Pages

Subscribe:

29 Ogos, 2010

[ hang nadim] Adab Dalam Masjid......


Terjemahan Dalam Bahasa Malaysia
Tafsiran Ar-Rahman Kaligrafi Ayat
Surah
Wahai orang-orang yang beriman! Sesungguhnya (kepercayaan) orang-orang kafir musyrik itu najis, oleh itu janganlah mereka menghampiri Masjid Al-Haraam sesudah tahun ini dan jika kamu bimbangkan kepapaan, maka Allah akan memberi kekayaan kepada kamu dari limpah kurniaNya, jika Ia kehendaki. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana.

Terjemahan Dalam Bahasa Inggeris
Tafsiran Abdullah Yusuf Ali
O ye who believe! Truly the Pagans are unclean so let them not, after this year of theirs, approach the Sacred Mosque. And if ye fear poverty, soon will Allah enrich you, if He wills, out of His bounty, for Allah is All-knowing, All-wise.

Dari Abdullah bin 'Amr r.a., Rasulullah s.a.w. bersabda:
"Sampaikanlah PesanKu Biarpun Satu Ayat..."
Melangkah masuk ke dalam masjid dengan kaki kanan sambil membaca doa dan apabila hendak keluar melangkah dengan kaki kiri sambil membaca doa juga.

Sebelum duduk tunaikan solat sunat tahiyatul masjid.

Jangan sembahyang di tempat yang boleh mengganggu orang ramai daripada memasuki masjid seperti di muka pintu.

Jangan bermundar-mandir dalam masjid, ingatlah anda sedang berada di rumah Allah, maka duduklah dengan penuh perasaan tawaduk serta banyakkan berzikir dan bertasbih.

Jangan meninggikan suara dalam masjid sama ada berzikir atau membaca al-Quran.

Jangan berbual dalam masjid mengenai hal keduniaan.

Pakai pakaian yang sopan dan bersesuaian tatkala memasuki masjid.

Jangan menggunakan masjid sebagai jalan pintas untuk menuju ke suatu tempat.

Jangan menyimpan atau membawa sesuatu yang berbau busuk masuk ke dalam masjid.

Jika merokok atau memakan bawang janganlah terus masuk ke masjid, seelok-eloknya cuci dulu mulut kerana ini akan mengganggu keselesaan orang lain disebabkan oleh baunya.

Sunat memakai bau-bauan yang diharuskan.

Jangan mengambil atau membawa pulang barang kepunyaan masjid untuk kegunaan sendiri kerana segala peralatan masjid diwakaf dan ia untuk kegunaan awam.



Hukum Pelancong Bukan Islam Memasuki Masjid dan Ruang Solat Utama Di Dalam Masjid

Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-90 yang bersidang pada 1 Mac 2010 telah membincangkan Hukum Pelancong Bukan Islam Memasuki Masjid Dan Ruang Solat Utama Di Dalam Masjid. Muzakarah telah memutuskan bahawa pelancong bukan Islam diharuskan memasuki masjid dan ruang solat dengan syarat mendapat keizinan pihak pengurusan masjid dan perlakuan serta tingkah laku mereka tidak mencemarkan kesucian masjid dan sentiasa terkawal dan beradab. Walaubagaimanapun, perbuatan berdoa atau bertafakur oleh pelancong bukan Islam mengikut cara agama mereka dalam keadaan yang boleh menimbulkan fitnah adalah dilarang.

Hujah / Keterangan :

Dalam hal-hal yang berkaitan ibadah, sensitiviti umat Islam sangat tinggi dan nilai-nilai ta'abbudi amat dititikberatkan oleh masyarakat Islam.

Umat Islam dibenarkan melakukan ibadah sembahyang walaupun di dalam gereja kerana Saidina Umar al-Khattab pernah melakukannya. Umat Islam perlu bersikap tasamuh dan tidak terlalu rigid dalam membenarkan orang bukan Islam mendekati masjid.

Keindahan Islam boleh ditunjukkan kepada orang bukan Islam melalui lawatan mereka ke masjid-masjid selaras dengan peraturan dan garis panduan yang telah ditetapkan oleh pengurusan masjid.

Sikap membenarkan orang bukan Islam memasuki masjid tidak boleh disamakan dengan sikap tidak membenarkan penggunaan kalimah Allah oleh Kristian kerana konsepnya adalah berbeza.

SUMBER 2

PAS Serdang berpendapat tiada masalah bagi seorang pemimpin bukan Islam menyampaikan 'tazkirah' dalam sebuah masjid atau surau kerana Islam merupakan sebuah agama yang bersifat anjal.

"Kita tidak ada masalah (dan) kita tidak mahu memanjangkan perkara ini," kata ketua Pemuda PAS Serdang Mohd Adram Musa.

Sehubungan itu, menurut Mohd Adram lagi, isu ahli parlimen Serdang Teo Nie Ching memasuki sebuah surau di Kajang dianggap kontroversi ekoran stigma masyarakat yang beranggapan "bahawa Islam itu untuk Melayu semata-mata".

"Bila kaum Cina dan India menghampiri surau atau masjid, timbul satu perspektif yang tidak baik. Dalam konteks dakwah, kena ada fleksibiliti, khususnya di negeri Selangor.

"Kita perlu mengutamakan dakwah dan keharmonian antara kaum," kata Mohd Adram yang juga ahli Majlis Perbandaran Kajang.

SUMBER 3

Pengarahnya, Datuk Mohammed Khusrin Munawi berkata, amaran itu diberikan kerana tindakan membenarkan orang bukan Islam sama ada ahli politik dan sebagainya memasuki ruang solat adalah tidak dibenarkan sama sekali dan menyalahi dari segi hukum.

Ia kerana katanya, orang bukan Islam tidak dibenarkan memasuki dalam masjid dan surau apatah lagi di ruang solat utama kerana mereka dikategorikan seperti wanita yang didatangi haid.

“Orang bukan Islam adalah dilarang memasuki ruang solat kerana mereka ini dalam berkeadaan hadas besar apatah lagi berada di bahagian imam dan menyampaikan ucapan kepada umat Islam di dalamnya.

SUMBER 4

Laman blog itu turut menyiarkan gambar wakil rakyat terbabit dalam keadaan tidak bertudung dan hanya memakai kebaya pendek sambil berdiri di bahagian imam ruang solat surau berkenaan.

SUMBER 5

Dr Mohd Asri Zainul Abidin hari ini mengkritik lagi Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) dan menasihatkannya agar tidak berfikiran sempit berhubung isu tindakan terhadap sebuah masjid yang mengundang exco kerajaan yang bukan Islam berucap di dalamnya.

Menggesa jabatan agama itu membebaskan dirinya daripada pemikiran sempit, bekas mufti Perlis itu berkata, hujah yang diguna pakai Jais yang menyamakan orang bukan Islam dengan wanita berhaid sebagai "pandangan segelintir sarjana Islam yang tidak mantap".

"Kenapakan pihak Jais tidak memilih pandangan yang lebih mantap dan lebih luas? Orang kafir, orang bukan Islam pun masuk berjumpa dengan Nabi Muhammad dalam masjid.

"Masjid merupakan pejabat nabi pada zaman awal Islam. Perwakilan (kumpulan) yang Yahudi, Kristian, musyrikin, mereka masuk ke dalam masjid untuk berjumpa dengan nabi," katanya, yang masih bertegang dengan Jais susulan penangkapannya hujung minggu lalu.

"Dengan itu, ulama Islam berpendapat, mereka boleh masuk ke dalam masjid untuk tujuan yang baik."

SUMBER 6
Sehari dua ini saya dihujani pertanyaan ekoran kontroversi yang berlaku di Selangor berkaitan isu non-muslim masuk ke masjid. Saya merujuk kenyataan Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), Datuk Mohamed Khusrin Munawi yang dilaporkan berkata seseorang bukan Islam tidak boleh memasuki masjid kerana mereka dikategorikan sama seperti wanita didatangi haid. (Berita di sini)

Benarkah demikian? Apakah sebenarnya pandangan para fuqaha berkenaan dengan isu ini? Jika dikaji sebenarnya terdapat perbezaan pandangan yang ketara di dalam isu ini ekoran tiadanya nas mutlak yang melarang orang-orang bukan Islam memasuki masjid. Perbezaan itu bolehlah diringkaskan sebagaimana berikut :

Pertama : Pandangan yang menyatakan harus termasuklah Masjidil Haram. Ini merupakan pandangan ulama-ulama mazhab Hanafi. Mereka berhujah bahawa Rasulullah SAW pernah menerima tetamu dari Thaqif yang masih kafir pada masa itu di masjidnya. Ini kerana apa yang menjadi najis bukan tubuh badan mereka tetapi iktikad mereka. Berkenaan firman Allah SWT di dalam surah al-Taubah ayat 28 yang bermaksud : ”Hai orang-orang yang beriman, Sesungguhnya orang-orang yang musyrik itu najis, Maka janganlah mereka mendekati Masjidilharam sesudah tahun ini..” Mereka berhujah bahawa ayat ini menegah orang-orang kafir memasuki Masjidil Haram dalam keadaan telanjang sebagaimana adat mereka ketika jahiliyyah dan perbuatan ini menghina Masjidil Haram. Oleh yang demikian, ’illah larangan bukanlah kekufuran mereka tetapi penghinaan terhadap masjid.

Kedua : Dibolehkan orang-orang kafir memasuki masjid dengan izin kaum muslimin kecuali majidil Haram dan masjid-masjid yang ada di Tanah Haram. Ini merupakan pandangan ulama-ulama mazhab Syafie (Lihat Raudhah Tolibin, jilid 1 / ms 296). Pandangan ini merupakan salah satu pandangan Imam Ahmad dan juga pandangan sebahagian ulama Mazhab Hambali. Hujah mereka ialah kata-kata Said bin Musayyib : Sesungguhnya Abu Sufyan masuk ke Masjid Madinah ketika dia kafir namun itu tidak diizinkan untuk Masjidil Haram. (Rujuk Tafsir Ibnu Abi Hatim di dalam pentafsiran ayat 28, surah al-Taubah)

Pandangan yang ketiga : Diharamkan sama sekali bagi orang-orang kafir untuk memasuki masjid. Ini merupakan pandangan Imam Ahmad bin Hanbal dan majoriti fuqaha yang bermazhab Hambali. Mereka berhujah dengan hadis yang diriwayatkan oleh Imam Ahmad bahawa Umar bin Al-Khattab pernah memerintahkan seseorang memasuki masjid tetapi dihalang oleh Abu Musa kerana orang itu seorang Nasrani. Saidina Umar RA tidak membantah kata-kata Abu Musa. Ini menunjukkan pandangan bahwa orang bukan Islam tidak dibenarkan masuk ke masjid merupakan pandangan yang masyhur di kalangan sahabat. Pandangan ini diperkuatkan oleh al-Qurtubi semasa menafsirkan ayat 28 surah al-Taubah dengan beberapa hujah yang lain).

Pandangan keempat : Tidak dibenarkan orang-orang kafir memasuki masjid sekalipun diizinkan oleh orang-orang Islam melainkan di dalam keadaan dharurat. Jika mereka memasuki masjid sekalipun hendaklah dengan pengawasan orang-orang Islam kerana dibimbangi akan membuat perkara-perkara yang menghina kesucian masjid. Ini merupakan pandangan mazhab Malik (Rujuk Hasyiah al-Showi dan Hasyiah al-Dusuki). Selain itu, ada juga pandangan para ulama yang membezakan hukum menurut perbezaan jenis kafir itu sendiri samada harbi, zimmi atau ’ahdi.

Perbezaan-perbezaan pandangan ini menunjukkan keluasan fiqh di dalam masalah non-muslim memasuki masjid. Oleh yang demikian, tidaklah wajar mana-mana pihak menyempitkan sesuatu yang tidak jelas dari sudut nas apatah lagi jika sememangnya berpegang dengan mazhab al-Syafie sebagai mazhab rasmi, sudah tentu pandangan yang wajar diambil ialah harus. Di dalam medan dakwah untuk mengajak orang-orang bukan Islam bersama-sama kaum muslimin dan melembutkan hati mereka, pandangan ini wajar diambil selagi mana mereka tidak melakukan perkara-perkara yang menghina kesucian masjid. Wallahu a’lam.
07 November 2009

Penulis :
Saya hanyalah melampirkan sumber2 pembacaan berhubung isu ini. Mungkin masih banyak sumber lain tetapi saya tak mampu nak cari semua. Ini mungkin hanyalah secebis daripada lautan sumber yang ada. Saya berpendapat isu ini dapatlah dirujuk kepada pihak yang arif contohnya jawatankuasa fatwa. Malah seperti yang dijelaskan dalam SUMBER 6, memang terdapat banyak perbezaan pendapat antara mazhab. Renung-renungkan dan selamat beramal!

HARAPAN HANG NADIM

Usah pertikai apa yang telah berlaku berkumpul bersatu dan berbincang
ambil keputusan ketepikan sementara pertikaian Politik Kembali keJalan
ALLAH rujuk kepada Al Quraan dan Hadith

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.