Pages

Subscribe:

12 Ogos, 2010

[hang nadim]KESELAMATAN KANAK-KANAK : TANGGUNGJAWAB BERSAMA ....

Those will have lost who killed their children in foolishness without knowledge and prohibited what Allah had provided for them, inventing untruth about Allah . They have gone astray and were not [rightly] guided.
surah al-An’am ayat 140:


KESELAMATAN KANAK-KANAK : TANGGUNGJAWAB BERSAMA
29 FEBRUARI 2008M / 22 SAFAR 1429H

اَلْحَمْدُ للهِ الْقَآئِلِ






اَشْهَدُ أَنْ لاَ اِلَهَ اِلاَّ اللهُ وَحْدَهُ لاَ شَرِيْكَ لَهُ، وَاَشْهَدُ اَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ.

اَللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ اَجْمَعِيْنَ. وَمنْ تَبِعَهُمْ بِإِحْسَانٍ

إِلىَ يَوْمِ الدِّيْن.

اَمَّا بَعْدُ، فَيَا أَيُّهَا الْمُؤْمِنُوْنَ، اِتَّقُوا اللهَ فِىْ كُلِّ مَكَانٍ وَفِىْ كُلِّ زَمَانٍ.

SIDANG JEMAAH YANG BERBAHAGIA,
Saya berpesan kepada diri saya dan tuan-tuan sekalian, marilah kita sama-sama mempertingkatkan ketaqwaan kepada Allah S.W.T dengan melaksanakan segala suruhan-Nya dan meninggalkan segala larangan-Nya. Mudah-mudahan kita memperolehi kejayaan hidup di dunia dan di akhirat. Tajuk khutbah pada hari ini ialah “KESELAMATAN KANAK-KANAK : TANGGUNGJAWAB BERSAMA”.

SIDANG JEMAAH YANG BERBAHAGIA,
Islam adalah agama yang membela dan memartabatkan hak kanak-kanak untuk hidup aman damai di dunia ini. Pembelaan kanak-kanak dari aspek jasmani dan rohani adalah bermula daripada ibu bapa dan seterusnya tanggungjawab bersama masyarakat dan negara. Tanggungjawab bersepadu ini akan memberi jaminan terselamat dan terbelanya kanak-kanak. Namun demikian, kita telah beberapa kali dikejutkan dengan beberapa tragedi malang yang melibatkan kanak-kanak seperti penculikan, penderaan, penganiayaan, perkosaan dan pembuangan bayi.

Oleh yang demikian, Allah SWT menuntut supaya institusi keluarga dan masyarakat bertanggungjawab menjaga hak kanak-kanak, menegakkan amar makruf dan nahi mungkar demi memastikan pembentukan jasmani dan rohani kanak-kanak berjalan baik.

Firman Allah SWT dalam surah al-An’am ayat 140:

Maksudnya: “Sesungguhnya rugilah orang yang membunuh anak-anak mereka kerana kebodohan, lagi tidak berpengetahuan, dan mengharamkan apa yang Allah kurniakan kepada mereka, dengan berdusta terhadap Allah. Sesungguhnya sesatlah mereka, dan tiadalah mereka mendapat petunjuk.”

SIDANG JEMAAH YANG BERBAHAGIA,
Kita amat bimbang dengan kes-kes berhubung penculikan kanak-kanak serta jenayah seksual yang dilaporkan kebelakangan ini. Menurut statistik yang dikeluarkan oleh Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, bahawa kes culik kanak-kanak yang dicatatkan sepanjang tahun 2006 hingga Januari 2008 ialah berjumlah 25 orang. 11 orang daripadanya adalah berbangsa Melayu.

Situasi kehilangan kanak-kanak ini pula berbeza-beza antara satu sama lain. Ada yang hilang di kawasan rumah, sekolah, hospital, kompleks membeli belah, kedai, taman permainan dan kawasan awam. Punca kehilangan mereka ini sering dikaitkan dengan kecuaian ibu bapa dalam mengawal anak-anak.

Kita perlu sedar bahawa bukan pihak kerajaan atau ibu bapa sahaja yang mesti menanggung beban permasalahan ini. Bahkan semua pihak termasuk jiran tetangga, sahabat handai dan ahli masyarakat sekeliling perlu bersama-sama memikul tanggungjawab ini. Kita boleh mengatakan, bahawa senario ini ada kaitan dengan suasana persekitaran sosial Negara kita yang agak bebas kesan daripada proses globalisasi, perkembangan teknologi maklumat, kesibukan ibu bapa mencari nafkah dan keadaan masyarakat yang bersikap individualistik. Kesemua ini memberi kesan serta mempengaruhi kejadian berkenaan hingga boleh mencapai tahap membimbangkan. Justeru, peningkatan jumlah kes yang berlaku menuntut kita bersikap proaktif serta perlu mengambil langkah-langkah serius dalam menangani ancaman ini.

SIDANG JEMAAH YANG BERBAHAGIA,
Kehidupan masyarakat sekarang sangat berbeza berbanding dengan zaman dahulu. Masyarakat dahulu lebih mengambil berat terhadap suasana persekitaran dan mempunyai semangat kejiranan yang tinggi. Mereka saling tegur menegur, memberi dan menerima nasihat. Budaya tersebut semakin terhakis dalam masyarakat sekarang. Sikap ingin mengambil tahu mengenai masalah jiran tidak dititikberatkan, malah jika ada yang ingin mengambil tahu hal jiran akan dituduh sebagai menjaga tepi kain orang.

Sabda Rasulullah SAW yang diriwayatkan oleh Anas bin Malik RA:

" لاَ يُؤْمِنُ أَحَدُكُمْ حَتَّى يُحِبَّ لِأََخِيهِ (‏أَوْ قَالَ لِجَارِهِ)‏ ‏مَا يُحِبُّ لِنَفْسِهِ. "
Maksudnya: “Tidak sempurna iman seseorang itu, sebelum dia mengasihi saudaranya atau (sebelum dia kasihkan jiran tetangganya), sebagaimana dia kasihkan dirinya sendiri “.
(Hadis Sahih Muslim)

Manusia yang baik hatinya sentiasa bersifat mengasihani dan menyayangi sesama saudara atau jiran tetangga sebagai bukti tercapainya kesempurnaan iman. Berkasih sayang dalam mengerjakan amal kebajikan dan perkara yang diharuskan syarak adalah dituntut oleh Islam. Sekiranya ada saudara mara atau jiran tetangga yang beroleh nikmat, maka mereka bersyukur. Namun jika mereka ditimpa musibah, maka merasakan adalah menjadi tanggungjawab untuk membantu sedaya mungkin bagi mencapai kesempurnaan iman.

Justeru itu, sarjana Islam al-Ghazali telah menggariskan lima maslahat yang perlu diutamakan iaitu nyawa, akal, agama, harta dan kehormatan bagi menjamin keselamatan setiap insan. Lima maslahat ini merupakan objektif yang luhur di dalam menjaga masyarakat. Memeliharanya pula adalah wajib kerana ia merupakan asas kesejahteraan dalam masyarakat. Oleh itu, semua pihak bertanggungjawab memelihara dan mempertahankan kemaslahatan berkenaan.

SIDANG JUMAAT YANG DIMULIAKAN,
Perilaku masyarakat yang melanggar norma dan etika dalam kehidupan bermasyarakat perlu diurus dengan bijaksana, agar ia tidak menjadi “penyakit” berjangkit. Masyarakat perlu dibimbing dengan nilai-nilai murni dan berakhlak mulia.

Mengakhiri khutbah, minbar ini ingin menasihatkan ibu bapa, agensi keselamatan, pihak sekolah, jiran tetangga dan masyarakat seluruhnya hendaklah sentiasa bersama-sama mengambil berat dalam menjaga kebajikan dan keselamatan kanak-kanak agar kejadian yang tidak diingini dapat dielakkan.

Marilah kita sama-sama berdoa, semoga Allah SWT menggolongkan kita ke dalam golongan orang-orang yang lurus dan bersih naluri hati zahir dan batin serta beristiqamah dalam melakukan segala kebaikan.

Firman Allah SWT di dalam surah Ali Imran ayat 104 :

Maksudnya: "Dan hendaklah ada di antara kamu satu puak yang menyeru kepada kebajikan, dan menyuruh berbuat segala perkara yang baik, serta melarang daripada segala yang salah. Dan mereka yang demikian ialah orang yang berjaya."

بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ فِيْ القُرْءَانِ العَظِيْمِ، وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الْحَكِيْمِ، وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاَوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ، أَقُولُ قَوْلِي هذَا وَأَسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ، وَلِسَائِرِ الْمُسْلِمِيْنَ وَالْمُسْلِمَاتِ، وَالْمُؤْمِنِيْنَ وَالْمُؤْمِنَاتِ، فَاسْتَغْفِرُوهُ فَيَا فَوْزَ الْمُسْتَغْفِرِيْنَ وَيَا نَجَاةَ التَّائِبِيْنَ.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.