Pages

Subscribe:

03 April, 2010

[hang nadim] Tahun pertama menyeronokkan .....


KUALA LUMPUR 2 April - Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, tahun pertama beliau memegang jawatan merupakan satu "perjalanan yang menyeronokkan" dan beliau menemui makna yang mendalam dalam kehangatan senyuman rakyat biasa dan bersalaman dengan mereka.

Semasa 12 bulan kebelakangan ini, beliau telah memaksa dan mencabar diri sendiri untuk mencapai tahap yang boleh diteladani untuk menyampaikannya kepada rakyat walaupun beliau telah mengamanahkan kepada Kabinetnya untuk melaksanakanya dengan lebih berkesan, katanya dalam entri blognya 1Malaysia hari ini.

"Tidak dapat dielakkan, terima kasih kepada kesibukan, hari-hari saya semakin panjang dan malam-malam saya semakin pendek. Ia mungkin disebabkan tuntutan-tuntutan seperti ini yang saya temui makna yang besar dalam perkara-perkara yang kecil seperti kehangatan tulen senyuman dan berjabat salam dengan rakyat biasa Malaysia, yang kadang-kadang memberikan saya begitu banyak keseronokan seperti berjabat tangan dengan para pemimpin dunia," katanya.

Najib mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri Keenam pada 3 April tahun lepas.

Tahun lepas telah menyaksikan Perdana Menteri menjelajah seluruh negara dan mengadakan kunjungan mesra untuk bertemu dengan rakyat dan mendengar masalah dan pendapat-pendapat mereka.

Dalam blognya, Najib juga menceritakan kehidupannya di luar pejabat, buku-buku yang dibacanya dan latihannya dengan alat injakan.

Najib berani - Diplomat
KUALA LUMPUR 2 April - Langkah berani yang diambil Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak sepanjang setahun meneraju negara, mengangkat Malaysia keluar daripada kelembapan ekonomi, kata para diplomat asing.

''Saya memberi kredit kepada kerajaan Perdana Menteri kerana cekap menangani krisis ekonomi,'' kata Duta Besar Kesatuan Eropah ke Malaysia, Vincent Piket.

''Kerajaan memutuskan dua pakej rangsangan tepat pada masanya dan sudah ada petunjuk jelas bahawa pakej-pakej ini membantu Malaysia keluar daripada kemelesetan dengan cepat,'' katanya kepada Bernama dalam temu bual di sini.

"Kerajaan juga membuat keputusan penting untuk meliberalisasikan FDI (pelaburan langsung asing), meluluskan dan membuka sebahagian daripada sektor perkhidmatan. Walaupun ia langkah pertama, usaha itu menghantar isyarat jelas mengenai arah tuju kerajaan," katanya.

Piket yang berada di sini sejak 18 bulan lepas berkata, kerajaan menunjukkan keberanian dalam menyusun reformasi ekonomi jangka panjang menerusi pelancaran Model Ekonomi Baru (MEB).

''Tidak ragu-ragu lagi ia merupakan pakej yang mencabar. Saya tahu beberapa pakar mengulas mengenai kurangnya butiran terperinci mengenai cadangan itu, jikapun ada, saya juga mengetahui berdasarkan pengalaman Eropah mengenai sukarnya mendapat konsensus terhadap reformasi ekonomi.

''Bagi saya perkara utama, dengan syarat kerajaan melaksanakan proses itu, nilai dan pendekatan memperoleh konsesus adalah beransur-ansur. Saya dapat merasakan peningkatan pertumpuan - dalam politik, perniagaan dan akademik — yang Malaysia mesti memodenkan ekonomi untuk seiring dengan persekitaran luar dan menrealisasikan Wawasan 2020.

Mengenai dasar luar, Piket berkata sudah ada pencapaian baharu yang bermakna.

''Kami menyambut baik gesaan Malaysia terhadap junta Myanmar supaya memulihkan demokrasi, dan keputusan Malaysia untuk melibatkan diri dalam pembangunan kapasiti di Afghanistan," katanya.

''Kerajaan juga memain peranan penting dalam proses keamanan di Mindanao selain Malaysia terus memain peranan penting dalam Asean dengan komitmen kukuh dalam penyepaduan Asean, asas kepada dasar Kesatuan Eropah terhadap Asia Tenggara.

''Selain hubungan Malaysia dengan negara Asia, saya melihat keterbukaan kerajaan terhadap memperkukuh hubungan dengan rakan usaha sama di Barat, terutama Amerika Syarikat dan pastinya Eropah.

''Bagi Kesatuan Eropah, kami berharap 2010 merupakan tahun yang bermakna.

Kami mempunyai beberapa matlamat terhadap agenda, terutama rundingan mengenai perjanjian kerjaasma selain rundingan perjanjian perdagangan bebas,'' katanya.

Mengenai alam sekitar, Piket berkata, Kesatuan Eropah mengkaji menjalin usaha sama dalam perubahan iklim dan tenaga boleh diperbaharui serta mempromosi perdagangan kayu tropika yang ditebang secara sah.

Duta Besar Romania ke Malaysia, Petru Petra, yang berada di ini lebih tiga tahun, berkata Najib menjadi Perdana Menteri semasa Malaysia melalui masa yang sukar.

"Malaysia perlu mengambil keputusan penting untuk merealisasikan matlamat menjadi negara maju menjelang 2020 dan anda mempunyai pemimpin yang tepat untuk menerajui negara," katanya.

Petra menyifatkan setahun yang lepas sebagai "tempoh yang cergas dan menarik" untuk Malaysia.

"Dalam tempoh yang singkat beliau mengambil alih jawatan Perdana Menteri, Najib berjaya membuat keputusan yang menggalakkan. Beliau melaksanakan beberapa langkah yang baik dan menjanjikan," katanya.

Menurut Petra, Najib menangani keadaan ekonomi dengan berani.

"Beliau menanganinya dengan berani dan berwawasan dan ia sudahpun membuahkan hasil. Itulah tanggapan umum saya." katanya.

Duta besar itu berkata Najib melihat perlunya reformasi dan bertindak segera menjayakannya.

"Saya tidak berhasrat membuat inventori mengenai usaha yang beliau lakukan sepanjang tempoh itu. Saya hanya membuat pemerhatian sebagai duta asing. Banyak bidang yang beliau tumpukan dalam tempoh yang singkat," katanya.

Satu contoh yang disebut oleh Petra ialah langkah yang diambil terhadap tenaga boleh diperbaharui.

"Selepas dua atau tiga bulan sebagai Perdana Menteri, dasar nasional bagi teknologi hujau dirangka dan diluluskan. Tidak lama selepas itu, pelan pelaksanaan serta pembiayaan perlu dilakukan," katanya.

"Ia sangat konkrit dan merupakan antara contoh bagaimana Najib bertindak.

Akhirnya visi dan pemikiran baharu dan keputusan untuk bertindak dengan berkesan." Petra menyifatkan Najib sebagai "tokoh yang budiman yang mendekati masalah dengan penuh tunpuan namun tegas dalam keputusannya". "Beliau tokoh berwawasan, berani dan prihatin terhadap negara dan rakyatnya," kata Petra.

Beliau berkata selepas memperkenal langkah-langkah ekonomi dan reformasi, Najib tidak melupakan aspek sosial.

"Apabila sesuatu diputuskan atau diperkenal, beliau segera mengambil langkah pelengkap untuk mengurangkan beban rakyat," katanya.

— BERNAMA


"

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.