Pages

Subscribe:

25 Oktober, 2010

[hang nadim] Galas Batu Sapi..........BN Menang...

GUA MUSANG 24 Okt. - Bekas Pengurus Pejabat Operasi Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (Kesedar) yang juga Setiausaha UMNO Bahagian Gua Musang, Abdul Aziz Yusoff dipilih sebagai calon Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Galas, 4 November ini.

Pemilihan Aziz, 49, yang merupakan anak jati Gua Musang, diumumkan oleh Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin di hadapan lebih 2,000 ahli dan pemimpin UMNO serta parti komponen di Bilik Gerakan BN Bukit Cekati dekat sini kira-kira pukul 3.30 petang ini.

Antara yang hadir Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Seri Mustapa Mohamed; Timbalannya, Datuk Dr. Awang Adek Hussin; Naib Presiden MCA, Datuk Chor Chee Heung; Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin dan Pengarah Jentera Pilihan Raya Kecil Galas yang juga Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah.

Muhyiddin berkata, pemilihan Abdul Aziz mendapat persetujuan Perdana Menteri yang juga Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Tun Razak setelah mengadakan perbincangan dan konsultasi di peringkat UMNO bahagian.

Beliau sehubungan itu berharap, semua jentera parti memberikan sokongan padu kepada Abdul Aziz bagi membolehkan BN merampas kembali kerusi DUN Galas yang terlepas kepada Pas pada Pilihan Raya Umum 2008.

"Paling penting, kita berpegang teguh kesetiaan kepada parti dan mengetepikan sentimen peribadi dengan mengutamakan kemenangan BN.

"Saya berharap jentera Pemuda, Wanita dan Puteri turun padang menemui lebih 11,000 pengundi kerana sudah ada yang menunggu sentuhan ajaib BN," katanya berucap pada majlis pengumuman calon tersebut di sini hari ini.

Muhyiddin yang juga Timbalan Presiden UMNO yakin Abdul Aziz akan mendapat kepercayaan dan sokongan pengundi Galas bagi membolehkan kerajaan BN membawa lebih banyak kemajuan ke kawasan berkenaan.

Katanya, Kerajaan Pusat yang diterajui oleh BN lebih berkemampuan untuk melaksanakan rancangan pembangunan besar di Kelantan khususnya di Galas.

Mengulas dakwaan pembangkang kemenangan BN di Galas kelak tidak akan membawa sebarang makna, Muhyiddin menegaskan, perkara itu mungkin tidak penting kepada Pas, tetapi sebaliknya untuk UMNO kerana ia melibatkan masa depan rakyat yang perlukan pembelaan.

Beliau sehubungan itu meminta pengundi memilih calon daripada parti yang terbukti boleh dan mampu melaksanakan program pembangunan untuk membolehkan mereka menikmati kehidupan lebih selesa.

Mengulas lanjut mengenai keputusan BN untuk bertanding, beliau berkata, ia untuk membolehkan rakyat Galas mendapat pembelaan menerusi calon yang berkaliber, mesra rakyat dan mempunyai latar belakang baik bagi mengisi kekosongan kerusi DUN berkenaan.

Ia juga sebagai satu sokongan kepada usaha Perdana Menteri dalam membawa transformasi ekonomi kepada negara, katanya.

Bercakap pada sidang akhbar kemudiannya, Muhyiddin berkata, sokongan yang bakal diberikan oleh pengundi kepada Abdul Aziz akan memberi mesej yang kuat kepada rakyat di seluruh negara bahawa mereka mahukan pembangunan yang gagal dilakukan oleh kerajaan Pas.

Linda Tsen calon BN Batu Sapi

Oleh HAMDEN RAMLI dan ABDUL RASHID ABDUL RAHMAN
pengarang@utusan.com.my


Aziz calon BN DUN Galas

MUSA Aman berganding tangan dengan calon BN bagi Pilihan Raya Kecil Parlimen Batu Sapi, Linda Tsen Thau Lin (tengah) ketika sidang akhbar di Sandakan, semalam. Turut sama Joseph Pairin Kitingan (dua, kiri), Presiden Parti LDP, Datuk VK Liew dan Ketua Puteri UMNO, Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin.

SANDAKAN 24 Okt. - Barisan Nasional (BN) hari ini mengumumkan Datin Linda Tsen Thau Lin, sebagai calon pilihan raya kecil Parlimen Batu Sapi pada 4 November ini.

Linda, 54, merupakan balu kepada mendiang Datuk Edmund Chong Ket Wah, Ahli Parlimen Batu Sapi yang meninggal dunia akibat kemalangan jalan raya pada 9 Oktober lalu.

Ketua Menteri, Datuk Seri Musa Aman berkata, pemilihan Linda Tsen dibuat berasaskan pengalaman dan kebolehan yang dimiliki oleh ibu kepada empat anak itu.

''Beliau bukan asing di Batu Sapi dan bukan juga asing dalam bidang politik.

''Apa yang lebih penting beliau sedia berkhidmat untuk rakyat Batu Sapi sekali gus meneruskan perjuangan mendiang suaminya," katanya pada sidang akhbar selepas mengumumkan calon BN di Hotel Sanbay di sini hari ini.

Hadir sama Presiden PBS, Tan Sri Joseph Pairin Kitingan dan timbalannya, Datuk Yee Moh Chai serta Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sekong, Datuk Samsuddin Yahya.

Musa yang juga Pengarah Jentera Pilihan Raya BN Parlimen Batu Sapi memberitahu selain aktif dalam politik sebagai Timbalan Ketua Wanita PBS Elopura, Linda Tsen juga banyak terbabit dalam kegiatan kemasyarakatan di daerah ini.

Menurutnya, pemilihan beliau juga adalah isyarat jelas kerajaan dalam mengiktiraf keupayaan seorang wanita di negeri ini.

''Di negara ini telah terbukti ramai wanita yang layak dan mempunyai keupayaan untuk menjadi pemimpin yang baik dan sehebat lelaki," katanya.

Ditanya sama ada pemilihan Linda Tsen sebagai satu strategi meraih simpati pengundi, Musa berkata, terpulang kepada pengundi untuk membuat tafsiran.

''Apa yang penting adalah dia boleh bekerja dan ada pengalaman dalam politik," katanya.

Pilihan Raya Kecil Parlimen Batu Sapi akan diadakan pada 4 November ini manakala proses penamaan calon akan diadakan pada 26 Oktober di Dewan Masyarakat di sini.

Parlimen Batu Sapi mempunyai 25,582 pemilih termasuk pengundi pos.

Daripada jumlah itu 15,099 orang atau 59 peratus merupakan bumiputera Islam, 9,737 atau 38 peratus Cina, 689 atau 2.69 peratus bumiputera bukan Islam dan 57 orang etnik lain.

Sehingga kini sebanyak tiga parti politik termasuk BN telah mengumumkan calon masing-masing.

Penyokong pembangkang keluar dewan

SANDAKAN 24 Okt. - Hampir separuh penyokong pakatan pembangkang yang kebanyakannya ahli Parti Keadilan Rakyat (PKR) keluar Dewan Haka di sini sebaik sahaja nama Ansari Abdullah diumumkan sebagai calon parti itu pada Pilihan Raya Kecil Batu Sapi 4 November ini.

Difahamkan kebanyakan ahli PKR mengharapkan Pengerusi PKR Sabah, Ahmad Thamrin Jaini dicalonkan, sebaliknya Penasihat PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan nama Ketua Cabang PKR Tuaran itu.

Menurut seorang penyokong parti itu, Thamrin merupakan pilihan utama kebanyakan ahli Pakatan Rakyat.

Katanya, sebelum ini mereka meletakkan keyakinan tinggi Thamrin akan dipilih berdasarkan kepada keupayaannya menguruskan PKR negeri.

"Kami telah mendapatkan pandangan ramai ahli dan kami fikir Anwar akan menamakan Thamrin," katanya di sini hari ini.

Dalam pada itu Ansari berkata, beliau akan memberi tumpuan sepenuhnya bagi memastikan kemenangan pakatan pembangkang dalam pilihan raya kecil ini.

"Saya ialah anak Sabah dan calon pakatan. Kami mahu menjadikan Batu Sapi sebagai batu loncatan ke Putrajaya," katanya.

Pilihan raya kecil Batu Sapi akan diadakan pada 4 November ini, manakala penamaan calon pada 26 Oktober ini.

Calon BN miliki kelebihan
SEGAMAT 24 Okt. - Barisan Nasional (BN) memiliki kelebihan dalam Pilihan Raya Kecil Parlimen Batu Sapi dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Galas memandangkan kedua-dua calon yang diumumkan memiliki kekuatan masing-masing.

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal berkata, beliau juga yakin jentera yang digerakkan BN akan membantu memastikan kemenangan dapat dicapai dalam kedua-dua pilihan raya kecil itu.

"Saya yakin calon yang diumumkan dan diletakkan di kedua-dua kawasan itu telah diteliti dengan mendalam dan Insya-Allah, mereka mempunyai kekuatan masing-masing untuk memenangi kerusi ini," katanya.

Beliau bercakap kepada pemberita selepas mewakili Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menutup Karnival Ikatan Hati Warga Felda (Iktiraf) Wilayah Segamat di Gugusan Felda Maokil, Labis, di sini hari ini.

Hari ini, Datin Linda Tsen Thau Lin, 54 , balu mendiang Datuk Edmund Chong Ket Wah diumumkan sebagai calon BN di Batu Sapi manakala Setiausaha UMNO Bahagian Gua Musang, Abdul Aziz Yusof, 49, pula bakal membawa cabaran di Galas.

Menurut Mohd. Shafie, pemilihan Linda Tsen sebagai calon amat tepat kerana dia bukan pemimpin yang asing di Batu Sapi.

"Dia ialah seorang ahli PBS (Parti Bersatu Sabah) di Batu Sapi dan di situ, mendiang suaminya merupakan bekas wakil rakyat dan dia seorang penggerak Wanita PBS yang cukup aktif," katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.