Oleh LUQMAN HAZIQ dan ZULHISHAM ISAHAK
pengarang@utusan.com.my
Najib Tun Razak beramah mesra dengan warga Felda Tenang dalam lawatan sehari di Labis Segamat, Johor semalam.
LABIS 18 Jan. - Datuk Seri Najib Tun Razak menegaskan, Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak perlu mendesaknya untuk berdebat kerana beliau mempunyai pelbagai maklumat yang boleh menyebabkan ketua pembangkang itu 'demam' jika dibongkarkan ketika berdebat.
Perdana Menteri berkata, beliau tidak gentar berdebat dengan Anwar tetapi menyifatkan tindakan berkenaan hanya membuang masa kerana pembohongan ketua pembangkang itu dan kegagalannya menunaikan janji.
"Sudah cukuplah pembohongan, janji banyak tak boleh buat, ini nak debat dengan saya pula, buang masa. Saya boleh debat dengan dia, saya tak takut, saya dengan menteri saya tahu segala maklumat.
"Jangan cuba nak cabar saya, kalau saya dedahkan segala-galanya, ada orang yang demam nanti," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Jamuan Tengah Hari Bersama Rakyat dan merasmikan Dewan Semai Bakti serta Gelanggang Futsal di Padang Awam Felda Tenang, di sini hari ini.
Turut hadir Menteri Besar, Datuk Abdul Ghani Othman dan Pengerusi Felda, Tan Sri Mohd. Isa Samad. Majlis itu dihadiri lebih 2,000 orang dan hadirin dihidangkan dengan nasi ambeng, makanan tradisi masyarakat Jawa.
Perdana Menteri menambah, 'Pelan 100 Hari' pembangkang juga merupakan perancangan yang songsang dan tidak betul dan diperkenalkan semata-mata untuk menarik sokongan rakyat.
"Saya tengok pelan itu hanya nak belanja sahaja. Ia tak ambil kira dari mana punca pendapatan. Kalau kita tak ada punca pendapatan, macam mana kita nak cari dana untuk belanja. Saya berharap rakyat jangan terpedaya dengan janji pembangkang ini," katanya.
Tambah beliau, Anwar sepatutnya membereskan janji seperti menubuhkan kerajaan baru 16 September dan masalah 'peribadinya' ekoran kes liwat yang dihadapinya daripada asyik mencabar dirinya berdebat mengenai 'Pelan 100 Hari' pembangkang.
"Nak tubuh kerajaan pada 16 September, tak tubuh lagi. Ini dah 2011. Kita tunggu sehari demi sehari tak jadi, dia kata 30 anggota Parlimen dari Barisan Nasional nak seberang masuk pembangkang. Kita tengok-tengok, belek-belek mana dia 30, rupanya lima anggota Parlimen dia (pembangkang) yang keluar jadi anggota Bebas.
"Tak payahlah debat, banyak hal lagi tak selesai. Bukan kerajaan yang bawa dia ke mahkamah, yang buat laporan polis ni Saiful (bekas pembantu peribadi Anwar, Mohd Saiful Bukhari Azlan)," katanya.
Dalam pada itu, Najib berkata, Parti Keadilan Rakyat (PKR) kini semakin bercelaru kerana semakin ramai pemimpinnya keluar parti.
Menurutnya, belum pernah terjadi parti politik seperti PKR yang pemimpinnya daripada Timbalan Presiden, Naib Presiden, Setiausaha dan hingga ke peringkat bawahan keluar parti.
Beliau berkata, bekas pemimpin tersebut semuanya menyatakan hilang kepercayaan terhadap PKR yang semakin goyah.
Sementara itu, beliau menegaskan, Felda yang diwujudkan lebih 50 tahun lalu kini berjaya membawa perubahan besar kepada golongan peneroka dan ahli keluarga mereka termasuk generasi kedua dan ketiga.
Malah, menurut Perdana Menteri, Felda kini bukan lagi jaguh kampung, tetapi berjaya mengharumkan nama negara di persada antarabangsa.
"Kini Felda sudah berjaya membuat pelaburan di Amerika Syarikat dan Kanada. Felda kini bukan lagi jaguh kampung tetapi sudah menjadi pemain di peringkat global. Malah banyak negara kini mencontohi Felda.
"Ada beberapa negara di Afrika seperti Sierra Leone dan beberapa negara lain turut menjadikan Felda contoh kerana mereka yakin Felda berjaya mengubah nasib rakyat. Ini bukan kita yang cakap, tetapi orang luar yang cakap," katanya.
Terdahulu, semasa berucap pada Majlis Ramah Mesra dengan penduduk di Sekolah Kebangsaan Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (LKTP) Felda Chemplak, Najib mendedahkan, beliau pernah berhasrat melepaskan jawatan sebagai menteri yang bertanggungjawab menjaga hal ehwal Felda ketika baru menjadi Perdana Menteri.
Bagaimanapun, niat tersebut terpaksa dilupakan kerana masyarakat Felda mendesaknya untuk tidak melepaskan jawatan itu.
"Saya jadi menteri yang jaga Felda sejak 2004 yang dilantik oleh Tun Abdullah (Ahmad Badawi) sampai sekarang.
''Pada peringkat awal jadi Perdana Menteri saya nak lepaskan jawatan menteri yang jaga Felda tapi tak jadi setelah didesak masyarakat Felda," katanya yang disambut tepuk gemuruh kira-kira 10,000 masyarakat Felda.
Beliau berkata, walaupun keadaan para peneroka mengecapi hidup yang lebih baik tetapi mereka tetap tidak melupakan jasa Felda.
Pada majlis itu, Najib turut melancarkan tapak lot rumah generasi kedua Felda Chemplak yang berdekatan sekolah tersebut.
Nyawa politik Anwar dalam tangan Pengerusi DAP
KUALA LUMPUR 18 Jan. - Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim terpaksa menjadi 'pelacur politik' dan membiarkan dirinya didagangkan oleh DAP kerana 'nyawa politik' beliau berada dalam tangan Pengerusi DAP, Karpal Singh.
Bekas Setiausaha Sulit Anwar, Anuar Shaari (gambar) berkata, DAP menjadikan kes liwat Anwar sebagai strategi utama untuk mengawal bekas Timbalan Perdana Menteri itu kerana seperti didakwa Karpal, beliau memiliki bukti mengenai aktiviti liwat ketua pembangkang itu.
Menurutnya, sebab itu tidak menghairankan mengapa Karpal sanggup membuat 'pusingan U' dan bersikap lidah bercabang dalam isu pendedahannya pada 1997 di Dewan Rakyat dan Hotel Federal berhubung bukti aktiviti seks songsang Anwar.
"Selagi Karpal menjadi peguam bela dalam kes liwat, selagi itulah Anwar dan pemimpin Parti Keadilan Rakyat (PKR) terpaksa akur dan tunduk kepada DAP sehingga terpaksa menjadi 'pelacur politik' dengan membiarkan diri mereka didagangkan DAP.
"Karpal menggunakan kes liwat sebagai alat untuk mencari keuntungan politik bagi DAP dan ini menjelaskan keadaan mengapa selama ini PKR menjadi 'pak turut' dalam pakatan pembangkang," katanya dalam satu kenyataan kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Beliau mengulas tindakan Karpal yang cuba berdolak-dalik dalam isu pendedahan pada 1997 bahawa beliau mempunyai bukti kukuh mengenai perbuatan Anwar meliwat bekas pemandunya, Azizan Abu Bakar dengan cuba meletakkan kesalahan kepada kerajaan.
Kelmarin Karpal mengakui beliau ada membuat desakan agar kerajaan menyiasat dan mengambil tindakan terhadap Anwar atas dakwaan meliwat Azizan tetapi menjelaskan perkara itu ditolak oleh bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad kerana dikatakan bersifat politik.
Pengerusi DAP itu juga menambah, beliau hanya membantu Anwar selepas diminta oleh bekas Timbalan Perdana Menteri itu pada 1998 iaitu selepas dipecat dari Kabinet dan juga UMNO sebelum dihadapkan ke mahkamah atas tuduhan meliwat Azizan.
Mengulas lanjut mengenai perbuatan lidah bercabang Karpal dan tindakan Anwar yang sentiasa 'putar alam' dalam isu tersebut, Anuar berkata, PKR dan DAP telah merosakkan amalan demokrasi di Malaysia kerana mempraktikkan cara politik yang tidak sihat.
"Apakah motif sebenar mereka? Bagi saya Anwar menggunakan politik cara ini sebagai alat untuk melepaskan diri daripada kes liwat manakala Karpal pula demi mencari keuntungan politik untuk DAP walaupun negara terpaksa diporak-perandakan," jelasnya
Choo Keong bidas Karpal Singh
Oleh MOHD. ASRON MUSTAPHA
mohdasron.mustapha@utusan.com.my
KUALA LUMPUR 18 Jan. – Ahli Parlimen Wangsa Maju, Wee Choo Keong (gambar), menggelar Pengerusi DAP, Karpal Singh sebagai ‘harimau penakut’ kerana tidak berani mempertahankan prinsip mengenai bukti perlakuan seks songsang anak guamnya, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Sambil turut menyifatkan Karpal ibarat `seekor harimau lidah bercabang’, Choo Keong berkata, walaupun Karpal pernah mendakwa mempunyai bukti mengenai aktiviti songsang bekas Timbalan Perdana Menteri itu, kini, peguam veteran tersebut sanggup membela Anwar, malah menuduh pihak yang mahu dirinya di sepina sebagai tidak faham undang-undang.
Pada masa yang sama, jelas Choo Keong, Karpal juga sanggup membuat ‘pusingan U’ dengan mengeluarkan kenyataan seolah-olah ‘bersetuju’ dengan pendirian bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad (pada 1997) yang menolak desakannya supaya Anwar disiasat.
Sedangkan, menurut wakil rakyat Bebas tersebut, Karpal sebenarnya tidak pernah bersetuju dengan pendirian Dr. Mahathir dan ia terbukti apabila gesaan supaya Anwar disiasat dan dipecat kemudian dibawa ke Dewan Rakyat selepas bekas Perdana Menteri itu menolak gesaan awal DAP.
“Dr. Mahathir menolak gesaan itu kerana menyifatkan ia sebagai bermotif politik pada 23, 24 dan 25 Ogos 1997 sebelum disusuli dengan pendirian bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Rahim Noor dan Peguam Negara, Tan Sri Mohtar Abdullah pada 3 September tahun yang sama.
“Karpal yang tidak berpuas hati kemudiannya membawa isu aktiviti seks songsang ini ke Dewan Rakyat pada 22 Oktober 1997 dan mendedahkan bahawa dia mempunyai bukti. Ini menunjukkan bahawa beliau tidak pernah bersetuju dengan pendirian kerajaan pada masa itu.
“Kemudian pada awal 1998 ketika sesi ceramah DAP di Hotel Federal, Karpal sekali lagi dengan bangganya mendakwa bukti Anwar memang terlibat dengan aktiviti homoseksual berada dalam tangannya,” kata Choo Keong dalam blognya, http://weechookeong.wordpress.com.
Choo Keong mengulas pengakuan Karpal semalam, bahawa beliau memang ada membuat desakan pada 1997 agar kerajaan menyiasat dan mengambil tindakan terhadap Anwar atas dakwaan terbabit dengan kegiatan meliwat bekas pemandunya, Azizan Abu Bakar.
Dalam pengakuan itu, Karpal berkata, Dr. Mahathir, Mohtar dan Rahim menolak desakannya pada 1997 supaya Anwar disiasat dan dipecat kerana menganggap pendedahan yang dibuat oleh Pengerusi DAP itu sebagai tidak benar dan bermotifkan politik.
Karpal juga menambah, beliau hanya membantu Anwar selepas diminta oleh bekas Timbalan Perdana Menteri itu pada 1998 iaitu selepas dia dipecat daripada Kabinet dan juga UMNO sebelum dihadapkan ke mahkamah atas tuduhan meliwat Azizan.
Mengulas lanjut, Choo Keong berkata, jika Karpal menjadikan keputusan Mahkamah Persekutuan pada 2004 yang membebaskan Anwar sebagai asas untuk mengetuai pasukan peguam bela, Pengerusi DAP itu juga perlu mengakui bahawa ketua pembangkang itu memang meliwat.
Ini kerana tegasnya, penghakiman oleh Hakim Datuk Abdul Hamid Mohamad pada 2004 mengesahkan bahawa Anwar terlibat dalam aktiviti homoseksual dan mahkamah sendiri cenderung percaya bahawa kejadian itu berlaku di Tivoli Villa, cuma wujud percanggahan teknikal terhadap bukti yang ada.
Abdul Hamid dipetik sebagai berkata: “Kami mempunyai bukti bagi mengesahkan perayu terlibat dalam aktiviti homoseksual dan kami cenderung percaya bahawa kejadian berlaku di Tivoli Villa tetapi mahkamah hanya akan menyabitkan perayu dengan kesalahan yang dituduh jika bukti melangkaui keraguan munasabah”.
Kottapan pula cabar Anwar berdebat
KLANG 18 Jan. - Cabaran daripada pelbagai pihak untuk berdebat dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim terus meningkat apabila hari ini bekas Bendahari Parti Keadilan Rakyat (PKR) Selangor, K.S. Kottapan pula mencabar Ketua Pembangkang itu.
Menurut Kottapan, beliau bersedia bersemuka dengan Penasihat PKR itu atas isu berhubung soal keadilan yang gagal diamalkan dalam pemilihan parti tersebut September tahun lalu sehingga mencetuskan kekecohan di kalangan ahli dan pemimpinnya.
''Saya merupakan mangsa kepada ketidakadilan yang diamalkan oleh Anwar termasuk pimpinan PKR Pusat yang dipercayai telah mengatur kemenangan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seri Andalas, Dr. Xavier Jayakumar sebagai Ketua PKR Cabang Kota Raja pada pemilihan berkenaan.
''Sebelum ini Anwar dan pimpinan PKR yang lain melaung-laungkan sebagai sebuah parti politik yang adil. Hari ini saya cabar Anwar untuk berdebat dengan saya.
''Kita berdebat mengenai soal ketidakadilan dalam PKR. Kalau dia enggan, nyatalah dia seorang yang penakut untuk berhadapan dengan realiti sebenar," katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Sebelum ini, Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin dan Ketua Penerangan Pemuda UMNO, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican turut mencabar Anwar untuk berdebat membabitkan isu tertentu.
Ummi Hafilda Ali iaitu adik Timbalan Presiden PKR, Azmin Ali turut membuat cabaran untuk berdebat dengan Anwar berhubung kebenaran dakwaan kes salah laku seks sebelum bekas Timbalan Perdana Menteri mencabar pihak lain termasuklah Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.
Pada 30 September tahun lalu, Kottapan mendakwa pemilihan PKR Cabang Kota Raja yang dimenangi Xavier tidak sah kerana ia hanya diumumkan oleh ahli biasa Jawatankuasa Pemilihan Pusat (JPP).
Kottapan berkata, sekiranya terdapat bantahan dan aduan berlaku penipuan, pimpinan PKR Pusat harus mengadakan siasatan manakala keputusannya pula perlu diumumkan oleh sekurang-kurangnya oleh Setiausaha Agung PKR, Saifuddin Nasution atau pucuk pimpinan parti pembangkang itu
Pindaan bukan kembali kuasa Sultan
Oleh ABDUL YAZID ALIAS
pengarang@utusan.com.my
SHAH ALAM 18 Jan. – Rakyat negeri ini tidak seharusnya terpengaruh dengan cubaan kerajaan Parti Keadilan Rakyat (PKR) Selangor menggunakan pindaan terhadap perlembagaan negeri untuk mengaitkannya dengan usaha mereka mengembalikan kuasa Sultan Selangor.
Pakar undang-undang, Datuk Salehuddin Saidin berkata, pindaan tersebut sebenarnya bukan bertujuan mengembalikan kuasa mutlak kepada Sultan Sharafuddin Idris Shah dalam melantik Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) sebagaimana yang termaktub pada 1948.
Malah, katanya, pindaan tersebut bukan satu tindakan yang mendesak kerana ia hanya untuk mengembalikan kuasa kepada Menteri Besar bagi melantik SUK, Pegawai Kewangan dan Penasihat Undang-undang negeri.
“Jika dilihat sebelum pindaan pada 1993, pelantikan ketiga-tiga jawatan berkenaan meskipun dibuat oleh Sultan Selangor, ia dilakukan atas nasihat Menteri Besar.
“Kuasa yang ingin dikembalikan kepada sultan dalam pelantikan tiga jawatan menerusi pindaan itu sebenarnya terhad kerana baginda perlu nasihat Menteri Besar. Kalau begitu, apa bezanya dengan kedudukan sekarang,” katanya.
Sallehuddin yang juga Ahli Majlis Tertinggi (MT) Pertubuhan Pribumi Perkasa (Perkasa) berkata demikian ketika berucap pada majlis taklimat Perkasa mengenai isu SUK di Kolej Kejuruteraan, Universiti Teknologi Mara (UiTM) di sini malam tadi.
Taklimat itu turut membariskan ahli panel terdiri daripada Presiden Perkasa, Datuk Ibrahim Ali dan Prof. Datuk Dr. Ramlah Adam yang juga Ahli MT Perkasa.
Sallehuddin berkata, dengan undang-undang sedia ada, Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) yang diperuntukkan kuasa melantik SUK tetap menghormati kedudukan Sultan Selangor apabila mempersembahkan senarai calon SUK untuk diperkenankan oleh baginda.
“Amalan SPA itu dilakukan sebagai menghormati peruntukan perlembagaan negeri yang meletakkan Sultan Selangor sebagai Ketua Eksekutif Negeri.
“Jadi apa gunanya pindaan tersebut kerana amalan sekarang kedudukan baginda terus dihormati,” katanya.
Menurut beliau, sebenarnya, jika kerajaan negeri mempersoalkan pelantikan Mohammed Khusrin Munawi sebagai SUK sekali pun mereka sepatutnya memberi peluang kepada beliau melaksanakan tugas.
“Kalau lepas dua tiga bulan mereka tidak puas dengan khidmatnya, beritahulah SPA, kami tidak mahu orang ini lagi, tukarkan. Jadi tidak perlu pinda perlembagaan negeri,” katanya.
Dalam pada itu, beliau turut mengingatkan bahawa pindaan itu jika diluluskan sekali pun, masalah akan timbul sekiranya didapati ada percanggahan dengan Perlembagaan Persekutuan.
“Jika berlaku satu perkara yang tidak konsisten dengan kerangka persekutuan, maka undang-undang itu tidak boleh dikuatkuasakan juga,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.