23 Disember, 2010
Toh Puan Zakiah Ahmad menyiram air mawar di pusara Ibrahim Ismail di Makam Pahlawan, Masjid Negara, Kuala Lumpur, semalam.
KUALA LUMPUR 23 Dis. – Jenazah bekas Panglima Angkatan Tentera, Jeneral (B) Tun Ibrahim Ismail dikebumikan pada kira-kira pukul 5 petang di Makam Pahlawan di sini dengan penuh penghormatan negara.
Terdahulu, jenazah Allahyarham yang dibalut dengan Jalur Gemilang dibawa dari kediamannya di Villa Sang Suria, Jalan Mesra Off Jalan Damai di sini ke Masjid Negara dan ditempatkan di Dewan Syarahan Utama pada pukul 3 petang bagi membolehkan orang ramai memberi penghormatan terakhir.
Lebih 300 sanak saudara, kenalan dan kenamaan hadir memberi penghormatan terakhir kepada Allahyarham di Masjid Negara.
Antara dif kehormat ialah Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak; Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein; Timbalan Menteri Pertahanan, Datuk Dr. Abdul Latiff Ahmad dan bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi.
Hadir sama Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Azizan Ariffin; Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar serta beberapa orang bekas menteri Kabinet.
Jenazah Allahyarham kemudian diusung perlahan-lahan oleh anggota tentera dari ketiga-tiga cabang Laut, Udara dan Darat ke Dewan Solat Utama sejurus sebelum solat Asar untuk upacara solat jenazah yang diimamkan oleh Imam Besar Masjid Negara, Tan Sri Syaikh Ismail Muhammad.
Setelah selesai, jenazah diusung perlahan-lahan ke Makam Pahlawan untuk upacara pengkebumian.
Turut menyaksikan upacara pengkebumian ialah Najib; isteri beliau, Datin Seri Rosmah Mansor, Abdullah serta isteri Allahyarham, Toh Puan Zakiah Ahmad, 78, serta anak-anaknya.
Allahyarham mempunyai empat anak berusia 52 hingga 60 tahun, 13 cucu dan empat cicit.
Suasana pilu menyelubungi Makam Pahlawan ketika bacaan talkin disempurnakan oleh Pengarah Kor Agama Angkatan Tentera (Kagat), Brigedier Jeneral, Kamarudin Mamat.
Ibrahim, 88, yang dirawat di Hospital Angkatan Tentera Tuanku Mizan, Wangsa Maju kerana sakit tua sejak tiga bulan lalu meninggal dunia kira-kira pukul 4.40 pagi hari ini.
Anak kelahiran Johor Baharu ini yang asalnya merupakan Pegawai Kadet dalam pasukan Askar Timbalan Setia Johor merupakan Panglima Angkatan Tentera yang kelima bermula 1970.
Tun Ibrahim pahlawan Melayu
KUALA LUMPUR 23 Dis. - Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) mengucapkan takziah kepada keluarga Jeneral (B) Tun Ibrahim Ismail dan menyifatkan pemergian Allahyarham sebagai hilangnya pahlawan Melayu terbilang.
Presidennya, Datuk Ibrahim Ali berkata, pengorbanan Allahyarham kepada agama, bangsa dan negara sememangnya tidak ternilai dengan wang ringgit.
''Seluruh warga Perkasa berasa amat sedih dengan pemergian beliau yang juga ahli Perkasa bernombor 0000001.
''Pada tahun 2008, Allahyarham dengan berkerusi roda sanggup untuk hadir semasa melancarkan laman web Perkasa dan kelihatan begitu semangat ketika itu untuk memperjuangkan nasib orang Melayu,'' katanya dalam kenyataan akhbar di sini hari ini.
Ibrahim berkata, Allahyarham begitu bersemangat untuk menyertai Perkasa setelah merasakan hak-hak keistimewaan orang Melayu mula terancam.
''Marilah kita bersama-sama berdoa semoga Allah mencucuri rahmat ke atas roh Allahyarham," ujarnya.
Tun Ibrahim meninggal dunia pada 4.40 pagi ini di Hospital Angkatan Tentera Tuanku Mizan di sini.
Allahyarham yang berusia 88 tahun telah menerima rawatan di hospital tersebut sejak tiga bulan lalu kerana sakit tua.
Sementara itu, Setiausaha Agung Perkasa, Syed Hassan Syed Ali berkata, beliau masih ingat pesanan Allahyarham yang meminta Perkasa untuk terus mempertahankan hak keistimewaan orang Melayu dan bumiputera lain tanpa kompromi.
NAJIB Tun Razak yang diiringi Imam Besar Masjid Negara, Sheikh Ismail Muhammad (tiga dari kanan), Panglima Angkatan Tentera, Jen. Tan Sri Azizan Ariffin (dua dari kanan), Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar (kanan) dan Abdullah Badawi (belakang) berdoa sebelum pengebumian Allahyarham Ibrahim Ismail di Makam Pahlawan, Masjid Negara, Kuala Lumpur, semalam. - Utusan/ Azrul Edham Mohd. Aminuddin
Allahyarham perajurit terbilang
KUALA LUMPUR 23 Dis. - Datuk Seri Najib Tun Razak menyifatkan Allahyarham Jeneral (B) Tun Ibrahim Ismail sebagai seorang perajurit terbilang dan patriot sejati yang sentiasa mencintai dan mempertahankan kedaulatan negara.
Perdana Menteri berkata, ia terbukti apabila Allahyarham telah meninggalkan budi dan jasa yang sangat besar untuk nusa dan bangsa.
''Apa yang telah diperjuangkan oleh Allahyarham akan sentiasa terpahat dalam sejarah negara terutama sekali dalam detik-detik yang amat mencabar waktu kita menentang ancaman komunis.
''Selepas tragedi 13 Mei, Allahyarham telah memainkan peranan yang sangat besar untuk mententeramkan keadaan," katanya kepada pemberita selepas menghadiri upacara pengebumian jenazah bekas Panglima Angkatan Tentera itu di Makam Pahlawan, Masjid Negara di sini hari ini.
Ibrahim, 88, yang dirawat di Hospital Angkatan Tentera Tuanku Mizan, Wangsa Maju kerana sakit tua, sejak tiga bulan lalu meninggal dunia kira-kira pukul 4.40 pagi hari ini.
Anak kelahiran Johor Bahru itu adalah Panglima Angkatan Tentera yang kelima dan juga anak tempatan ketiga yang memegang jawatan berkenaan.
Allahyarham juga adalah rakan karib kepada bekas Perdana Menteri ketiga, Tun Hussein Onn ketika zaman persekolahannya.
Najib berkata, Allahyarham telah menaikkan imej Angkatan Tentera Malaysia (ATM) sebagai satu institusi yang boleh rakyat bergantung harap untuk membangunkan Malaysia dan mengekalkan keharmonian negara.
Dalam pada itu, bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi berkata, jasa Allahyarham adalah amat besar kerana beliau pernah menjadi Ketua Pentadbir Majlis Gerakan Negara (Mageran) yang memerintah setelah negara diletakkan di bawah undangundang darurat pada 1969.
''Masa Mageran dulu, kita ada masalah pergaduhan dan Allahyarham memainkan peranan besar untuk mengamankan negara.
''Selepas menjadi Panglima Angkatan Tentera, Allahyarham turut memainkan peranan untuk memastikan negara kita aman dan keselamatan negara sentiasa terjamin,'' katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.