Oleh saiful haizan hasam
saiful.hasam@utusan.com.my
KUALA LUMPUR 5 April - Dakwaan bahawa dasar membantu orang Melayu dalam bidang perniagaan menjadi ancaman kepada Model Ekonomi Baru (MEB) sehingga menyebabkan pelabur asing beralih arah ke negara lain adalah satu tuduhan liar yang tidak bertanggungjawab.
Pakar ekonomi dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) menyifatkan pandangan sedemikian adalah salah satu bentuk tekanan secara halus kepada kerajaan di samping memberikan gambaran yang salah kepada pelabur asing.
Tegas mereka, dasar membantu kaum majoriti yang masih ketinggalan bukannya perkara baru kerana usaha itu diiktiraf oleh piagam Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
Pakar ekonomi, Datuk Salleh Majid berkata dasar afirmatif oleh mana-mana kerajaan di seluruh dunia juga tidak pernah menyebabkan pelabur asing tidak menanam modal.
Jelas beliau, punca ketidakhadiran pelabur asing adalah ekonomi negara masih terperangkap dalam sistem berasaskan buruh dan bukannya berpaksikan teknologi tinggi dan ilmu pengetahuan.
"Kenyataan sedemikian menunjukkan penuturnya tidak bersetuju dengan dasar afirmatif yang dilakukan kerajaan walaupun Perdana Menteri telah memberi jaminan ia akan dilaksanakan dengan saksama.
"Jangan bagi hujah yang tidak berlandaskan fakta kerana yang menjadi masalah kepada Dasar Ekonomi Baru (DEB) sebelum ini adalah pelaksanaannya, apa yang nak dibuat sekarang adalah perubahan dari sudut itu," katanya yang dihubungi Utusan Malaysia, di sini hari ini.
Beliau memberikan reaksi kepada tulisan, Pengarah Eksekutif, Dewan Perdagangan dan Industri Antarabangsa Malaysia (MICCI), Stewart Forbes yang antaranya menyatakan jika kerajaan akur dengan desakan pihak tertentu yang mendapat perlindungan istimewa, seluruh struktur Model Ekonomi Baru (MEB) akan terjejas.
Dakwanya, ia juga boleh menyebabkan pelabur asing yang skeptikal beralih ke negara lain untuk menanam modal.
Sementara itu, Salleh menegaskan dasar membantu orang Melayu bukannya satu isu dengan syarat penerima faedahnya terdiri daripada individu yang berkelayakan dan berkemahiran tanpa membabitkan amalan kronisme.
Dalam perkembangan berkaitan, beliau menjelaskan apa yang dilakukan orang Melayu hari ini hanyalah untuk mempertahankan hak mereka kerana ada pihak tertentu yang sengaja buat-buat tidak faham.
"Sanggupkah kerajaan melihat orang Melayu yang merupakan majoriti lemah ekonominya dan jauh ketinggalan berbanding orang Cina dan India.
"Perkara ini kalau dibiar berterusan akan mendedahkan negara kepada ketidakstabilan sosial," katanya.
Sementara itu, Timbalan Pengerusi Persatuan Pengimport dan Peniaga Kenderaan Melayu Malaysia (Pekema), Datuk Zainuddin Abd. Rahman turut senada menolak andaian bantuan kerajaan kepada orang Melayu akan mengganggu-gugat pelabur asing.
Secara sinis Zainuddin berkata, beliau juga faham ada pihak tertentu di negara ini mahu melihat dasar sedemikian dihapuskan terus oleh kerajaan.
"Apa yang sebabkan pelabur asing tidak berminat adalah sistem kita, contohnya permohonan untuk memulakan operasi mengambil masa yang terlalu lama untuk diluluskan.
"Lihatlah senario di Thailand, sektor automotifnya berkembang pesat kerana sokongan berterusan daripada kerajaan, tidak seperti di Malaysia yang dasarnya berubah-ubah apabila bertukar menteri," katanya.
Presiden Pertubuhan Pemikir Profesional Melayu Malaysia, Datuk Dr. Kamaruddin Kachar pula membidas pihak yang mengetengahkan pandangan sedemikian sebagai melatah tidak bertempat.
Beliau turut mempertikaikan kenapa pihak terbabit membuat 'bising' dalam perkara yang tidak berasas.
"Kalau tak tahu, tak faham, bacalah buku sejarah kerana matlamat jangka panjang kerajaan ialah perpaduan," tegasnya.
Perjuangan besar – PMPUTRAJAYA 5 April
– Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, usaha kerajaan melakukan transformasi besar terhadap ekonomi negara selama ini merupakan satu perjuangan yang amat besar ertinya.
Menurut Perdana Menteri, ini kerana kerajaan tidak mahu Malaysia terus ketinggalan atau terperangkap dalam negara berpendapatan pertengahan untuk selama-lamanya.
“Jadi, program transformasi tersebut amat penting bagi kita untuk melakukan perjalanan ini.
“Begitu juga dengan Program Transformasi Kerajaan (GTP) kerana ia menggambarkan hasrat kerajaan untuk memenuhi harapan dan jangkaan rakyat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perhimpunan Bulanan Jabatan Perdana Menteri, di sini hari ini.
Turut hadir Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd. Sidek Hassan.
Najib memberitahu, terdapat dua perkara yang berhubung kait kepada cabaran yang perlu ditangani oleh kerajaan masa kini.
Perkara pertama, kata beliau adalah bagaimana kerajaan hendak menguruskan bukan sahaja sebuah negara berbilang kaum, agama dan budaya tetapi yang semakin kritikal ialah menguruskan masyarakat yang pelbagai itu.
“Kalau dulu ia tidak menjadi suatu cabaran yang besar tetapi hari ini ia lebih diberikan perhatian oleh rakyat seperti soal pertukaran agama, kahwin-cerai, mati, isu kalimah Allah dan sebagainya.
“Ini merupakan cabaran amat besar yang perlu ditangani oleh kita dan saya sekadar menyebut perkara itu tetapi ia sentiasa dalam perhatian dan pertimbangan pihak kerajaan,” katanya.
Najib berkata, perkara kedua adalah bagaimana hendak menguruskan sebuah masyarakat yang semakin hari semakin canggih dari segi jangkaan dan harapan mereka.
“Jadi, isu-isunya adalah seperti macam mana kita nak menguruskan sikap keterbukaan itu termasuk menguruskan media baru dan sebagainya,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.