Pages

Subscribe:

22 April, 2010

[hang nadim]Patuhi kuasa raja-raja Melayu

Oleh Ani Awang
pengarang@utusan.com.my

IPOH 22 April - Raja Muda Perak, Raja Dr. Nazrin Shah bertitah, kuasa mutlak raja-raja Melayu dalam urusan agama Islam dan adat Melayu di sesebuah negeri hendaklah terus dipertahankan dan dipatuhi oleh semua pihak.

Baginda bertitah, malah kuasa raja-raja Melayu dalam urusan agama Islam dan adat Melayu tidak pernah diserahkan kepada mana-mana pihak lain termasuk ketika di bawah pengaruh pentadbiran British dan penjajahan Jepun.

Titah baginda, selepas negara mencapai kemerdekaan, urusan agama Islam dan adat Melayu kekal di bawah bidang kuasa raja pemerintah di negeri masing-masing dan prinsip ini hendaklah terus dihormati.

"Sempadan pembahagian kuasa tersebut hendaklah sentiasa dipatuhi dan kedudukan Raja-Raja Melayu hendaklah senantiasa dimuliakan.

"Pandangan dan pendirian raja-raja Melayu perlu terlebih dahulu dirujuk dalam apa juga perkara berkaitan agama Islam dan adat Melayu sebelum sesuatu fatwa, dasar, arahan pentadbiran atau penubuhan sebarang institusi diputuskan atau diumumkan.

"Jika prinsip asas ini mula diketepikan, adalah dibimbangkan ia berpotensi menjadi pencetus kepada salah faham, kekeliruan dan pergeseran di antara pelbagai pihak yang bertanggung jawab," titahnya.

Baginda bertitah pada Persidangan ke-171, Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk) di Dewan Persidangan Kompleks Islam Darul Ridzuan di sini hari ini.

Hadir sama Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Dr. Abdul Rahman Hashim dan Mufti negeri, Tan Sri Harussani Zakaria.

Justeru, Raja Nazrin bertitah, raja-raja Melayu wajib dilibatkan di peringkat awal sebelum sesuatu perkara menyentuh agama Islam dan adat Melayu hendak dilakukan.

"Janganlah pandangan raja-raja Melayu itu hanya dirujuk dan dipohonkan restu sokongan apabila masalah dan polemik telah berlaku," titah baginda.

Dalam pada itu, baginda bertitah, mesyuarat MAIPk adalah forum penting untuk membincang apa jua isu dan cadangan untuk kebaikan Islam dan umat Islam di negeri ini selain memperkenalkan usaha berterusan bagi memberikan gambaran bahawa Islam agama yang progresif lagi dinamik.

Titah baginda, Islam yang berjaya dihayati di peringkat pengetahuan dan berjaya diterapkan secara berkesan di peringkat pelaksanaan berperanan penting untuk mencerminkan budaya urus tadbir, budaya kerja dan budaya pemerintahan yang adil, saksama, telus lagi cekap.

Raja Nazrin bertitah, ia sehingga dapat membangunkan satu persekitaran politik dan persekitaran ekonomi yang boleh dijadikan rujukan oleh masyarakat dunia.

"Malangnya pada hari ini Islam dijadikan rujukan kepada isu kemunduran, kelemahan, kegagalan dan kemiskinan," titah baginda.

Baginda bertitah, Islam dikaitkan dengan amalan ekstremisme dan keganasan sementara pemimpin bagi organisasi-organisasi Islam lebih cenderung memilih untuk bertelagah dan bercanggah.

Malah titah baginda, ada yang lebih menumpu kepada suara-suara berunsur perbezaan dari persamaan, lebih cenderung untuk mendapat dan mempertahankan kuasa dari menguruskan kuasa yang telah dianugerahi Ilahi secara bijaksana, berhemah dan berkesan.

Sultan arah ambil tindakan
HULU SELANGOR 22 April - Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah menitahkan polis supaya mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang menggunakan masjid untuk berkempen dalam Pilihan Raya Kecil Parlimen Hulu Selangor yang sedang berlangsung sekarang.

Ketua Polis Negeri Selangor, Datuk Khalid Abu Bakar berkata, larangan itu termasuk ceramah politik, penganjuran sebarang perhimpunan atau demonstrasi.

Sehubungan itu, katanya, pihak polis akan meningkatkan kawalan di semua masjid bagi membendung perkara tersebut daripada berlaku.

Tegas beliau, pihaknya juga tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan terhadap mana-mana pihak jika masih berdegil.

"Kita tidak akan berkompromi ke atas mana-mana pihak yang menggunakan masjid sebagai pentas berpolitik," katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Larangan itu dibuat selepas terdapat dakwaan bahawa ceramah dan perhimpunan politik akan diadakan di pekarangan masjid di sekitar Kuala Kubu Bahru, esok dua hari sebelum hari pengundian Pilihan Raya Kecil Parlimen Hulu Selangor.

Dalam perkembangan lain, Khalid memberitahu, pihaknya telah menahan Timbalan Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Faris Musa bersama empat rakannya ekoran tindakan mereka yang cuba membuat provokasi terhadap pihak lain.

Katanya, hasil pemeriksaan pihaknya turut menemui lima senjata tajam yang dipercayai digunakan untuk tujuan tersebut.

"Kesemua mereka ditahan di sekitar kawasan Batang Kali di sini kira-kira pukul 7 petang semalam," katanya.

Dalam pada itu, sehingga kini, polis menerima 93 laporan polis berhubung kesalahan pilihan raya dan telah membuka sebanyak 17 kertas siasatan.

Pakatan guna masjid untuk ceramah politik
HULU SELANGOR 22 April - Seperti diramalkan, surau dan masjid terus digunakan pakatan Parti Keadilan Rakyat (PKR)-DAP-Pas untuk meraih sokongan daripada pengundi Melayu yang merupakan 53 peratus daripada 64,500 pemilih berdaftar di Hulu Selangor.

Tindakan itu terus dilakukan walaupun terdapat tentangan daripada penduduk di kawasan terbabit kerana muak dengan fitnah dilemparkan terhadap kerajaan Barisan Nasional (BN).

Pas akui slogan, logo Pas For All hampir sama Israel 4 All

KUALA LUMPUR 22 April - Pas mengakui slogan dan logo Pas For All yang diperkenalkan pada 2007 sebagai platform politik kepada semua rakyat Malaysia hampir menyamai slogan dan lambang Israel 4 All.

Naib Presiden parti itu, Datuk Mahfuz Omar berkata, bagaimanapun, ia tidak diciplak daripada slogan dan logo yang diperkenalkan Israel bagi sektor pelancongannya.

"Hampir sama tapi tak sama. Kita tidak ciplak. Israel 4 All itu adalah usaha meningkatkan sektor pelancongan negara itu.

"Sementara Pas For All pula adalah untuk parti politik," katanya ketika ditemui pemberita di lobi Parlimen hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin pada sidang Dewan Rakyat hari ini berhubung slogan parti itu yang dikatakan ada kaitan dengan slogan yang diperkenalkan Israel sebelum ini.

Perkara itu dibangkitkan ketika perbahasan usul bagi merujuk Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim ke Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen kerana mengaitkan gagasan 1Malaysia dengan firma perunding asing, Apco Worldwide dan One Israel.

Mahfuz turut menafikan pimpinan Pas mengetahui wujudnya slogan Israel 4 All yang hampir menyamai slogan yang diperkenalkan Pas sebelum ini.

Logo Pas For All dilancarkan pada 11 September 2007 sempena tarikh serangan ke atas World Trade Center (WTC), New York.

Ia bertujuan mendekati golongan bukan Islam melalui gerakan dakwah dengan mengikis perasaan fobia terhadap Islam di kalangan mereka.

Selain itu, ia juga dicetuskan dan diusahakan oleh Lujnah Perpaduan Nasional (LPN) Pas yang dipengerusikan oleh Dr. Mujahid Yusuf Rawa.

Logo ini mempunyai bendera Pas dan Malaysia serta tulisan Pas For All dalam bahasa Melayu, Mandarin dan Tamil.

"Ini tak betul ni.. mana boleh guna speaker masjid untuk ceramah politik sampai lewat malam," kata Ketua Pemuda UMNO Hulu Selangor Mahmud Karim.

Beliau mendakwa hampir semua masjid utama di Hulu Selangor digunakan untuk kempen politik.

Sementara itu, beberapa penduduk di Kampung Seri Keledang, Hulu Bernam, merungut kerana rumah ibadat orang Islam itu dijadikan wadah kempen pilihan raya kecil Ahad ini oleh Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

Padahal Khalid sendiri sebelum ini mengarahkan masjid tidak boleh digunakan bagi tujuan politik apatah lagi untuk berkempen meraih undi.

"Tak sesuai guna masjid untuk kempen politik, sebab nanti ada tuduh-menuduh, fitnah-memfitnah dan burukkan orang lain," kata peneroka Felda Soeharto, Baharin Arshad, 68, mengulas mengenai perkara itu.

Baharin berkata, beliau khuatir tindakan itu menjatuhkan martabat agama.

Timbalan Pengerusi BN Selangor Datuk Seri Noh Omar sebelum ini turut mendesak Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) dan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) menguatkuasakan titah Sultan Selangor supaya masjid tidak digunakan bagi kepentingan politik.

Sultan Sharafuddin Idris Shah dalam titah baginda pada Oktober tahun lepas mengingatkan pegawai masjid dan jawatankuasa kariah masjid di negeri Selangor supaya memastikan rumah ibadat itu tidak digunakan sebagai gelanggang politik yang boleh memecahbelahkan perpaduan ummah.

Namun dalam peringatan itu, beberapa pemimpin besar pakatan seperti Mursyidul Am Pas Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dijadualkan menyampaikan kuliah Maghrib di Masjid Kuala Kubu Baru esok, tentunya diselitkan dengan isu politik.

Difahamkan, Pemuda UMNO Batang Kali akan menghantar satu memorandum bantahan kepada JAIS pukul 9.30 pagi esok sebagai tanda protes penggunaan masjid untuk kempen. - BERNAMA

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.