Pages

Subscribe:

04 April, 2010

[hang nadim] Usaha rosakkan imej PDRM tidak berjaya



Hishammuddin Tun Hussein (kiri) dan Musa Hassan membuat ujian menembak dalam sesi Menteri bersama pasukan PDRM ujian kemahiran menembak KDN/PDRM di Kem PGA Cheras, semalam.

KUALA LUMPUR 4 April - Usaha pihak-pihak tertentu untuk merosakkan imej Polis Diraja Malaysia (PDRM) diyakini tidak akan berjaya kerana pasukan itu sentiasa konsisten dalam usaha menegakkan undang-undang negara.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, pihaknya menyedari banyak isu dibangkitkan pemimpin pembangkang sejak kebelakangan ini yang dilakukan atas faktor politik.

"Maka sebab itulah kita akan konsisten dengan pendirian selama ini, iaitu tidak lari daripada undang-undang sedia ada untuk menanganinya.

"Melalui tindakan itu, kita yakin apa jua yang mereka (pembangkang) nak bangkitkan, insya-Allah ia tidak akan berjaya," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas menghadiri sesi Menteri Bersama PDRM dan Ujian Kemahiran Menembak Kementerian Dalam Negeri (KDN)/PDRM 2010 di Briged Tengah, Cheras, di sini hari ini.

Turut hadir Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan dan timbalannya, Tan Sri Ismail Omar.

Beliau diminta mengulas mengenai pelbagai isu yang dibangkitkan oleh pemimpin pembangkang sejak akhir-akhir ini yang bertujuan memburukkan imej PDRM.

Ini termasuk kenyataan yang dikeluarkan Pengerusi DAP Perak, Datuk Ngeh Koo Ham dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak baru-baru ini yang menggambarkan seolah-olah polis akan menembak sesiapa yang tidak disukai mereka secara sesuka hati.

Dalam pada itu, Hishammuddin yang genap setahun memegang jawatan sebagai Menteri Dalam Negeri esok, mengakui tidak menghadapi banyak masalah sepanjang bertugas di kementerian berkenaan.

"Bagi saya, tempoh lima tahun memegang jawatan sebagai Menteri Pelajaran adalah lebih mencabar berbanding sekarang ini kerana banyak isu-isu yang lebih kompleks terpaksa saya tangani ketika itu.

"Di Kementerian Pelajaran, saya bertanggungjawab terhadap 350,000 guru iaitu satu pertiga lebih banyak berbanding 103,000 anggota polis," katanya.

Sempena sesi Ujian Kemahiran Menembak KDN/PDRM 2010, Hishammuddin bersama isteri, Datin Seri Tengku Marsilla Tengku Abdullah dan dua anaknya serta wakil dari beberapa agensi di bawah kementeriannya, mengambil kesempatan menunjukkan kehebatan menembak.

Dalam pertandingan itu, PDRM yang diketuai oleh Musa muncul sebagai juara mengalahkan KDN yang diketuai oleh Hishammuddin.

YA ALLAH SELAMATKAN LAH ANGGOTA POLIS DAN TENTERA MALAYSIA ,JAUHKAN MEREKA DARI SEGALA FITNAH YANG DI LEMPARKAN KEATAS MEREKA DAN JADIKANLAH MEREKA RAKYAT YANG TAAT KEPADA RAJA DAN NEGARA YA ALLAH JADIKAN POLIS DIRAJA DAN TENTERA MALAYSIA TERBAIK DI DUNIA.....AMIN

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.