Pages

Subscribe:

04 April, 2010

[hang nadim]Pelampau Britain bantah bina masjid



SEORANG penunjuk perasaan melepasi halangan polis dalam protes pelampau kanan di Dudley, tengah England, kelmarin. - REUTERS

DUDLEY 4 April - Polis menangkap sembilan orang semalam selepas sekumpulan pelampau kanan bertempur dengan polis semasa tunjuk perasaan membantah rancangan membina sebuah masjid di Dudley, tengah England.

Polis West Midlands berkata, mereka mengerahkan sejumlah besar anggota untuk memisahkan 2,000 penyokong pelampau kanan Liga Pertahanan Inggeris (EDL) daripada 1,500 penunjuk perasaan anti-EDL dari pertubuhan Bersatu Menentang Fasisme (UAF).

EDL yang kerap melancarkan protes terhadap apa yang didakwa sebagai 'Islam radikal', berarak ke satu kawasan letak kereta di pinggir Dudley berhampiran tapak sebuah masjid baru.

Pergelutan berlaku dengan polis apabila penyokong EDL berlari ke jalan-jalan berdekatan selepas meruntuhkan pagar dawai yang menyekat mereka.

Polis bagaimanapun berjaya menghalang mereka daripada menghampiri rapat umum UAF itu.

Lima orang ditangkap kerana memiliki senjata berbahaya, dua kerana kesalahan mengganggu ketenteraman awam dan dua lagi kerana melakukan kerosakan.

Konfrontasi antara EDL dengan UAF itu adalah yang terbaru berkesudahan dengan keganasan. Bulan lalu polis menangkap 74 orang dalam satu demonstrasi serupa di Bolton, dekat Manchester.

EDL muncul tahun lepas setelah sekumpulan penduduk Islam mengadakan protes di pekan Luton, selatan Britain bagi membantah perarakan askar yang kembali dari Iraq. - REUTERS

Pelampau kulit putih dibunuh



ANGGOTA polis mengawal pintu masuk ke ladang milik Terre‘blanche yang terletak di luar Ventersdorp, barat laut Afrika Selatan, semalam. – REUTERS

CAPE TOWN 4 April – Presiden Afrika Selatan, Jacob Zuma hari ini menyeru seluruh rakyat supaya bertenang selepas pemimpin pelampau kulit putih, Eugene Terre’Blanche dibunuh oleh dua pekerja ladangnya sendiri.

Terre’Blanche, 69, pemimpin Gerakan Pejuang Afrikaner (AWM), ditemui dengan kecederaan pada muka dan kepala, sebilah parang tertusuk pada mayatnya dan sebatang kayu berhampiran, di ladangnya di utara negara ini selepas berlaku pergaduhan dengan pekerja terlibat.

Polis menangkap dua lelaki, berusia 21 dan 15 tahun, yang mengaku bertengkar dengan Terre’Blanche kerana tidak dibayar upah bagi kerja yang dilakukan di ladang mendiang.

Zuma menggesa rakyat Afrika Selatan supaya bertenang sementara parti-parti pembangkang dan kumpulan lain memberi amaran pembunuhan pemimpin pelampau kulit putih itu berpotensi mencetuskan kekacauan.

“Presiden merayu semua pihak supaya bertenang berikutan perbuatan keji ini dan meminta seluruh rakyat Afrika Selatan supaya tidak membiarkan penghasut mengambil kesempatan daripada situasi sekarang untuk memarakkan api perkauman,” menurut satu kenyataan daripada pejabat Zuma.

Penyokong Terre’Blanche yang memakai uniform khaki dengan lambang swastika (Nazi) menggunakan kekerasan untuk menentang demokrasi semua kaum di negara ini dan memperjuangkan sebuah negara kulit putih merdeka.

Kempen mereka termasuk melancarkan serangan-serangan bom menjelang pilihan raya umum 1994 yang menamatkan pemerintahan aparteid minoriti kulit putih di negara ini.

Kadar keganasan di ladang-ladang, yang kebanyakannya masih berada di tangan penduduk kulit putih selepas 16 tahun dasar aparteid berakhir, adalah tinggi di Afrika Selatan dengan 1,248 peladang dan pekerja ladang terbunuh antara 1997 hingga 2007.

Terre’Blanche dibunuh ketika ketegangan kaum semakin meningkat berhubung lagu yang mengandungi seni kata ‘bunuh orang boer (peladang kulit putih)’ yang diterima pakai oleh pemimpin belia Kongres Kebangsaan Afrika (ANC), Julius Malema.

Dua mahkamah di negara ini mengharamkan penggunaan lagu tersebut, yang membangkitkan kemarahan parti pembangkang dan pertubuhan berkepentingan yang menganggapnya sebagai menghasut penduduk kulit hitam supaya melakukan keganasan terhadap kaum kulit putih.

ANC bagaimanapun berikrar akan mencabar pengharaman itu, dengan alasan lagu tersebut adalah sebahagian daripada warisan perjuangan pembebasan kulit hitam di Afrika Selatan. – AFP

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.