeli kasut) "tahulah kaki awak sama dengan kaki mak saya" (merujuk pada bentuk). Bagaimana untuk menebus zihar tersebut sekiranya ia terjadi.

JAWAPAN:

Tidak disabitkan jatuh hukum zihar ke atas pasangan suami isteri dalam senario ini kerana kekurangan syarat zihar yang ketiga dan keenam daripada syarat-syarat zihar di bawah:

1. Suami mestilah seorang yang Muslim dan sudah baligh (mukalaf).

2. Hubungan suami-isteri di antara mereka hendaklah masih sah.

3. Gaya bahasa (sighah) lafaz yang digunakan oleh suami memang bermaksud untuk menziharkan isteri.

4. Perumpamaan yang dikenakan oleh suami kepada isteri secara keseluruhan dirinya atau sebahagian sahaja.

5. Persamaan yang disebut di antara isterinya dengan mana-mana perempuan lain yang haram baginya nikah sama ada sementara atau selama-lamanya.

6. Persamaan yang disebut membawa makna haramnya hubungan suami-isteri di antara mereka.

Menurut buku al-Mughni dalam Kitab Zihar kebanyakan ulama termasuk Imam al-Syafie yang menjadi pegangan utama di Malaysia, jika seseorang suami berkata sesuatu yang mirip zihar akan tetapi niatnya mulia atau menyifatkan isterinya seperti ibunya pada saiz, bentuk atau sifat-sifat lain seperti kecantikan maka tidak dikira zihar.

Ia bergantung kepada niat dan cara perkara yang disebutkan oleh suami itu dimaksudkan bagi Imam al-Syafie. Ini kerana pada kebiasaannya, suami menyebut begitu pada perkara-perkara yang mulia berbanding yang haram di mana-mana ia jarang-jarang berlaku.

Apalagi isu zihar ini berakar-umbi dalam masyarakat Arab sebenarnya dengan niat yang jelas untuk memudaratkan isteri dari sudut hubungan perkahwinan terutamanya ketika berlaku perselisihan atau dalam keadaan marah yang biasanya bernada sumpah (halaf).

Inilah faktor (qarinah) yang membawa kepada jatuhnya pensabitan hukum zihar kerana Islam membatalkan persamaan zihar dengan implikasi talak dalam masyarakat Arab jahiliah lampau.

Hal ini agak canggung dalam budaya Melayu atau Malaysia amnya. Apabila kita di Malaysia mengumpamakan sesuatu yang sepunya di antara si isteri dan sang ibu biasanya tidak bermaksud untuk menggugat hubungan perkahwinan di antara suami dan isteri secara langsung.

Ini adalah satu perbezaan budaya yang sangat ketara dan Islam terutama dalam bab fekah mengiktiraf perbezaan budaya seperti prinsip usul fikah: Al-'adah muhakkamah- budaya menentukan.

Namun untuk pengetahuan umum buat kesekian kalinya, kisah turunnya hukum zihar dan cara menebus kesalahan zihar adalah seperti yang difirmankan oleh Allah SWT dalam surah al-Mujadalah, ayat 1-5: Sesungguhnya Allah telah mendengar (dan memperkenan) aduan perempuan yang bersoal jawab denganmu (wahai Muhammad) mengenai suaminya, sambil ia berdoa merayu kepada Allah (mengenai perkara yang menyusahkannya), sedang Allah sedia mendengar perbincangan kamu berdua. Sesungguhnya Allah Maha Mendengar, lagi Maha Melihat. [1] Orang-orang yang menziharkan isterinya dari kalangan kamu (adalah orang-orang yang bersalah, kerana) isteri-isteri mereka bukanlah ibu-ibu mereka. Ibu-ibu mereka tidak lain hanyalah perempuan-perempuan yang melahirkan mereka. Dan sesungguhnya mereka (dengan melakukan yang demikian) memperkatakan suatu perkara yang mungkar dan dusta. Dan (ingatlah), sesungguhnya Allah Maha Pemaaf, lagi Maha Pengampun. [2] Dan orang-orang yang menziharkan isterinya, kemudian mereka berbalik dari apa yang mereka ucapkan (bahawa isterinya itu haram kepadanya), maka hendaklah (suami itu) memerdekakan seorang hamba sebelum mereka berdua (suami isteri) bercampur kembali. Dengan hukum yang demikian, kamu diberi pengajaran (supaya jangan mendekati perkara yang mungkar itu). Dan (ingatlah), Allah Maha Mendalam Pengetahuan-Nya akan apa yang kamu lakukan. [3] Kemudian, sesiapa yang tidak dapat (memerdekakan hamba), maka hendaklah ia berpuasa dua bulan berturut-turut sebelum mereka (suami isteri) itu bercampur. Akhirnya sesiapa yang tidak sanggup berpuasa, maka hendaklah ia memberi makan enam puluh orang miskin. Ditetapkan hukum itu untuk membuktikan iman kamu kepada Allah dan rasul-Nya (dengan mematuhi perintah-Nya serta menjauhi adat Jahiliyah). Dan itulah batas-batas hukum Allah; dan bagi orang-orang yang kafir disediakan azab seksa yang tidak terperi sakitnya. [4] Sesungguhnya orang-orang yang menentang (perintah) Allah dan rasul-Nya, mereka tetap ditimpa kehinaan sebagaimana orang-orang yang terdahulu dari mereka ditimpa kehinaan; kerana sesungguhnya Kami telah menurunkan keterangan-keterangan yang jelas nyata. Dan bagi orang-orang yang kafir disediakan azab seksa yang menghinakan mereka. [5

Jangan lupa Allah
Oleh Hamizul Abdul Hamid



Abu Bakar Lam Abdullah (dua dari kiri) menerima hamper daripada wakil LZS yang mengunjungi mereka di Ampang, Selangor, baru-baru ini.

Kemiskinan adalah relatif. Ada orang menjadi miskin kerana keturunan dan ada orang yang menjadi miskin dek faktor persekitaran. Bagi pasangan asnaf Abu Bakar Lam Abdullah, 45 dan Asmaton Bokari, 38, mereka miskin kerana faktor kesihatan.

Kedua-duanya diuji Allah SWT dengan sakit yang kronik, Abu Bakar baharu sahaja diserang angin ahmar manakala Asmaton, baharu sahaja menyudahkan rawatan kemoterapi akibat kanser payu dara.

"Suami saya ini keturunan Baba Nyonya Melaka, beliau memeluk Islam sewaktu usianya 22 tahun dahulu. Saya pula berasal dari Ijok, Kuala Selangor dan dibesarkan di sekitar Kuala Lumpur. Kini, kami menumpang tanah ibu bapa saya di Ampang. Inilah rumah saya, kecil sahaja," demikian Asmaton berbicara.

Beliau ramah melayani kunjungan wakil Lembaga Zakat Selangor (LZS) ke rumahnya di Kampung Tengah Lembah Jaya, Ampang, Selangor, baru-baru ini.

Abu Bakar Lam dahulu bekerja sebagai pemandu lori, sehinggalah diserang angin ahmar pada Disember 2009.

"Waktu itu saya mahu membuang air. Terketar-ketar saya menggagahkan diri untuk keluar. Ahli keluarga kemudiannya segera membawa saya ke Hospital Ampang dan sehingga kini, saya masih menjalani rawatan fisioterapi di sana," katanya.

Menyambung bicara Abu Bakar Lam berkata, tidak betah berdiam diri dan hanya bergantung kepada bantuan orang, beliau menggagahkan diri mencari pekerjaan.

Alhamdulillah, kini beliau baharu diterima menjadi pengawal keselamatan di sekolah dan dijanjikan imbuhan bulanan RM900.

Kediaman pasangan ini biar kecil namun keadaannya kemas teratur.

Tiada sampah-sarap atau baju dan kain yang bergayutan di sana-sini. Tiada bau yang kurang enak atau pemandangan yang menyenakkan. Pendek kata, mereka memang mengutamakan kebersihan.

Alhamdulillah pasangan ini dikurniakan enam anak semuanya. Pertama, Alif Amirul Adib, 18, yang kini sedang menolong bapa saudaranya berniaga kedai makan di Ampang.

Anak sulung mereka mendapat 3A, 3B dan 2C dalam Sijil Pelajaran Malaysia dan kini menunggu panggilan ke institusi pengajian tinggi.

Anak kedua, Aina Fatin Atirah, 17, belajar dalam bidang masakan di Sekolah Menengah Vokasional Puteri, Temerloh Pahang.

Anak ketiga, Aida Fatin Farhana, 16 menuntut di Sekolah Menengah Teknik Setapak dan juga mengidap masalah radang paru-paru serta menjalani rawatan di Hospital Kuala Lumpur.

Anak keempat, Arif Amirul Akmal, 14, pula menuntut di Sekolah Menengah Taman Kosas. Anak kelima, Afif Amirul Adha, 11, pula mendapat tawaran belajar di Sekolah Sukan Bukit Jalil kerana aktif dalam olahraga.

Anak bongsu, Aiqa Fatin Farah Ayu, 4. Malangnya doktor mengesahkan dia mempunyai masalah injap jantung sempit dan kini dirujuk ke Institut Jantung Negara.

"Menurut doktor, anak saya ini mengidap masalah ini kerana kesan kelahiran pra-matang. Waktu itu memang doktor ada memberi tahu risiko jika menunggu kandungan saya matang, kerana sewaktu itu saya sudah didiagnos mengidap sakit buah pinggang," kata Asmaton.

Keluarga ini benar-benar diuji Allah SWT. Bayangkan, Asmaton sendiri pernah mendapatkan rawatan dialisis lantaran buah pinggang sebelah kanannya rosak dan disahkan pula mengidap kanser payu dara.

Suaminya, diserang angin ahmar pula. Dua anak mereka, seorang mengidap radang paru-paru dan seorang lagi injap jantungnya sempit. Alang-alang orang, pasti tak tertanggung rasanya.

"Memang semasa mula-mula disahkan mengidap kanser, sukar juga untuk saya menerimanya. Apatah lagi suami saya pula diserang angin ahmar. Bahkan doktor syak buah pinggang suami saya pula rosak.

"Namun, saya cuba mencari hikmah di sebalik semua dugaan ini. Mungkin Allah SWT mahu memberikan peringatan. Mungkin saya ada melakukan apa-apa kesalahan. Saya merenung diri, saya jumpa mak dan ayah dan minta agar mereka memberikan ampun jika saya terkhilaf selama ini.

"Jika direnungkan, memang ujian Allah banyak sekali. Sudahlah kami keluarga miskin, diuji pula dengan kesakitan demi kesakitan. Lalu, apabila jiwa tertekan, kepada Allah tempat saya mencari pedoman.

"Malam-malam saya bangun, solat istikharah, hajat dan taubat menjadi teman. Bagi saya, Allah adalah sebaik-baik tempat untuk mengadu," jelasnya.

Kesusahan keluarga ini mendapat perhatian daripada LZS. Sejak tahun 2005, nama mereka sudah didaftarkan sebagai asnaf miskin.

Dengan itu, mereka layak mendapat pelbagai bantuan seperti bantuan menyambut Ramadan, bantuan saraan bulanan termasuk makanan, bantuan pendidikan anak-anak, bantuan baik pulih rumah dan sebagainya.

"Sering saya menangis saat mengadap Allah pada waktu malam. Saya sedar, Allah pilih saya untuk terima ujian ini pasti ada sebabnya. Namun, saya bersyukur kepada Allah, kerana di sebalik kesusahan itu ada kesenangan.

"Rezeki kami sekeluarga nampaknya tidak pernah putus. Bahkan seorang sahabat saya sudi menaja rawatan kanser saya di sebuah pusat rawatan swasta. Rezeki anak-anak saya, khususnya dalam pelajaran mereka, juga dimudahkan Allah," kata Asmaton.

Beliau mengakui memang tidak mampu menghantar anak-anak mengikuti kelas tambahan. Namun beliau tidak lupa berpuasa setiap kali mereka akan menduduki peperiksaan.

"Saya lakukan solat hajat untuk mereka. Anak-anak pernah berkata, tidak mengapa rumah kita kecil, janji kita tidak lupa Allah. Mereka janji kepada saya, nanti dapat ijazah, mereka akan ubah nasib keluarga.

"Sekalung ucapan terima kasih kepada semua pembayar zakat. Dalam doa, sering saya bermohon kepada Allah, agar dimurahkan rezeki mereka yang membayar zakat ini.

"Mereka memberi dengan ikhlas daripada rezeki yang halal. Bahkan, saya juga berazam untuk keluar daripada kepompong kemiskinan ini dan merasai sendiri, nikmatnya menjadi seorang pembayar zakat," azamnya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.