Pages

Subscribe:

27 Mei, 2010

[hang nadim] Dua sekolah jadi pusat sains astronomi


ANGKASAWAN negara, Sheikh Muszaphar Shukor (tengah) bergambar bersama sebahagian daripada 115 pelajar sekolah yang menyertai Kem Sains Astronomi dan Aeroangkasa Peringkat Kebangsaan di Tanjong Bungah, Pulau Pinang, semalam.

PULAU PINANG 26 Mei - Dua buah sekolah menengah di negeri ini akan menjadi pusat kegiatan sains astronomi dan aeroangkasa yang berperanan sebagai tempat rujukan para pelajar memahami bidang tersebut secara lebih mendalam.

Pengarah Jabatan Pelajaran negeri, Ibrahim Mohamed berkata, kedua-dua sekolah berkenaan iaitu Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Al-Mashor Lelaki dan SMK Penang Free kini diletakkan di bawah pemerhatian Unit Kokurikulum jabatan itu bagi memastikan ia mencapai matlamat yang ditetapkan.

Menurut beliau, kedua-dua sekolah tersebut dipilih berdasarkan keupayaan mereka mewujudkan Kelab Sains Astronomi dan Aeroangkasa di sekolah masing-masing, selain menjalankan aktiviti dan program berkaitan.

''Kedua-dua sekolah ini akan dimajukan dan jadikan pusat rujukan dalam bidang sains astronomi dan aeroangkasa dan diberikan kemudahan untuk mendapatkan peralatan dengan kerjasama Persatuan Astronomi Pulau Pinang.

''Sebelum ini SMKA Al-Mashor Lelaki misalnya menjalankan pelbagai aktiviti tetapi hanya berjalan dalam bentuk kumpulan kecil melibatkan dua atau tiga buah sekolah sahaja.

"Justeru, apabila dijadikan pusat kegiatan ia mampu memberi lebih banyak input, ilmu dan kemahiran yang diperlukan sebagai pendedahan kepada seluruh pelajar di negeri ini," katanya pada sidang akhbar sempena program Kem Sains Astronomi dan Aeroangkasa Peringkat Kebangsaan di sini hari ini.

Program selama lima hari yang bermula 22 Mei lalu itu melibatkan penyertaan 115 pelajar dan 38 orang guru dari sekolah menengah di seluruh negara serta enam pelajar dan dua orang guru dari Thailand dan Indonesia.

Ibrahim berkata, pihak jabatan juga akan bertindak sebagai pengurus kepada setiap program yang dijalankan di kedua-dua sekolah itu untuk memastikan ia lebih menyeluruh.

''Kita sedar bukan semua sekolah mampu mewujudkan kelab astronomi dan aeroangkasa kerana ia memerlukan perbelanjaan yang tinggi terutama dalam membeli kelengkapan-kelengkapan yang diperlukan seperti teleskop.

''Justeru, kita akan bantu melengkapkan kemudahan yang diperlukan dengan bantuan dan kerjasama pihak-pihak lain seperti Pusat Falak Sheikh Tahir dan Jabatan Mufti Pulau Pinang.

''Diharapkan ia mampu menjadi landasan untuk pelajar mempelajari dan menerokai bidang yang masih baru di negara ini," katanya.

Sementara itu, Ibrahim mencadangkan supaya kem sains astronomi dan aeroangkasa yang pertama kali dianjurkan Kementerian Pelajaran itu dijadikan acara tahunan kerana ia mampu memberi banyak pengetahuan dan pengalaman mengenai bidang berkenaan kepada pelajar.

Katanya, pelajar dapat mempelajari dan melihat sendiri bidang angkasa lepas yang selama ini hanya mereka lihat dan diketahui melalui pembacaan.

''Hasil tinjauan yang dibuat, banyak pihak mahu ia dijadikan acara tahunan dengan memberi kepercayaan kepada negeri-negeri yang mempunyai peralatan dan kemudahan untuk menganjurkannya supaya lebih ramai pelajar mendapat pendedahan," katanya

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.