52nd Merdeka Celebration Theme Song
马来西亚独立52周年国庆主题爱国歌曲
KUALA LUMPUR 4 April - Gagasan 1Malaysia tidak sama sekali diciplak daripada konsep One Israel seperti digembar-gemburkan oleh pembangkang, tegas Datuk Seri Najib Tun Razak.
Perdana Menteri berkata, dakwaan pembangkang itu adalah fitnah semata-mata yang bertujuan merosak dan mencemarkan gagasan itu apabila dilihat semakin diterima oleh rakyat.
"Mereka (pembangkang) tak berani serang gagasan 1Malaysia. Mereka tidak dapat mempertikaikan, mereka cuba untuk merosakkan, mencemarnya, mencalarnya melalui kononnya ilham atau idea yang datang dari negara luar.
"Ini satu fitnah yang tidak benar, tidak berasas sama sekali," katanya merujuk kepada dakwaan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim semasa sidang Dewan Rakyat baru-baru ini.
Perdana Menteri berkata demikian dalam temu bual eksklusif yang disiarkan Bernama TV malam ini sempena ulang tahun pertama beliau memegang jawatan itu.
Wawancara khas bertajuk Setahun di Aras 5: Temu bual Khas Bersama Perdana Menteri dikendalikan oleh Timbalan Ketua Pengarang Bernama, Zulkefli Salleh dan Pengarang Ekonomi, Mikhail Raj Abdullah.
Mengulas lanjut, Najib berkata, idea gagasan 1Malaysia itu adalah cetusan percambahan fikiran beliau bersama beberapa kumpulan pemikir yang bertujuan mewujudkan wadah baru untuk memperkukuhkan perpaduan nasional.
"Saya bincang dengan beberapa teman saya sebab saya kata amat penting bagi kita untuk membuat suatu usaha baru ke arah perpaduan nasional ini sebagai penyatuan.
"Jadi saya selalu menjemput pelbagai kumpulan untuk mengadakan percambahan fikiran dan apabila saya menggariskan perkara ini, bila kita lakukan brainstorming, percambahan fikiran, timbullah idea gagasan 1Malaysia ini," katanya.
Jelas Perdana Menteri, kemuncak kepada penghayatan gagasan 1Malaysia adalah apabila ia membawa keuntungan strategik kepada rakyat dan negara.
Menurutnya, gagasan 1Malaysia meletakkan kepentingan rakyat di atas segala kepentingan lain dan mengutamakan keberkesanan serta keberhasilan sesuatu program yang dirancang.
Najib berkata, kefahaman rakyat terhadap gagasan 1Malaysia semakin meningkat apabila banyak badan korporat menggunakan 1Malaysia sebagai simbol dalam logo mereka.
"Sebutan Salam 1Malaysia umpamanya menjadi kelaziman sekarang dan ada juga perkahwinan 1Malaysia. Jadi saya lihat ia sudah menjadi satu gerakan massa," katanya.
Bagaimanapun, Perdana Menteri mengakui masih terdapat beberapa halangan kepada kejayaan 1Malaysia yang dicetuskan oleh kumpulan yang memikirkan kepentingan kelompok atau kaum masing-masing tanpa usaha ke arah penyatuan.
"Kita sebagai seorang individu mungkin ada juga perasaan prejudis, rasis dan sebagainya seperti ada peristiwa gereja dibakar dan kepala khinzir dicampak dalam pekarangan masjid dan sebagainya.
"Maknanya ada juga kefahaman yang ekstrem dalam masyarakat kita. Sebab ada kefahaman ekstrem itulah, bererti bahawa kita perlu kepada Gagasan 1Malaysia," katanya.
Najib gembira prestasi pasukan Formula Satu Malaysia
Najib Tun Razak, Muhyiddin Yassin, Ahmad Shabery Cheek dan Tony Fernandes melihat kereta kebanggaan negara, Lotus yang turut beraksi dalam perlumbaan Formula Satu di Sepang, semalam. - AP
SEPANG 4 April - Datuk Seri Najib Tun Razak melahirkan rasa bangga dan gembira dengan prestasi dua pasukan tuan rumah iaitu Mercedes GP Petronas dan Lotus Racing pada perlumbaan Grand Prix (GP) Formula Satu (F1) Malaysia di sini hari ini.
Sehubungan itu, menurut Perdana Menteri, perkembangan yang ditunjukkan kedua-dua pasukan itu sekali gus menjanjikan masa depan yang lebih cerah kepada sukan F1 di negara ini.
Katanya, kejayaan pemandu pasukan Mercedes GP Petronas, Nico Rosberg menaiki podium selepas menduduki tempat ketiga pada perlumbaan tersebut amat menggembirakannya kerana pasukan itu membawa nama Malaysia dan Petronas.
"Ia juga membuktikan kemampuannya (Mercedes GP Petronas) sebagai salah sebuah pasukan yang boleh memberi saingan kepada pasukan lain. Bagi saya, kejayaan ini adalah hasil kerjasama rapat antara semua pihak yang terlibat dengan pasukan ini
"Begitu juga dengan pasukan Lotus, kemampuan pemandunya, Jarno Trulli menghabiskan 56 pusingan disifatkan sebagai permulaan yang amat baik bagi pasukan tersebut untuk terus bersaing pada siri perlumbaan akan datang," katanya.
Beliau bercakap kepada pemberita selepas menyaksikan perlumbaan GP F1 Petronas Malaysia 2010 di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) di sini hari ini.
Pada perlumbaan itu, dua pemandu pasukan Red Bull iaitu Sebastian Vettel dan Mark Webber berjaya menduduki tempat pertama dan kedua.
Turut hadir menyaksikan perlumbaan tersebut Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan isteri, Puan Sri Noorainee Abdul Rahman; Menteri Belia dan Sukan, Datuk Ahmad Shabery Cheek dan Pengerusi SIC, Datuk Mokhzani Mahathir.
Perlumbaan di SIC Sepang hari ini merupakan siri perlumbaan ketiga selepas Bahrain dan Australia.
Dalam perkembangan berkaitan, Najib berkata, selain dua pasukan berkenaan, saingan antara semua pasukan yang berlumba hari ini amat sengit.
"Secara keseluruhan perlumbaan hari ini amat kompetitif," katanya.
Terdahulu sebelum perlumbaan dimulakan, Perdana Menteri telah dibawa melawat ke garaj pasukan Lotus dan Mercedes GP Petronas.
Ketika berada di garaj Lotus, Najib telah diberi penerangan dan taklimat mengenai kereta yang digunakan selain prestasi terkini pasukan tersebut.
Kedatangan Perdana Menteri disambut oleh prinsipal pasukan Lotus, Datuk Seri Tony Fernandes serta dua timbalan prinsipal pasukan itu, Datuk Kamaruddin Maranun dan SM Nasaruddin Tan Sri SM Nasimuddin.
Sementara itu di garaj Mercedes GP Petronas, Perdana Menteri telah dibawa untuk melihat lebih dekat jentera yang digunakan oleh pasukan berkenaan.
Kedatangan beliau disambut oleh Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Petronas, Datuk Shamsul Azhar Abbas serta krew pasukan itu.
Polisi afirmatif kekal
Oleh TARMIZI ABDUL RAHIM
pengarang@utusan.com.my
KUALA LUMPUR 4 April – Datuk Seri Najib Tun Razak memberi jaminan kerajaan tidak akan menghapuskan polisi afirmatif tetapi akan menyemak pelaksanaannya secara adil dan telus berdasarkan kepada merit dan keperluan.
Perdana Menteri berkata, untuk menjayakan Model Ekonomi Baru (MEB) supaya bersifat lebih mesra pasaran, kebajikan bukan Melayu dan bukan bumiputera juga harus dijaga.
Menurut beliau, semua pihak tidak wajar terlalu taksub dengan satu pandangan sahaja tetapi ia sepatutnya dilihat dalam konteks yang akan memberi perasaan bersatu sebagai satu negara dan satu masyarakat.
“Tetapi, tindakan afirmatif tetap kekal kerana kedudukan bumiputera yang masih tidak mencapai taraf yang sepatutnya, yang bermakna kita harus meneruskan tetapi pada masa yang sama memperbetulkan kelemahan. Kelemahan yang jelas kelihatan dalam cara pelaksanaan kita sebelum ini.
“Sebagai contoh, jika kita mahu menghapuskan kemiskinan, jika kita mahu menangani 40 peratus populasi yang berpendapatan kurang RM1,500 sebulan, kita juga harus menjaga kebajikan bukan Melayu dan bukan bumiputera juga.
“Bila kita bercakap tentang bumiputera ia bukan sahaja mengenai Melayu, ia juga tentang Kadazan, Iban, Bidayuh dan lain-lain, mereka juga bumiputera dan mereka ada hak yang sama,” katanya.
Perdana Menteri berkata demikian dalam temu bual eksklusif yang disiarkan Bernama TV malam ini, sempena ulang tahun pertama beliau memegang jawatan itu.
Wawancara khas bertajuk Setahun di Aras 5: Temubual Khas Bersama Perdana Menteri dikendalikan oleh Timbalan Ketua Pengarang Bernama, Zulkefli Salleh dan Pengarang Ekonomi, Mikhail Raj Abdullah.
Najib ditanya mengenai kenyataan Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) yang menyatakan 67 peratus kekayaan ekonomi di negara ini sepatutnya dimiliki oleh Melayu.
Mengulas lanjut mengenai MEB, Perdana Menteri menafikan tanggapan sesetengah pihak bahawa ia hanya retorik apabila mengunjurkan pendapatan per kapita rakyat dalam masa 10 tahun akan meningkat daripada AS$7,000 (RM22,750) kepada AS$15,000 (RM48,750), sedangkan di Sabah dan Sarawak kemudahan asasnya masih tidak sempurna.
“Ini pendapatan purata (average income). Bila saya sebut pendapatan purata, ada yang lebih tinggi daripada itu, ada yang lebih rendah daripada itu. Itu maksud pendapatan purata.
“Takkan semua akan dapat AS$15,000. Jadi kita mesti faham. Mana-mana negara pun begitu juga. Ada yang miskin, ada yang kaya. Tetapi kita hendak yang miskin itu jangan terlalu miskin sampai begitu daif,” katanya.
Sementara itu, Najib juga menggesa majikan agar meningkatkan suasana pekerjaan dan menetapkan gaji lebih tinggi untuk menarik lebih ramai rakyat negara ini menerima pekerjaan yang dianggap kotor dan bahaya yang kini dikuasai oleh buruh asing yang mampu diperoleh dengan kos murah.
“Saya percaya majikan patut berbuat demikian dan tidak terlalu mudah mengambil pekerja asing. Dan jika kita boleh menaikkan levi pekerja asing sama dengan jumlah pekerja yang mahu mereka ambil, maka akan lebih masuk akal daripada segi bisnes dan ekonomi untuk mengambil rakyat Malaysia bukan warga asing,” katanya.
Pertanyaan Karpal biadab - Perkasa
KUALA LUMPUR 5 April - Tindakan Karpal Singh bertanyakan kepada Perdana Menteri mengenai bilakah warganegara Malaysia boleh mendapat hak seperti orang Melayu, berdasarkan konsep 1Malaysia, merupakan tindakan biadab dan kurang ajar.
Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa), Datuk Ibrahim Ali berkata, soalan itu seolah-olah tidak menghormati hak dan keistimewaan orang Melayu yang termaktub di dalam Perlembagaan Persekutuan.
"Tindakan itu adalah biadab dan mempunyai niat jahat di sebaliknya. Sebelum ini, Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dicabar dan kini Perdana Menteri pula.
"Dia jelas mempersoalkan hak dan keistimewaan orang Melayu dan dia oleh didakwa di bawah Akta Hasutan kerana mempertikaikan Perlembagaan,'' kata Ibrahim pada sidang akhbar selepas majlis meraikan petugas Mesyuarat Agung Perkasa, di sini hari ini.
Akhbar Sinar Harian hari ini menyiarkan kenyataan Ahli Parlimen Bukit Gelugor, Karpal Singh yang menuntut penjelasan daripada Datuk Seri Najib Tun Razak mengenai bilakah warganegara Malaysia boleh mendapat hak seperti orang Melayu, berdasarkan konsep 1Malaysia.
Ibrahim berkata, Perkara 153, Perlembagaan Persekutuan tidak boleh dipinda sampai bila-bila dan perkara ini telah dipersetujui di Parlimen selepas berlakunya Tragedi 13 Mei 1969.
"Karpal tahu mengenai perkara ini kerana dia seorang peguam yang berpengalaman.
"Namun dia sengaja mengguris hati orang Melayu dan tidak pernah serik untuk melakukannya berulang kali,'' tegas Ibrahim lagi.
Beliau berkata, Karpal secara terang-terangan membawa agenda DAP yang mahu merosakkan kerangka Perlembagaan dalam usaha memperkenalkan dasar Middle Malaysia mereka.
"Esok Perkasa akan membuat laporan polis berkenaan hal ini untuk meminta dijalankan siasatan ke atas Karpal,'' katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.