31 Disember, 2010
[hang nadim] Sanah available so Ahmad's life.....Sanah可用,因此艾哈迈德的生命
Oleh ROZIANAH RISMAN
pengarang@utusan.com.my
Sanah sedia jadi teman hidup Ahmad
SANAH Ahmad menunjukkan akhbar Utusan Malaysia yang memaparkan berita mengenai Ahmad Md. Isa yang ingin mencari calon isteri di rumahnya di Taman Desa Rejang Setapak Jaya, Kuala Lumpur, semalam. - utusan/ismail kamadin
KUALA LUMPUR 31 Dis. - Cinta yang hadir melalui pandang pertama di dalam akhbar telah cukup membuka ruang di hati seorang wanita warga emas menawarkan dirinya untuk berkongsi hidup dengan Ahmad Md. Isa berusia 110 tahun di Kedah.
Bagi Sanah Ahmad, 82, yang telah menjanda sejak 30 tahun lalu, hatinya terpaut dengan Ahmad dari Kampung Alor Mengkudu, Alor Setar, sebaik sahaja terpandang wajahnya di akhbar, kelmarin.
Menurutnya, dia yang mengetahui niat Ahmad untuk mencari calon isteri segera menyatakan hajatnya untuk menjadi teman hidup lelaki tersebut kepada anak bongsunya, Sabaha Ahmad, 42.
Katanya, dia juga meminta Sabaha agar segera menghubungi keluarga pihak lelaki terbabit untuk mendapat persetujuan menjadi calon isterinya.
"Sejurus terpandang wajahnya, hati saya terpaut kerana mirip mukanya seperti arwah suami saya sebelum ini terutama di bahagian mata.
"Malah namanya juga sama iaitu Ahmad," ujarnya ketika ditemui di rumahnya di Taman Desa Rejang Setapak Jaya, di sini hari ini.
Jelas Sanah, dia bersedia menjadi isteri kepada Ahmad bagi menemaninya sepanjang hidup selain menjaga makan dan minumnya.
Kelmarin akhbar memaparkan kisah Ahmad yang menyatakan keinginannya untuk mencari calon isteri sebagai peneman hidupnya.
Menurut Ahmad, dia pernah berkahwin sebanyak lima kali dan empat daripada isterinya telah meninggal dunia dan hanya bercerai sekali dalam perkahwinannya iaitu dengan isteri kelimanya.
Sabaha pula memberitahu, pada mulanya dia menyangka ibunya berseloroh apabila menyatakan hasrat untuk berumahtangga dengan lelaki itu.
Katanya, sebelum ini ada juga yang berniat untuk mengahwini ibunya namun ditolak kerana hatinya belum terbuka.
"Itulah saya pun pelik juga bila emak melihat wajah encik Ahmad dalam surat khabar, dia terus terbuka hati," katanya.
Sabaha berkata, ibunya juga tidak kisah jika bertemu jodoh dengan Ahmad walaupun lelaki itu ada menyatakan pandangannya rabun dan pendengarannya sedikit terjejas.
"Malah, kami kesemua adik-beradik bersetuju dengan keputusan emak walaupun pada mulanya kami agak terkejut kerana menyangka emak hanya bergurau.
"Namun, kami tidak akan menghalang sekiranya ia adalah untuk kebahagiaan emak," ujarnya.
Sanah yang mempunyai sembilan anak hasil dua perkahwinan dibinanya sebelum ini telah kehilangan suami sejak 1980 lagi.
"Sejak itulah emak mula hidup keseorangan dan merasa kesunyian kerana tiada teman hidup yang menemaninya sepanjang masa.
"Jadi kalau ada jodoh antara emak dan Ahmad bolehlah diibaratkan cinta utara bertemu selatan memandangkan kami berasal dari Johor," ujarnya.
Duda, janda abadi cinta di depot tahanan imigresen
Oleh Rizanizam Abdul Hamid
utusanmelaka@utusan.com.my
PASANGAN pengantin, Muhammad Nurhisham Gan Abdullah dan Siti Jawahari diiringi pegawai imigresen berarak selepas diijabkabul di surau Depot Tahanan Imigresen Machap Umboo di Alor Gajah, Melaka, semalam. - utusan/Nas Norziela Nasbah
ALOR GAJAH 31 Dis. - Kalau sudah jodoh tidak ke mana. Mungkin itu kata bidalan yang tepat untuk menggambarkan kisah percintaan Muhammad Nurhisham Gan Abdullah dan pasangannya yang berasal dari Surabaya, Siti Jawahari.
Pasangan itu sepatutnya melangsungkan perkahwinan esok sempena tahun baru 2011 namun ia menjadi tanda tanya apabila Siti, 39, ditahan Jabatan Imigresen ketika berada di sebuah pusat beli-belah 22 Disember lalu.
Berikutan itu, Siti ditahan di Depot Tahanan Imigresen Machap Umboo di sini setelah permitnya didapati tamat pada November lalu.
Namun Nurhisham yang berasal dari Jalan Bendahara di sini nekad untuk meneruskan perkahwinan seperti dirancang walaupun terpaksa dilakukan di depot tahanan itu dengan seadanya tanpa dihadiri saudara-mara dan sahabat handai.
Justeru, tanpa sebarang hantaran, Nurhisham dan Siti memilih hari ini untuk diijabkabulkan dengan mas kahwin sebanyak RM40.
Dengan sekali lafaz, kedua-dua mereka menjadi pasangan suami isteri pada pukul 11.56 pagi setelah dinikahkan oleh Pendaftar Nikah Cerai Melaka, Abdul Halim Tawil di surau depot berkenaan.
Walaupun demikian, apa yang mengharukan pasangan berkenaan ialah kerjasama 150 kakitangan depot tersebut yang turut bersama meraikan majlis perkahwinan mereka dengan bergotong-royong menyediakan makanan.
Turut sama, 19 tahanan wanita yang menjadi 'tetamu' majlis tersebut.
Menurut Nurhisham, dia dan isteri sepatutnya melangsungkan perkahwinan esok setelah membuat pelbagai persiapan termasuk mendaftar di pejabat agama Islam negeri.
"Namun, isteri saya telah ditahan pihak Imigresen ketika berada di sebuah pusat beli-belah 22 Disember lalu apabila mendapati permitnya tamat pada November lalu.
"Alhamdulillah walaupun menghadapi rintangan, Allah telah mempermudahkan apabila pihak Imigresen juga bersetuju membenarkan kami melangsungkan pernikahan di surau depot ini," kata pengusaha kedai makan itu ketika ditemui pemberita di sini hari ini.
Nurhisham yang memeluk Islam 14 tahun lalu berkata, ini merupakan perkahwinan keduanya dan isterinya itu juga ibu tunggal kepada seorang anak lelaki berusia 24 tahun.
"Tidak pernah terlintas di fikiran, perkahwinan saya ini akan mendapat liputan seluruh negara," katanya yang terkejut apabila melihat beberapa wakil media cetak dan elektronik merakamkan detik manis hidupnya itu.
Menurut Siti, perasaannya gembira bercampur sedih apabila terpaksa melangsungkan perkahwinan keduanya itu sebagai seorang tahanan di depot tersebut.
Namun begitu, katanya, dia terharu dengan usaha kakitangan pihak depot terbabit yang bergotong-royong menyediakan makanan bagi meraikan majlis pernikahannya itu.
"Terima kasih tidak terhingga kepada pihak Imigresen yang sentiasa menjaga kebajikan tahanan di sini dan merealisasikan permintaan saya ini," katanya disertai linangan air mata.
Sementara itu, Komandan depot tersebut, Abu Bakar Sideq Hasan berkata, ini adalah kali pertama pihaknya meraikan pernikahan tahanan di depot tersebut sejak ia beroperasi 20 tahun lalu.
"Memang menjadi keutamaan kami untuk menjaga kebajikan setiap tahanan di sini apatah lagi pasangan ini mempunyai dokumen yang lengkap untuk melangsungkan pernikahan mereka," katanya.
Cincin RM1.3j
Oleh Nurulhisham Abdul Latiff
nurul@bharian.com.my
2010/12/25
Brad Pitt, Angelina Jolie dikatakan akan berkahwin di India, Januari ini
WALAUPUN tiada khabar pasti mengatakan pasangan popular Brad Pitt dan Angelina Jolie akan melangsungkan perkahwinan selepas kira-kira lima tahun hidup bersama, namun perkembangan terbaru kehidupan kedua-dua bintang popular ini seakan menjurus kepada sebuah majlis yang menyatukan mereka secara sah sebagai suami isteri, tidak lama lagi.
Baru-baru ini, aktres tersohor berusia 35 tahun yang muncul bersama filem terbaru, The Tourist, itu dikatakan menghadiahkan sebentuk cincin yang difahamkan tertulis namanya dan anak-anak mereka kepada lelaki yang dicintainya, sempena ulang tahun hari lahir Pitt yang ke-47. Cincin itu dilaporkan bernilai RM1.3 juta! Lalu, apabila pemberian cincin tanda kasih sudah terlaksana, tentu saja peminat kini boleh mengharapkan berita mengenai perancangan perkahwinan mereka pula menyusul kemudian. Namun, ketika ini, kedua-duanya masih mengunci mulut berhubung perkara berkenaan. Malah tiada laporan rasmi memetik dua pelakon ini menyuarakan apa-apa berkaitan majlis pernikahan.
Bagaimanapun, menurut beberapa laporan, pasangan yang sentiasa mendapat tempat di hati peminat dan media ini dikatakan bakal mengikuti jejak langkah Liz Hurley, Russell Brand dan Katy Perry, dengan melangsungkan perkahwinan mengikut adat Hindu.
Menurut Hindustan Times, perkahwinan dua bintang ternama ini akan berlangsung di Jodhpur, Rajasthan, serta mendapat restu sami Hindu yang didakwa pernah menyelamatkan perhubungan mereka menerusi amalan yoga berpasangan.
Gurudev Ramlalji Siyag, lelaki berusia 83 tahun yang menggambarkan dirinya sebagai seorang daripada wali India yang masih hidup dilaporkan pernah mengajar yoga dan teknik meditasi kepada dua bintang Hollywood berkenaan, ketika dia mengadakan siri jelajahnya di Amerika Syarikat.
Menurut seorang teman mereka, aktiviti berkenaan berjaya mengendurkan ketegangan akibat kehidupan mereka yang sentiasa sibuk. Maklum saja, pasangan ini selalu terbang ke sana ke mari sama ada untuk menjayakan sesebuah filem atau kerja amal, sambil membesarkan enam anak mereka.
"Mereka mengamalkan yoga Sidhha yang diajarkan guru terbabit dan kedua-duanya juga memulakan serta mengakhiri hari mereka dengan menyanyikan ayat keramat yang diberikan lelaki itu. Nyata, kaedah berkenaan mengubah corak perhubungan mereka kepada lebih baik. Mereka tidak minum arak sebanyak dulu dan juga tidak lagi bertegang urat," kata sumber berkenaan.
Pitt dan Jolie kini dikatakan merancang perkahwinan cara Hindu di sebuah lokasi diberi nama Adhyatm Vigyan Satsang Kendra, milik guru terbabit, pada Januari ini.
Beberapa kakitangannya memberitahu wartawan tempatan, pasangan itu mungkin tiba di bandar berkenaan untuk meraikan tahun baru dan kemudian menjalani acara pernikahan. Jika diikutkan kalendar Hindu, Pitt dan Jolie mungkin melangsungkan pernikahan pada pertengahan Januari nanti.
Rajasthan kian mendapat tempat di kalangan selebriti untuk dijadikan lokasi perkahwinan mereka, selepas Liz Hurley melakukannya pada 2007, diikuti pelawak Russell Brand dan isterinya, bintang pop Katie Perry di Ranthambore, Oktober lalu.
Negeri itu mempunyai banyak istana diraja yang kini dijadikan hotel mewah, di mana privasi golongan selebriti dapat dijaga sebaiknya.
Apa saja cerita yang dilaporkan, wakil kedua-dua bintang berkenaan nyata enggan mengeluarkan sebarang ulasan
'Elak hubungan dengan lelaki Arab'
تجنب الاتصال مع الرجال العرب
"Avoid contact with Arab men '
2011/01/01
BAITULMAQDIS: Sekumpulan isteri pendeta Israel menggesa gadis Yahudi tidak menjalin hubungan dengan lelaki Arab, lapor akhbar, kelmarin.
Kenyataan mereka berikutan peningkatan pengaruh golongan agama mencetuskan kebimbangan akan menyemarakkan perkauman di negara itu.
Sepucuk surat ditandatangani 27 isteri pendeta itu meminta gadis Yahudi tidak keluar dengan orang Arab, atau bekerja di tempat penduduk Arab bekerja. Surat berkenaan menyatakan: “Ada pekerja Arab menukar nama mereka kepada nama Yahudi, daripada Yussef kepada Yossi dan Abed kepada Ami. Mereka cuba mengambil hati anda dan memberi perhatian yang diingini semua gadis.
“Mereka tahu melayan wanita, seolah-olah mereka mengambil berat terhadap anda.
“Namun sikap itu hanya sementara saja. Sebaik saja anda berada ‘di tangan’ mereka, anda tidak akan terima layanan baik dan perhatian yang anda ingini akan berubah menjadi sumpahan, siksaan dan penghinaan.”
Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu dan Ketua Cawangan Pembaharuan Agama Yahudi Israel, Rabbai Gilad Kariv bagaimanapun mengecam surat berkenaan. – Agensi
Nukilan hati hang nadim
Jika terukir sebuah Cinta halangan tiada menjadi masalah
tetapi jika takdir Allah tidak mengizinkan apa juga tidak
akan berlaku.....Allah mengetahui apa yang anda lakukan
samada yang Nyata dan yang tersembunyi.....
001.....2011
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.