Pages

Subscribe:

16 Jun, 2010

[ hang nadim] SELAMAT HARI BAPA....( FURTHER DAY]








Hari Bapa merupakan suatu hari cuti sekular yang bermula pada awal abad ke-12 untuk kaum lelaki menyambut kebapaan, dan untuk memberi penghormatan dan peringatan terhadap para bapa. Hari Bapa disambut pada tarikh yang berlainan di seluruh dunia dan selalu menglibatkan pemberian hadiah kepada bapa dan kegiatan kekeluargaan.

KRITERIA UTAMA DALAM MENENTUKAN SAMBUTAN HARI BAPA, IBU, KEKASIH DAN YANG SEUMPAMANYA MENURUT PERSPEKTIF ISLAM.

Segala acara sambutan yang bersempena dengan hari atau tarikh-tarikh tertentu yang diraikan, terutamanya seperti Hari Kekasih yang dibawa oleh masyarakat Barat, tanpa disedari bertujuan untuk meleka dan merosakkan akhlak masyarakat Islam, kerana senario menyambut Hari Kekasih telah menjadi lumrah dan berlaku dalam kalangan remaja Islam.

Sungguhpun ia belum sampai ke tahap yang kronik, namun begitu apa yang lebih membimbangkan, mereka bukan sekadar berutus-utus kad ucapan dan saling bertukar hadiah, atau meraikannya di kelab-kelab dan tempat-tempat hiburan, tetapi terdapat juga segelintir remaja yang beragama Islam sanggup menggadai maruah dan kehormatan diri demi membuktikan kesetiaan terhadap pasangan masing-masing.

Bagi menjelaskan masalah sebilangan remaja yang begitu mudah terpengaruh dengan budaya asing, al-Quran memberi pengajaran dan ingatan kepada umat Islam, bahawa orang Yahudi dan Nasrani akan terus berusaha sedaya upaya untuk memperdaya umat Islam supaya mengikut kehendak mereka. Allah s.w.t. berfirman:
Maksud: ‘Orang-orang Yahudi dan Nasrani tidak sekali-kali akan bersetuju atau suka kepadamu (wahai Muhammad) sehingga engkau menurut agama mereka (yang telah terpesong itu). Katakanlah (kepada mereka): “Sesungguhnya petunjuk Allah (agama Islam) itulah petunjuk yang benar.” Dan demi sesungguhnya jika engkau menurut kehendak hawa nafsu mereka sesudah datangnya (wahyu yang memberi) pengetahuan kepadamu (tentang kebenaran), maka tiadalah engkau akan peroleh daripada Allah (sesuatu pun) yang dapat mengawal dan memberi pertolongan kepadamu. Orang-orang yang kami berikan kitab kepada mereka, sedang mereka membacanya dengan sebenar-benar bacaan (tidak mengubah dan memutar-belit maksudnya), mereka itulah orang-orang yang beriman kepadanya; dan sesiapa yang mengingkarinya maka mereka itulah orang-orang yang rugi’.
(Al-Baqarah: 120-121)

Ayat ini memberi pengajaran kepada umat Islam bahawa orang-orang Yahudi dan Nasrani itu akan terus berusaha sedaya upaya untuk memperdaya umat Islam supaya mengikut telunjuk dan kehendak mereka.
Berbagai-bagai cara dan jalan yang mereka lakukan untuk merosakkan kepercayaan dan keperibadian umat Islam. Oleh kerana ramai yang tidak menyedari hakikat ini, maka bukan sedikit dalam kalangan umat Islam yang terikut-ikut dengan adat dan budaya serta cara hidup mereka, semata-mata dengan alasan menurut peredaran zaman, sekalipun yang diikuti itu bersalahan dengan ajaran Islam dan bertentangan dengan akhlak dan budi pekerti yang mulia. Hakikat ini wajib diketahui dan disedari oleh semua pihak.

Oleh itu, umat Islam hendaklah mempastikan sesuatu perkara yang dilakukan itu adalah mengikut landasan Islam yang sebenar. Mengamalkan adat dan budaya Melayu yang sopan lagi tertib tidaklah salah asalkan tidak bertentangan dengan prinsip dan ajaran Islam. Islam sangat menitikberatkan soal remaja di antaranya bagaimana mengarah hala tuju tentang percintaan.

Remaja atau pemuda pemudi Islam sepatutnya memiliki kekuatan iman, ketahanan jiwa, mempunyai jati diri, tidak mudah terumbang-ambing dan dipengaruhi, apatah lagi untuk tujuan melakukan kemungkaran kerana hatinya takut kepada Allah s.w.t.
Rasulullah s.a.w. ada menyebutkan bahawa tujuh golongan manusia yang akan mendapat perlindungan atau lembayung Allah, antaranya: Pemuda atau remaja yang sentiasa beribadat kepada Allah tidak kira pagi, petang, siang atau malam; seorang lelaki apabila diajak oleh perempuan yang cantik jelita dan kaya raya untuk melakukan maksiat, dia menolak kerana takutkan Allah, sebagaimana Baginda bersabda yang maksudnya:
‘Tujuh orang yang dilindungi oleh Allah dalam naungan-Nya pada hari tidak ada naungan kecuali naungan-Nya iaitu: Imam yang adil, pemuda yang selalu beribadat kepada Allah, orang yang hatinya sentiasa terpaut kepada masjid, dua orang yang saling cinta-mencintai kerana Allah, mereka bertemu dan berpisah kerana Allah, seorang lelaki yang diajak oleh perempuan yang kaya dan cantik melakukan maksiat, lalu dia berkata: “Sesungguhnya aku takut kepada Allah,” seorang lelaki yang sentiasa bersedekah dengan sembunyi-sembunyi sehingga tangan kirinya tidak mengetahui apa yang telah dinafkahkan oleh tangan kanannya, dan seseorang yang sentiasa ingat kepada Allah (berzikir) di tempat yang sunyi sehingga matanya mengalir air mata’.

(Riwayat Bukhari).
Berdasarkan hadis ini, jelaslah bahawa pemuda dan remaja yang hebat itu ialah pemuda yang tahan ujian dan mempunyai jati diri serta tidak mudah terpengaruh, semata-mata cinta dan takut kepada Allah s.w.t.

1. Kasih sayang dalam Islam adalah untuk sepanjang masa. Ia bukan hanya ditetapkan dalam tempoh masa atau hari yang tertentu sahaja untuk menzahirkan kasih sayang.
Percanggahan dari perspektif Islam:

a. Perlakuan segelintir daripada kalangan masyarakat masa kini yang meraikan atau menzahirkan kasih sayang pada tempoh atau hari tertentu dalam kalendar masihi seperti Hari Kekasih, sebenarnya tidak selari dengan kehendak syara’.
Dalam kalendar masihi, setiap tarikh adalah merupakan hari peringatan kepada Saint yang tertentu iaitu bermula dari 1 Januari hingga 31 Disember setiap tahun. Perkataan Saint membawa maksud wali atau rasul bagi agama Kristian. Hanya paderi yang dipercayai mempunyai mukjizat, banyak menyumbang kepada gereja serta banyak membuat kebajikan akan diiktiraf dan diberi gelaran ini.

2. Konsep kasih sayang tidak terhad kepada golongan tertentu sahaja.
Adalah menjadi tabiat semula jadi manusia suka dikasihi dan mengasihi antara satu sama lain. Rasulullah s.a.w. sendiri menyeru umatnya agar saling berkasih sayang sesama Islam, sebagaimana hadis Baginda yang bermaksud:

‘Tidak beriman seseorang daripada kamu sehingga dia mengasihi saudaranya seperti mana dia mengasihi dirinya sendiri’.
(Riwayat al-Bukhari).
Kasih sayang yang paling utama ialah terhadap Allah s.w.t., diikuti Rasulullah s.a.w., kedua ibu bapa, suami, isteri, anak-anak, ahli keluarga, kaum kerabat, jiran tetangga dan seterusnya. Ianya hendaklah dibatasi dengan syarat-syarat yang telah digariskan dalam Islam termasuklah dalam aspek menjaga perhubungan antara bukan mahram dan maruah individu itu sendiri.

Kasih sayang dalam Islam dapat dikategorikan kepada tiga:
Pertama: Kasih Pencipta (Allah s.w.t.) kepada hamba-Nya. Kasih sayang Allah s.w.t. kepada hamba-Nya adalah kasih yang berkekalan. Allah s.w.t. berfirman dalam Surah Ali 'Imran, ayat 31:

Maksud: ‘Katakanlah jika benar kamu mengasihi Allah maka ikutilah Daku, nescaya Allah mengasihi kamu serta mengampunkan dosa-dosa kamu. Dan ingatlah Allah Maha Pengampun lagi Maha Mengasihi’.

Kedua: Kasih hamba kepada Pencipta. Kasih hamba kepada Pencipta adalah berlandaskan keimanan dan ketaqwaan. Firman Allah s.w.t. dalam surah al-Baqarah, ayat 21:
Maksud: ‘Wahai sekelian manusia sembahlah Tuhan kamu yang telah menciptakan kamu dan orang-orang yang terdahulu daripada kamu, supaya kamu (menjadi orang yang) bertaqwa’.

Ketiga: Kasih makhluk sesama makhluk. Kasih makhluk sesama makhluk sifatnya tidak berkekalan, kerana ia bergantung kepada keadaan. Kasih sayang sesama makhluk tidak boleh melebihi kasih sayang dan kecintaan terhadap Allah s.w.t.

Percanggahan dari perspektif Islam:

a. Perlakuan segelintir individu yang menzahirkan kasih sayang dan kecintaannya kepada golongan tertentu seperti golongan artis sebagai idola sehingga pada tahap mengagung dan memuja adalah melampaui kasih sayang terhadap Allah s.w.t. dan rasul-Nya.

b. Pergaulan bebas tanpa batasan antara lelaki dan wanita yang bukan mahram yang menzahirkan kasih sayang dan kecintaannya hingga menggadai maruah dan kehormatan diri.

c. Ibu bapa dan ahli keluarga yang tidak mengambil tahu siapa rakan anak-anaknya, ke mana ia pergi dan waktu bila seharusnya anak-anak berada di rumah sebenarnya belum lagi menunaikan tanggungjawab dan amanah Allah dalam mendidik anak-anak sekalipun ianya telah dewasa.

d. Kasih sayang yang dizahirkan berdasarkan darjat, pangkat, gelaran dan kekayaan adalah palsu semata-mata tanpa di dorongi hati yang ikhlas.

e. Kasih sayang yang membezakan bentuk dan fizikal manusia hingga meminggirkan warga emas, kanak-kanak, golongan orang kurang upaya dan kurang berkemampuan.
3. Sambutan yang dilakukan tidak menjejas atau merosakkan aqidah, syariah dan akhlak seseorang individu Muslim.Setiap individu Muslim hendaklah mempastikan bahawa setiap langkah yang diambil dalam kehidupannya akan membawa natijah yang baik. Bagi mendapatkannya, setiap perbuatan atau perlakuan haruslah didahului dengan usaha dan perancangan yang baik dalam menghasilkan sesuatu.

Ekoran daripada itu, setiap ancaman yang boleh merosakkan ‘maqasid al-syariah’ atau prinsip asas syariah iaitu memperuntukkan manusia supaya menjalani kehidupan dengan menjaga dan mempertahankan agama, akal, nyawa, keturunan dan harta sewajarnya hendaklah dihindarkan.

Percanggahan dari perspektif Islam:

a. Sambutan yang berunsur maksiat seperti percampuran atau pergaulan bebas antara lelaki dan wanita yang bukan mahram.

b. Sambutan yang diraikan dengan perkara yang haram seperti meminum arak, berzina, meniup lilin (menyerupai amalan agama Majusi) dan sebagainya.

c. Sambutan yang bersifat melalai atau melekakan individu akan tanggungjawabnya terhadap Allah s.w.t. dan agamanya.

d. Sambutan yang dilakukan bersifat hiburan yang melampau dan di tempat-tempat yang dikategorikan sebagai tempat maksiat seperti pesta tertutup, kelab-kelab malam atau pusat karaoke dan sebagainya.

SAMBUTAN YANG DIANJURKAN MENURUT PERSPEKTIF ISLAM.

1. Sambutan yang dilakukan sebaik-baiknya secara sederhana, tidak melalaikan tanggungjawab seorang Muslim terhadap Allah s.w.t. dan tidak bersifat membazir.
2. Sambutan yang baik adalah dengan cara mengasihi sesama sanak saudara melalui amalan ziarah-menziarahi selain berkongsi suka-duka, menzahirkan rasa syukur jika senang dan bertakziah atau bersimpati apabila ditimpa sebarang musibah.

3. Sebaik-baik sambutan adalah dengan mengadakan sembahyang berjamaah bersama ahli keluarga, majlis tahlil dan doa selamat, pesanan dan nasihat yang baik serta dalam suasana yang mahabbah.

4. Setiap ibu bapa perlu merenung kembali dan muhasabah diri ke atas amanah serta tanggungjawab yang terpikul di bahu mereka. Adakah kita telah memainkan peranan sebagai pemimpin keluarga dengan penuh kasih sayang, melalui jalan kebenaran untuk menikmati kedamaian hidup di dunia dan kebahagiaan akhirat.

5. Setiap ibu bapa perlu menyayangi dan melindungi ahli keluarga mereka daripada segala bentuk ancaman akidah dan kelalaian dunia. Ibu bapa perlu menjadi contoh terbaik di dalam keluarga dan disegani, dihormati serta disayangi oleh ahli keluarga.

6. Setiap ibu bapa perlu mewujudkan persekitaran yang baik dan selesa agar ahli keluarga merasa selamat, dihargai dan dihormati dalam usaha melahirkan insan syumul.
7. Setiap ibu bapa perlu prihatin dan memainkan peranan bersama untuk membabitkan diri dalam membanteras gejala sosial dan maksiat yang berleluasa dalam masyarakat, melalui program amar makruf nahi mungkar bagi melindungi ahli keluarga daripada terjebak.

8. Setiap ibu bapa perlu memperingatkan dirinya perihal pentingnya peranan mereka dalam menyemaikan nilai-nilai etika dan spiritual yang tinggi dalam kalangan ahli keluarga mereka.

9. Setiap ibu bapa mestilah mengambil langkah-langkah proaktif bagi mempertingkatkan pengetahuan dan kemahiran keibubapaan (parenting skills) bagi menyediakan anak-anak mereka untuk lebih berupaya menghadapi cabaran masa kini.

10. Didikan agama yang sempurna adalah satu faktor perlindungan (protective factor) yang mampu menyelamatkan manusia dari terjebak ke dalam perbuatan keji yang hanya akan merosakkan dirinya sendiri. Apabila pegangan serta keutamaan tidak lagi berkisarkan kepada tunjang agama yang kukuh, dengan mudah sahaja seseorang itu melakukan sesuatu perbuatan yang merugikan diri, keluarga, masyarakat dan negaranya.

PENUTUP.
Harus diingat, mengamal dan mengikut budaya asing, terutamanya dalam meraikan hari-hari tertentu tanpa mengetahui latar belakang perayaan tersebut, sebenarnya akan menjerumuskan umat Islam kepada kehancuran kerana perkara seperti ini bukan sahaja menjejaskan akhlak bahkan keimanan dan akidah, serta menjatuhkan maruah agama Islam itu sendiri.
Umat Islam diseru agar tidak sesekali meniru budaya asing yang ternyata bercanggah apatah lagi ia turut menjerumuskan mereka ke lembah kemaksiatan. Adalah diharapkan semoga dengan adanya garis panduan seperti ini akan dapat membantu umat Islam bagaimana untuk meraikan sambutan Hari Bapa, Ibu, Kekasih dan yang seumpamanya menurut perspektif Islam yang sebenar.
Disediakan oleh:
Jabatan Mufti Negeri Selangor.
(www.muftiselangor.gov.my) 14


Bapa Yang Kekal
Kasih yang sempurna
Telah ku trima dari Mu
Bukan kerana kebaikan ku
Hanya oleh Kasih Kerunia Mu
Kau pulihkan aku
Layakkan aku untuk dapat memanggil Mu Bapa

Kau beri yg aku pinta
Saat aku mencari aku mendapatkan
Ku ketuk pintu Mu dan Kau bukakan
Sebab Kau Bapa ku
Bapa yang kekal

Takkan Kau biarkan
Aku melangkah hanya sendirian
Kau selalu ada bagiku
Sbab Kau Bapaku
Bapa yang kekal....

Kasih Bapa itu sempurna. Dia kasih apapun yang aku pinta, Dia pun juga membuka pintu untukku jika aku mengetuknya. Dia juga akan membiarkan aku melangkah sendirian, Dia akan selalu ada dan menemani diriku. Dia benar' Bapa yang kekal. Dia tidak akan pernah meninggalkan aku sendirian. Dia selalu ada disamping keluarga....



Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.