Pages

Subscribe:

18 Oktober, 2010

[hang nadim] Model Politik Baru perlu berteraskan rakyat








KUALA LUMPUR 17 Okt. - Model Politik Baru yang diilhamkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak bagi memastikan kelangsungan UMNO dilihat mampu melonjakkan semula sokongan orang Melayu terhadap parti itu jika ia berteraskan kepada keperluan rakyat.

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, transformasi politik perlu dilakukan segera demi untuk terus memastikan UMNO relevan dengan rakyat Malaysia.

Menurut beliau, Perdana Menteri yang juga Presiden UMNO telah bertindak secara betul bila mengubah tatacara pemilihan dalam UMNO supaya lebih demokratik dan dirasai di peringkat akar umbi.

"Namun, penjenamaan semula UMNO dan menukar imejnya penting supaya UMNO terus diterima bukan hanya oleh ahli-ahlinya tetapi rakyat keseluruhannya.

"UMNO bukan hanya parti politik tetapi merupakan institusi sosial Melayu yang menjaga kepentingan Melayu dan pada masa yang sama tidak mengenepikan kepentingan warga Malaysia dari keturunan lain.

"Model Baru Politik perlu juga mencakupi Barisan Nasional (BN) kerana rakyat sudah ditanamkan budaya kebencian oleh pembangkang terhadap UMNO dan BN,'' katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau yang juga Menteri Pertahanan mengulas saranan Najib tentang kemungkinan diwujudkan Model Politik Baru dengan menegaskan bahawa strategi seperti 'politik pembangunan' tidak lagi berkesan jika digunakan sekarang.

Namun, ujar Perdana Menteri, model berkenaan tidak akan mengubah matlamat perjuangan UMNO, sebaliknya perubahan yang dilakukan hanya dari segi kaedah umum.

Menurut Ahmad Zahid, rakyat kini lebih kritikal dan generasi muda mengharapkan perubahan drastik untuk menangani cita rasa mereka yang berbeza.

Sementara itu, di Bukit Mertajam, Pulau Pinang, Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Saifuddin Abdullah berkata, para perwakilan yang mengambil bahagian dalam perbahasan pada Perhimpunan Agung UMNO 2010 nanti disaran menjadikan Model Politik Baru di dalam UMNO sebagai isi perbahasan mereka.

Menurut beliau, ini kerana ia relevan untuk dibincangkan selain memiliki dua komponen utama iaitu kerangka politik dan pemikiran politik yang progresif.

"Kerangka politik UMNO perlu berubah dari segi parti itu sendiri iaitu integriti dan idealisme perjuangan ahli terutama ahli-ahli baru dalam UMNO,'' katanya.

Bagi Ketua Puteri UMNO, Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin pula, keperluan mewujudkan Model Politik Baru seperti yang disarankan Perdana Menteri hakikatnya amat diperlukan dengan mengekalkan roh serta semangat perjuangan tokoh-tokoh terdahulu.

"Apa yang pasti, Pergerakan Puteri UMNO mahu Model Politik Baru yang bakal diwujudkan kelak mengambil kira pandangan golongan muda yang membentuk lebih 50 peratus populasi negara ini,'' tambahnya.

Jelas Rosnah, parti yang statik dan tidak berubah semestinya gagal menarik perhatian generasi baru yang inginkan kelainan serta kematangan dalam mendepani pelbagai isu serta perkembangan yang melanda politik semasa tanah air.

Sepatutnya ahli PKR yang 'bertaubat' dengan meninggalkan parti

KUALA LUMPUR 17 Okt. - Tindakan mendesak Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim bertaubat adalah sia-sia malah golongan yang melakukan desakan itu sepatutnya 'bertaubat' dengan meninggalkan parti tersebut.

Bekas Naib Presiden PKR, Datin Saidatul Badru Tun Said berkata, kumpulan itu juga tidak berpijak pada bumi nyata apabila tidak mahu PKR digunakan untuk melindungi pemimpin daripada tindakan undang-undang sedangkan asas penubuhan parti itu ialah untuk membela Anwar.

"Mereka ini buang masa apabila suruh Anwar bertaubat. Anwar tidak akan bertaubat kerana itu menunjukkan kesalahannya. Sepatutnya mereka yang bertaubat dengan keluar PKR.

"Kalau rasa Anwar sudah tidak boleh memimpin pergilah cari parti yang boleh memperjuangkan rakyat," katanya yang dihubungi Utusan Malaysia, di sini hari ini.

Semalam, tiga wakil Cabang PKR dari Perak dan Pulau Pinang mewakili 60 ahli parti itu menghantar 'memorandum taubat' kepada Anwar supaya beliau segera bertaubat dalam kes berkaitan pertuduhan di mahkamah.

Wakil kumpulan itu, Nor Hilmi Ismail dari Cabang Bayan Baru berkata, desakan itu bagi menjaga martabat perjuangan parti yang dilihat terjejas berikutan kes mahkamah Anwar.

Jelasnya, semua ahli parti memerlukan pemimpin yang dapat memberi sepenuh perhatian terhadap perjuangan parti dan bukan sebaliknya, iaitu hanya tertumpu kepada isu-isu peribadi.

"Oleh itu, jika Anwar enggan bertaubat selepas pelbagai pendedahan mengenainya dibongkar, lebih separuh daripada ahli parti mendesak beliau meletakkan jawatan," katanya.

Sementara itu, Saidatul Badru berkata, desakan taubat itu bagaikan memberi gambaran bahawa mereka sudah tidak mempercayai Anwar selepas pendedahan demi pendedahan dibuat berhubung pertuduhan liwat yang dihadapinya.

Bagaimanapun katanya, pemikiran kumpulan terbabit dilihat agak bercelaru kerana tuntutan itu memberi maksud mereka akan menerima Anwar sekiranya beliau bertaubat walaupun pertuduhan yang dihadapinya amat menjengkelkan.

"Apa yang dimaksudkan dengan bertaubat? Adakah mereka percaya apa yang berlaku? Adakah ahli bersetuju dengan pertuduhan (liwat) itu?

"Saya hairan apa maksudnya. Ia seperti mereka mahu menyatakan sesuatu tetapi masih sayangkan seseorang yang melakukan kesalahan," katanya.

Ahli PKR, Pas digesa henti sokong Anwar

SHAH ALAM 17 Okt. - Bekas Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Senator Mohamad Ezam Mohd. Noor menggesa pemimpin dan ahli Parti Keadilan Rakyat (PKR) serta Pas supaya berhenti memberikan sokongan kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Tegasnya, langkah itu perlu dilakukan memandangkan hari ke hari semakin jelas kepincangan peribadi yang dilakukan oleh Penasihat PKR tersebut.

''Atas nama Allah dan akidah Islam saya seru mereka supaya meninggalkan Anwar.

''Tidak perlu lagi menyokong beliau berikutan semakin banyak bukti mengenai perlakuan beliau yang memungkinkan beliau tidak layak disokong sebagai pemimpin,'' katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ceramah pada program Selamatkan Selangor Darul Ehsan Ke-2 (SSDE2) di Dewan Bunga Kertas TTDI Jaya di sini, malam tadi.

Turut menyampaikan ceramah di majlis itu ialah Setiausaha Badan Perhubungan UMNO Selangor, Datuk Satim Diman, Exco Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Sohaimi Shahadan dan penceramah bebas, Rosdi Long.

Mohamad Ezam berkata, dua laporan polis yang dibuat oleh dua pembantu Anwar baru-baru ini sudah membuktikan bahawa Penasihat PKR itu tidak layak disokong sebagai pemimpin.

''Saya tidak tahu apa lagi yang pemimpin dan ahli PKR serta Pas tunggu, semuanya sudah jelas bukan sahaja melalui laporan polis berkenaan malahan keterangan oleh doktor pakar di mahkamah dalam perbicaraan kes liwat Anwar telah memberi petunjuk yang jelas siapa Anwar sebenarnya,'' katanya.

Ezam juga membidas, tindakan Dewan Pemuda Pas Pusat yang mengadakan demonstrasi bagi membantah konsert Adam Lambert yang dikatakan gay tetapi menyokong Anwar sebagai salah seorang pemimpin pakatan pembangkang.

''Dengan pelbagai bukti yang semakin jelas mengenai perlakuan Anwar, kalau mereka mempunyai prinsip Pas, perlu menangguhkan dulu sebarang hubungan dan kerjasama dengan Anwar kerana ia membabitkan persoalan akidah sebagai seorang Islam,'' katanya.

'Masa depan PKR gelap'
IPOH 18 Okt. - Kerakusan pemimpin Parti Keadilan Rakyat (PKR) merebut kuasa menandakan bahawa parti pembangkang itu bakal berhadapan dengan masa depan yang gelap.

Bekas Ketua PKR Cabang Ipoh Barat, Fauzi Muda berkata, secara peribadi beliau melihat pemilihan yang akan berlangsung tidak lama lagi merupakan detik kehancuran parti itu.

''Budaya kotor dan jahat PKR bukan setakat perebutan jawatan di peringkat tertinggi parti, tetapi budaya kotor dan jahat mereka telah diamalkan di peringkat cabang dan negeri.

''Ia adalah sebuah parti yang menghalalkan cara, hanya indah khabar daripada rupa. Mereka seperti ayam jantan yang berkokok berdegar-degar, tetapi ekor bergelumang dengan tahi," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Berdasarkan pengalaman yang dilaluinya kata Fauzi, budaya kotor dan jahat dalam PKR sebenarnya sudah lama wujud iaitu semasa pemilihan parti 2001 di Kemaman, Terengganu.

''Budaya fitnah, mengaibkan orang melalui surat layang dan berbagai-bagai lagi tindak-tanduk ahli dan pemimpin PKR dimulakan oleh kumpulan yang gila kuasa dan jawatan dalam parti.

''Jadi, tidak hairanlah jika sekarang pelbagai perkara berlaku dalam PKR seperti bertumbuk, bergaduh, baling kerusi, menipu ahli dan guna samseng demi kerana jawatan dan kuasa," katanya.

Katanya, perkembangan terbaru itu jelas menunjukkan walau sesiapa sahaja yang menang dalam pemilihan parti kali ini, ia merupakan titik mula kepada kehancuran PKR sendiri.

Jangan terperangkap muslihat Anwar

Oleh ZULKIFLEE BAKAR
pengarang@utusan.com.my

KUALA LUMPUR 18 Okt. – Rakyat tidak harus terperangkap dengan muslihat terbaru Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim yang menyifatkan Bajet 2011 sebagai bajet pilihan raya umum.

Bekas Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Mohd. Ezam Mohamad Noor berkata, Anwar bertindak demikian bagi mengalih perhatian berikutan keadaan di dalam PKR yang semakin huru-hara.

‘‘Selain itu, beliau juga semakin terdesak memandangkan kes perbicaraan liwat yang dihadapinya semakin membongkar kebenaran.

‘‘Justeru beliau guna taktik usang alih perhatian penyokong dan rakyat dengan kisah kononnya pilihan raya umum semakin hampir,’’ katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Mohd. Ezam berkata, motif Anwar mencetuskan kononnya bajet yang dibentangkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak Jumaat lalu sebagai bajet pilihan raya supaya ahli-ahli PKR memfokuskan perhatian mereka kepada pilihan raya umum.

‘‘Sebenarnya Anwar mahu mengalihkan perhatian ahli-ahli PKR yang semakin meluat dengan kepincangan pemilihan parti itu baru-baru ini,’’ katanya.

Sehubungan itu, beliau berharap rakyat tidak akan terperangkap dengan taktik alih isu oleh Anwar yang semakin tertekan.

‘‘Fokus harus terus diberikan kepada pembinaan negara melalui bajet dan kepada perbicaraan kes liwat Anwar yang mula menampilkan kebenaran dan kepalsuan beliau selama ini,’’ katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.