22 Oktober, 2010
[hang nadim] Air mata iringi kepulangan Shafika dari Lombok
SEPANG 22 Okt. - Selepas mengharungi kehidupan yang sukar lebih sebulan di Lombok, akhirnya Shafika Mohd. Safie, 16, kembali ke pangkuan keluarga tersayang melalui bantuan Kelab Putera 1Malaysia.
Kepulangan Shafika disambut dengan linangan air mata kegembiraan ibu bapanya, Mohd. Safie Sardi, 43, dan Mazanah Abdul Latef, 38, di Terminal Penerbangan Tambang Murah (LCCT), di sini malam ini.
Kesal dengan apa yang telah dilakukannya, Shafika ketika ditemui turut menasihati remaja lain supaya tidak melakukan kesilapan serupa.
"Saya minta maaf banyak-banyak kepada ayah dan ibu. Saya sangat kesal dan sedih terutama sewaktu menyambut Aidilfitri lalu, saya terpaksa beraya di tempat orang tanpa keluarga," katanya kepada pemberita.
Shafika yang berasal dari Ladang Rubana, Teluk Intan dilaporkan hilang pada 4 September lalu dan dipercayai lari ke Lombok mengikut seorang pekerja Indonesia yang dikenali sebagai Misbah.
Pemuda itu sebelum ini bekerja di sebuah ladang tidak jauh dari rumah keluarga Shafika.
Semalam, anggota Kelab Putera 1Malaysia yang diketuai Setiausaha Agungnya, Mohd. Khalid Chairul bertolak ke Lombok dan membawa pulang Shafika ke sini.
Shafika berkata, perkara yang ingin dilakukannya selepas ini ialah melupakan soal cinta dan memberi tumpuan kepada pelajaran.
"Saya akan menyambung pelajaran dan melakukan persiapan terbaik untuk menghadapi peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun depan," katanya.
Dalam pada itu, Presiden Kelab Putera 1Malaysia, Datuk Abdul Azeez Abdul Rahim berkata, kisah Shafika perlu dijadikan iktibar semua gadis supaya tidak mudah dipujuk oleh lelaki dari Indonesia.
"Sudah terlalu banyak kes yang kita terima mengenai gadis ikut rakan lelaki mereka ke Lombok. Saya harap kes seperti ini tidak berulang lagi," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.