Pages

Subscribe:

25 Oktober, 2010

[hang nadim] Kencing muka lafaz talak tiga......






















Oleh Mohd Firdaus Ibrahim
KUALA LUMPUR: Hanya kerana masakannya tidak menepati selera, seorang isteri menerima deraan kejam dan tidak masuk akal apabila dibelasah, dicukur kepala hingga botak dan lebih mengaibkan, mukanya turut dikencing suaminya.

Dalam kejadian kira-kira jam 10 malam Khamis lalu itu, suami terbabit yang berusia lewat 30-an turut menceraikan isterinya dengan lafaz talak tiga ketika kencing ke atas mangsa.

Isterinya yang tidak tahan dengan kekejaman lelaki itu selain berasa diri amat terhina membuat laporan di Balai Polis Jinjang, di sini, pada hari kejadian, menyebabkan suaminya ditahan keesokan harinya
Sumber polis berkata, pasangan terbabit mendirikan rumah tangga sejak dua tahun lalu dan pernikahan mereka dilakukan di negara jiran tanpa mendaftarkan semula perkahwinan di sini.

Menurutnya, dalam laporan wanita terbabit yang juga berusia 30-an, kejadian itu bukan pertama kali menimpanya kerana dia mendakwa sering dipukul sejak setahun lalu walaupun melakukan kesalahan kecil.

“Menurut mangsa, dia selalu dibelasah sekiranya lewat membuka pintu ketika suaminya pulang bekerja. Malah, pada Jun lalu, mangsa melarikan diri ke selatan tanah air kerana tidak tahan dengan kekejaman suaminya.

“Namun, selepas seminggu di sana, suaminya datang memujuknya serta berpura-pura insaf,” katanya.

Bagaimanapun, kata sumber itu, ketenangan yang dikecapi mangsa hanya sementara kerana selepas dua minggu berada di rumahnya, dia kembali dijadikan tempat melepaskan geram oleh suaminya.

“Dia terus dipukul atas kesalahan kecil, malah ada kalanya mangsa tidak tahu-menahu kesalahan yang dilakukannya,” katanya.

Menurutnya, selepas menerima laporan mangsa, polis melakukan gerakan memburu suami mangsa sebelum menahannya kira-kira jam 11 malam Jumaat lalu ketika dia berehat di rumahnya. Lelaki itu kini direman empat hari bagi membantu siasatan.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Sentul, Superintendan Zainuddin Ahmad ketika dihubungi, mengesahkan mengenai penahanan lelaki terbabit dan memberitahu siasatan lanjut dilakukan.

Hukum talak
Wajib
a) Jika perbalahan suami isteri tidak dapat didamaikan lagi
b) Dua orang wakil daripada pihak suami dan isteri gagal membuat kata sepakat untuk perdamaian rumahtangga mereka
c) Apabila pihak kadi berpendapat bahawa talak adalah lebih baik
d) Jika tidak diceraikan keadaan sedemikian, maka berdosalah suami
Haram
a) Menceraikan isteri ketika sedang haid atau nifas
b) Ketika keadaan suci yang telah disetubuhi
c) Ketika suami sedang sakit yang bertujuan menghalang isterinya daripada menuntut harta pusakanya
d) Menceraikan isterinya dengan talak tiga sekali gus atau talak satu tetapi disebut berulang kali sehingga cukup tiga kali atau lebih
Sunat
a) Suami tidak mampu menanggung nafkah isterinya
b) Isterinya tidak menjaga maruah dirinya
Makruh
Suami menjatuhkan talak kepada isterinya yang baik, berakhlak mulia dan mempunyai pengetahuan agama
Harus Suami yang lemah keinginan nafsunya atau isterinya belum datang haid atau telah putus haidnya

Rukun talak
Perkara Syarat
Suami Berakal
Baligh
Dengan kerelaan sendiri

Isteri Akad nikah sah
Belum diceraikan dengan talak tiga oleh suaminya

Lafaz Ucapan yang jelas menyatakan penceraiannya
Dengan sengaja dan bukan paksaaan

Contoh lafaz talak
Talak sarih
Lafaz yang jelas dengan bahasa yang berterus-terang seperti “Saya talak awak” atau “Saya ceraikan awak” atau “Saya lepaskan awak daripada menjadi isteri saya” dan sebagainya.

Talak kinayah
Lafaz yang digunakan secara sindiran oleh suami seperti “Pergilah awak ke rumah mak awak” atau “Pergilah awak dari sini” atau “Saya benci melihat muka awak” dan sebagainya. Namun, lafaz kinayah memerlukan niat suaminya iaitu jika berniat talak, maka jatuhlah talak tetapi jika tidak berniat talak, maka tidak berlaku talak.

Jenis talak
Talak raj’i
Suami melafazkan talak satu atau talak dua kepada isterinya. Suami boleh merujuk kembali isterinya ketika masih dalam idah. Jika tempoh idah telah tamat, maka suami tidak dibenarkan merujuk melainkan dengan akad nikah baru.

Talak bainSuami melafazkan talak tiga atau melafazkan talak yang ketiga kepada isterinya. Isterinya tidak boleh dirujuk kembali. Si suami hanya boleh merujuk setelah isterinya berkahwin lelaki lain, suami barunya menyetubuhinya, setelah diceraikan suami barunya dan telah habis idah dengan suami barunya.

Talak sunni
Suami melafazkan talak kepada isterinya yang masih suci dan tidak disetubuhinya ketika dalam tempoh suci

Talak bid’i
Suami melafazkan talak kepada isterinya ketika dalam haid atau ketika suci yang disetubuhinya.

Talak taklik
Talak taklik ialah suami menceraikan isterinya bersyarat dengan sesuatu sebab atau syarat. Apabila syarat atau sebab itu dilakukan atau berlaku, maka terjadilah penceraian atau talak.

Contohnya suami berkata kepada isteri, “Jika awak keluar rumah tanpa izin saya, maka jatuhlah talak satu.” Apabila isterinya keluar dari rumah tanpa izin suaminya, maka jatuhlah talak satu secara automatik.

Ia juga boleh berlaku selepas akad nikah (ia dipraktikkan di Malaysia dan wajib oleh semua pengantin lelaki untuk melafaznya), berkata, “Jika saya menyeksa isteri saya dengan sengaja, atau saya meninggalkan isteri saya selama empat bulan berterusan dengan sengaja tanpa kerelaannya, dan jika ia mengadu kepada kadi atau naib kadi, apabila disabitkan oleh kadi atau naib kadi maka jatuhlah talak satu ke atas isteri saya.”

Ia juga boleh berlaku dengan cara, “Jika saya menyeksa isteri saya dengan sengaja, atau saya meninggalkannya selama empat bulan berterusan tanpa kerelaannya, dan jika ia mengadu kepada kadi atau naib kadi serta membayar RM 1.00 sebagai tebus talak, apabila disabitkan oleh kadi atau naib kadi maka jatuhlah talak satu ke atas isteri saya dengan nilai tebus talak tersebut.”
Fasakh
Erti fasakh menurut bahasa ialah rosak atau putus. Manakala menurut syarak pula, pembatalan nikah disebabkan oleh sesuatu sifat yang dibenarkan syarak, misalnya, perkahwinan suami isteri yang difasakhkan oleh kadi disebabkan oleh suaminya tidak mempu memberi nafkah kepada isterinya. Fasakh tidak boleh mengurangkan bilangan talaknya. Fasakh hanya boleh dituntut oleh isteri sekiranya terdapat beberapa sebab atau kecacatan yang terdapat pada pihak isterinya. Mengikut mazhab Shafie, seorang isteri boleh menuntut fasakh melalui kadi atau mahkamah disebabkan oleh kekurangan suaminya seperti gila (berkekalan atau sekejab); penyakit kusta; penyakit sopak; penyakit yang menghalang mereka daripada melakukan persetubuhan; suami tidak mampu memberi nafkah belanja kepada isterinya seperti makan dan minum serta tempat tinggal, pakaian, memberi mahar dengan cara tunai sebelum bersetubuh kerana kepapaan atau muflis atau sebagainya; suami tidak bertanggungjawab dengan meninggalkan isterinya terlalu lama dan tidak memberi khabar berita; suami yang menzalimi dan memudaratkan isterinya; suami yang fasik serta melakukan maksiat terhadap Allah dan tidak menunaikan kewajipan kepada Allah; dan murtad salah seorang (suami atau isteri).

Cara melakukan fasakh
Jika suami atau isteri mempunyai sebab yang megharuskan fasakh
Membuat aduan kepada pihak kadi supaya membatalkan perkahwinan mereka
Jika dapat dibuktikan pengaduan yang diberikan adalah betul, pihak kadi boleh mengambil tindakan membatalkannya
Pembatalan perkahwinan dengan cara fasakh tidak boleh dirujuk kembali melainkan dengan akad nikah yang baru

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.