Pages

Subscribe:

18 Julai, 2010

[ Jangan biarkan bangsa anda terpinggir.......Di tanah air sendiri



RM550 juta diperlukan naik taraf 209 GiatMara

BACHOK 18 Julai - Peruntukan RM550 juta diperlukan untuk menaik taraf 209 Pusat GiatMara di samping menampung keperluan kos melatih lebih 14,000 pelatihnya di seluruh negara di bawah Rancangan Malaysia Kesepuluh (RMK-10).

Pengerusinya, Datuk Shahiruddin Ab. Moin berkata, peruntukan itu antaranya bagi membaik pulih bangunan dan bengkel-bengkel selain melengkapkan peralatan pembelajaran dan pengajaran di pusat berkenaan.

"Peruntukan sama perlu digunakan untuk pembayaran elaun RM200 sebulan kepada setiap pelatih yang berkursus di GiatMara," katanya.

Beliau ditemui selepas majlis ramah mesra Pusat GiatMara dengan Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Dr. Awang Adek Hussin di sini hari ini.

Shahiruddin yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dong, Pahang berkata, peruntukan itu sudah dipohon dan dikemukakan kepada kerajaan untuk dipertimbangkan.

Beliau berkata, setakat ini Pusat GiatMara di seluruh negara menawarkan 32 kursus kepada pelatih yang berminat terutama remaja lepasan sekolah yang gagal melanjutkan pelajaran ke peringkat tinggi.

Katanya, usaha itu merupakan agenda pusat berkenan bagi membantu remaja menjalani latihan kemahiran bagi membolehkan mereka mendapat pekerjaan dalam bidang yang memerlukan kepakaran vokasional.

Menurutnya, ini termasuk melatih mereka membaik pulih kenderaan bermotor, pendawaian elektrik, jahitan, sulaman, perabot dan sebagainya.

Beliau berkata, sehingga kini 4,205 daripada 400,000 pelatih yang mendapat latihan di Pusat GiatMara telah berjaya menjadi usahawan berdasarkan kursus-kursus yang dipilih sejak pusat itu ditubuhkan pada tahun 1987 lagi.

"Ini tidak termasuk mereka yang membuka bengkel (membaiki kenderaan) secara kecil-kecilan," katanya

300 bantah penutupan IKYS
Oleh AZIAN AZIZ
pengarang@utusan.com.my

SABAK BERNAM 18 Julai – Lebih 300 orang termasuk pelajar Institut Kemahiran Yayasan Selangor (IKYS) berhimpun secara aman di pekarangan IKYS di sini hari ini bagi membantah keputusan kerajaan negeri menutup institut itu secara mendadak Jumaat lalu.

Pelajar terlibat mendakwa, mereka hanya mengetahui tentang penutupan institut tersebut dan arahan berpindah ke Kolej Antarabangsa Inpens (Inpens) di Kuala Selangor minggu lalu selepas menghabiskan cuti semester baru-baru ini.

Selain beberapa Ahli Dewan Undangan Negeri Barisan Nasional (BN) yang diketuai Datuk Seri Dr. Mohamad Khir Toyo, waris keluarga pelajar terlibat turut menyertai perhimpunan hampir dua jam yang bermula pukul 10.30 pagi itu di pekarangan IKYS Bagan Terap..

Penutupan IKYS yang kebanyakan pelajarnya berasal daripada keluarga berpendapatan rendah, disifatkan mereka sebagai tindakan zalim kerajaan negeri.

Malah kata mereka, ia juga menunjukkan kerajaan negeri tidak prihatin terhadap nasib dan masa depan pelajar miskin yang ingin menyambung pelajaran dalam bidang kemahiran.

Menurut Ketua Pelajar IKYS, Mohd. Farhan Kamaluddin, 19, dia yang mewakili kira-kira 250 pelajar institut itu terkejut dengan keputusan kerajaan negeri yang dipercayai dibuat ketika mereka sedang bercuti dan tanpa sebab munasabah.

Dia yang kini menjalani latihan praktikal, berkata, langkah itu merupakan satu tindakan kejam apatah lagi memaksa pelajar terlibat bertukar ke Kolej Antarabangsa Inpens.

‘‘Jumaat lalu kami datang tetapi tidak dibenarkan masuk dan hari ini kami diminta ambil semua barang dan esok daftar ke Inpens.

‘‘Kami tak mahu kerana kami suka belajar di IKYS. Di sini kemudahan belajar lengkap dan sistem belajarnya juga bagus serta sesuai dengan kami yang berminat dalam bidang elektrikal.

‘‘Lagi pun apabila berpindah ke Inpens, ia melibatkan kos. Yuran di sini sudah dibayar jadi rugilah kerana kami bukan orang senang,” katanya yang berasal dari Meru, Klang.

Mohd. Farhan yang mengikuti kursus pendawaian elektrik di IKYS sejak Julai tahun lalu berharap kerajaan negeri menarik balik keputusan itu demi kebaikan pelajar.

Rakannya, Norazizi Subari, 21, yang berasal dari sini berkata, perpindahan ke Inpens akan menyusahkannya dan rakan-rakan yang menetap di sekitar Sabak Bernam.

Katanya, ia juga menyukarkan pelajar yang hampir tamat kursus sepertinya.

‘‘Lagi beberapa bulan sahaja nak habis belajar. Macam mana dengan sijil saya dan kawan-kawan nanti. Sijil daripada IKYS atau Inpens ?

‘‘Kami nak sijil IKYS kerana lebih mudah dapat kerja, Inpens kami tak tahulah,” katanya.

Seorang lagi pelajar, Azwar Ahmad, 18, yang baru mendaftar minggu lalu dan sedang menjalani minggu orientasi berkata, dia berasa tertipu kerana selepas mendaftar baru diberitahu akan ditukar ke Inpens.

‘‘Kenapa tak beritahu awal-awal, tak payahlah saya datang belajar di sini. Saya datang kerana mahu menuntut di IKYS bukan Inpens,” katanya.

Bapa kepada seorang pelajar IKYS, Salim Ali, 42, pula berkata, tindakan kerajaan negeri itu menyusah dan membebankan ibu bapa kerana selepas ini mereka terpaksa menguruskan anak-anak ke Inpens pula.

‘‘Dah elok-elok belajar di IKYS, kerajaan negeri tutup pula padahal di sini semuanya lengkap. Kenapa kerajaan negeri buat sesuka hati tanpa memikirkan nasib pelajar dan keluarga mereka yang kurang berkemampuan,” katanya kesal.

IKYS dibina dengan kos RM25 juta di kampus tetapnya di Bagan Terap, Sabak Bernam selepas berpindah dari kampus sementaranya di Kuala Selangor. Dulu namanya adalah Institut Kemahiran Selangor sebelum ditukar kepada IKYS pada 2005.

Ketika ini, IKYS menawarkan pelbagai kursus kemahiran antaranya pendawaian satu fasa secara sepenuh masa, teknologi penyejukan dan penyaman udara domestik secara sepenuh masa.

Turut ditawarkan adalah kursus pendawaian tiga fasa secara separuh masa, program kawalan motor secara separuh masa dan program intensif peperiksaan yang mendapat pengiktirafan Suruhanjaya Tenaga Malaysia (STM).

Selangor tak hirau nasib pelajar miskin
SABAK BERNAM 18 Julai - Keputusan kerajaan negeri menutup Institut Kemahiran Yayasan Selangor (IKYS) di Bagan Terap, di sini disifatkan sebagai tindakan mementingkan diri dan tidak munasabah.

Ketua Pembangkang Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor, Datuk Seri Dr. Mohamad Khir Toyo berkata, keputusan itu dipercayai dilakukan ekoran institut itu tidak memberikan keuntungan kepada Yayasan Selangor dan kerajaan negeri.

Sedangkan menurut beliau, tindakan itu sebenarnya hanya akan menyusahkan pelajar dan keluarga mereka yang kebanyakannya berpendapatan rendah.

''Mereka langsung tidak memikirkan nasib dan masa depan pelajar di institut ini yang tujuan penubuhannya untuk membantu anak golongan berpendapatan rendah yang tidak berpeluang menyambung pengajian ke peringkat tinggi bagi mendapatkan latihan kemahiran.

''Saya juga tertanya-tanya kenapa soal rugi ditimbulkan sedangkan wang IKYS ada RM60 juta berdasarkan rekod pada tahun 2009. Lagi pun ia dibina bukan bermatlamat mencari keuntungan tetapi membantu rakyat kurang berkemampuan," katanya.

Beliau yang juga bekas Menteri Besar Selangor berkata demikian kepada pemberita selepas mengadakan demonstrasi aman di pekarangan IKYS di Bagan Terap di sini hari ini

Koperasi anak Felda ditubuh

oleh JAMLIAH ABDULLAH, SAJIDA ASARULAH KHAN
utusanN9@utusan.com.my

TAMPIN 18 Julai - Sebuah koperasi untuk anak-anak peneroka Felda, Koperasi Anak Felda akan ditubuh bagi memberi peluang kepada generasi peneroka mendapat peluang perniagaan di tanah rancangan tersebut.

Pengerusi Gabungan Wawasan Generasi Felda (GWGF), Tan Sri Rozali Ismail berkata, penubuhan koperasi tersebut akan dicadangkan kepada pihak kerajaan penghujung tahun ini dan dibuat selepas satu mesyuarat dengan anak-anak peneroka baru-baru ini.

Kata beliau, pada masa depan, semua anak peneroka daripada generasi kedua, ketiga dan keempat berhak menyertai koperasi tersebut walaupun tidak tinggal di tanah rancangan Felda lagi.

"Ini merupakan salah satu cara untuk kita mengumpul dana kerana koperasi ini boleh menyalurkan faedah kepada semua anak peneroka. Kalau kita buat syarikat, yang ada nama cuma seorang dua, jadi ramai yang tidak puas hati," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas taklimat isu-isu semasa berkaitan Felda di Palong 6, Gemas di sini hari ini.

Rozali berkata, beliau akan menjelajah ke seluruh tanah air untuk bertemu dan berbincang dengan anak-anak peneroka Felda yang diharapkan membawa kepada persetujuan ke arah penubuhan koperasi tersebut.

"Penghujung tahun ini kita akan kemukakan cadangan tersebut dan tertakluk kepada keputusan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak. Cadangan ini akan dibuat setelah semua anak peneroka bersetuju.

"Kesemua anak peneroka boleh menjadi ahli dan mendapat faedah daripada perniagaan yang bakal diusahakan," katanya.

Beliau pada masa sama menafikan penubuhan koperasi tersebut untuk bersaing dengan Koperasi Permodalan Felda (KPF) yang mana 50 peratus sahamnya dipegang oleh peneroka sendiri iaitu generasi asal peneroka tanah rancangan itu.

"Jumlah anak peneroka sekarang ini sudah hampir kepada 600,000 orang. Sebahagiannya masih duduk di tanah rancangan manakala yang lain duduk di luar. Ramai dari kalangan anak peneroka ini sudah banyak duit dan mereka boleh melabur dalam koperasi ini," katanya.

Beliau menjelaskan, penubuhan koperasi itu bagaimanapun turut bergantung kepada peneroka asal tanah rancangan memandangkan mereka adalah pemilik tanah.

Wang ihsan hanya untuk pelajar miskin
BACHOK 18 Julai – Pengagihan wang ihsan hanya dikhususkan untuk membantu pelajar miskin daripada keluarga yang mempunyai pendapatan kurang RM1,500 sebulan dengan keutamaan kepada anak yatim yang miskin.

Pengerusi Jawatankuasa Pengagihan Wang Ihsan Kelantan, Datuk Dr. Awang Adek Hussin berkata, wang itu juga disalurkan untuk membantu mereka yang menghadapi bencana alam seperti banjir dan ribut.

Sehubungan itu, katanya, pihaknya tidak bercadang mengagihkan wang tersebut kepada golongan lain seperti pertubuhan bukan kerajaan (NGO) atau mana-mana institusi pendidikan yang memerlukan termasuk untuk pembiayaan pengajian pelajar.

“Kita banyak menerima permintaan agar wang itu turut diagih-agihkan kepada pihak lain yang melibatkan pusat pengajian kemahiran vokasional dan pusat-pusat pengajian setempat.

“Kita terpaksa menolaknya kerana dasar sedia ada yang sudah diputuskan oleh Jawatankuasa Khas Pengagihan Wang Ihsan,” katanya ketika ditemui pada majlis turun padang dan kursus tanaman padi di Kampung Kemasin di sini hari ini.

Tambahnya, koperasi tersebut juga bakal membolehkan anak-anak peneroka menguruskan tanah-tanah Felda yang terbiar selepas pemilik asalnya meninggal dunia.

"Ada tanah yang terbiar ini, kita nak tengok mana-mana tidak keluarkan hasil kita nak tingkat hasil supaya keuntungannya boleh dikongsi bersama. Ini yang kita nak bantu anak-anak Felda iaitu macam mana nak uruskan ladang tinggal ini.

"Masalah tanah terbiar ini bagaimanapun tidak serius. Ada yang diuruskan oleh Felda melalui buruh asing sebagai tenaga kerja dan ada anak peneroka tubuhkan syarikat untuk menguruskan tanah rancangan jiran mereka yang sudah meninggal dunia," katanya

Bantu peniaga kecil - Dr. Kassim

Oleh ASMA HANIM MAHMOOD
utusankelantan@utusan.com.my

KOTA BHARU 18 Julai - Malaysia disaran mencontohi Jerman yang mengehadkan waktu operasi pasar raya besar bertujuan memberi lebih peluang kepada peniaga kecil.

Felo Kanan Universiti Malaysia Kelantan (UMK), Dr. Kassim Buhiran berkata, di Jerman, pasar raya besar hanya dibenarkan beroperasi sehingga pukul 6 petang, selain dilarang beroperasi pada hujung minggu dan cuti umum.

"Di bandar Cologne, Jerman, pasar raya besar di situ diwajibkan menghentikan perniagaan pada pukul 6 petang dan dilarang beroperasi pada hujung minggu dan cuti umum.

"Mereka benarkan pasar raya besar berniaga tetapi membuat peraturan agar peniaga kecil mempunyai peluang untuk hidup," katanya berucap pada program Siri Ceramah Utama Ke-13 anjuran UMK di Dewan Persidangan Pusat Dagangan Kelantan di sini semalam.

Lebih 500 terdiri daripada kakitangan dan pelajar UMK termasuk usahawan dari negeri ini hadir pada program tersebut.

Kassim berkata, Malaysia perlu mengambil pendekatan serupa kerana langkah tersebut dapat memastikan peniaga runcit tidak terus tertekan dan akhirnya berkubur akibat persaingan dengan pasar raya besar.

Ini kerana, katanya, ada pasar raya besar memulakan operasi dari pukul 8 pagi hingga ke lewat malam dan ia menjadi antara punca yang boleh menggugat perniagaan runcit.

"Kita bukan mahu menghalang syarikat pasar raya besar membuka perniagaan di sini tetapi satu mekanisme yang kukuh harus ada untuk memberi peluang kepada peniaga kecil.

"Kerajaan memang sudah membuat langkah tertentu tetapi jika benar mahu membantu peniaga kecil adalah lebih baik jika waktu perniagaan pasar raya besar dapat dihadkan," katanya.

Sementara itu, Pengasas dan Pengarah Urusan Adabi Consumer Industries, Datuk Syed Manshor Syed Mahmood dalam ucapannya berkata, pasar raya besar harus memberi peluang yang lebih adil kepada produk industri kecil dan sederhana (IKS) semasa dipamerkan di rak.

Katanya, situasi hari ini memperlihatkan bagaimana produk IKS di pasar raya besar diletakkan di rak yang berbeza dengan kumpulan jenis barangan sama daripada syarikat besar.

Jelasnya, ia sewajarnya diletakkan sebaris jenama utama lain yang menjual barangan serupa sekali gus memberi lebih pilihan kepada pelanggan, bukan mengasingkannya di sudut tertentu.

"Jika diperlakukan demikian akan timbul persepsi di kalangan pelanggan bahawa barangan IKS tersebut berkualiti rendah.

"Lama kelamaan produk IKS tersebut tidak boleh dijual kerana pelanggan tidak menyedari akan kewujudannya," katanya.

Wujudkan mata pelajaran Perlembagaan – Perkasa

KUALA LUMPUR 18 Julai – Pertubuhan Pribumi Perkasa Nasional (Perkasa) mencadangkan supaya mata pelajaran Perlembagaan diwujudkan di sekolah dan institusi pengajian tinggi (IPT) bagi menjaga kepentingan hak istimewa orang Melayu.

Presiden Perkasa, Datuk Ibrahim Ali berkata, kewujudan subjek itu diyakini dapat menerapkan pemahaman yang lebih tinggi di kalangan golongan muda mengenai sejarah negara dan apa yang telah dipersetujui ketika pembentukan Malaysia.

“Di sekolah, pendidikan Perlembagaan boleh diserapkan ke dalam mata pelajaran Sejarah manakala di IPT pula, wajibkan kursus Perlembagaan kepada pelajar.

“Dengan cara ini, golongan muda akan sedar tanggungjawab memelihara kepentingan negara terutama berkaitan hak-hak istimewa orang Melayu,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Dekan Fakulti Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi Universiti Teknologi Mara (UiTM), Prof. Datuk Dr. Ramlah Adam hari ini mengenai golongan muda Melayu yang tidak menghargai hak-hak istimewa orang Melayu.

Ramlah berkata, orang Melayu akan melupakan haknya sendiri sekiranya tiada langkah diambil bagi menjaga kepentingan dan keistimewaan itu.

Sementara itu Ibrahim berkata, Perkasa ditubuhkan bertujuan mempertahan hak istimewa orang Melayu yang termaktub dalam Perlembagaan berikutan ia dilihat semakin dicabar terutama selepas pilihan raya umum lalu.

“Disebabkan keghairahan politik, ada pihak yang sudah berani mencabar dan menghina kepentingan Melayu menunjukkan rasa tidak hormat mereka pada kepada Perlembagaan.” katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.