20 Ogos, 2010
[hang nadim] Doa......
Khutbah Jumaat: Doa
Tuesday, 07 October 2008
Muslimin yang dirahmati Allah,
MARILAH kita meningkatkan ketakwaan kita kepada Allah Subhanahu Wata'ala dengan penuh keyakinan dan keikhlasan dengan melakukan segala suruhan-Nya dan meninggalkan segala larangan-Nya. Mudah-mudahan kita menjadi insan yang bertakwa dan beriman serta selamat di dunia dan di akhirat.
Allah Subhanahu Wata'ala berfirman dalam Surah Al Mu'min ayat 60 tafsirnya :
"Dan Tuhanmu berfirman : Berdoalah kamu kepada-Ku nescaya Aku perkenankan doa permohonan kamu".
Ikhwan Muslim dirahmati Allah,
Doa itu ialah ibadat dan doa itu juga adalah senjata orang mukmin. Allah Subhanahu Wata'ala memerintahkan hambahamba-
Nya supaya berdoa dan memohon kepada-Nya. Di samping itu pula, Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam
sendiri berpesan supaya kita berdoa bersungguh-sungguh. Berdoa itu adalah merupakan pengakuan seseorang hamba
terhadap kekuasaan Allah Subhanahu Wata'ala dan suatu tanda keyakinan bahawa tiada tempat meminta tolongmelainkan kepada Allah Subhanahu Wata'ala.
Oleh kerana itu, di dalam Islam setiap perbuatan yang diperintahkan kepada kita untuk melakukannya ada doa-doanya,apabila hendak masuk ke tandas pun ada doanya, begitu juga apabila hendak keluar daripadanya. Berdoa adalah salah satu daripada keperluan bagi mendapat kekuatan, keyakinan, harapan, keberkatan, keredaan dan perlindungan Allah Subhanahu Wata'ala dalam segala apa yang dilakukan. Orang yang tidak berdoa bererti menutup bagi dirinya berbagaibagai kebaikan dan mendedahkan dirinya akan kemurkaan Allah Subhanahu Wata'ala. Rasulullah Sallallahu Alaihi
Wasallam bersabda maksudnya :
"Daripada Abi Hurairah Radiallahuanhu katanya : Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam bersabda : Orang yang tidakmeminta (berdoa) kepada Allah, Allah murka kepadanya". (Riwayat Al-Imam At-Tirmidzi)
Muslimin yang berbahagia,
Merujuk kepada hadis Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam yang mengatakan doa itu senjata orang Mukmin, ini bermakna doa itu mempunyai kelebihan dan fadilat yang amat besar dan amat banyak di mana melalui doa, keampunan dan rahmat akan diperolehi, manakala musibah dan kesusahan boleh terhindar kerana jika Allah Subhanahu Wata'ala
menghendaki dan memperkenankan doa hamba-Nya, tidak ada satu pun yang dapat menghalang kerana Allah Subhanahu Wata'ala tidak akan mensia-siakan doa hamba-Nya yang penuh dengan keikhlasan.
Ingatlah berdoa jugaboleh menghindarkan sesuatu bala, walaupun bala itu sudah merupakan qada' (ketentuan Allah Subhanahu Wata'ala).
Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam ada menjelaskan dalam hadis Baginda maksudnya :
"Dari Sulaiman Radiallahuanhu katanya : Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam bersabda : Tiada yang boleh menolak qada' Allah kecuali doa dan tiada yang boleh menambah umur kecuali dengan berbuat amal kebajikan". (Riwayat Al-
Imam At-Tirmidzi)
Muslimin yang dirahmati Allah,
Adalah menjadi adat dan kelaziman jika kita berkehendakkan sesuatu daripada seseorang, kita akan bersopan santun dan bertatatertib. Maka apatah lagi jika kita memohon dan berdoa kepada Allah Subhanahu Wata'ala tentulah lebih dari
itu.
Firman Allah Subhanahu Wata'ala dalam Surah Al A'raaf ayat 55 tafsirnya :
"Berdoalah kepada Tuhan kamu dengan merendah diri dan dengan suara perlahan-lahan. Sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang melampaui batas".
Oleh itu kita dituntut menjaga adab dan tata tertib berdoa agar doa itu dimakbulkan. Di antara adab dan tatatertib
berdoa itu ialah :
Pertama : Berwuduk dan memulakan serta mengakhiri doa dengan menyebut dan memuji-muji nama Allah Subhanahu Wata'ala serta memberi selawat dan salam kepada Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam.
Kedua : Berdoa menghadap kiblat dan mengangkat dua tangan dan menyapukan kedua tapak tangan ke muka setelah selesai berdoa.
Ketiga : Bersungguh-sungguh dalam berdoa dan merasa penuh yakin akan diperkenankan.
Keempat : Berdoa disertai dengan kerendahan hati, khusyuk dengan jiwa yang tulus ikhlas, merendahkan suara serta diiringi dengan perasaan takut akan azab Allah Subhanahu Wata'ala dan penuh harapan dengan limpah kurnia-Nya.
Kelima : Memastikan sumber rezeki seperti makanan, minuman dan pakaian adalah daripada yang halal.
Keenam : Apabila berdoa, adalah afdal mengulang-ulang doa tiga kali dan tidak berputus asa serta jangan cepat
menganggap doa tidak dimakbulkan.
Ketujuh : Janganlah berdoa dengan sesuatu yang tidak selayaknya seperti perkara yang tidak munasabah dan mustahil.
Adalah lebih utama berdoa dengan doa-doa yang maksur yang datang daripada Al-Qur'an, sunnah dan para sahabat.
Kelapan : Doa-doa tersebut juga hendaklah bersifat umum, menyeluruh dan padat. Doa yang paling banyak dibaca oleh
Nabi Sallallahu Alaihi Wasallam yang maksudnya :
"Ya Allah Ya Tuhan kami, kurniakanlah kepada kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat dan peliharalah kami
daripada api neraka".
Muslimin yang dirahmati Allah,
Elok juga diketahui bahawa barang siapa yang berdoa memohon kepada Allah Subhanahu Wata'ala pada satu pertiga akhir waktu malam dan selepas menunaikan sembahyang fardu, Allah Subhanahu Wata'ala menjanjikan akan memakbulkan doa dan permintaannya. Ini jelas sebagaimana hadis Nabi Sallallahu Alaihi Wasallam maksudnya :
"Dari Abi Hurairah Radiallahuanhu bahawa Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam bersabda : Tuhan kami Tabaraka Wata'ala turun tiap-tiap malam ke langit dunia ketika tinggal satu pertiga akhir waktu malam, Dia berfirman, barang siapa yang berdoa kepada-Ku maka Aku akan mengabulkan baginya, barang siapa meminta kepada-Ku maka Aku akan memberinya, barang siapa memohon keampunan-Ku maka Aku mengampuninya". (Riwayat Al-Imam At-Tirmidzi)
Sebenarnya terdapat banyak lagi waktu-waktu dan tempat jika kita berdoa pada-Nya doa akan mudah dan cepat dimakbulkan, di antaranya ialah malam Jumaat dan hari Jumaat, waktu di antara azan dan iqamat, ketika khatib duduk diantara dua khutbah, ketika sujud di dalam sembahyang, bulan Ramadan, pada Malam Lailatulqadar, hari Arafah dan
ketika mendengar kokokan ayam kerana pada ketika itu ayam sedang melihat malaikat dan kita mengharapkan agar malaikat mengaminkan doa kita. Begitu juga ketika minum air zamzam, ketika membaca Al-Qur'an terutama apabila khatam. Mengikut para ulama bahawa berdoa di tempat-tempat yang mulia seperti di Masjidilharam, Masjid Nabawi dan
Masjidilaqsa adalah mustajab memandangkan keberkatan dan kemuliaannya di samping rahmat Allah Subhanahu Wata'ala yang luas di masjid berkenaan.Muslimin yang irahmati Allah,Berdoa bukanlah hanya untuk diri sendiri sahaja, tetapi kita juga dituntut mendoakan orang lain terutamanya ibu bapa,anak-anak, ahli keluarga, saudara-mara, Muslimin dan Muslimat sama ada yang masih hidup atau yang telah meninggal
dunia. Ibu bapa adalah orang yang paling utama didoakan oleh anak-anak sebagai membalas jasa kerana memelihara dan mendidik di waktu kecil. Sesungguhnya doa anak-anak kepada kedua ibu bapanya adalah besar manfaatnya, lebihlebih lagi apabila keduanya telah meninggal dunia. Begitu pula halnya dengan ibu bapa, digalakkan supaya mendoakan anak-anak mereka sepertimana Nabi Ibrahim Alaihissalam mendoakan anaknya sebagaimana firman Allah Subhanahu Wata'ala dalam Surah Ash-Shaaffat ayat 100 tafsirnya :
"Wahai Tuhanku! Kurniakanlah kepadaku anak yang tergolong dari orang-orang yang soleh".
Muslimin yang dirahmati Allah,
Perlu diingat dan difahami bahawa tujuan kita berdoa itu adalah untuk memohon kepada Allah Subhanahu Wata'ala agarberoleh keberkatan dan diterima Allah Subhanahu Wata'ala. Oleh itu dalam kita berdoa terutama dalam majlis-majlis
tertentu seperti majlis perkahwinan, doa selamat, doa arwah dan sebagainya. Apabila doa dibacakan hendaklah kita menghormatinya dengan memberikan perhatian sepenuhnya kepada doa yang dibaca dengan penuh khusyuk.Bukannya melakukan perkara-perkara lain seperti berbual-bual atau bercakap-cakap, bergurau senda, menggunakan telefon bimbit, sama ada menjawab telefon atau membuat pesanan ringkas (SMS) dan sebagainya. Janganlah jadikan bacaan doa dalam sesuatu majlis itu hanya semata-mata untuk memenuhi syarat atau melengkapkan majlis sahaja,akan tetapi hendaklah kita lakukannya dengan bersungguh-sungguh kerana doa itu adalah ibadat semata-mata kerana
Allah Subhanahu Wata'ala.
Sebagai orang Islam, marilah sama-sama kita memperbanyakkan doa kerana doa itu menunjukkan kita taat dan ingat kepada Allah Subhanahu Wata'ala. Ingat di setiap masa baik di kala senang mahupun susah, di kala kaya ataupun miskin dan percayalah janji Allah Subhanahu Wata'ala yang akan memperkenankan doa permohonan bagi sesiapa yang memohon doa kepada-Nya.Firman Allah Subhanahu Wata'ala dalam Surah Al Baqarah ayat 186 tafsirnya :
"Dan apabila hamba-hamba-Ku bertanya kepadamu mengenai-Ku maka beritahu kepada mereka : Sesungguhnya Aku (Allah) sentiasa hampir kepada mereka. Aku perkenankan permohonan orang yang berdoa apabila ia berdoa kepada-
Ku. Maka hendaklah mereka menyahut seruan-Ku dengan mematuhi perintah-Ku dan hendaklah mereka beriman kepada-Ku supaya mereka menjadi baik serta betul".
sumber www.saifulbahri.net
MAIPP nafi keluar arahan guna nama Guan Eng dalam khutbah
PULAU PINANG 20 Ogos - Majlis Agama Islam Pulau Pinang (MAIPP) menafikan pihaknya ada mengeluarkan arahan atau menyediakan sebarang teks baru supaya nama Ketua Menteri, Lim Guan Eng dimasukkan dalam doa khutbah solat Jumaat bagi menggantikan nama Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin.
Yang Dipertuanya, Ellias Zakaria berkata, doa yang dibaca khatib di negeri ini adalah sama seperti yang digunakan oleh seluruh masjid sejak dahulu lagi yang antara lain mendoakan kesejahteraan Yang di-Pertuan Agong selaku ketua agama Islam negeri.
Namun jelas beliau, pihaknya tidak mampu memantau semua masjid bagi memastikan setiap doa yang dibaca, diikuti seperti yang telah ditetapkan mengikut peraturan sedia ada.
''MAIPP kena siasat dahulu kesahihan dakwaan berkenaan dan masjid yang terlibat kerana sehingga kini tiada aduan yang kita terima memaklumkan perkara tersebut.
''Justeru saya minta mereka yang tahu dan mendengar tentang perkara ini datang dan membuat laporan kepada MAIPP," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
Beliau mengulas bantahan yang dibuat oleh Badan Perhubungan UMNO negeri apabila nama Guan Eng digunakan dalam bacaan khutbah solat Jumaat menggantikan nama Yang di-Pertuan Agong di beberapa masjid baru-baru ini.
Pengerusi UMNO Pulau Pinang, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, penggunaan nama Setiausaha Agung DAP itu dalam khutbah Jumaat dikesan sejak minggu lalu di beberapa masjid sekitar Tasek Gelugor, Permatang Pauh dan Jelutong.
Mengulas lanjut, Ellias berkata, pihaknya dan Jabatan Agama Islam Pulau Pinang akan menjalankan siasatan lanjut berhubung dakwaan berkenaan termasuk menyoal siasat pihak masjid yang dikatakan terlibat dalam isu tersebut.
''Sebagai sebuah majlis agama dan jawatan yang dipertuanya sendiri dilantik atas perkenan Yang di-Pertuan Agong, kami tidak akan sesekali bertindak sedemikian dan menafikan hak kemuliaan Seri Paduka kerana perbuatan seperti itu tidak pernah dibenarkan.
''Bagaimanapun jika terjadi, ia adalah berdasarkan pada kehendak individu itu sendiri dan tidak ada kaitan dengan MAIPP,'' katanya.
Menurutnya, jika terbukti perkara itu berlaku, pihaknya akan merujuk kepada Jawatankuasa Penulisan Khutbah yang dipengerusikan Mufti Pulau Pinang, Datuk Hassan Ahmad dan terpulang kepada mereka untuk mengambil tindakan selanjutnya.
Hanya salah faham - Imam
TASEK GELUGOR 20 Ogos - Imam Masjid Jamek Padang Menora, Ibrahim Ishak mengakui khatib ada menyebut nama Ketua Menteri Lim Guan Eng dalam bacaan doa khutbah solat Jumaat baru-baru ini.
Bagaimanapun katanya, ia bermaksud semoga Allah membukakan hati Guan Eng untuk menerima Islam.
Beliau menjelaskan, khatib berkenaan bukannya mendoakan kesejahteraan Guan Eng dunia dan akhirat kerana perkara itu adalah salah.
Ibrahim juga mengakui nama Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin tidak disebut dan beliau telah menegur khatib terbabit dan mengakui kesilapan yang dilakukannya.
''Isu penggunaan nama Guan Eng dalam bacaan doa khutbah solat Jumaat berpunca daripada salah faham di kalangan jemaah sendiri.
''Ramai di kalangan mereka tidak faham mengenai doa yang dibacakan oleh khatib jemputan pada hari berkenaan.
"Ada jemaah yang tak faham bahasa Arab, salah faham tentang maksud doa yang dibacakan itu,' katanya ketika ditemui di masjid tersebut di sini hari ini.
Badan Perhubungan UMNO Pulau Pinang semalam membantah penggunaan nama Guan Eng dalam bacaan doa khutbah solat Jumaat bagi menggantikan nama Yang di-Pertuan Agong di beberapa masjid, baru-baru ini.
Menurut Ibrahim, pada setiap bulan pihak masjid akan menjemput khatib luar untuk membacakan khutbah di situ.
Katanya, adalah perlu bagi khatib dan jemaah mendoakan pemimpin negara dalam setiap doa yang dibaca mereka.
"Saya amat kesal dengan apa yang berlaku dan kami akan buat siasatan siapa yang menyebarkan berita tak betul ini," ujarnya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.