Pages

Subscribe:

04 April, 2010

[hang nadim] Indahnya Pulau Bidong.........

Oleh SITI AIRUNNISA ALAUI
utusanterengganu@utusan.com.my





Nilai sejarah serta keindahan Pulau Bidong bakal menjadikan pulau berkenaan salah satu lokasi pelancongan yang menarik di Terengganu.– UTUSAN/SITI AIRUNNISA ALAUI

Mendekatimu

Aku jadi rindu

Dan menjarak cinta kita

Aku terasa hilang percaya

tentang hak siapa

tentang peraturan

Ketenanganmu

Aku sangsi dengan bisikan

Para putri-putri Vietnam yang dilamar malam

Oleh petugas-petugas keamanan

Oleh tamu-tamu yang mengatas namakan

Urusan negara

Atau para pedagang

Yang mencari niat

Mencari untung

PULAU BIDONG 4 April - Sebaik sahaja menjejakkan kaki ke Pulau Bidong, berlegar-legar di fikiran penulis bait puisi Pulau Bidong In Transito oleh Marzuki Ali di dalam bukunya yang berjudul Desir Angin Pantai Timur terbitan Kelas Teater Terengganu yang menceritakan tentang keistimewaan Pulau Bidong.

Melihat keindahan pemandangan seluas mata memandang sambil deruan ombak menghempas pantai yang memutih, ditambah dengan kejernihan air laut mengelilingi pulau yang satu ketika dahulu pernah 'disumpah', hampir-hampir membuatkan sesiapa sahaja melupakan sebentar kisah misteri yang pernah berlaku di pulau ini.

Pulau yang lebih dikenali dengan jolokan Pulau Vietnam itu adalah antara pulau-pulau yang terdapat di negeri Terengganu selain Pulau Kapas, Pulau Redang, Pulau Perhentian dan Pulau Lang Tengah.

Nama Pulau Bidong rasanya tidak perlu diperkenalkan lagi kerana ia telah popular satu ketika dahulu sehingga menjadi sebutan masyarakat antarabangsa.

Mana tidaknya, pulau yang menyimpan pelbagai cerita itu seperti 'disumpah' kira-kira lebih 10 tahun apabila menjadi tempat penempatan hampir 40,000 pelarian Vietnam yang mencari perlindungan berikutan peperangan di negara mereka.

Keikhlasan Malaysia memberi pelindungan kepada pelarian tersebut yang mendapat pujian daripada Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) turut menimbulkan kemarahan sesetengah pihak apabila pulau yang terjaga rapi serta menjadi punca rezeki nelayan tempatan seakan diceroboh.

Namun, itu kisah 10 tahun dahulu yang tidak perlu diungkitkan kembali memandangkan kesemua pelarian tersebut telah pun meninggalkan pulau tersebut.

Pulau Bidong kini berubah wajah apabila menjadi lokasi pelancongan baru yang setanding pulau-pulau di sekitarnya malah kemungkinan lebih hebat lagi dengan peninggalan sejarah pelarian Vietnam itu.




Sebahagian lokasi pusat penetasan telur penyu yang dikendalikan oleh pelajar Universiti Malaysia Terengganu (UMT) di Pulau Bidong.

Pulau Bidong yang luasnya kira-kira 40.49 hektar dan terletak kira-kira 40 kilometer dari Kuala Terengganu diberi sedikit perubahan apabila sebahagian tanah daratannya diberi hak kepada Universiti Malaysia Terengganu (UMT) untuk dijadikan lokasi kajian tentang kehidupan laut.

Tumpuan utama ialah habitat penyu yang dipercayai masih menjadikan pulau tersebut sebagai habitat mereka yang kian terancam itu.

Wartawan Utusan Malaysia berkesempatan mengikuti lawatan ke Pulau Bidong baru-baru ini bersama Naib Canselor UMT, Prof. Dr. Aziz Deraman dan pegawai-pegawai kanannya yang mengadakan Program Survival Laut di pulau itu selama dua hari satu malam.

Pada kesempatan itu, penulis berkesempatan melawat peninggalan sejarah pelarian Vietnam yang ditinggalkan seperti kubur, kuil, telaga, balai polis, gereja serta rumah-rumah mereka yang masih utuh berdiri walaupun sebahagian telah dirobohkan dan dimakan anai-anai.

Di sekitar kawasan Pulau Bidong ditempatkan anggota Rela untuk menjaga kawasan tersebut daripada pencerobohan nelayan dan pendatang tanpa izin.

Untuk melihat sejarah peninggalan pelarian Vietnam itu, pengunjung perlu mendaki bukit lebih kurang sejauh dua kilometer.

Kubur beberapa pemimpin pelarian Vietnam bakal ditemui pengunjung setelah 15 minit mendaki bukit tersebut selain tangki air usang yang menjadi tempat menyimpan bekalan air bagi mereka satu masa dahulu.

Indahnya Pulau Bidong


Sebahagian daripada binaan yang ditinggalkan oleh pelarian Vietnam di Pulau Bidong, Kuala Terengganu

Selain itu, pohon buah-buahan dan sayur-sayuran seperti asam jawa, jambu, betik serta ubi kayu turut ditanam oleh pelarian terbabit di sepanjang jalan.

Kebanyakan pokok di pulau tersebut telah dinamakan bagi memudahkan pengunjung mengetahui jenis pokok-pokok yang terdapat di sekitar pulau itu dan ada juga yang jarang-jarang dapat ditemui.

Setelah hampir sejam perjalanan, pengunjung bakal tiba di penghujung perjalanan dan berpeluang melihat keindahan Pantai Pasir Pengkalan dari bukit berkenaan.

Oleh kerana pulau itu tidak dibuka kepada orang awam, kejernihan serta keindahan karangan laut dan ekosistemnya masih terpelihara.

Menurut sumber, terdapat 27 kapal tinggalan pelarian ditenggelamkan untuk dijadikan tukun bagi membolehkan hidupan laut menjadikan tukun tersebut sebagai habitat baru mereka.

Keputusan kerajaan negeri untuk mengekalkan pulau tersebut tanpa sebarang pembangunan harus dipuji namun ada baik juga sekiranya ia dijadikan lokasi pelancongan yang boleh dikunjungi.

Sekurang-kurangnya ia boleh menjana ekonomi selain memberikan pilihan baru kepada pengunjung yang gemarkan sejarah selain boleh menikmati keindahan Pulau Bidong yang masih 'dara' walaupun pernah 'dinoda' satu ketika dahulu.

Peluang bersnokerling dan berkayak di Pulau Bidong ternyata memberi pengalaman yang indah dan menjadi kenangan sepanjang hayat malah lebih manis jika bernasib baik dapat melihat penyu bertelur di pantai.

Begitulah indahnya Pulau Bidong yang pasti akan menjadi salah satu lagi lokasi pelancongan terbaik negeri Darul Iman.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.