Pages

Subscribe:

31 Disember, 2010

[ hang nadim] Niat, amanah, istiqamah memperkukuh ibadah.....



Intention, trust, consistent strengthening of worship
النية والثقة، وتعزيز ثابت من العبادة
Oleh Wan Mohd Ruzlan Wan Omar
2011/01/01
Kegigihan semut laksana tugas rutin wajar diambil iktibar untuk tingkat mutu amalan

NIAT menjadi sahnya sesuatu amalan ibadah sama ada yang fardu mahupun sunat. Tanpa niat sesuatu amalan itu tidak mendatangkan sebarang pahala di sisi Allah. Begitu jugalah halnya dengan pekerjaan seharian yang kita lakukan. Untuk menjadikannya satu ibadah yang berpahala mesti dimulakan dengan niat yang ikhlas kerana Allah.

Dengan niat yang tulus ikhlas itu akan menjadi pemandu kepada seseorang untuk menjalankan kerjanya dengan bersungguh-sungguh dan yakin akan berhasil dengan cemerlang. Kata Nabi SAW yang bermaksud: “Setiap amalan itu dengan niat.” (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim) Oleh itu, sesuatu pekerjaan yang hendak kita laksanakan hendaklah didahului dengan niat kerana Allah untuk mendapat keberkatan. Nabi SAW juga pernah mengatakan yang Allah tidak melihat pada rupa dan harta kita, tetapi Allah melihat pada hati dan amalan yang kita lakukan. Selain itu , kita juga perlu sentiasa menjalankan pekerjaan dengan integriti yang mantap. Ciri-ciri beramanah, jujur dan sentiasa mematuhi segala etikanya menjadi penanda aras kepada diterima Allah kerja kita sebagai ibadah di sisi-Nya. Orang berniat ikhlas kerana Allah sangat takut melakukan sesuatu penyelewengan ketika menjalankan tugas. Orang sebegini tidak akan melakukan sesuatu yang bertentangan dengan prinsip agama. Dia tahu apa yang sedang dikerjakannya itu diperhatikan Allah dan sudah tentu dia akan menyempurnakannya dengan komited dan sejujur yang boleh. Apabila dia hendak melakukan yang bertentangan dengan kehendak agama, maka dia akan teringat bahawa Allah Maha Melihat dan dia berasa malu kepada-Nya. Inilah ciri-ciri orang yang takut akan Allah yang akan menjadi benteng paling ampuh menjalankan sesuatu kerja dengan dedikasi dan mengharapkan reda Allah.

Tentunya mukmin seumpama itu akan dibuka pintu rahmat dan diberikan kejayaan yang cemerlang dalam pekerjaannya. Orang mukmin yang cemerlang dan berjaya dalam kerja buatnya akan sentiasa mengingati janjinya kepada Allah tatkala dalam solat ketika membaca Iftitah yang bermaksud: “Katakanlah: Sesungguhnya sembahyangku, ibadatku, hidupku dan matiku untuk Allah, Tuhan sekalian Alam.” – (Maksud Surah Al-An’am ayat 162 ) Inilah ayat yang kita ulangi dalam solat dan mukmin yang menghayati akan makna di sebalik ayat ini, tentu sekali akur dan akan melakukan amal ibadah dan apa saja pekerjaan duniawi dengan ikhlas, berintegriti dan komitmen dengan mengharapkan ganjaran pahala dan diluaskan pintu rezeki oleh Allah.

Satu perkara lagi yang menjadi prasyarat kepada kejayaan dalam sesuatu pekerjaan ialah nilai istiqamah dan dedikasi. Niat yang baik tetapi membuat sambil lewa saja bak melepaskan batok di tangga tidak akan meninggalkan kesan positif. Rasulullah SAW pernah memberitahu umatnya: “Bahawa Allah mencintai seseorang yang apabila ia mengerjakan sesuatu kerja, ia laksanakan dengan cemerlang.” (Hadis riwayat Abu Ya’la) Memang sudah menjadi sunnah dalam kehidupan di dunia ini, Allah menetapkan kejayaan sesuatu perkara hanya terhasil melalui usaha gigih, dedikasi dan secara terancang. Istiqamah dalam Islam merangkumi skop yang universal dan ini termasuk dalam aspek melakukan sesuatu pekerjaan atau perkhidmatan. Istiqamah dalam melakukan kerja ibarat kehidupan semut.
Semut dijadikan Allah berbentuk kecil saja, jauh beza dengan diri manusia. Namun di sebaliknya ada iktibar yang boleh kita perhatikan sebagai pedoman hidup. Allah jadikan sesuatu itu tidak sia-sia kerana semua dapat diperhatikan dan dikaji selidik buat peringatan manusia. Begitulah dengan kehidupan semut. Cuba kita renungi dengan mendalam bagaimana semut mencari rezekinya. Gigih semangatnya, tekun kerja buatnya, Tidak ada istilah malas dan berputus asa dalam kamus semut itu. Semut juga hidup dengan sikap optimistik yang tinggi.

Kita pula bagaimana? Tidak ada rasa dengki, iri hati dan berpuak-puak dalam menyelesaikan sesuatu kerja. Semuanya dilaksanakan mengikut muafakat mantap dan masing-masing bekerja kuat untuk kemanfaatan bersama. Itulah spektrum sosial dalam kehidupan semut. Tidakkah semua elemen ini patut dicontohi oleh manusia.

Oleh itu, kita sebagai umat Islam seharusnya mempamerkan sikap istiqamah yang berintikan nilai dedikasi tinggi, rajin serta berusaha berterusan demi menjayakan sesuatu kerja. Ciri inilah yang berjaya mengangkat umat Islam terdahulu menjulang kecemerlangan dalam pelbagai lapangan hidup. Jangan risau dengan titik peluh yang terkeluar kerana kerja kuat, kerana setiap titik peluh kerana mencari rezeki yang halal itu sudah pasti dianugerahi ganjaran pahala oleh Allah dan segala hasil perolehan mendatangkan keberkatan. Inilah yang dinamakan kerja sebagai ibadah. Jadi, amat malang kita melihat ada mukmin yang bersikap acuh tak acuh, buat sambil lewa dan seakan-akan menunggu hari gaji saja. Ini bukan standard piawai ciri sebagai pekerja Muslim yang sebenar.
Melaksanakan sesuatu tugas di depan bos saja juga jauh menepati kehendak agama kerana melambangkan kepura-puraan dan bersalahan dengan etika agama.

Oleh yang demikian, mukmin yang inginkan kejayaan sebenar dalam kehidupan bekerja semestinya menerapkan niat yang betul dan ikhlas kerana Allah, sentiasa menjaga amanah yang dipertanggungjawabkan dengan semaksimum yang boleh dan beristiqamah tanpa putus asa dalam mencapai kejayaan.

Iktiraf komitmen saudara Muslim
يقر التزامكم المسلمين
Oleh MOHD. SYAHRIL ROSDI AHMAD ZAHUDI

SEJAJAR dengan moto Maal Hijrah Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (Perkim) iaitu 1 Muslim 1 Ummah, Perkim Kebangsaan dengan kerjasama Sahabat Perkim menganjurkan Forum Perdana Maal Hijrah yang bertajuk Berhijrahlah… Duhai Saudaraku bertempat di Surau Perkim, Bangunan Perkim, Jalan Ipoh, Kuala Lumpur pada 19 Disember 2010 lalu.

Forum itu dijadikan sebagai ruang untuk memberi kefahaman mengenai peristiwa hijrah dalam memahami bulan Muharam sebagai bulan pertama di dalam kalendar Islam, di samping mengajak semua saudara Muslim untuk melakukan penghijrahan serta perubahan dalam kehidupan mereka dengan menuruti tatacara hidup yang sebenar sebagai umat Islam.

Majlis pagi itu dimulakan dengan bacaan doa oleh Aminurrashid Ismail dan bacaan ayat-ayat suci al-Quran oleh Ustaz Mohd Jais Mariappan Abdullah.

Penyelaras Program, Amran Abdullah berkata, seramai 300 saudara Muslim yang terdiri daripada berbilang bangsa Cina, India, Iban, Kadazan, Filipina, Thailand dan Kemboja hadir dalam majlis itu serta tidak terkecuali beberapa orang bukan Islam turut memberikan sokongan.

"Majlis itu juga turut memberi penghargaan kepada saudara Muslim yang dipilih iaitu Mohd. Aliuddin Liow Abdullah sebagai Tokoh Saudara Muslim Contoh sempena Maal Hijrah 1432 yang dipilih berdasarkan kriteria tertentu," jelas Amran.

Katanya lagi, Mohd. Aliuddin dilihat sebagai seorang yang begitu komited dalam melakukan sesuatu selain turut aktif memberikan sumbangannya sebagai salah seorang Sahabat Perkim. Selain itu, kesungguhan yang ditunjukkan oleh beliau dalam memahami agama Islam itu sendiri, turut diambil kira.

Majlis perasmian disempurnakan oleh Naib Yang Dipertua 2 Perkim, Prof. Emeritus Datuk Dr. Ariffin Suhaimi.

Ariffin dalam ucapan beliau menghuraikan definisi hijrah dengan lebih meluas lagi, di mana penghijrahan bukan sekadar perpindahan dari satu tempat ke tempat yang lain tetapi ia membuka konteks yang lebih besar dalam makna penghijrahan ke arah yang lebih baik daripada keadaan dahulu.

Katanya lagi, penghijrahan yang dilakukan itu mestilah bermula daripada hati untuk menghampirkan diri kepada Allah bagi mendapat rahmat dan keredaan daripada-Nya.

Forum Perdana Maal Hijrah itu dipengerusikan oleh Ustaz Zainudin Hashim yang merupakan penceramah bebas Perkim sambil dibantu oleh dua ahli panel yang dijemput khas iaitu Ustaz Kamarudin Abdullah merangkap Presiden Pertubuhan Penyebaran Islam Antarabangsa (IPSI) dan Ustaz Kamal Koh Abdullah.

Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenal-kenalan (dan beramah mesra antara satu dengan yang lain). Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang lebih takwanya di antara kamu, (bukan yang lebih keturunan atau bangsanya). Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Mendalam Pengetahuan-Nya (akan keadaan dan amalan kamu). (al-Hujurat: 13)

Surah tersebut menjadi pembuka bicara moderator dalam memberikan pendahuluan yang lebih jelas mengenai topik bicara yang menjadi intipati perbincangan di dalam forum yang mengambil masa dua setengah jam itu. Malah tetamu juga dibawa mengimbau semula sejarah Nabi Muhammad SAW ketika Baginda menyebarkan dakwah Islam.

Perubahan keadaan daripada masyarakat jahiliah kepada masyarakat yang lebih bertamadun membuktikan bahawa penghijrahan yang berjaya dilakukan oleh Nabi Muhammad SAW dalam mengubah stigma masyarakat itu sendiri dalam melakukan perubahan di dalam kehidupan.

Sementara itu, Kamal Koh Abdullah dan Kamarudin Abdullah juga tidak terkecuali dalam berkongsikan pengalaman mereka sebagai saudara Muslim yang menjalani pelbagai pancaroba kehidupan, baik dari segi spiritual mahupun fizikal.

Malah penghijrahan anutan agama yang dilakukan oleh mereka itu telah membuka lembaran baru dalam kehidupan menuju kepada kehidupan yang lebih menjanjikan ketenangan hakiki.

Atas nama penghijrahan yang dilakukan oleh Nabi Muhammad SAW dengan izin daripada Allah, telah membawa Islam kepada penyebaran yang lebih meluas sehingga kerajaan Islam menguasai dua pertiga dunia. Malah hari ini, kejayaan dahulu kembali berulang.

Dengan bantuan dari para pendakwah yang tidak pernah mengenal erti putus asa hasil dari metodologi yang digunakan dalam menyebarkan agama Allah, Islam kini mula tersebar dengan meluas sehingga ke benua Amerika Latin.

Malah dalam konteks saudara muslim, penghijrahan yang dilakukan dari pertukaran agama budaya kepada agama wahyu amat memberi erti dalam kehidupan mereka. Penghijrahan itu juga menjadikan mereka sebagai insan yang terpilih dalam menjalani kehidupan sebagai seorang Muslim.

Turut hadir ialah Pegawai Dakwah dan Penyelidikan, Ustaz Muhammad Farhan Tee Abdullah.

Sandaran tawassul lepas wafat Nabi SAW

Oleh PANEL PENYELIDIKAN YAYASAN SOFA, NEGERI SEMBILAN

KITA menyambung bicara kita tentang tawassul dalam latar kehangatan beberapa isu-isu agama yang timbul dalam masyarakat seperti penangkapan pengikut fahaman Syiah, ancaman faham Pluralisme Agama dan fatwa tentang peguam bukan Islam di Mahkamah Syariah.

Di samping, sikap dan pendirian majoriti umat yang tercermin antara lainnya dalam suara majoriti mufti-mufti, kedengaran juga di sana-sana suara-suara sumbang dan syadz (ganjil/asing). Ada yang mempertikaikan penggunaan undang-undang terhadap aliran menyeleweng malah ada juga ilmuwan yang bukan ulama yang cuba menghujah bahawa Syiah bukanlah aliran yang bermasalah.

Suka kita mengambil kesempatan di sini untuk berpesan kepada diri dan para pembaca sekalian untuk berwaspada terhadap pandangan-pandangan yang menyalahi majoriti umat ini. Khalayak awam yang punya tumpuan dan kehidupan mereka masing-masing tidaklah dibebankan untuk meneliti setiap hujah dan dalil yang cuba dikemukakan. Nanti terhenti dan terganggu pula kehidupan masyarakat. Inilah rahsianya prinsip-prinsip mengutamakan ijmak ataupun suara majoriti umat (sawad al-a'zam) dalam Islam.

Umat Nabi Muhammad SAW tidak akan bersepakat atas suatu yang batil. Bagi orang awam, cukuplah sandarannya untuk menolak pandangan mereka ini dengan bersandar dengan sekian ramai para ulama dan ilmuwan Islam lain yang bersama suara majoriti. Menganggap bahawa semua mereka ini jahil, leka, tersalah ataupun sudah dibeli oleh kepentingan duniawi adalah suatu sikap prasangka yang melampau terhadap Islam dan umat Islam.

Mungkin dalam isu bertawassul ini juga suara-suara yang sama akan membangkang pandangan majoriti yang sedang kami bentangkan. Semoga kita sentiasa ditawfiqkan untuk memakai pandangan yang terbaik.

Bertawassul selepas kewafatan Nabi SAW memang ada sandarannya. Antaranya, telah meriwayatkan Ibnu Abi al Dunya di dalam kitab Mujabi al Du'a', katanya: "Telah menyampaikan kepada kami Abu Hasyim, aku mendengar Kathir ibnu Muhammad ibnu Kathir ibnu Rifa'ah berkata 'telah datang seorang lelaki kepada Abdul Malik ibnu Sa'id ibnu Abjar, lalu dia memerhatikan perutnya dan berkata, "Kamu mengidap satu penyakit kronik yang sukar untuk sembuh." Katanya: "Penyakit apakah yang aku hidapi?" Jawabnya: "Al Dubailah, iaitu kanser dan bisul besar yang tumbuh dalam perut. Biasanya, ia boleh meragut nyawa orang yang menghidapnya."

Beliau berkata: "Maka lelaki itu berpaling dan berdoa: "Allah, Allah, Allah adalah Tuhanku, aku tidak mempersekutukan-Nya dengan sesuatu pun. Ya Allah! Sesungguhnya aku bertawajjuh kepada-Mu dengan Nabi-Mu; Muhammad; Nabi pembawa rahmat SAW, wahai Muhammad! Sesungguhnya aku bertawajjuh denganmu kepada Tuhanmu dan Tuhanku agar Dia merahmatiku (dengan menyembuhkan) penyakit yang menimpaku."

Ibnu Rifa'ah berkata: "Abdul Malik ibnu Said menyentuh perut lelaki itu, lalu berkata, 'kamu telah pun sembuh dan penyakit itu tidak ada lagi padamu'."

Berkata Ibnu Taimiyyah: "Doa ini dan doa lain yang sepertinya, telah diriwayatkan, bahawa ia telah digunakan oleh Salaf. (Ibnu Taimiyyah, Qa'idah Jalilah fi al Tawassul wa al Wasilah H: 91)."

Kita sedia maklum, bahawa Ibnu Taimiyyah mengetengahkan hadis ini untuk menjelaskan maksudnya dan memfokuskannya seperti mana yang dikehendakinya. Namun, yang penting bagi kita di sini ialah pengakuannya bahawa Salaf telah menggunakan doa sedemikian dan terhasilnya penyembuhan dengan doa tersebut. Inilah ketetapan daripada permasalahan ini yang penting bagi kita. Adapun ta'liq (komen)nya ke atas hadis ini, ia hanya pendapatnya sahaja. Bagi kami, itu tidak penting kecuali adanya penetapan nas untuk dijadikan dalil atas apa yang kami inginkan, dan Syeikh Ibnu Taimiyyah juga berhak menggunakan hadis tersebut sebagai dalil sebagaimana yang diingininya.

Sebahagian daripada mereka berbunyi dan bersuara lantang mengenai hadis Tawassul Nabi Adam AS dan hadis Uthman ibnu Hunaif RA dan lain-lainnya. Mereka beria-ia menolaknya dengan segala kekuatan, berdebat, berdialog, berdiri dan duduk serta melakukan bermacam-macam cara. Semua yang mereka lakukan tidak ada faedahnya kerana walau bagaimana hebat sekalipun usaha mereka untuk menolak hadis-hadis yang berkaitan dengan bab ini, ulama besar terlebih dahulu telah pun mengemukakan pendapat mereka.

Ternyata ulama-ulama besar tersebut lebih sempurna akalnya, lebih luas ilmunya, lebih jauh pengalamannya, lebih dalam kefahamannya dan lebih banyak cahaya, ketakwaan dan keikhlasannya daripada mereka. Misalnya, Imam Ahmad ibnu Hanbal RH. Beliau berkata mengenai keharusan bertawassul sebagaimana yang dinaqalkan daripadanya oleh Ibnu Taimiyyah dan al 'Iz Ibnu Abdul Salam. Ibnu Taimiyyah sendiri menyatakan di dalam salah satu pendapatnya tentang keharusan bertawassul secara khusus dengan Nabi SAW. Kemudian diikuti pula, oleh Muhammad ibnu Abdul Wahhab yang menafikan tuduhan bahawa dia mengkafirkan orang yang bertawassul. Bahkan, jelas di dalam kitab Fatawanya, beliau menegaskan bahawa tawassul hanyalah menyentuh masalah cabang agama dan bukannya berkaitan tentang masalah usul. Semuanya ini akan diperincikan di dalam kitab Mafahim yang kita bentangkan sedutannya di sini, insya-Allah.

Dalam hal ini, Syeikh al Allamah al Muhaddith Abdullah al Ghumari telah menulis sebuah risalah khusus yang membicarakan tentang hadis ini yang diberi tajuk, Misbah al Zujajah fi Fawaid Solat al Hajah. Beliau telah mengupasnya dengan kupasan yang amat baik dan berguna, bahkan telah menghasilkan sesuatu yang mampu menyembuhkan dan mencukupkan pelbagai keperluan. Semoga Allah membalasnya dengan sebaik-baik balasan

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.