Pages

Subscribe:

14 Disember, 2010

[hang nadim] Kembalikan Pulau Pinang kepada Sultan Kedah














Oleh Zaini Hassan
SAYA dan profesor kajian alam Melayu, A. Murad Merican mempunyai kepercayaan yang sama. Pulau Pinang harus dikembalikan kepada kerajaan Kesultanan Kedah. Bukanlah kerana saya orang Kedah dan Murad orang Pulau Pinang, maka kami bersetuju dengan cadangan itu.

Tapi ia adalah berdasarkan fakta sejarah.

Asal cadangan itu datangnya dari Pengerusi Persatuan Sejarah Malaysia Cawangan Kedah (PSMCK), Datuk Wan Shamsuddin Mohd. Yusof melalui kenyataannya kepada Bernama 1 Disember lalu.

Berita itu bertajuk: Kedah dicadang tuntut semula Pulau Pinang:

‘‘PSMCK mencadangkan supaya Pulau Pinang dikembalikan kepada Kedah kerana negeri tersebut pada asalnya kepunyaan Kedah.

Pengerusi PSMCK, Datuk Wan Shamsudin Mohd. Yusof berkata, cadangan itu ditimbulkan kerana Pulau Pinang adalah hak milik Kedah sebelum berlakunya perjanjian antara Sultan Kedah dan British pada 1786.

“Setelah negara kita merdeka pada 1957, Pulau Pinang yang dijajah sepatutnya dikembalikan kepada Kedah sepertimana Dinding dan Pangkor dikembalikan kepada Perak. Tetapi Pulau Pinang tidak dikembalikan kepada Kedah dan terus dijadikan sebuah negeri yang berasingan,” ujarnya kepada pemberita.

Dalam perjanjian yang dibuat antara Sultan Kedah ketika itu, Sultan Dhiauddin Mukarram Shah dan Leftenan Gabenor Pulau Pinang, Sir George Leith Baronet pada tahun 1800, Pulau Pinang dipajak untuk menampung keperluan ekonomi pada masa itu.

Pada ketika itu, Pulau Pinang dipajak dengan harga 6,000 manakala Seberang Prai dipajak dengan harga 4,000 dan pihak British membayar wang tersebut kepada Sultan Kedah dengan menggunakan mata wang Sepanyol.

Menurut Wan Shamsudin, Pulau Pinang dan Seberang Perai disifatkan masih hak milik Kedah kerana duit pajakan masih dibayar oleh Kerajaan Pusat dengan nilai RM10,000 setiap tahun kepada kerajaan negeri Kedah pada masa ini.

“Pembayaran pajakan masih wujud sehingga kini dan ini bererti, keadaan tersebut masih wujud dan tidak salah untuk Kedah membuat tuntutan,” jelasnya.

Tambahnya, pihaknya akan mengadakan satu seminar dengan pakar-pakar sejarah untuk mengumpulkan fakta-fakta dan bukti yang berkaitan dengan sejarah Pulau Pinang yang dahulunya di bawah naungan Kesultanan Kedah.

“Kami juga akan menyerahkan bukti dan fakta tersebut kepada pihak-pihak yang bertanggungjawab dan terserah kepada mereka untuk menuntut semula Pulau Pinang atau tidak,” katanya.

Tanpa menjelaskan siapa pihak yang bertanggungjawab itu, Wan Samsudin berkata, tugas PSMCK ialah untuk menyuarakan kembali perkara itu memandangkan ramai pihak mula terlupa tentang sejarah sebenar negeri Pulau Pinang.

“Sama ada pihak tersebut mahu menuntut semula Pulau Pinang atau tidak itu terserah kepada mereka.

“Kami suarakan perkara ini kerana tidak mahu sejarah negeri Kedah dan Pulau Pinang terus dilupakan,” katanya.

Namun bukan semua orang menyenangi dengan cadangan itu. Ada yang mengatakan jika itulah pandangannya maka Tanah Melayu harus dikembalikan kepada Orang Asli?

DAP sudah tentu tidak mahu menyerahkan Pulau Pinang kepada Kedah. Mereka juga sudah tentu tidak bersetuju dengan pandangan dan cadangan itu. Pulau Pinang bagi DAP ialah kubu terkuatnya (sekarang).

Sejarah Pulau Pinang, sudah tentu mereka 100 peratus bersetuju, hanya bermula dari kolonial Inggeris, Francis Light. Bukannya dari kesultanan Melayu Kedah. Mereka juga percaya Raffleslah yang membuka Singapura. Bukan kesultanan Melayu.

Namun, cadangan Wan Shamsuddin itu mesti dipertimbangkan dengan wajar dan serius. Patik – Ahli Mahkota Kedah ini – berharap Duli Yang Maha Mulia Tuanku Al-Sultan dapat meneliti perkara ini sedalam-dalamnya.

Umumnya komen-komen yang diutarakan dalam siber bagi mencantas cadangan itu jelas memperlihatkan kedangkalan sejarah dan persejarahan di kalangan rakyat Malaysia. Pemikiran dan sikap mereka dalam hal ini bersifat kebudak-budakkan sehingga ada mengatakan bahawa jika kita hendakkan yang asal, mengapa tidak kembalikan Tanah Melayu kepada orang asalnya, Orang Asli.

Beberapa lagi komen menjurus kepada mencabar kedaulatan Malaysia – dari segi mengembalikan negeri-negeri seperti Kedah, Kelantan dan Terengganu kepada Siam, Thailand dan Sabah kepada Filipina.

Wan Shamsudin telah membangkitkan satu isu penting dalam sejarah dan persejarahan negara, bukan hanya kaitan Kedah dan Pulau Pinang. Ini adalah kerana sekian lama, sejarah dan persejarahan Malaysia, sama ada sengaja atau tidak, wujud dalam keadaan pelbagai kelompongan.

Saranan Wan Shamsuddin perlu disokong lalu diteliti dan dihalusi implikasinya dari segi sejarah dan persejarahan pasca kolonial. Kita bukan menolak kedatangan Inggeris dan kuasa barat ke Alam Melayu. Apa yang penting ialah usaha berterusan memberi tafsiran dan konteks yang lebih wajar kepada alam dan geopolitik kesultanan Kedah.

Murad juga dalam kenyataan akhbarnya menyebut, perjanjian memajak Pulau Pinang antara Sultan Kedah dan British pada 1786 dan 1800 tidak pernah menyebut bahawa ia tidak boleh dimansuhkan atau akan tamat pada tempoh tertentu.

Oleh itu, katanya tidak mustahil jika Pulau Pinang dikembalikan kepada Kedah jika ia dituntut sekarang. ‘‘Pulau Pinang boleh dijadikan satu daerah atau wilayah khas dalam Kedah jika ia dikembalikan kepadanya.”

Kata Murad, selama ini rakyat Malaysia hanya menganggap sejarah kewujudan Pulau Pinang berlaku pada 1786 iaitu apabila British mula sampai ke negeri itu. ‘‘Namun sebenarnya sejarah Pulau Pinang dan orang Melayu telah terpendam. Jika Kedah mengambil semula Pulau Pinang, ia sama sekali akan mengubah sejarah negeri itu,” jelas beliau.

Bagi menjelaskan lagi senario sejarah ini, saya menyarankan Persatuan Sejarah Malaysia dapat mengadakan seminar seperti cadangan Wan Shamsuddin itu seberapa segera. Pulau Pinang harus dikembalikan kepada hak kesultanan dan tamadunnya yang asal.

Kerajaan Pusat juga harus mengikuti perkembangan ini dengan teliti.

Bagi mendapatkan ruang bicara mengenai cadangan dan pandangan ini, Prof. Murad yang juga Ketua Kluster Penyelidikan Kajian Oksiden di Alam Melayu, Universiti Teknologi Petronas memberi analisis impirikal ringkasnya mengenai hal ini. Katanya cadangan itu membuka perbincangan yang penting bukan hanya dari segi kedaulatan kesultanan Kedah (yang tertua di dunia dan Malaysia), tetapi juga usaha berterusan mengeluarkan sejarah dan persejarahan Malaysia dari kepompong kolonial Inggeris.

Ikuti tulisan beliau:

DARI sudut Perlembagaan Persekutuan, cadangan Datuk Wan Shamsuddin itu tidak bercanggah dengan undang-undang negara. Mengubah sempadan sesebuah negeri diperuntukan dalam Perlembagaan Persekutuan dalam Bahagian 1, Artikel 2, tertakluk kepada persetujuan Dewan Undangan Negeri terbabit dan Majlis Raja-Raja Melayu.

Kita juga seharusnya tidak mengenakan sekatan pemikiran dan pergerakan untuk meluruskan masa lalu demi generasi masa depan. Kita maklum bahawa apabila Inggeris dan Belanda bertapak di Kepulauan Melayu, mereka melakarkan sempadan geopolitik. Ini membawa maksud mencampur tangan dalam hal ehwal masyarakat dan kerajaan Melayu.

Apa yang berlaku pada hakikatnya ialah pihak Inggeris telah campur tangan dalam hal-ehwal kesultanan Kedah. Dan campur tangan ini bermula lebih awal daripada Perjanjian Pangkor 1874.

Maka wujudlah nama-nama seperti Light, Scott dan Leith yang dikaitkan dengan sejarah Pulau Pinang dan seterusnya Malaysia. Maka pelbagai buku dan bahan tentang sejarah Pulau Pinang mengandaikan bahawa Pulau Pinang hanya mempunyai sejarah selepas mendaratnya Francis Light di Tanjung Penaga pada 11 Ogos 1786, dan seterusnya perjanjian pada tahun yang sama dan pada tahun 1800.

Akibat dari perjanjian-perjanjian tersebut, alam Melayu mula dikotak-katikkan – khususnya jajahan Kesultanan Kedah, kerajaan Melayu yang tertua di Malaysia dan kerajaan beraja yang tertua di dunia.

Jika kesedaran umum bahawa ‘segala-galanya’ bermula dari Melaka, maka kita memesongkan sejarah. Ini tidak semestinya kita mengetepikan Melaka yang merupakan asas kepada institusi dan sistem kerajaan di Malaysia kini.

Namun demikian, kesedaran ruang dan masa yang lebih awal dari itu amat kritikal sekali dalam penulisan sejarah negara dan perlu diketengahkan pada tahap akademik dan popular.

Dan apabila kita baca penulisan tentang sejarah Pulau Pinang, Kedah hanya dirujuk dalam konteks Sultan Kedah membuat perjanjian dengan Francis Light. Lebih dari itu, Kedah hilang dalam persejarahan Pulau Pinang.

Begitu juga dengan pelbagai penulisan tentang sejarah Kedah. Apa yang saya perhatikan ialah persejarahan Kedah setakat ini tidak memberi penekanan kepada Pulau Pinang sebagai sebahagian daripada Kesultanan Kedah. Persejarahan Kedah juga menjadi mangsa kepada perspektif kolonial, yakni, menerima sebagai hakikat bahawa sejarah Pulau Pinang asing dan berbeza dengan sejarah Kedah.

Persejarahan Kedah memandang sepi penempatan Melayu Pulau Pinang dan warisan Kedah di pulau itu kecuali salah satu kertas kerja Datuk Wan Shamsudin beberapa tahun lalu yang ada menyebut penempatan Melayu sebelum kedatangan Inggeris.

Malah akibat daripada perjanjian dalam tahun-tahun tersebut, perhubungan Kedah dengan wilayah-wilayah di Sumatera pun tidak ditonjolkan seolah-olah tidak ada kesepaduan tradisi, bahasa, agama dan budaya di antara Kedah dan wilayah-wilayah tersebut.

Beberapa tahun lalu dalam syarahan saya pada PSMCK di Alor Setar, saya menganjurkan bahawa sejarah dan persejarahan Pulau Pinang mesti lari dari sudut kolonial lalu mencadangkan bahawa ia dilihat dari perspektif negeri dan Kesultanan Kedah.

Cadangan Datuk Wan mempunyai implikasi kepada sejarah negara. Tidak ada sebab mengapa kita tidak boleh luruskan persejarahan. Tidak ada sebab mengapa kita tidak boleh mengubah geografi alam kita sendiri demi menerokai satu ruang lapisan sejarah yang telah disisih.

Asal usul negara bangsa Malaysia perlu dihalusi dan dibincangkan secara terbuka. Kenyataan-kenyataan yang tidak menggambarkan hakikat hendaklah ditangani sewajarnya demi masa depan.

Sebagai contoh, sebuah buku yang diterbitkan pada tahun 2007 dengan tajuk Malaysian Chinese and Nation-Building: Before Merdeka and Fifty Years After (Penerbit: Centre for Malaysian Chinese Studies, Kuala Lumpur) telah menyatakan bahawa Malaysia sebagai sebuah negara bangsa bermula dengan pembukaan (founding) Pulau Pinang pada tahun 1786.

Bab satu buku itu yang bertajuk “State and Nation: An Overview and Malaysian Perspective,” menyatakan bahawa dari situ, perkembangan seterusnya telah menjurus kepada pembentukan satu politik.

Dalam perbincangan pembentukan Malaysia, buku itu menekankan kepada warisan undang-undang dan pentadbiran British sebagai asas kesamaan wilayah-wilayah di Malaysia (ms.10).

Wacana-wacana sebeginilah yang memesongkan sejarah dan persejarahan Malaysia. Apakah ia mengandaikan bahawa Malaysia tidak ada sejarah sebelum 1786?

Tangani isu persoal ketuanan Melayu

Oleh NORAZLITA MOHD. SIES
pengarang@utusan.com.my

Delusi kebesaran (delusion of grandeur) yang bersandarkan kepada prinsip-prinsip teori psikoanalisis Sigmund Freud menyatakan individu yang tergolong dalam kategori ini sering merasakan memiliki kehebatan dan kelebihan dalam pelbagai perkara berbanding individu lain.

Individu yang menghidap kecelaruan mental ini tidak menyedari implikasi setiap tindakan yang dilakukan sama ada kepada diri sendiri mahupun pihak lain kerana merasakan pendapat mereka betul atau tidak menyalahi peraturan yang telah disepakati secara kolektif.

Natijahnya individu terbabit merasakan tiada suatu sistem yang mampu menghalang tindak-tanduk mereka sedangkan ada peruntukan undang-undang yang membatasinya.

Bukannya tidak menyedari hakikat tersebut tetapi kerana mahu dijulang sebagai srikandi, ada yang sengaja memperdebatkan isu sensitif sehingga mencetuskan kemarahan dan rasa tidak puas hati, seolah-olah sengaja mencabar pihak berkuasa.

Walhal tindakan mempersoalkan kedaulatan Raja-Raja Melayu, kedudukan bahasa kebangsaan, keistimewaan orang Melayu serta pribumi Sabah dan Sarawak menurut peguam bela dan peguam cara terkenal, Datuk Salehuddin Saidin boleh terjumlah kepada perbuatan menghasut.

Peruntukan yang terkandung dalam Perlembagaan Persekutuan seperti Perkara 153, 152, 181 dan beberapa peruntukan lain jelas beliau, telah termaktub serta terpahat dengan rapi dan tiada sesiapa boleh mempersoalkan ataupun menyentuh isu-isu berkaitan perkara tersebut.

Malah Perkara 159(5) Perlembagaan juga memperuntukkan sekiranya Parlimen ingin meminda peruntukan sedia ada mengenai keistimewaan orang Melayu dan kedaulatan Raja-Raja Melayu, ia perlu mendapat persetujuan daripada Majlis Raja-Raja.

Menurut beliau, demi memastikan kelangsungan keharmonian sesama bangsa dan bagi mengelakkan ada pihak-pihak yang mempersoalkan hak istimewa ini, Perlembagaan telah memperuntukkan Perkara 10 (fasal 4) mengenai penggubalan akta yang mengawal golongan-golongan tertentu daripada mencetuskan huru-hara di dalam negara.

Ini bermakna Parlimen boleh menggubal undang-undang bagi mengawal dan mengambil tindakan terhadap mereka yang mempersoalkan peruntukan mengenai keistimewaan ini antaranya Perkara 152, 153 dan 181 sebagai contoh Akta Hasutan 1948.

Di samping itu, katanya, Akta Keselamatan Dalam Negeri 1960 (ISA) juga boleh digunakan sebagai undang-undang preventif bagi mencegah dan mengawal kejadian yang boleh mengancam keselamatan negara.

Keistimewaan yang terjamin di bawah Perlembagaan itu bukan sahaja tidak boleh dipersoalkan oleh rakyat malahan Ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) juga tidak boleh sewenang-wenangnya membangkitkan isu-isu sensitif ini seperti yang diperuntukan Artikel 63 (fasal 4) dan (5).

Di bawah peruntukan tersebut, Ahli Parlimen tidak kebal dalam menghadapi tindakan mahkamah sekiranya mereka membangkitkan isu-isu menyentuh kedaulatan Raja-Raja Melayu, keistimewaan orang Melayu dan pribumi Sabah serta Sarawak.

Secara umumnya, menurut Salehuddin, sekiranya keistimewaan diberikan kepada satu golongan tertentu pasti ada pihak yang tidak berpuas hati dengan keadaan ini. Ini sudah menjadi lumrah manusia.

Namun menurut beliau, kita semua perlu merenung kepada sejarah kewujudan peruntukan mengenai keistimewaan ini dan rasional di sebalik peruntukan sedemikian.

Dalam pada itu, bekas Ketua Unit Kes Terkelas dari Jabatan Peguam Negara itu berkata, keberkesanan suatu undang-undang bergantung kepada pemahaman individu dan juga pihak berkuasa terhadap peruntukan itu sendiri bagi membolehkan penguatkuasaan dapat dijalankan secara efektif.

Jika diimbas kembali pada tahun 1980-an, Perdana Menteri ketika itu, Tun Dr. Mahathir Mohamad pernah menggunakan ISA secara efektif dalam operasi yang digelar 'Operasi Lalang' bagi memadamkan api kemarahan perkauman pada ketika itu.

Mereka yang mencetuskan isu-isu sensitif ini telah ditahan di bawah ISA lantas terpadamlah segala api perkauman yang pada satu ketika amat meluap-luap.

Sehubungan itu Salehuddin berpendapat, peruntukan undang-undang yang ada perlu digunakan secara efektif sebagai benteng penghalang dan bukan sekadar menunggu sesuatu kejadian berlaku terlebih dahulu baru hendak bertindak.

''Oleh itu, saya berpendapat ISA amat diperlukan dalam konteks negara ini yang begitu kompleks dan unik kerana mempunyai rakyat yang berbilang kaum. ISA boleh digunakan untuk menghalang sesuatu kejadian yang boleh mengancam keselamatan negara dan perpaduan rakyat. Saya amat tidak bersetuju sekiranya ada cadangan untuk menghapuskan ISA.

''Bagaimanapun, saya merasakan beberapa peruntukan di bawah ISA perlu dikemaskinikan bagi memastikan akta ini tetap relevan terutamanya di era sekarang ini,'' ujar Salehuddin.

Sejak kebelakangan ini, terdapat segelintir pihak tidak kira individu, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) mahupun ahli parti politik yang begitu lancang mempersoalkan isu sensitif namun tiada sebarang tindakan diambil.

Salehuddin melihat ia sebagai kegagalan pihak berkuasa untuk mengambil tindakan proaktif bagi membendung pihak-pihak yang cuba membakar api kemarahan antara kaum.

''Undang-undang sudah ada namun ia tidak digunakan mungkin kerana kurangnya kefahaman mengenainya. Kita sebenarnya tidak perlu menunggu sehingga tercetusnya sesuatu pergolakan dan rusuhan sebelum mengambil tindakan.

''Jika tindakan segera tidak diambil oleh pihak berkuasa, saya bimbang keharmonian antara penduduk berbilang bangsa di negara ini akan terjejas.

''Akta Hasutan menjelaskan seseorang melakukan perbuatan yang ada kecenderungan menghasut dengan mempersoalkan kedudukan istimewa orang Melayu di bawah Perkara 153, kecenderungan mempersoalkan kedaulatan Raja-Raja Melayu dan kecenderungan mempersoalkan bahasa kebangsaan maka tindakan di bawah Seksyen 4 akta tersebut boleh diambil terhadap mereka,'' katanya.

Menurut seksyen itu: Sesiapa yang melakukan atau cuba untuk melakukan ataupun membuat sebarang persediaan untuk melakukan, atau bermuafakat dengan mana-mana orang untuk melakukan, apa-apa perbuatan yang mempunyai kecenderungan menghasut. Atau, jika dilakukan, tetap mempunyai kecenderungan menghasut sama ada menyebut apa-apa perkataan menghasut, mencetak, menerbitkan, menjual, menawarkan untuk dijual, mengedar atau mengeluar ulang apa-apa penerbitan menghasut.

Hukuman yang diperuntukkan jika sabit kesalahan kali pertama, dikenakan denda tidak lebih daripada RM5,000 atau penjara selama tempoh tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya jika sabit kesalahan. Manakala bagi kesalahan berikutnya, boleh dihukum penjara tidak lebih lima tahun.

Katanya sebaik-baik sahaja seorang individu membuat pernyataan berbaur hasutan dan kenyataan itu disiarkan dalam surat khabar atau blog maka tindakan boleh diambil kerana undang-undang membenarkannya.

Sesiapa sahaja yang mendengar pernyataan tersebut boleh membuat laporan polis bagi membolehkan siasatan dilakukan dan tidak perlu menunggu sama ada mempunyai locus standi (hak di sisi undang-undang) atau tidak.

''Apabila ini berlaku dan ada pihak yang membuat laporan maka pihak polis yang dipertanggungjawabkan untuk menyiasat laporan tentang isu sensitif ini perlu segera menyiasat dan seterusnya mengemukakannya ke Jabatan Peguam Negara untuk membuat keputusan mengenai pendakwaan.

''Sehingga ke hari ini kita lihat amat kurang pendakwaan dibuat terhadap mereka yang tidak bertanggungjawab ini sedangkan telah banyak laporan polis dibuat. Siapa yang harus dipersalahkan di atas kegagalan mengambil tindakan undang-undang, saya kurang pasti.

''Sebagai contoh baru-baru ini, Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail telah mengeluarkan kenyataan bahawa ketuanan Melayu perlu dihapuskan. Kenyataan ini pada pandangan saya berbaur hasutan yang boleh mencetuskan perasaan tidak senang rakyat terutama orang Melayu mengenai keistimewaan dan kedaulatan Raja yang ingin cuba dihapuskan.

''Saya tidak faham maksud sebenar beliau mahu menghapuskan ketuanan Melayu. Namun jika penghapusan keistimewaan Melayu dan kedaulatan Raja-Raja Melayu yang dimaksudkan di dalam kenyataannya itu, ia boleh tergolong dalam kecenderungan menghasut seperti dijelaskan dalam Akta Hasutan. Ia juga jelas bertentangan dengan prinsip kedua Rukun Negara yang menyatakan mengenai kesetiaan kepada Raja dan Negara,'' ujar beliau


Nukilan Hati Hang Nadim

Orang Kedah :..... Panggil Depa Mai.....
Orang Penang: .... Jom Kita Pi...
Kita dan depa jadi satu Negeri
Bagi Balik Kedaulatan Melayu
Orang Melayu: Mai Kita Pi Sokong
Lepas Merdeka Dulu patut dah bagi balik
La ni pun sapa tak bayar kat kedah..

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.